Winter 2009 (bahagian 3)

Posted on March 5th, 2009 in Uncategorized

Azan subuh mengejukan penulis. Penulis segera bangkit dan bersiap menuju masjid yang terletak berseberangan dengan hotel yang diinap. Jalanan sepi. Sampah berserakan ditiup angin. Beberapa kedai runcit kelihatan masih buka dengan seorang penunggu yang menghadap tv. Di hadapan masjid terdapat sebuah kedai roti besar yang beberapa orang petugasnya sedang riuh bercanda sambil menikmati juadah yang terletak di dalam talam. Mereka menatap tajam ke arah penulis yang sedang menaiki tangga masjid sambil memperhatikan mereka.

Ruang masjid masih kosong, hanya terdapat beberapa orang. Penulis mendirikan solat sunat dan menunggu didirikan solat. Usai solat seorang ahli jemaah yang kelihatannya sudah lanjut usia menzahirkan bacaan zikir selepas solat. Istighfar, tasbih, tahmid, ayat kursi dan beberapa yang lain lalu diakhiri dengan selawat. Tepat setelah berakhirnya bacaan pak cik itu, semua jemaah yang ada di dalam masjid bangkit dan menjabat tangan sesama jemaah. Penulis hanya memperhatikan bid’ah tersebut. Tanpa sedikit pun memperendah atau menghukum penulis terus memperhatikan. Salah seorang yang berpaling ke arah penulis segera menuju penulis dan menghulurkan tangan. Penulis segera bangkit dari duduk dan ikut menyalami mereka yang sempat disalami. Ternyata setelah salaman semua jemaah bergegas meninggalkan masjid dan pak cik yang menzahirkan selawat tadi menutupi pintu masjid setelah penulis melangkahkan kaki keluar darinya. Penulis meninggalkan masjid itu dengan senyuman mengenang kesepakatan waktu yang diperuntukkan usai solat adalah mengikut bacaan pak cik itu. Penutupan masjid usai solat bukanlah suatu yang pelik di Mesir. Selain dari kesan  perintah yang dikeluarkan oleh pemerintah ia juga merupakan inisiatif pengurus-pengurus masjid bagi mengelakkan kejadian buruk seperti kecurian yang seringkali terjadi di rumah suci.

Perkara ini memang agak menyedihkan. Masjid di zaman ini malah menjadi tumpuan peminta sedekah meminta-minta malah tempat pencuri membuat dosa. Keterpurukkan sikap, jati diri kemudian ekonomi membuatkan umat Islam semakin menjadi-jadi. Peminta sedekah menjadi pemalas bahkan melemak dan selesa melepak di masjid-masjid apa lagi masjid yang menyimpan sejarah atau maqam. Perintah Islam menyuruh pengikutnya berlaku pemurah malah disalah erti oleh sebahagian pihak yang kemudian melampau dan menjadi pemalas. Walhal, Islam menggambarkan betapa mukminin yang sebenar berusaha bertahan hidup dengan segala kesederhanaan sehingga enggan menghulurkan tangan bahkan ketika sangat memerlukan. Kadang pengunjung sampai muak dengan sikap bilal dan bahkan imam masjid-masjid di sekitar Kaherah yang terbiasa memaksa pengunjung memberikan sumbangan untuk mereka selaku penjaga masjid. Lebih menjengkelkan ketika mereka malah meninggikan suara dan bermasam muka ketika seseorang enggan memberi. Sikap seperti apa ini?

Bicara soal masjid, penulis tidak berlebihan jika mengatakan bahawa penulis telah jatuh cinta kepada Masjid Syarbini. Sebuah masjid yang terletak dekat dengan rumah penulis. Lucu bukan? Penulis sering tersenyum dan kadang tertawa, tatkala mengenang hati yang telah terpaut kepada masjid yang sudah begitu selesa saat ini jauh berbeza dari keadaannya  beberapa tahun yang lalu. Pernah suatu ketika penulis hadir ke sebuah majlis dan bertemu seseorang yang tidak dikenali lalu dia berkata, “Anda ‘orang kuat’ Masjid Syarbinikan!!??” Sedih rasanya ingin berpisah denganmu Masjid Syarbini!

Setelah subuh, penulis kembali ke penginapan untuk mengumpulkan sedikit lagi tenaga.

Pagi itu setelah menghabiskan beberapa keping roti bersama telor dadar, jem, yourgurt, jus oren dan susu, kami memulakan expedisi basikal di West Bank. Kami membayangkan basikal yang bakal disewa berupa basikal bmx atau basikal mountainbike yang dilengkapi dengan peralatan canggih. Ternyata basikal yang disediakan adalah basikal yang sangat sederhana seperti yang digunakan para petani ke sawah mereka.

