Wujudkan Kader Bangsa Berdedikasi Prima
Posted on April 10th, 2008 in Uncategorized

“Wujudkan Kader Bangsa Berdedikasi Prima” adalah tema program Silaturrahimi rombongan Pimpinan Pondok Modern Darussalam Gontor dengan para alumni Gontor di Mesir yang telah dilaksanakan dengan jayanya semalam di Dewan Solah Kamil Universiti Al-Azhar. Program tersebut dianjurkan oleh Ikatan Keluarga Pondok Modern cawangan Kaherah yang merupakan organisasi alumni almamater terbesar se-Mesir.
Seperti biasa program seperti ini merupakan program yang ditunggu-tunggu oleh setiap alumni kerana hanya dengan pertemuan sebeginilah kita dapat mengubat rindu kepada sekolah tercinta sekaligus men-charge- kembali semangat, nilai-nilai dan cita-cita yang selama ini mungkin agak redup.
Program bermula agak lambat dari yang dijadualkan kerana rombongan tersekat di dalam kesesakan lalu lintas. Bapak Dr. KH Abdullah Syukri Zarkasyi MA hadir bersama rombongan Badan Wakaf Pondok Modern Darussalam Gontor dan turut diiringi oleh Dr Ja’far Abdussalam Setiausaha Agung Ikatan Universiti Islam Antarabangsa (Rabitah Jami’at Islamiah Alamiah).
Program dimulakan dengan lantunan kalam ilahi yang begitu menyentuh dan menciptakan suasana yang damai. Wara’ yang merupakan Ketua IKPM cawangan Kaherah menyampaikan ucapan alu-aluan. Seperti biasa dia melaporkan jumlah anggota alumnai yang kini telah mencecah lebih 500 orang. Dia juga menyampaikan data prestasi akademik sesi lalu yang menunjukkan peningkatan.
Acara diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Dr Ja’far Abdussalam. Beliau memulakan bicara dengan menceritakan kisah terpilihnya Dr KH Abdullah Syukri MA untuk menerima wusam (anugerah) yang diberikan oleh Presiden Husni Mubarak sempena Maulid Nabi dua tahun yang lalu. Anugerah tersebut merupakan pengiktirafan kepada Gontor yang telah dianggap berjaya dalam menciptakan sistem pendidikan Islam di Indonesia. Penganugerahan itu menjadi awal mula yang menjadi daya tarik kepada Dr Ja’far Abdussalam untuk melihat sendiri keadaan Gontor yang telah sering diperkatakan. Kunjungan yang begitu memberi kesan kepada beliau dan rombongan membuatkan Rabitah Jamiah Islamiah Alamiah setuju mengadakan persidangan tahunan mereka di sana. Dr. Ja’far meluahkan segala perasaan yang dialaminya ketika di Gontor Putra dan Putri. Seakan tidak habis fikir dia melihat dinamika dan kegiatan pondok yang begitu sistematis dan rapi. 4500 pelajar dikawal oleh para pelajar juga. Dengan tertib solat dan membaca Al-Quran. Bahkan tanpa ragu mereka mencantumkan di dalam resolusi persidangan mereka bahawa Gontor adalah sebuah Institusi Pendidikan yang sepatutnya ditiru oleh Institusi-institusi lain di seluruh dunia. Dr Ja’far juga kemudian memperkenalkan seorang pelajar berbangsa Arab yang sedang membuat kajian tentang Gontor untuk menyelesaikan studi Masternya. Turut hadir Pensyarah yang menyelia pelajar tersebut.

