Selamat Datang April, May dan June yang melelahkan…

Posted on April 5th, 2007 in Uncategorized

“Bila peperiksaan?” tanya seorang murid yang duduk dibucu kanan dewan kepada guru sharaf yang baru sahaja membuka sesi soal jawab tanda usai sudah sesi pelajaran hari ini.

Pensyarah yang kacak ini sepertinya berketurunan Syiria, memang agak berbeza raut wajah mereka dengan penduduk tempatan. Beliau tidak menjawab soalan tadi akan tetapi mula bercerita.

Suatu hari Rasulullah SAW didatangi oleh seorang sahabat yang bertanya “Bilakah hari kiamat itu akan tiba?” Rasulullah SAW menjawab, Ketibaannya pasti, tak diragukan namun apakah persediaan anda untuk menghadapinya.

“Peperiksaan itu pasti akan tiba namun bagaimanakah persediaan anda menghadapinya?” jawab beliau dengan suku kata terakhir sengaja dipanjangkan sehingga menjadi satu irama yang susah untuk dilupakan seakan-akan beliau meng-mad arid lissukun-kan suku kata tersebut.

Ya, peperiksaan di depan pintu. Hari ini adalah hari ke 5 dari bulan April. Ya Allah cepatnya masa berlalu. Menurut sumber yang paling boleh di percaya peperiksaan akan dimulakan pada minggu ke3 dari bulan May. Ini bermakna kami hanya memiliki sebulan setengah sebelum peperangan itu tiba.

Semester ini aku diberi peluang untuk menguasai 9 mata pelajaran. Ini bermakna aku akan berperang selama 4 minggu kerana dalam seminggu biasanya hanya ada 2 paper paling banyak pun tiga.

Mata pelajaran yang harus dikuasai :

1. Al-Qur’an

Mata pelajaran Al-Qur’an adalah matapelajaran bonus sebenarnya. Kita hanya perlu menghafal. Jumlahnya juga tidak banyak hanya 4 juz bagi kami pelajar bukan arab sedangkan 15 juz bagi pelajar yang berbangsa arab. Akan tetapi ianya menjadi musibah jika kita gagal untuk menghafalnya.Hingga saat ini aku baru menghafal 3 juz itu pun masih tersangkut-sangkut, kadang sini ia bermula sana pula hujungnya. Mampukah aku mengejar ke akhir juz empat dalam tempoh sebulan yang tersisa ini.

2. Balaghah

Mata pelajaran ini adalah mata pelajaran asas di fakulti Bahasa Arab. Setiap tahun akan bertemu dengan mata pelajaran ini. Buku yang ditetapkan adalah karangan Dr. Basyuni Abdul Fattah Fayyud bertajuk Ilmul Maani Dirasah balaghiyyah wan naqdiyyah li masailil ma’ani. Mata pelajaran ini diajar oleh dua orang pensyarah yang berbeza namun kedua-duanya berjaya membuatkan kami semakin cinta terhadap Bahasa Arab dan Bahasa Al-Quran ini.

3. Nahu

Nahu juga merupakan mata pelajaran asas yang akan kami temui setiap tahun. Buku yang ditetapkan adalah Audohul masalik ila alfiyyah Ibn Malik, tahun ini kami perlu menghadhom juz 2 yang berbicara tentang : Fa’il, Na’ibul Fail, Maf’ul, Hal, Mudhof dan yang berkaitan dengannya. Kendala dalam menguasai mata pelajaran ini adalah ketika kita dikehendaki untuk menyertakan sesuatu perkara yang kita sampaikan berdasarkan ’syahid’ atau bukti dari syair-syair yang menguatkan pendapat kita.

4. Soraf

Soraf kali ini berfokus pada asma’ (nama). Bermula dari abniah (kerangka) atau awzan, pembahagian nama kepada Jamid dan Musytaq, muzakkar dan muannas, kemudian pecahan asma’ ke shahih, shabihun bisshohih, manqus, mamdud, dan maqsur, hinggalah pembahasan ke bentuk mutsanna dan jama’. Buku yang ditetapkan adalah karangan bersama Dr Amir As Sa’id Abdu Rabbih dan Dr Ahmad Najib Abdul Wahhab dengan tajuk Tashriful Asma’

