Semantap Manakah Iman anda?

Posted on June 11th, 2010 in Agama, Motivasi

Iman adalah satu aspek terpenting dalam diri seorang muslim. Semakin mantap iman maka akan semakin mantap juga segala yang terpancar darinya. Islam mengajar umatnya bahawa setiap tingkah laku perlu bersandarkan kepada iman. Maka pancaran iman yang hebat akan terpantul pada kelakuan dan tingkah laku yang hebat pula. Tetapi tidak sebaliknya. Bukan setiap kelakuan dan tingkahlaku yang kelihatan hebat sebenarnya benar-benar hebat. Kerana suatu yang hebat secara fizikal akan belum mencapai kehebatan tertinggi bila belum didukung dengan kekuatan yang Maha Hebat. Dukungan dari kekuatan yang Maha Hebat inilah yang kita sebut dengan keimanan.

Keimanan bermula dengan mempercayai Allah dan segala kekuatanNya. Bermula pada titik inilah mengalir ilmu yang tiada batas. Bagaimana mungkin kita membatasi suatu yang sememangnya tidak berbatas. Allahhu Akbar! Teramat sangat besar untuk mampu dibatas. Mengetahui Allah Maha segala maha tidak sama dengan mempercayai bahawa Allah maha segala Maha. Mempercayai Allah Maha segala Maha tidak sama dengan mengimani bahawa Allah maha segala maha.

Mereka yang mengimani akan ke Mahaan Allah akan menggantungkan dirinya kepada Allah atas desakan iman itu. Mereka yang sekedar percaya pula tidak terdesak oleh apa-apa kerana kepercayaan masih memberi ruang bagi dia untuk memilih sama ada mahu menggantungkan diri atau pun tidak. Mereka yang hanya mengetahui bahawa Allah maha berkuasa belum meletakkan apa-apa kesan disebalik pengetahuannya itu. Ia tidak berbeza dari mereka yang menerima sesuatu hanya sebagai maklumat. Teori. Mungkin benar atau mungkin juga salah. Golongan ini sangat mudah terpengaruh kerana pengetahuan mereka sekedar pengetahuan yang tidak memberikan keteguhan. Tidaklah menghairankan jiga golongan ini lebih berminat untuk menggantungkan diri kepada bomoh dan jin sebagai contoh.

Bicara mengenai pemantapan, maka kita memahami bahawa ia adalah usaha untuk mengubah dari titik sekedar tahu menjadi percaya lalu sampai kepada mengimani. Untuk meraih pengetahuan sentuhan yang digunakan adalah penyaluran maklumat. Untuk meraih percaya pula sentuhan ‘mengalami’ dan ‘menikmati’ perlu diterapkan. Keimanan pula hanya akan timbul apabila kepercayaan yang teguh itu dizahirkan dalam sebuah perjuangan melahirkan ‘tingkahlaku’ dan ‘tindakan’.

Adakah anda percaya jika dengan berzikir (mengingati Allah dengan melafazkan zikir atau mendirikan solat) dapat menenangkan hati anda?

Sebahagian orang mungkin mengetahui hal ini dari kata orang.

Sebahagian orang lagi percaya perkara ini kerana dia sendiri telah mengalami.

Mereka yang mengimani akan hal ini tidak akan pernah renggang dari zikir kerana hilangnya zikir adalah suatu ketidaktenangan bagi dirinya. Maka dia berjuang mempertahankan zikir agar sentiasa berada dalam dirinya walau dalam apa juga keadaan.

Tahapan dalam hal ini tidak habis disini. Keimanan sentiasa akan diuji kerana manusia beredar seiring dengan waktu. ‘Sunnatullah’ bakal mempertemukan manusia dengan seribu satu keadaan, suasana bahkan turut juga dihadapkan kepada konflik-konflik yang menguji keimanan. Mereka yang bijak memperteguhkan keimanan itu lalu mengisinya dalam segenap rongga tubuh, kemudian memanfaatkan tubuh untuk bergerak dalam penzahiran ibadah samaada ritual atau pun non ritual akan mula melangkah naik anak-anak tangga Ihsan.

