Terus Belajar!
Posted on November 15th, 2009 in Bahasa dan Sastera, Peribadi
“Awak buat apa sekarang?” Tanya seorang teman lama.
Sudah sekian lama berpisah. Masing-masing sudah pun menentukan hala tuju masing-masing. Ramai yang sudah menyelesaikan sarjana muda. Tidak sedikit yang sudah memulakan hidup baru dalam dunia pekerjaan. Hanya beberapa orang yang masih bertungkus lumus menyelak lembaran buku sama ada untuk ijazah sarjana muda atau bahkan ijazah sarjana.
“Enta dah habis belajar? Berapa lama enta di sana?” Seorang teman lain menghentikan mulutku yang baru saja ingin bicara. Tidak ramai yang masih menggunakan ana dan enta, ciri khas pelajar-pelajar sekolah agama seperti sekolah kami. Walaupun kami hanya berkongsi kelas selama 6 tahun dibangku sekolah rendah tapi ikatan yang terjalin antara kami sungguh luar biasa. Itulah hal yang sangat membezakan dan yang dapat kami bangga. Jika difikirkan faktor yang membuatkan hubungan kami erat antara lain masa persekolahan yang panjang iaitu bermula dari jam 8 pagi hinggalah 4 petang. Keadaan ini memberi ruang kepada kami untuk banyak beraktiviti bersama. Faktor kedua adalah kerana kecilnya bilangan kami. Hanya kurang dari 30 orang sekelas.
“Aku baru je balik ke Malaysia, 16 September yang lalu.” Sengaja menggunakan aku. Kini ia agak lebih akrab bagi semua kawan-kawan.
“Alhamdulillah sudah selesai pengajian di sana. 4 tahun aku di Mesir.”Aku meneruskan bicara setelah melihat wajah penantian semua yang hadir.
Sebuah kesyukuran yang besar bagiku. Aku sudah pun lulus dengan purata markah akhir yang dikategorikan ke dalam Jayyid. Purata akhir markah dalam pengajian adalah sangat penting. Ia adalah penentu bagi mereka yang ingin meneruskan pengajian ke peringkat yang seterusnya. Banyak universiti di Timur Tengah bahkan di seluruh dunia, yang meletakkan syarat pendaftaran bagi sarjana adalah lulus sarjana muda dengan markah akhir Jayyid dan bagi yang ingin meneruskan peringkat doktor filsafat (PhD) perlulah mendapat markah akhir sarjana tidak kurang dari Jayyid Jiddan. Aku masih diberi peluang oleh Allah untuk mengintai kesempatan meneruskan pengajian ke peringkat sarjana.
“Cepat juga ye. Ingatkan perlu masa yang lebih lama.” Kawan yang bertanya tadi segera memberi komen. Mungkin dia sudah maklum perihal pengajian di Mesir secara umumnya dan Azhar secara khusus. Tidak ramai yang berjaya menyelesaikan pengajian dalam tempoh empat tahun. Bahkan tidak sedikit yang menghabiskan 8 tahun atau lebih untuk pengajian tingkat pertama universiti itu!
“Alhamdulillah berkat rahmat dan fadhilat Allah, sokongan teman-teman, doa ibu-bapa dan kerja keras banyak pihak yang membantuku selama di Mesir.” Aku berkata seadanya. Kejayaanku ini memang tidak murni usaha aku. Bahkan ianya sarat dengan sumbangan orang dan belas kasihan Allah kepadaku.
“Apa plan enta?” soalan yang tadi belum sempat dijawab kembali diulang.
“Ana nak tolong mak dan ayah ana. Aku nak jadi petani.” Aku tersasul menggunakan ana dan segera menggunakan aku. Aku sangat risau jika menggunakan istilah itu akan mengubahkan sikap teman-teman kepadaku. Aku menyedari hakikat bahawa amat sukar bagi seorang yang belajar di Mesir seperti aku untuk lari dari panggilan ‘ustaz’. Bagi aku panggilan itu sangat-sangat tidak sesuai bagiku lafzan wa ma’nan! Itu membuatkan aku gigih untuk mengelak dari terjebak dengan panggilan tersebut. ‘Aku’ adalah senjata ampuh untuk meletakan diri di tengah-tengah ‘dunia’ teman-temanku.