5. Nushus Adabiyyah

Mata pelajaran ini adalah diantara mata pelajaran yang amat digeruni selain balagah dan nahu. Ini kerana kita dituntut untuk menguasai suatu nash yang diberikan, dimana kita perlu mengetahui aspek-aspek keindahan dan kecelaan yang terdapat didalamnya. Kita juga perlu membahas setiap yang terkandung dari sisi nahu, soraf, balaghah bahkan wacana am yang terkandung dalam suatu nash. Sasaran utama dari mata pelajaran ini adalah kemampuan murid untuk merasakan atau tazawwuq dalam bahasa. Hal ini memang sangat susah dan memerlukan proses yang sangat panjang dan menyeksakan. Tidaklah pelik seandainya kita diberikan ratusan bait syair dan puluhan baris sajak untuk dihafal nashnya dan dikuasai tahlilnya. Kali ini kami diberi peluang untuk menguasai nash-nash zaman Shadrul Islam (bermula dari turunnya wahyu hinggalah ke akhir khilafah sayyidina Ali Ra) dan nash-nash zaman umawi (sepanjang tempoh pemerintahan keluarga umawiyyah). Buku yang ditetapkan :

i. Fi Adabil Islami, Tarikh wa Tazawwuq. Karangan Dr. Kamal Abdul Baqi Lasyin.

ii. Qithafun min tsimaril adabil umawiy. Karangan Dr. Syafiq Abdur Raziq Abu Sa’adah.

6. Tafsir

Tafsir merupakan pelajaran yang sangat penting bagi kami, walaupun ianya bukanlah tumpuan pengajian kami, kerana difakulti bahasa tentunya aspek bahasa lebih diutamakan kerana tumpuan mata pelajaran tafsir telah difokuskan bagi mereka yang memilih jurusan Usuluddin qismuttafsir. Namun secara peribadi, tujuan memilih kuliah lughoh adalah untuk menguasai bahasa arab yang dipercayai sebagai kunci segala ilmu.

Semester ini, pengajian tafsir tertumpu kepada beberapa ayat dari surah ‘Araf, Anfal, Taubah, Yunus, Hud, Ra’d, Ibrahim dan beberapa surah lainnya dengan menggunakan tafsir Imam fakhrurrazi, Muhararul Wajiz li Ibn Atiyyah, Tafsir Wasith, Ibn Kasir, Imam Syaukani, Syiekh Al Qosimi dan Imam Alusi yang telah dikompile oleh Jabatan Tafsir Universti Al-Azhar.

7. Auzanul Syi’ri

Mata pelajaran ini adalah mata pelajaran yang tidak akan dipelajari oleh mereka di fakulti lain. Syair arab tidak akan keluar dari beberapa auzan (rangka atau corak) yang telah ditemukan oleh ulama terdahulu. Ketika suatu syair itu keluar dari rangka yang telah terbentuk secara semula jadi ini maka syair tersebut akan jatuh ke tahap yang dicela. Amatlah susah untuk memiliki telinga yang peka terhadap irama yang sangat indah ini. Kadang menguasai dan memiliki telinga yang peka terhadap irama menjadi hal yang mustahil bagi kami.

Ada yang mengatakan rentak yang menjadi rangka syair, yang hari ini dikenal sebagai buhurussyi’ri ini, adalah ilham dari irama rentak hentakan kaki unta ketika mereka bermusafir. Syair pada zaman dahulu adalah ilmu yang terpenting bagi orang arab kerana dari situlah satu-satunya sumber ilmu yang mereka miliki. Bahkan ketika mereka membahaskan sesuatu yang tidak dipahami dalam Al-Quran mereka akan merujuk ke syair-syair mereka yang terdahulu.

Buku yang ditetapkan bagi mata pelajaran ini adalah ‘udun ‘ala badain durusun fi iqoissyi’ri karangan Dr Syafiq Abdur Raziq Abu Sa’adah.

8 . Tarikh Alam Al-Islamiy

Mata pelajaran Tarikh Alam Islami (Sejarah Islam) adalah antara pelajaran yang paling melelahkan. Sebagaimana layaknya buku sejarah ianya berisikan cerita yang panjang dan nama-nama yang hampir sama serta tarikh-tarikh yang selalu mengelirukan yang menjadikan pelajaran ini sangat melelahkan. Kepentingan mata pelajaran ini tidak kita mungkiri namun menghadapinya, Allah sahajalah yang tahu.

