Tamu Global Peace Mission Malaysia Dari Gaza
Posted on March 10th, 2009 in Uncategorized
Pada 28 Februari 2009 jam 10 malam, penulis bersama Syed Fuad mewakili ABIM Mesir menerima kunjungan rombongan yang dipimpin oleh Awni M. Abu Harbeid (GM Cabinet Secretariat Council of Ministers Palestinian National Authority). Rombongan seramai 8 orang itu telah pun merancang perjalanan sejak 26 Februari 2009 lagi, namun, mereka sempat terkandas di perbatasan Rafah hinggalah pada pagi Sabtu itu. Kerana mereka tidak dapat memastikan kemungkinan bukanya perbatasan oleh pemerintah Mesir maka mereka tidak sempat membuat sebarang booking di mana-mana hotel sekitar Kaherah.
Malam semakin larut menyebabkan kami mencadangkan agar mereka menginap di kawasan seksyen 10 Madinat Nasr berdekatan penempatan pelajar-pelajar Asia. Mereka bersetuju dan Alhamdulillah sebuah guesthause dapat menyediakan perkhidmatan.
Kami berdua berusaha membantu rombongan dari Gaza itu untuk menjadi tamu jemputan Global Peace Mission Malaysia. Kami mempertemukan mereka dengan pegawai kedutaan Malaysia ke Mesir sebagai maklumat awal kehadiran mereka ke Malaysia. Kami juga membantu mereka mendapatkan tiket penerbangan dari Kaherah ke Kuala Lumpur.
Selama kami bertugas melayani mereka, penulis sempat berbual dengan Awni M. Abu Harbeid yang bekerja di pejabat Ismail Haneya. Perkara utama yang sempat dibincangkan adalah isu terkini yang berlaku di sana. Awni menceritakan beberapa perkara yang menjadi bukti bahawa Kerajaan haram Israel itu memang sengaja menyerang dengan tujuan membunuh manusia. Seperti yang telah diumumkan HAMAS sebelum ini dari sudut ketenteraan jelas-jelas menunjukkan kekalahan Israel dan kemenangan HAMAS. Malangnya, Israel mencapai salah satu matlamat serangan mereka iaitu membunuh warga muslim di Palestin khususnya Gaza. Populasi adalah segala-galanya bagi rakyat Palestin saat ini. Yahudi sungguh berusaha untuk meramaikan populasi mereka ditanah rampasan mereka dan dalam masa yang sama mereka perlu dengan segera memupuskan populasi muslim yang masih menempati Palestin.
Beliau yang hanya berusia 33 tahun itu telah pun memiliki 6 orang anak. Itulah yang menjawab persoalan kami, “Mengapa umat Islam di Palestin tidak habis-habis?” Kita perlu memlahirkan generasi rabbani yang bertaqwa dan komitmen menjalankan tugas mengimarahkan bumi ini. Jika kita tidak melaksanakan hal tersebut maka mereka yang akan menggantikan kita dengan kerosakkan di atas muka bumi ini.
Menemani Awni, Yusuf S. Al-Ghuraiz yang merupakan Asisten Deputy Minister dari Ministry of Planning Palestinian National Authority. Kami banyak bersembang mengenai keadaan Gaza setelah serangan dahsyat itu. Beliau sempat mengeluarkan berbelas-belas kertas kerja yang akan dibentangkan di Kuala Lumpur nanti. Antara kertas kerja yang penulis ingat adalah : Kertas kerja mencipta peluang pekerjaan, Kertas kerja pembangunan, Kertas kerja projek perairan, kertas kerja bantuan makanan dan tempat tinggal darurat, kertas kerja laporan kerugian pasca peperangan.
Hampir dua hari penulis berkesempatan bersama-sama mereka. Kesemua mereka masih muda namun kelihatan sangat gagah dan penuh keyakinan. Mereka masih bersemangat dan sama sekali tidak ada keluhan dari mereka. Penulis tidak sempat menghafal kesemua nama-nama mereka. Antara yang sempat diingat adalah Asyraf seorang jurutera telekomunikasi, Raed M Abu Dayer sepejabat dengan Awni dan Ala’ Eldin M. El-Batta dari kementerian kesihatan.