Ramai yang terkejut mendengar jawapanku ‘menolong mak dan ayah’. Mungkin ia tidak pun pernah terlintas dalam diri ramai orang untuk memasukan ke dalam senarai cita-cita dan kerjaya atau malah dalam to do list mereka. Aku bersyukur bahawa aku telah diberi kesedaran ini. Aku juga sedar bahawa aku tidak mempunyai wang untuk membahagiakan ibu dan bapaku. Bahkan, jika aku berwang sekali pun aku yakin itu tidak membahagiakan mereka. Maka aku perlu memperuntukkan waktu untuk berbakti barang seketika sebelum aku meneruskan perjalanan hidupku yang baru.
Mungkin presepsi orang bila mendengar jawapan seperti itu adalah tidak bekerja. Zaman sekarang ini, ibu-bapa yang diperingkat usia ibu-bapaku, amat risau jika anaknya yang sebaya denganku berada dirumah. Kerana yang demikian bukan hanya menyakitkan mata malah menambahkan beban! Teringat kata-kata seseorang kepada ibuku,
“Ni nak bagi tau. Ini jaga cucu ni sebab terpaksa!”
Anak-anak sudah hilang pertimbangan. Bukan salah meninggalkan anak kepada nenek tapi adakah hal itu dilakukan kerana memang terpaksa?, atau kerana sang anak itu memang malas untuk memikirkan hal anaknya sendiri dan menjadikan nenek sebagai ‘mangsa’?
“Dulu kita susah payah jaga dia, sekarang ni diorang relax bersenang-senang, anak diorang pulak diorang bagi kat aku!” Mak cik tadi meneruskan bicara dengan nada penuh kekesalan.
Aku sentiasa memohon agar aku tidak dijadikan beban kepada mereka malah menjadi utusan yang meringankan beban mereka. Amin.
“Engkau nak tanam apa? Kat mana?” Mereka masih penasaran menanti kisah diriku. Bukan suatu yang biasa bagi seseorang yang telah mendapatkan sarjana muda untuk terjun ke dalam dunia pertanian. Apalagi seorang yang berkelulusan dari Mesir. Aku bahkan sangat selalu menerima persoalan dari ramai orang yang mempertanyakan mengapa aku tidak menceburi bidang-bidang lain sesuai dengan apa yang aku dulu pelajari di Mesir. Bahkan tidak sedikit yang kecewa dengan keputusanku menjadi petani. Mereka malah memujukku untuk mahu menjadi pensyarah atau pegawai di jabatan seperti JAKIM atau JAIS.
Menjadi petani adalah sebuah proses pembelajaran bagiku. Ia tidak kalah penting dengan mempelajari pelajaran di universiti. Bezanya seorang petani yang menjadi cita-citaku adalah petani yang menuntut ilmu Allah terus dari Allah.
Dulu, manusia menunggu suatu yang luar biasa terjadi bagi meletakkan seseorang ditempat yang istimewa dikalangan masyarakat. Nabi dan Rasul AS adalah antara mereka yang telah Allah SWT karuniakan keistimewaan berupa mukjizat yang membuktikan segala keMahaan Allah dan keberanan para utusan. Manusia yang melihat mukjizat lalu merenung dan berfikir pasti akan mengimani Allah dan para rasul. Ya, bermula dari sebuah mukjizat!
Zaman sekarang mukjizat sudah tidak pernah akan berlaku lagi kerana Nabi dan Rasul sudah tiada lagi. Hal-hal yang ajaib yang berlaku kepada orang biasa tidak selalunya menjadi sebab kita akan beriman. Malah kita sendiri kebingunan membezakan keajaiban itu antara karamah atau istidraj. Tetapi walaupun demikian Allah tetap Maha segala Maha. Kerana Allah SWT yang dulu memberikan mukjizat kepada para Nabi dan Rasul, adalah Allah yang aku sembah juga, Allah yang sama.
