This is some text prior to the author information. You can change this text from the admin section of WP-Gravatar Final year student, General Studies Faculty of Arabic Language, Al-Azhar Asy-Syarif University, Cairo, Egypt.


“Ya Allah jadikanlah kami orang yang bersyukur ke atas ni’mat yang telah Engkau karuniakan ke atas kami dan ke atas ibu bapa kami, dan jadikanlah kami orang-orang yang melakukan kebaikan (amal sholeh) yang Engkau redhai..”

Ayat ke-6 dari Surah Ibrahim menyatakan bahawasanya Allah SWT berjanji untuk menambahkan ni’mat bagi mereka yang bersyukur sebagai balasan dan mengancam dengan azab pedih bagi mereka yang kufur (terhadap ni’mat tersebut). Ayat ke 16 dan 17 surah Al-A’raf pula menyatakan bahawasanya Iblis bersumpah untuk sentiasa berusaha menjadikan kebanyakkan keturunan Adam diantara mereka yang tidak bersyukur dengan cara menyesatkan mereka dari jalan Allah SWT yang lurus.

Sebegitu besar peranan dan erti syukur sehingga segala apa yang diusahakan Iblis tidak lain akan bermuara ke sebuah kufur ni’mat (lawan kepada syukur).

Apa yang telah dipertontonkan Allah SWT kepada rakyat Malaysia semalam dan hari ini merupakan sebuah ni’mat yang begitu besar dan luar biasa. Keadaan yang tidak berlebih-lebihan jika dikatakan ‘berat sebelah’ akan tetapi memberi hasil yang cukup memeranjatkan sebahagian pihak. Siapa yang pernah menjangka Negeri se-GAH Selangor bakal jatuh ke tangan pihak lawan kerajaan. Luar biasa!

Keadaan menjadi semakin luar biasa lagi dengan terdengarnya sorakan kegembiraan mereka yang tidak dapat melihat secara langsuang PRU dengan mata kepala mahupun dengan tv seperti kami. Dengan sabar menunggu update dari pihak media. Dalam kegembiraan itu kami bersyujud syukur.

Rasulullah SAW mencontohkan kepada kita apabila mendapatkan kabar gembira untuk terus mencecahkan dahi ke tanah bersujud serta merta. Mengapa?

Sujud yang dilakukan dengan menghadap kiblat lalu diciumkan dahi ke tanah sambil mengucapkan bacaan tertentu merupakan sebuah simbol yang sentiasa mengingatkan kita bahasanya kita merupakan seorang hamba kepada yang Maha Kuasa. Hamba kepada Raja segala Raja. Hamba yang dipinjamkan kuasa memerintah seketika selama jasad dikandung nyawa.

Sujud mendidik diri kita untuk mengenal diri sendiri dan tidak mudah lupa.

Sujud menghilangkan rasa angkuh dan sombong yang merupakan salahlaku pertama makhluk terhadap Maha Pencipta.

Sujud mendidik kita menundukkan hati, emosi, jasmani dan rohani.

Sujud simbol kesyukuran. Bukan hanya sekedar simbol yang mendidik. Kesyukuran kemudiannya perlu dibuktikan dengan usaha dan kerja keras secara fizikal.

Bagaimanakah caranya untuk dapat mengetahui bahawa syukur kita benar dan diterima?

Iaitu dengan mengira berapa banyakkah tambahan ni’mat yang kita miliki pada detik, saat, jam, hari, bulan dan tahun berikutnya kerana demikianlah janji Allah. Allah sungguh akan menambah ni’mat bagi mereka yang bersyukur, begitu bunyi janjinya dan Dia sekali-kali tidak pernah akan memungkiri janji.

Sejenak saya menghayalkan diri berada pada keadaan beberapa pihak. Pertama saya membayangkan diri ini menjadi seorang wakil rakyat dari parti BN yang telah berjaya menang dengan tipis. Maka, syukur saya ketika itu perlulah dengan mula menyedari bahawa rakyat tidak lagi mahu diperbodohkan apalagi dibodohi. Rakyat tidak lagi akan berdiam diri jika dizalimi maka kezaliman adalah perkara utama yang perlu diri ini hindari. Rakyat mengharapkan kejujuran dan kebersihan dalam pemerintahan maka itulah yang perlu diri ini persembahkan. Bersyukurlah dengan perbaikan diri dan perubahan.