Expedisi basikal amat menyenangkan apalagi kita memulakan perjalanan pada pagi hari yang masih segar dan adem. Dengan penuh semangat kami mengayuh basikal menuju arah tempat-tempat kunjungan. Kami tidak memacu laju basikal kami, dari belakang ada sepasang kekasih yang penulis kira usia mereka hampir mencecah 50an memacu basikal mereka bersama-sama dan seiringan.

“Wah, pasang sehidup semati!” bisik hati kecil penulis saat melihat adegan mereka. Penuh mesra. Akhir-akhir ini penulis banyak membaca fenomena perceraian dikalangan aktivis dakwah dan juga masalah poligami yang semarak dibincangkan. Tidak kalah pakar-pakar cinta mencurahkan tips-tips yang ideal bagi seorang muslim untuk bercinta.

Suasana damai yang jauh dari hiruk-pikuk kota membuatkan penulis mampu melayani minda yang mengajak untuk bicara tentang cinta. Usia-usia sebegini adalah usia yang tepat memikirkan cinta antara manusia yang hakiki dan produktif. Saatnya membina keluarga. Namun, menuju ke arah itu bukanlah suatu yang mudah. Bukan sekelip mata. Prosesnya tidak kalau rumit bahkan cabarannya sangat menantang. Bagi mereka yang sudah mula terjebak akan mula mempertimbangkan langkah dan tindakkan yang paling tepat. 

Ketika ramai penulis menulis tentang cinta ia tidak lebih dari sekedar tulisan. Atau mungkin bahasa lainnya teori. Antara teori dan realiti selalunya akan ada jarak yang begitu berbeza, terutama pada keadaan dan suasana. Cinta yang hadir secara tiba-tiba dan tidak dipaksa perlu dibendung dan diarahkan. Namun, selaku manusia kita perlu mengaku bahkan Al-Quran sendiri pun telah mengakui kelemahan manusia berkait dengan perihal ini. Sungguh yang menggerakkan hati manusia itu adalah Allah. Persoalannya, adakah cinta yang hadir itu kita sambut dalam rangka yang sesuai syarak atau pun tidak. Seorang ibu kerana terlalu mencintai anaknya, menyerahkan segala-galanya kepada anaknya walaupun sehingga sang anak durhaka. Itu tidak dinamakan rangka yang sesuai dengan syarak. Begitu halnya berlaku kepada pasangan kekasih. Malangnya, demi membezakan antara yang hak dan yang batil dalam permasalahan cinta adalah tidak mudah. Syaitan punya strategi yang pelbagai. Bahkan suasana dan keadaan dapat dicipta agar fahsya’ dapat terlaksana. Bagi mereka yang tidak peka, sungguh ia membinasa.

Selaku manusia, penulis turut terjebak di dalam perihal sebegini. Ingin segera disahkan keadaan tidak memungkinkan. Akhirnya, Al-Quran dan Sunnah perlu menjadi rujukan. Biar hubungan tidak menjerumuskan. Semoga Allah sentiasa melindungi.

Cuaca yang mendukung tidak membuatkan kami segera berpeluh. Kelajuan semakin berkurang memandangkan kami semua bukanlah olahragawan. Tambahan pula postur tubuh yang sangat menyedihkan. Ketinggian tanah pula semakin meningkat. Kami menuju ke arah bukit yang terletak di lembahnya beberapa temple.

Sejujurnya, penulis mula agak bosan melihat batu-batu buruk peninggalan Firaun. Faktor utamanya adalah tiket masuknya yang super mahal. Faktor kedua jumlah pengunjung yang superbanyak.

Kami tiba di beberapa kawasan temple, bergambar dan pergi.