Acara kemudian diambil alih oleh Ust Arifin yang ditugaskan menjadi moderator. Beliau kemudian meminta persetujuan semua hadirin dan tetamu untuk mempersilakan Duta Besar Indonesia ke Mesir yang juga merupakan alumni Gontor. Beliau menggunakan kesempatan itu untuk mengajak seluruh alumni merenung sejenak. Lantunan Hymne ‘Oh Pondokku’ yang sama-sama dinyanyikan berjaya membawa kita ke tahun-tahun dimana kita masih lagi berlari-lari ke masjid untuk sama-sama membaca al-quran dan mendirikan solat. Beliau berharap agar kenangan yang ketika itu berlarian mengelilingi minda setiap hadirin tidak hanya sedekar menjadi kenangan dan memori yang disanjung-sanjung atau dibangga-bangga, beliau menginginkan agar semua yang telah terukir selama kita berada dibawah asuhan pondok tidak hanya menjadi tradisi akan tetapi menjadi sebuah amalan yang sentiasa diamalkan. Beliau kemudian mengajak hadirin berfikir dengan melontarkan beberapa pertanyaan. “Jika dahulu kita dapat berdisiplin mengikuti kegiatan sesuai dengan jadual lalu mengapa tidak sekarang?”
Ust Arifin kemudian memberi peluang kepada Dr KH. Abdullah Syukri Zarkasyi untuk menyampaikan ucapannya. Sebagaimana biasa beliau masih lagi begitu bersemangat menyampaikan pidatonya sama seperti puluhan tahun dahulu. Beliau memulakan bicaranya dengan sedikit menceritakan kisah yang terjadi ketika Dr. Ja’far Abdussalam beserta rombongan hadir ke Gontor. Beliau kemudian menceritakan perkembangan terbaru pondok. Wasiat yang sering kali kami dengar kembali disampaikan beliau. Gontor adalah sebuah balai pendidikan yang telah berjaya melatih para pelajar untuk berlaku ikhlas dalam segala sesuatu. Keikhlasan yang jelas tercatat di dalam lembaran sejarah pendirian pondok sebelum kemerdekaan Indonesia lagi adalah penyebab utama mengalirnya ikhlas dalam diri para pelajarnya.
Seorang yang ingin maju adalah seorang yang pandai mengambil inisiatif. Inisiatif hanya akan lahir dari fikiran yang jernih dan kreatif. Keikhlasan mengarahkan inisiatif ke hala yang benar dan baik. Perlaksanaan inisiatif dapat dibantu dengan memanfaatkan jaringan kerja (network). Ianya juga akan mencapai tahap yang maksimal jika dilakukan dengan kerja keras. Kerja keras dan tawakkal tidak dapat dipisahkan.
Setiap yang ingin berjaya juga harus selalu menyandang ideologi yang diperjuangkan. Ideologi membuatkan kita bermaruah dan tidak hidup sekedarnya sahaja. Ideologi lahir dari wawasan yang luas. Seorang yang berdedikasi mempunyai wawasan yang begitu luas.
Beliau juga menerangkan akan pendekatan-pendekatan yang perlu seorang perhatikan. Sebuah institusi harus mampu menerapkan serta menanamkan wawasan, nilai-nilai, prinsip, ideologi dan perjuangan kedalam diri dan jiwa para pelajarnya. Demi mencapai matlamat itu perlulah diperhatikan pendekatan-pendekatan yang digunakan. Beliau menjelaskan pendekatan sistem, pendekatan religi dan pendekatan keluarga atau manusiawi.
Melihat Pak Syukri bicara memang begitu menyuntik semangat para hadirin. Apalagi para alumni yang telah lama tidak mendengarkan beliau bicara. Ucapan beliau selalu dihiasi dengan pengalaman-pengalaman dan sejarah pondok atau bahkan sejarah dirinya sendiri sangat menyentuh. Lelucon yang beliau sampaikan membuatkan kita betah mendengarkan hingga ke akhir ucapannya. Satu hal yang selalu beliau ulang adalah, “Yang penting mainnya!” Walaupun dengan nada lawak tetapi ianya mengandung erti yang begitu besar. Manusia hanya umpama pohon yang tidak berbuah tanpa gerakan dan tindakkan. Manusia meninggalkan kesan atas tindakkan dan bakti yang dicurahkan. Inilah yang dimaksudkan dengan main. Segulung atau bergulung-gulung ijazah tidak membuatkan manusia mulia akan tetapi bakti manusia membuatkan dirinya sentiasa dikenang. Beliau meneruskan wejangngannya hingga azan maghrib berkumandang.
Usai solat program diteruskan dengan ucapan KH Kafrawi yang merupakan Ketua Badan Wakaf Pondok Modern Gontor. Beliau yang merupakan yang paling tua di dalam rombongan masih petah bicara. Beliau secara ringkas menceritakan peran yang dilakukan Badan Wakaf. Secara garis besarnya Badan Wakaf berfungsi sebagai badan yang mengawal segala pergerakan dan tindakkan Pimpinan Pondok. Ucapan terakhir sebelum dialog disampaikan oleh Ust Akrim Mariat. Beliau merupakan guru bahasa Inggris pada tahun akhir aku berada di Gontor. Pengalaman beliau menuntut di Barat dalam bidang pendidikan dewasa (adult education) membuatkan beliau mampu menyampaikan pidato yang sangat tenang akan tetapi mengandung seribu satu lawak mendidik yang begitu rapi tersusun dalam setiap kalimat yang disampaikannya. Sejak sekolah lagi aku telah mengagumi gaya bicaranya yang begitu hebat menurutku. Beliau memulakan ucapan yang tenang namun mampu membuatkan dewan riuh dengan tawa. Selaku Presiden IKPM sedunia, beliau memperkenalkan setiap rombongan yang hadir kepada para ahli IKPM yang hadir. Ya IKPM telah pun memiliki ratusan cawangan diseluruh dunia. Di akhir ucapan ringkasnya, beliau menceritakan sejarah yang telah dialami IKPM suatu ketika itu. Organisasi alumni itu pernah dibekukan beberapa tahun kerana disalah gunakan. IKPM ditubuhkan untuk membantu pondok dan bukan sebaliknya. Ucapan beliau sangat bermanfaat mengingatkan seluruh ahli IKPM yang hadir.
Sesi diteruskan dengan soal jawab. Namun, kabar buruk segera sampai ketika dinyatakan bahawa rombongan harus segera meninggalkan dewan kerana telah ditunggu untuk menghadiri makan malam yang telah dijadualkan.
Momen program ini sangat tepat. Ia memberi aku semangat membakar untuk menghadapi ujian yang bakal menjelang. Semoga perjuangan ini mampu diteruskan oleh para alumni dalam menegakkan kalimah Allah SWT. Mereka telah pun meninggalkan jasa bakti mereka yang begitu berkesan kepada kita, Indonesia dan Islam. Lalu apa pula usaha yang akan kita tinggalkan? If’alu fauqa ma ‘amilu.. Berbuatlah melibihi apa yang telah mereka perbuat!!



Leave a Comment