Sikap Terhadap Keilmuan
Posted on November 8th, 2009 in Fikir, Sikap
Masyarakat Islam di Malaysia akhir-akhir ini dikejutkan dengan sebuah kejadian bersejarah. Seorang bekas mufti ditahan oleh sebuah jabatan agama negeri. Katanya, penahanan adalah kerana beliau tidak mendapatkan tauliah dari jabatan tersebut.
Isu ini mengundang begitu banyak komentar. Bahkan isu ini juga menjadi bahan atau alat oleh golongan tertentu untuk menjayakan usaha mereka. Kita serahkan sahaja semua itu kepada Allah SWT.
Kehadiran sosok Mohd Asri Zainul Abidin ke Malaysia telah membawa sebuah arus yang baru. Arus ini menjadi besar dan mendapat perhatian masyarakat dengan serius ketika beliau menjawat sebagai mufti di Negeri Perlis.
Kehadiran beliau disambut dengan begitu banyak tindak balas entah itu bersifat mendukung atau pun membangkang. Bahkan gerakan beliau sering kali dikaitkan dengan gerakkan Wahabi atau Salafi.
Penulis tidak bercadang untuk membahas hal-hal berkaitan beliau kerana semamangnya penulis tidaklah mengikuti setiap yang berlaku ke atas beliau. Tidak pula mengikuti setiap tulisan dan ceramah beliau.
Apa yang ingin penulis ketengahkan adalah bagaimana kita merespon sesuatu terutama di dalam hal-hal yang berkaitan dengan agama. Penulis sering kali mendengar orang-orang disekeliling penulis berkata tentang pengecualian bahagian dari keilmuan islam untuk diketahui oleh masyarakat awam. Mereka berkata sebagai salah satu contoh, “hal ini tidak perlu diberi tahu kepada masyarakat kerana akan menimbulkan banyak persoalan..” atau seperti, “buat apa isu ini dibahas masyarakat kitakan dah sebati dengan hal yang sebegini..”
Penulis bukanlah pengkaji atau pun pakar dalam bidang berkaitan sosiologi atau keagamaan. Tetapi apa yang penulis tahu bahawa Islam mewariskan sebuah khazanah ilmu dan disiplin ilmu dalam setiap cabang-cabangnya yang sangat melimpah ruah. Kajian ulama terdahulu terhadap teks Al-Quran yang bersifat maftuh (maftuh : terbuka, atau relevan sejak ia diturunkan sehingga akhir usia bumi) dan Sunnah Nabawiyyah menjadikan ulama-ulama terdahulu berijtihad dan memberi fatwa atas banyak hal-hal semasa mereka. Kajian-kajian menjadi bekal yang sangat-sangat berharga bagi umat Islam di zaman ini dan di zaman akan datang. Malangnya, kegairahan umat Islam bangkit dari keterpurukkan yang multidimensi membuatkan masyarakat Islam hari ini meninggalkan sebahagian besar atau malah keseluruhan dari khazanah ini. Lahirlah generasi yang hanya menerapkan Islam atas dasar ikut (taqlid). Jika ditanya mereka mengapa mereka lakukan ini dan itu mereka menjawap kerana kami melihat nenek moyang kami melakukan seperti ini.
Hal ini sebenarnya sangat diperangi oleh Islam. Islam mewajibkan seluruh manusia untuk membaca (Iqra’, yang kemudian diartikan sebagai belajar, mengkaji dan sebagainya) agar manusia yang dibebankan tugas bertanggungjawab sepenuhnya atas segala perlakukan yang dilakukan selama dia hidup.
Masyarakat Islam di belahan bumi mana saja pada zaman ini tidak lagi menganggap perihal mengkaji khazanah keilmuan Islam sebagai suatu yang utama. Bahkan, tidak sedikit dari mereka yang menganggap bahawa kajian-kajian itu akan membuang banyak masa dan tenaga. Namun kesan dari sedikitnya ilmu, pada akhirnya membuatkan masyarakat Islam bingung dan cemas ketika dihadapkan dengan permasalahan yang memerlukan bekal maklumat dari khazanah Islam yang ditinggalkan tadi. Akhirnya masyarakat hanya mencuba nasib, jika beruntung, Islam selamat dan jika tidak, beruntung Islam tergadai.
Melihat realiti masyarakat seperti ini gerakkan ilmu perlu digoncangkan di dalam masyarakat. Masyarakat perlu menyedari bahawa mereka tidak lagi boleh bergantung harap kepada pendapat orang lain dalam tindakkan sendiri. Tindakkan sendiri perlulah berlandaskan fahaman diri yang jelas dan mantap. Maka, mahu tidak mahu, suka tidak suka, masyarakat perlu dipalingkan kepada sebuah perkara besar iaitu khazanah keilmuan Islam.