Setelah meninggalkan Al-Dier Al-Bahari Temple kami sepakat untuk menunaikan solat zuhur dan asar di sekitar laluan keluar dari kawasan temple tersebut. Kami kemudian menemui sebuah Masjid yang merupakan tempat di mana Dr. Ahmad Tayyib (Presiden Azhar) dibesarkan. Ketiga teman penulis telah terlebih dahulu menuju masjid tersebut sedangkan penulis mencari kedai tayar yang dapat memompa tayar belakang basikal yang penulis naiki. Malangnya penulis tidak menemukan. Ketika kembali menuju ke Masjid Syiekh Tayyib penulis disapa oleh seorang pemuda bernama ‘Ubaid. Ketika dia mengetahui yang penulis merupakan seorang muslim, ‘Ubaid segera memeluk penulis dan mengucapkan takbir. Dia lalu bertanya akan jumlah juz yang telah penulis hafal. Usai solat berjemaah ‘Ubaid dengan begitu semangat menceritakan bagaimana kawasan itu telah diratakan oleh pemerintah. Bahkan rumah Allah itu sempat hendak dirobohkan dengan alasan kawasan tersebut masih menyimpan peninggalan kuno. ‘Ubaid menceritakan jasa masjid yang kini telah terputus bekalan letrik itu pada proses pendidikan seorang Azhari yang kini menjadi Presiden Azhar. Beliau sangat bangga mengetahui latar belakang kami yang merupakan pelajar Azhar. Dia kemudian menceritakan akan kebanggaan masyarakat terhadap Dr. Ahmad Tayyib. Sangat jauh berbeza dengan apa yang pernah penulis dengar dari mulut masyarakat yang mencemoh sebahagian ulama Azhar terutama Grand Syiekhnya yang dinilai terlalu berpihak kepada pemerintah yang pro Amerika-Israel itu.

Kami meneruskan perjalanan ke Wadil Muluk. Semuanya menunjuk macho seakan-akan gagah mengayuh padahal masing-masing bagai nak tercabut lutut. Kami enggan membayar tiket yang mahal di Wadi Muluk. Akhirnya kami hanya menikmati terik matahari sambil menjamah bekalan roti yang ada.

Dari Wadil Muluk kami menuju arah pesisiran Nil dan berehat di sana.

Sebelum matahari menghilangkan diri, kami menyeberang ke daratan Luxor.

Turun dari motorboat, kami ditawar oleh pemilik kapal layar untuk bersiar. Bro Syakir memang mengidam untuk menaiki kapal layar. Tawar menawar dilakukan dan pemilik kapal layar yang bernama Musa itu sejutu dengan harga 20Le.

Hari sudah pun senja. Menolak tawaran 20 Le adalah sama dengan menolak rezeki. Bak kata pepatah, “Telur hari ini lebih baik dari ayam esok hari!” Mungkin itu yang bermain di minda Musa. 

Musa petang itu ditemani oleh adiknya Badawi dan teman adiknya Sabir. Musa tentunya bos yang hanya memberi arahan dan memegang kemudi. Salah seorang bertugas menurunkan atau menaikkan layar dan seorang lagi menyesuaikan tata letak dua kayu yang memegang layar pada tiang dan tiang itu sendiri. Berbeza dengan motorboat, kapal layar memberikan sensasi tenang yang luar biasa. Penumpang bahkan melayari sungai Nil dengan penuh emosi dan perasaan.

Setelah hampir setengah jam berlayar, kami di dekati sebuah bot pelampung polis yang memerintah Musa untuk menuju ke arah Luxor. Menurut polis itu waktu sudah pun senja dan larangan untuk berlayar dalam keadaan gelap.

Tiba di Luxor tepatnya di depat Luxor temple kami di tawari pula untuk menaiki kereta kuda. Kami pon naiklah. Wah bukan main hari itu! Dari basikal, motorboat, kapal layar dan kemudian kereta kuda.

Perjalanan malam itu berakhir dengan pencarian makan malam. Banyak yang kami beli. Sandwich organ dalaman lembu, Hawawisyi, Ayam Guling, Kusyari dan tomato segar. Tatkala sibuk membeli penulis didekati oleh dua orang gadis bernama Yasmin dan Syaima’. Ntah mengapa mereka terlebih ramah dan penulis melayan saja. Pesanan mereka berdua siap terlebih dahulu. Sebelum meninggalkan kami mereka sempat meminta nombor teleponku. Wah ramah betul orang Luxor!  

 

 

Published by taqeyyabella

2 Responses to “Winter 2009 (bahagian 3)”

  1. anasxz Says:

    shahid, banyak yg kita naik hari tu rupanya, mula basikal, motorboat, kapal layar, last keta kuda.. huhu.. 3 kenderaan pertama alhamdulillah selamat tidak dipancung dengan kapak, tapi kenderaan terakhir kita terkena kapaknya, misscom kot. biasa la tu, dah la kena bawak masuk kedai menatang2 firaun yg tokey dia cap keris pulak, juai pulak ayat quran… aduh.. tensionnya time tu…

    byk gak kita sapa arab2 sekitar perjalanan kita tu, tapi satu pun ana tak catat nama depa.. ana bukan apa, takut terjumpa kat kaherah ni terlupa nama depa…

  2. ikut dr jauh Says:

    http://www.youtube.com/profile?user=threepagi&view=videos

Leave a Comment

Share