Buku yang ditetapkan untuk mata pelajaran ini adalah :

i. Muhadarat fi Tarikhid Daulatil Umawiyyah (41-132H/661-750M) karangan Dr. Fathi Sayyid Ied Arafat.

ii. Fi Tarikhid Daulah Bani Abbas karangan Dr. Muhammad Ahmad Mahmud Hasbullah.

9. Qo’atul Bahsi

Mata pelajaran ini adalah mata pelajaran tahunan yang akan kami ikuti sehinggalah tamat pengajian di fakulti ini. Mata pelajaran yang melatih kita membuat kertas kerja atau kajian tentang suatu tajuk ini seringkali menyediakan sebuah tugas sebagai syarat untuk lulus mata pelajaran ini. Kali ini kita diberi kebebasan untuk menulis tentang apa saja judul dari Ilmul Ashwat (ilmu suara).

Makharijul Huruf adalah pilihanku tahun ini, walaupun sepertinya tajuk ini tidaklah sepopular tajuk-tajuk yang lain, namun ianya sangat menarik untuk dikaji kembali. Antara sebab mengapa tajuk ini yang dipilih adalah kerana mudahnya bahan rujukan yang dapat diperolehi jika dibanding dengan judul-judul seperti menulis tentang seseorang ulama (syirah zatiyyah) yang telah menyumbang bagi ilmu Ashwat ini.

Mata pelajaran Qo’ah bahas kali ini banyak membincangkan tentang perubahan-perubahan dalam bahasa dan juga loghat-loghat fushah yang tidak banyak diketahui oleh orang awam. Seperti mana Al-Quran dapat dibaca dengan 7 macam cara baca yang sebenarnya sesuai dengan 7 loghat kaum arab yang ada pada zaman itu bahkan hingga hari ini. Buku yang ditetapkan adalah karangan Dr. Amin Muhammad Fakhir yang bertajuk Dirasat Lughowiyyah Fi Shahabiy-Khasais-Mazhar.

Sebagai seorang pejuang, sangat aku sedari bahwa aku akan menghadapi hari-hari yang melelahkan. Hari-hari yang penuh cabaran. Kepenatan dan kepayahan akan aku pilih sebagai alasan untuk meraih kejayaan. Tidak mungkin sebuah kemenangan dalam pertempuran dahsyat dapat dikecapi dengan tidur lena dan perut kenyang. Selamat datang April, May dan June yang melelahkan. Aku akan berusaha untuk bersedia menghadapimu walau darah adalah mahar yang engkau tetapkan. Wahai April, May dan June kalianlah penentu tempatku pada tahun akan datang. Sungguh aku tidak sanggup mengulang maka sebutkanlah apa saja syarat agar tahun depan aku menduduki tahun ke3 dalam pengajianku ini.

Allahumma la sahla illa maja’altahu sahla wa anta taj’alul huzna iza syi’ta sahla… Selamat Berjuang !!!!

Published by taqeyyabella

Leave a Comment

Feel free to share you opinion with me
  • Calendar

    September 2010
    M T W T F S S
    « Jul    
     12345
    6789101112
    13141516171819
    20212223242526
    27282930  
  • Tentang Penulis

    Graduan dari Fakulti Bahasa Arab Universiti Al-Azhar Asy-Syarif Mesir (2005-2009). Pernah mengabdi sebagai guru di Darussalam Gontor selama setahaun (2004). Mendapatkan pendidikan menengah di Kulliyyatul Mu'allimin Al-Islamiyyah, Darussalam Gontor Ponorogo Indonesia (1998-2003). Pendidikan rendah di Sekolah Islam Al-Amin Serdang dan Bangi (1991-1997). Pelajar Tadika An-Nur Serdang (1990). Kini bergiat dalam usaha pertanian fertigasi dan berusaha menulis buku. Bercadang untuk meneruskan pengajian di Bidang Bahasa Al-Quran. Semoga segalanya dipermudahkan. Amin.
  • Taqeyyabella’s heartbeat

    Berjalan menuju ABADI berbekalkan TAQWA, menciptakan TAKUT pada yang MAHA KUASA, menimbulkan MALU sesama MANUSIA, menghadirkan KASIH pada ALAM SEMESTA.
  • Sapaan Mesra

  • Archives