Allah berfirman, “Tidakkah kalian melihat mata air bagaimana ia diciptakan, dan langit bagaimana ia diangkat (ditegakkan), dan gunung-ganang bagaimana ia menjadi pasak, dan bumi bagaimana ia dihamparkan..”
Mengapa tunggu mukjizat baru beriman? Mengapa tunggu keajaiban untuk menggerakkan hati?
Walhal seluruh yang ada disekeliling kita ini hakikatnya adalah ajaib. Keajiaban yang tidak setanding dengan akal fikiran kita. Siapa yang boleh menjelaskan bagaimana sebutir benih yang bertahun-tahun tidak berubah bentuk dan warna. Namun setelah direndam di dalam air hanya satu malam telah mengeluarkan akar. Setelah seminggu sudah pula bertunas. Adakah ia sebuah kebetulan? Hukum alam?
Ya, ia kebetulan yang telah disusun oleh yang Maha pencipta. Ya, ia hukum alam yang telah Allah tetapkan di dalam ilmuNya. Jauh diluar jangkauan pemikiran manusia. Semua orang melihat dedaunan bertunas setiap hari. Tapi berapa banyakkah yang mahu melihat semua itu dengan mata hati yang menggerakkan minda dan hati. Aku melihat Allah dalam segala sesuatu. Tidak ada pelarian dari hal yang satu ini.
Bertani adalah jalan yang aku pilih untuk melihat kebesaran Tuhan yang telah menghidupkanku. Bertani adalah jalan yang aku pilih untuk menghidupkan jiwa merdeka dalam kehambaan kepada yang Maha Esa. Bertani adalah jalan yang aku pilih untuk terus belajar dan belajar dan belajar. Belajar ikhlas, belajar sabar, belajar tawakkal, belajar disiplin, belajar gigih, belajar kuat, belajar untuk belajar..
“Aku akan menanam cili di Sungai Ramal. Doakanlah.. Kalau ada peluang marilah datang..” Aku menjawap soalan temanku tadi dengan senyuman. Segera aku mengakhiri temu ramah teman-temanku dengan berkata, ” Eh engkau kerja kat mana sekarang?” Tumpuan beralih ke sahabat yang satu ini dan kisahku pun tamat.
*kisah di atas hanyalah rekaan semata-mata..



November 19th, 2009 at 9:28 am
adkh ia benar hnya rekaa semata2??
nmun,,ia cerita yg hebat!
December 7th, 2009 at 2:44 pm
hampeh id…aku iya2 bc…igt kisah btoi…dan ter” ? ” seketika..id guna “aku”? …urm…
tp aku ni mmg nak berucuk tnm secara komersial….nti dulu kot insyallah akan buat.doakan allah mudahkan urusan.hg pon,amin.
December 8th, 2009 at 11:39 pm
Kandungan kisah ni betul sebenarnya, tapi kisah yang berupa kisah dalam menyampaikan kandungan kisah ini yang tak betul..
Semoga Allah permudahkan segala urusan kita.. Amin..
January 5th, 2010 at 11:21 pm
wah….wah…hampir saja aku merubah haluan untuk jadi petani seperti antum he…he…
subhanallah ..tulisan yg bagus!! Waffaqakumullah
January 12th, 2010 at 2:47 am
Assalamualaikum.
Lama tak bertegur sapa. Dah pulang ke Malaysia rupa-rupanya. Itupun Abdullah Husaini yang maklumkan pada saya. Mungkin anta masih kenal beliau.
Waktu sekolah rendah dulu, cikgu selalu pesan, kalau nak tulis karangan, dilarang menutup karangan itu dengan mengatakan isi karangan itu adalah mimpi dan tak benar-benar berlaku. Bila saya baca entri ini, baru saya faham erti pesanan cikgu saya tersebut.
)
Nota kaki:
Hakikatnya, saya ada suatu hal yang agak penting (bagi saya) mahu dibincangkan. Dan rasanya elok dibincangkan melalui emel.
Harap anta dapat hubungi emel ana selepas baca komen ini sebab ana tak jumpa alamat emel anta. Maaf.