“Apakah tujuan kehadiran peserta semua ke program ini?, lalu Bagaimakah keberkesanan program ini dinilai?” tanya seorang penceramah kepada para peserta.
“Untuk mencapai objektif program iaitu menjadi insan rabbani.” jawab seorang peserta.
“Untuk mendapat kefahaman Islam yang betul dan kemudian melaksanakannya serta berusaha menuju kesempurnaan.” kata peserta lain.
Aku masih lagi berusaha mencari sisi manakah yang ingin difokus oleh penceramah. Tidakku temui.
“Baiklah, saya ingin dengar komentar yang terakhir. Kamu yang botak dan berkaca mata.” penceramah mengarahkan tangan ke arahku.
“Emm… Kita hadir di sini untuk mengambil ‘asbab’ untuk menuju sebuah perubahan.” jawabku asal-asalan.
“Semua jawapan yang diberikan tidaklah salah. Namun, saya ingin mengajak peserta untuk melihat bagaimana fikrah ini dapat dirasakan, dilihat, disentuh, dan digunakan. Inilah yang kita kenal dengan istilah ‘tajsidul fikrah’.”
Ketika kita berbincang didalam usrah tentang pandangan Islam terhadap hiburan. Apakah yang kita realisasikan sebagai solusi untuk masalah ini. Kalau dulu nasyid menjadi sebuah hiburan alternatif yang Islami, namun hari ini nasyid bukan lagi menjadi alternatif akan tetapi lebih menyerupai lagu-lagu biasa tanpa nilai tambah.
Ketika kita sibuk memikirkan akan teruknya pergaulan bebas dan banyaknya anak luar nikah, namun apakah yang kita laksanakan sebagai penyelesai masalah ini.
Ketika kita sibuk mengutarakan akan haramnya hukum pelaburan di Internet, namun apakah alternatif pelaburan yang halal di sisi Islam.
Ketika kita kecewa dengan kualiti pendidikan, apakah sumbangan kita untuk memartabatkan guru dan mencemerlangkan pelajar.
Usaha melahirkan badan yang sesuai dengan buah fikiran kita inilah yang lebih penting dari sekadar membincangkannya selama bertahun-tahun tanpa sebarang hasil.
“Maka, program ini dianggap berhasil jika pesertanya mampu membuatkan masyarakat selesa dan mendapat manfaat ketika mereka kembali berkhidmat kepada mereka.” Penceramah menyimpulkan gagasannya.