Yusuf S. Al-Ghuraiz sempat bercerita tentang keadaan Gaza yang sebenarnya sebuah bandar yang tidak ketinggalan. Hal ini disampaikan ketika penulis menceritakan keterkejutan masyarakat tatkala melihat photo-photo dari Gaza pasca setelah serangan. Penulis menceritakan bagaimana kami membayangkan Gaza sebagai sebuah kota kecil yang jauh dari maju. Yusuf S Al-Ghuraiz menceritakan bagaimana Gaza perlu dirancang dengan sebaiknya memandangkan populasi masyarakat yang begitu banyak dan keluasan tanah yang sangat sempit. Jika dibandingkan jumlah penduduk dan keluasan kota Gaza, Gaza akan menjadi kota terpadat di dunia. Maka pemerintah Palestin perlu menjadikan perancangan bandar sebagai suatu bidang yang perlu diberi perhatian. Beliau kemudian memberitahu penulis bahawa dia sebenarnya masih lagi menuntut di bidang perancangan bandar di Universiti Kaherah. Namun, situasi Gaza yang tidak menentu dan diikuti dengan serangan membuatkan dia menghentikan pengajiannya buat sementara waktu. Awni kemudian menjelaskan bagaimana dia merancang untuk melanjutkan pelajarannya di Turki dalam bidang polisi antarabangsa. Mereka sedar bahawa peperangan memerlukan ilmu sebagai senjata utama.
Dalam kebersamaan penulis dengan mereka, penulis sempat diceritakan pengalaman-pengalaman mereka di dalam Penjara Israel dan pengalaman-pengalaman mereka dalam berperang. Mereka yang sedar bahawa serangan mungkin berlaku bila-bila masa membuatkan mereka benar-benar tawakkal dalam makna yang sebenarnya. Tidak sedikit pun ada raut putus asa apalagi takut. Keyakinan mereka begitu tinggi. Sungguh penulis melihat bakal datangnya kejayaan dan kegemilangan jika keseluruhan rakyat Palestin seperti mereka.
Awni turut menceritakan kepada penulis apa yang sebenarnya berlaku antara golongan kanan dan golongan kiri di Palestin juga apa yang terkait dengan politik dalaman Israel. Bahkan Awni berpendapat serangan yang berlaku tempoh hari adalah upaya kerajaan Israel meraih simpati rakyat Israel demi menghadapi pilihanraya di Israel. Namun, bagi pemerintah Palestin isu politik dalaman Israel tidak akan memberi kesan yang berbeza kerana siapa sahaja yang memimpin Israel tidak akan mengubah apa-apa sikap Yahudi terhadap muslim, Islam dan Palestin. Cuma, perubahan politik dalaman akan memberi kesan kepada Abu Mazin tentunya.
Penulis sepatutnya menyambut Awni dan Yusuf yang pulang dari Malaysia pada hari ini (10 Mac 2009) namun, mereka mengubah rancangan dan bertolak dari Malaysia lebih awal menuju ke Damsyiq. Semoga Allah SWT menjadikan penulis dan pembaca sekalian antara mereka yang bersemangat seperti mereka. Semangat untuk terus berusaha menjadi muslim sejati yang jauh dari dendam dan benci namun terus istiqamah dalam ikhlas dan sabar demi menegakkan panji-panji Islam. Allahu Akbar! wa lillahil hamd..

March 11th, 2009 at 7:43 pm
ni’mat brtmu org soleh , ni’mat brtmu org brtaqwa..alhmdulillah… smoga mngalir roh taqwa dan soleh mereka serta smangat mnjadi kuntum khaira ummah .. alhamdulillah..tmukan kami dgn ramai lg mujahid mujahid Mu dan sertakn lah kami dalam kelompok yg di redhaiMu