Sejarah Perkembangan Sastra Arab
Posted on January 5th, 2008 in Uncategorized
Alhamdulillah, hari ini dengan izin yang Maha Esa, satu peperiksaan telah selesai dihadapi. Mata pelajarannya, Sejarah Perkembangan Sastra Arab Era Daulah Abbasiah dan Mamalik. Sebuah mata pelajaran yang asyik namun boleh tahan melelahkan. Soalan yang diberikan tidaklah begitu susah namun malangnya jawapan yang mampu diberikan tidak mampu membuatkan saya tersenyum di saat melangkahkan kaki keluar dari ruangan peperiksaan itu. Minda yang tidak tersusun, maklumat yang berterabur membuatkan keresahan saya makin bertambah. Apalagi soalan-soalan yang diberikan tidaklah susah. Susah untuk mengungkapkan betapa beratnya tekanan yang dihadapi tadi. Andai kita gagal kerana tidak tahu lain ceritanya, tapi semuanya sudah pun kita beri perhatian namun ketika ia diperlukan kita gagal menyerahkannya. Tidak ada yang bermain diminda melainkan menyedari betapa banyaknya dosa dan betapa jauhnya diri dengan yang Maha Esa. Dzolamtu nafsi faghfirli ya rabb!!!
Mata pelajaran ini memberi penekanan kepada aspek-aspek penting yang telah dicatatkan sejarah dalam perkembangan Bahasa Arab dan khazanah sastranya yang begitu banyak. Kemajuan dan kemunduran yang berlaku akibat dari keadaan politik, keadaan masyarakat, dan lingkungan.
Ketika bendera Islam dikibarkan di negara-negara sekitar jazirah Arab. Mereka membawa bersama khazanah ketamadunan dan bahasa bersama-sama mereka. Khazanah tersebut bahkan diserap oleh masyarakat sehingga lahirlah bangsa qibti, parsi, roma dan sebagainya yang berdarah Arab. Darah Arab pada bahasa dan tutur katanya. Arab pada wawasan kesastraannya.
Tentunya pertembungan antara khazanah sastra Arab yang tulen dan khazanah bangsa-bangsa lain itu memberi pengaruh kepada perkembangan bahasa Arab itu sendiri. Perubahan-perubahan yang terjadi pada bahasa pertuturan, bahasa Syair, bahasa penulisan.
Apa yang menarik, bahasa Arab walaupun bercampur dengan pelbagai bahasa dan peradaban lain, bahasa itu tidak tercemar bahkan berkembang. Ketika bahasa Arab mula sebati dengan masyarakat Andalus, antara perubahan yang terjadi adalah gaya bahasa mereka yang lembut, perumpamaan dan daya khayal mereka tidak keras dan kasar. Ini kerana pengaruh gaya kehidupan mereka di kawasan yang indah yang jauh berbeza dengan kehidupan bangsa Arab di tengah padang pasir yang gersang dan tidak mesra. Perlu kita beri perhatian bahwa bahasa Arab tidak rosak atau pun hancur dengan pertembungan ini. Ini kerana asas bahasa Arab itu sendiri yang begitu kuat sehingga ketika apa-apa bahasa yang ingin di-arab-kan ia akan terus dapat disesuaikan dengan sistem pembinaan kalimat (saraf) yang sama sekali tidak akan menimbulkan kecelaruan.
Lain halnya dengan bahasa pasar, (slanga-lahjat-dialect). Pertembungan dua bangsa pasti akan mengakibatkan kadar kerusakan yang tinggi pada bahasa.
Malangnya, pada era Daulah Abbasiah dan Mamalik, masyarakat yang sudah cukup terganggu dengan keadaan politik yang tidak stabil membuatkan masyarakat awam ingin membahasa pasarkan sastra, atau dengan istilah lain, masyarakat ingin menggunakan bahasa pasar mereka pada syair dan penulisan. Tentunya ini merupakan suatu hal yang kurang baik. Walaupun demikian, ianya tidaklah parah atau dahsyat. Ia hanya sebatas pernah terjadi. Perkara ini tidak merisaukan kerana, mereka sendiri merasakan perbezaan dan hilangnya kenikmatan indah berbahasa itu sendiri. Para sastrawan dan ilmuan kokoh menggunakan bahasa baku.
Melihat kepada realiti kita sekarang di Malaysia. Sejauh manakah peranan bahasa itu berpengaruh dalam diri kita dan dalam masyarakat kita. Tidak salah jika dalam perbicaraan kita selalu diselitkan dengan istilah-istilah Inggris atau yang lain daripadanya. Akan tetapi, tidakkah terjejas maruah kita seandainya bahasa ibunda kita ini, tidak mampu kita tuturkan dengan tingkat yang sedikit lebih tinggi sebagai bukti sebuah khazanah timur. Tinggi pada sudut kesastraannya, keindahan bahasanya. Paling tidak sedikit menunjukkan bahwa kita juga memiliki khazanah bahasa.

Leave a Comment