Kedua saya membayangkan diri ini menjadi seorang wakil rakyat dari parti pembangkang yang menang dengan suara yang begitu tinggi. Maka, kesyukuran saya adalah dengan tidak mengecawakan mereka yang telah memilih diri ini sebagai agen berubahan. Kesyukuran perlu dizahirkan dengan memperbaharui sistem dan kandungan sebuah pentadbiran. Kesyukuran perlu diperlihatkan dengan kebenaran dan kemurnian yang selama ini diperjuangkan. Dulu diri inilah yang menyatakan ‘kebusukkan’ mereka agar mendapat kepercayaan, kini kepercayaan itu telah berada di tangan maka apakah akan ‘wangi’ dan ‘mewangikan’!!?? Syukurilah dengan membuka kembali kes-kes silam yang menjadi dongeng sejarah. Syukurilah menegakkan kebenaran dan mengembalikkan hak pada pemiliknya.

Ketiga saya membayangkan diri sebagai rakyat. Rakyat merupakan asas utama bagi sebuah negara. Ibarat rumah, rakyat adalah batu bata yang disusun menjadi dindingnya. Bersyukurlah dengan mendidik anak-anak agar menjadi pengokoh dan penguat bangunan. Bersyukurlah dengan mendewasakan anak-anak dengan kepedulian terhadap agama, bangsa dan negara. Bersyukurlah dengan menjadi pelaksana gagasan dan cadangan pemerintah. Bersyukurlah dengan memartabatkan diri demi bangsa, agama dan negara. Bersyukurlah dengan menolak segala yang pelu ditolak dan menerima segala yang perlu diterima. Bersyukur dengan Ikhlas dan redha sambil terus berusaha.

Keempat, saya membayangkan diri sebagai seorang calon yang telah lama menjadi wakil rakyat dan pada kali ini tidak lagi mendapat kepercayaan rakyat. Saya perlu bersyukur atas ringannya beban yang telah dilepaskan dari pundak. Bersyukur dengan memikirkan sumbangan lain yang masih tetap dapat disalurkan kepada masyarakat. Bersyukur dengan untuk terus memberi tanpa pamrih. Bersyukur sambil terus memperbaiki diri dan menegaskan kembali bahawa aku lakukan semua ini bukan demi populariti apalagi materi akan tetapi hanya kerana Allah SWT.

Kelima, saya membayangkan diri sebagai seorang calon yang baru memberanikan diri akan tetapi belum mendapat kepercayaan rakyat. Diri perlulah bersyukur dengan terus memperbaik diri. Bersyukur dengan terus berbakti. Bersyukur tanpa rasa rendah diri atau kecil hati. Terus bekerja demi sesuatu yang dipercayai. Bersyukur dengan mengakui kelemahan dan bertindak meneruskan pembangunan dan pemantapan ideologi.

“Allahu akbar, Allahu akbar!” laungan azan mengejutku dari hayalan. Diri ini juga perlu segera bersyukur. Bersyukur melakukan solat tepat waktu sebagai hamba. Bersyukur dengan gigih belajar sebagai siswa. Bersyukur dengan giat menulis tanda peduli dan usaha bertaqwa. Bersyukur meningkatkan potensi diri persediaan menjadi suami dan ayah. Bersyukur dengan amal sholeh dan bakti sebagai wakil Tuhan di atas muka bumi. Bersyukur dengan perjuangan sehingga mencapai tahap, ‘imam bagi orang-orang yang bertaqwa’.

Bangkitlah sambil menyedari, dimana pun kita berada, dari parti mana pun kita, atas nama siapa pun, bagi pihak mana pun, pada akhirnya kita akan menghadap Allah SWT sendirian. Pertanggung jawapan kita kepada tuhan atas nama individu, bukan kelompok. Jemaah, parti, kelompok, bangsa, semuanya hanya sekedar jentera. Sedang diri sendiri bagaimana? Padahal kita hanya akan diberi balasan atas titik peluh kita semata-mata.

Ni’mat adalah ujian. Bersyukur adalah cara menghadapinya. Sabar adalah pertahanannya. Mari sama-sama kita tingkatkan rasa syukur kita. Syukur yang dibuktikan dengan amal sholeh. Syukur yang dizahirkan dengan tindakkan seperti mana kita zahirkan dengan menciumkan dari ke tanah. Syukur yang sesungguhnya dipersembahkan kepada Allah. Demi itu, yakinlah akan pertambahan nikmat !!!

Leave a Reply