Ihsan adalah keadaan di mana sang hamba sedar bahawa Allah SWT sedang mengamati persembahannya dan sang hamba itu pula sedar bahawa dia benar-benar perlu untuk bersungguh-sungguh mempersembahkan yang terbaik kepada Allah SWT. Beribadat seperti sedang melihat Allah atau seperti sedang dilihat oleh Allah SWT.

Pengalaman bersama sahabat-sahabat dari Jabatan Jururawat Universiti Darul Iman selama tiga hari dua malam di Pusat Pemantapan Akidah JAKIM yang berlokasi di Jelebu Negeri Sembilan adalah pengalaman yang sangat menarik. Sabagai fasilitator, perubahan pada diri sahabat-sahabat mula terpancar. Tentunya kadar perubahan itu pelbagai bagi masing-masing individu. Namun, apa yang perlu sahabat-sahabat ketahui adalah iman akan mantap apabila ia diteguhkan dengan kelakukan dan tindakkan. Iman tidak pernah akan mantap jika ‘kepercayaan’ atau ‘keimanan’ cuma diletakkan dalam kotak minda sahaja. Iman perlu dibiarkan mengalir seperti mengalirnya darah di dalam tubuh.

Bagaimana caranya?

Caranya tidak susah. Musuhi syaitan dan hawa nafsu. Taati Allah pada segala perintah dan larangannya. Tiada jalan selain itu. Jalan yang perlu sama-sama kita tempuh. Jalan yang telah ditempuh dengan jayanya oleh orang-orang sebelum kita dari mereka yang diberi nikmat.

Semoga pengalaman berharga ini tidak dibiarkan begitu sahaja. Sudah seyugiyanya pengalaman berharga ini menjadi titik mula sebuah perjalanan panjang dalam usaha menghampirkan diri kepada sebuah titik kesempurnaan dalam mempersembahkan kehidupan penuh erti dan nilai kepada Allah SWT. Selamat berjuang sahabat-sahabat. Bersabarlah mengisi minda dengan maklumat-maklumat berharga tentang Islam dan segala khazanahnya. Bersabarlah untuk menempuh proses agar mencapai percaya. Bersabarlah dalam mempertahankan kepercayaan sambil gigih memperteguhkannya agar meraih keimanan. Bersabarlah dalam berjuang menjunjung keimanan dalam menaiki anak-anak tangga ihsan.

Doaku agar kalian dapat menjadi jururawat yang cemerlang di sisi Allah. Amin.

Published by taqeyyabella

Leave a Comment

Feel free to share you opinion with me
  • Calendar

    September 2010
    M T W T F S S
    « Jul    
     12345
    6789101112
    13141516171819
    20212223242526
    27282930  
  • Tentang Penulis

    Graduan dari Fakulti Bahasa Arab Universiti Al-Azhar Asy-Syarif Mesir (2005-2009). Pernah mengabdi sebagai guru di Darussalam Gontor selama setahaun (2004). Mendapatkan pendidikan menengah di Kulliyyatul Mu'allimin Al-Islamiyyah, Darussalam Gontor Ponorogo Indonesia (1998-2003). Pendidikan rendah di Sekolah Islam Al-Amin Serdang dan Bangi (1991-1997). Pelajar Tadika An-Nur Serdang (1990). Kini bergiat dalam usaha pertanian fertigasi dan berusaha menulis buku. Bercadang untuk meneruskan pengajian di Bidang Bahasa Al-Quran. Semoga segalanya dipermudahkan. Amin.
  • Taqeyyabella’s heartbeat

    Berjalan menuju ABADI berbekalkan TAQWA, menciptakan TAKUT pada yang MAHA KUASA, menimbulkan MALU sesama MANUSIA, menghadirkan KASIH pada ALAM SEMESTA.
  • Sapaan Mesra

  • Archives