Alhamdulillahirabbil alamin.. Puji dan puja syukur marilah kita panjatkan kepada Allah Rabbul Jalil yang dengan rahmat dan inayahNya, kita masih lagi menikmati nikmatnya hidup merdeka. Alangkah besarnya nikmat iman ini dimana kita bebas untuk memilih dan menentukan kepercayaan kita. Bahkan kita diberi sepenuhnya hak untuk melaksanakan ibadah kita. Masjid dan surau di sana sini terbina, laungan azan dikumandangkan dengan suka, tanpa ada yang merasa resah dengannya.
Kesyukuran demi kesyukuran haruslah terus dipanjatkan, hari ini telah banyak didirikan sekolah-sekolah Islam, tempat-tempat pengajian, kelas-kelas agama, pusat pemulihan Islam dan pelbagai lagi keperluan masyarakat terpenuhi.

Kesyukuran ini perlulah diterjemahkan ke dalam sebuah pelaksanaan yang nyata. Institusi Masjid yang telah berdiri kokoh secara fizikal, perlu juga diperkokoh dari segi fungsi dan peranannya. Mensyukuri masjid dengan menyemarakkannya dengan solat fardhu berjemaah dan menjadikan pusat evaluasi masyarakat setiap minggu, bulan dan tahun adalah lebih penting dari sekadar mensyukurinya secara omong kosong.
Kesyukuran kita juga perlulah diterjemahkan dengan memperbaiki institusi-institusi pendidikan Islam kita yang sedia ada, dengan melangkahkan setapak lebih maju dari sekedar menjadi pusat transaksi maklumat ke sebuah pusat membentuk peribadi berqualiti. Istitusi pendidikan Islam seharusnya sudah mampu untuk menerapkan Islam bukan sekedar menjadi maklumat ilmu agama akan tetapi menerapkannya hingga sebati dengan jiwa, fikiran dan tingkah laku setiap anak didik institusi tersebut.
Syukur yang lebih besar lagi perlu diterjemahkan ketika pemimpin negara kita telah mengklaim bahwa Malaysia merupakan sebuah negara Islam. Amat duka cita ketika ramai yang menyangkal bahwa Malaysia bukanlah negara Islam. Ketika Malaysia mensyahadatkan diri sebagai sebuah negara Islam, seharusnya masyarakat mengerti dan bersyukur dengan terus mengejar peluang yang terbuka luas akibat dari syahadat itu tadi. Peruntukkan yang khusus untuk pembangunan Masjid, pusat pendidikan dan segala yang berkaitan dengan agama Islam merupakan hal yang perlu disyukuri dengan ditindak lanjuti dengan profesional. Mengeluh dan menolak syahadat tersebut dengan alasan Malaysia belum melaksanakan hukum hudud dan belum menjalankan syariat Islam secara maksimal tidak akan mendatangkan apa-apa faedah kepada Islam dan umat Islam di Malaysia.
Persoalan kini timbul apabila masyarakat Malaysia yang majoriti Islam menolak cara hidup yang Islami, mengapa hal ini terjadi?
Kesan penjajahan ternyata masih lagi hingga saat ini membekas di tengah-tengah masyarakat kita. Masyarakat kita terlihat sangat selesa dengan dendangan lagu-lagu asing yang secara tidak langsung mempengaruhi cara berfikir, cara bergaul, cara hidup bahkan cara berpakaian. Budaya hidup senang, berfikiran simpel dan mengetepikan agama ternyata tertanam sangat dalam di hati sebahagian besar masyarakat Islam kita. Ironisnya lagi, sikap demikian tidak pula dicegah oleh golongan yang mempunyai sedikit kefahaman mengenai permasalahan ini. Hasilnya luka kecil ini semakin hari menjadi kian parah bahkan kini telah pun bernanah.
Kemana hilangnya Islam dari masyarakat Islam Malaysia di saat mereka di uji dengan sedikit kemewahan duniawi?Â
Perubahan tidak akan berlaku dengan tiba-tiba. Jatuhnya sehelai daun dari tangkainya saja terjadi kerana musabab, inikan pula perubahan cara hidup dan cara fikir.
Penjajahan yang bermula dari merosakkan dan menghancurkan sistem kenegaraan dan tatanan kehidupan Islam lalu  berkembang dengan penanaman nilai dan norma penjajah menghasilkan sebuah penjajahan berbajukan Kemerdekaan. Merdeka kerana tanah tidak lagi dikuasai penjajah akan tetapi terjajah dengan nilai-nilai dan norma-norma asing yang mendarah daging di dalam masyarakat.
Ketika Islam melebarkan sayap kedaulatan dari tanah suci Madinah, usaha itu tidak diistilahkan dengan penjajahan akan tetapi Allah SWT menamakannya dengan Pembukaan (futuh@fath). Ini kerana umat Islam menghancurkan sistem yang rosak kemudian membimbing masyarakat dengan mengembangkan nilai-nilai dan norma-norma secara fitrah. Fitrah tersebutlah yang bermuara kepada penerimaan konsep ketuhanan yang maha Esa dan pelaksanan rukun Islam dan Iman.
Mengatur langkah memerdekakan diri
Dengan demikian, kesyukuran yang agung sempena ulang tahun yang ke 50 ini, perlulah benar-benar diterjemahkan ke dalam sebuah perlaksanaan yang terkonsep dan terperinci demi mencapai sebuah negara Islam yang ISMAN wa MA’NAN . Membinaan sistem secara kuku besi haruslah seiring dengan perkembangan pahaman Aqidah yang benar dalam setiap individu masyarakat sehingga tidak terjadi shock yang berakibat fatal. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Namun perubahan yang kita cita-citakan ini tentunya akan menjadi realiti jika mulai saat ini kita mulakan dengan hal yang sangat kecil dan sederhana, kita mulai dari diri kita sendiri di ikuti dengan keluarga kita dan akhirnya masyarakat, dan di mulai dari saat ini.
Merdekakan diri dan Jiwa anda !!!
Selamat Hari Merdeka yang ke 50 !!!
Malaysiaku Gemilang dengan Islam !!!