Ilmu dalam Islam tentunya bersumberkan kepada Al-Quran sebagai nas maftuh yang layak dikaji dan dipelajari setiap saat. Memahami Al-Quran perlu didampingin As-Sunnah yang mengandung aspek sejarah dan penerangan dari Al-Quran. As-Sunnah berada ditahap kedua setelah Al-Quran.
Sifat nas Al-Quran yang bersifat maftuh membolehkan seseorang untuk menafsirkannya berpandukan disiplin-disiplin ilmu seperti penguasaan bahasa Arab dan segala cabang ilmunya, menguasai ilmu-ilmu tentang qiraat dan asbab nuzulnya dan lain sebagainya. Dengan demikian penafsiran seseorang amat sangat terdedah kepada kebenaran dan kesalahan. Jika dalam memahami Al-Quran sahaja halnya demikian maka tidak berbeza hal dalam memahami sunnah, fikah dan semua cabang ilmu Islam lainnya.
Imam As-Syafie sendiri pernah berkata, “Pendapatku benar condong kepada salah, dan pendapat selainku salah condong kepada benar..” Itulah hakikatnya manusia.
Berkait dengan fenomena Ust Asri, penulis perlu mengakui bahawa Ust Asri telah banyak berjasa mengajak masyarakat Malaysia yang dulu tidak concern akan perihal agama menjadi sangat concern. Tanpa perlu mempertikaikan pendapat beliau yang penulis yakin pasti sentiasa terdedah kepada silap dan salah seperti juga terdedahnya pendapat siapa saja. Apa yang penulis kecewakan adalah bagaimana tindak balas bagi mereka yang tidak setuju dengan beliau. Pada hemah penulis, dikarenakan beliau membawa gerakkan yang beliau namakan tajdid dalam agama melalui saluran keilmuan, maka adalah sepatutnya dan sewajarnya bagi mereka yang tidak bersetuju atau memiliki pendapat lain untuk turut menggunakan saluran yang sama iaitu saluran kelimuan.
Kita sudah perlu menyedari bahawa kita adalah manusia yang Allah SWT karuniakan akal. Betul akal manusia sangat terdedah kepada kesalahan, tetapi akal inilah sebenarnya menjadi ciri khas yang membezakan manusia dengan makhluk lain. Ini kerana akal menjadikan manusia bertanggung jawap atas segala sikap dan tindakan. Maka, menggunakan saluran keilmuan adalah satu-satunya penyelesaian bagi konflik yang melanda ini. Benarlah kata-kata yang berbunyi, “jika kalian berselisih maka kembalilah kepada Al-Quran”. Mengapa? Kerana Al-Quran merupakan sumber utama keilmuan dalam Islam.
Jika Ust Asri berpendirian mengatakan suatu perkara adalah bid’ah dengan menghadirkan hujah-hujah yang beliau pegang. Maka, adalah sangat-sangat wajar bagi mereka yang tidak bersetuju mengatakan pendapat mereka dengan menghadirkan hujah-hujah mereka. Dengan demikian masyarakat telah dihulurkan dengan maklumat yang jelas dari setiap ulama yang ada di negara kita. Hal ini tentunya akan membantu masyarakat untuk bersikap dan bertindak dan memilih dari semua pendapat yang menurut mereka lebih baik dan lebih tepat. Barulah suasana keislaman berlandaskan faham dan bukan taqlid.
Umat Islam perlu berjiwa besar. Berjiwa besar untuk mampu menerima pendapat mereka yang tidak sama dengan kita. Berjiwa besar untuk menerima kesan dari perjalanan proses mendewasakan masyarakat dengan ilmu. Jangan kecil hati jika mereka tidak sependapat dengan kita. Dan jangan berkecil hati jika ada yang meninggalkan kita dan memilih pendapat selain kita. Bukankah kita hanya berusaha atas apa yang kita yakini dan kita fahami? Serahkanlah segalanya kepada Allah.
Pada akhirnya penulis ingin mengajak diri penulis dan semua pembaca tulisan ini agar kita mengingatkan diri kita bahawa kita bukan sahaja ditugaskan sebagai khalifah yang diantara tugasnya adalah menyeru kepada Allah, akan tetapi kita juga adalah madh’u (orang yang diseru kepada Allah). Jika kita adalah dai (yang menyeru) dan pada masa yang sama kita juga madh’u (orang yang diseru kepada Allah) maka adalah selayaknya bagi kita untuk menerima pandangan orang lain. Jangan hanya mahu menasihati tetapi kita juga perlu menerima nasihat orang lain. Kita tidak selamanya betul dan orang lain tidak selamanya salah. Rasulullah SAW saja mendapat nasihat dan teguran dari Allah. Inikan lagi kita yang tidak ma’shum. Carilah orang yang mahu menegur kita, dan menegur kelompok kita, siapa tahu dengan teguran itu kita akan lebih dekat kepada yang Maha Esa. Apa yang pasti kita semua akan menuju kepada Allah.



Leave a Comment