Sabar & Syukur
Posted on March 29th, 2011 in Motivasi
Pada zaman Khalifah Al-Mansur, salah seorang menterinya Al- Ashmu’i keluar berburu. Mengenjar haiwan buruan merupakan suatu kegiatan yang memerlukan tahap fokus yang tinggi. Tumpuan yang penuh dalam memburu membuatkannya terpisah dari kelompoknya. Tersesatlah dia keseorangan ditengah padang pasir yang sangat luas.
Cuaca panas padang pasir membuatkannya kehausan. Kehausan yang dialami memuncak sehinggalah dia melihat sebuah kemah dikejauhan. Kemah itu merupakan satu-satunya yang ada disitu. Terpisah dan terasing sendirian. Segera saja dia memacu kudanya kearah kemah itu dengan pantas. Betapa terkejutnya dia ketika mendapati seorang wanita muda yang cukup anggun di kemah itu.
“Bolehkah aku meminta air minum?”
“Aku memiliki air tapi ia telah kusiapkan untuk suamiku, namun aku masih memiliki sisa air minumkum, jika engkau mahu ambillah!”
Tiba-tiba wajah wanita itu berubah. Sugul dan segera merapikan tempat minum yang telah disediakan untuk suaminya itu. “Suamiku datang..”
Kelibat lelaki itu muncul setelah beberapa ketika. Memeranjatkan! Wajahnya jelek, tua, bengis dan sangat menakutkan. Seakan tidak percaya dan sangat tidak sesuai jika dipadukan dengan isterinya. Sungguh tidak seperti pinang dibelah dua. Apa yang lebih memeranjatkan adalah kejelekan sifat dan perangai yang tidak kalah dengan kejelekan wajah lelaki itu. Dia hadir dengan wajah yang bengis dan semua yang keluar dari mulutnya adalah jeritan dan herdikkan.
Tidak cukup dengan itu, Al-Ashmu’i semakin kehairanan melihat tindak balas sang isteri yang begitu sabar dan ridha. Tidak pun dia melawan, memperlihatkan ketidaksukaan atau kebencian, malah dia menghulurkan minuman dengan penuh kesopanan.
Tiba masanya Al-Ashmu’i meninggalkan persinggahannya itu. Dia perlu melepaskan apa yang terbuku di hatinya. “Engkau muda, cantik dan setia. Pasangan yang teramat jarang untuk ditemui. Mengapa engkau korbankan dirimu untuk melayani lelaki tua yang berakhlak buruk?”
Jawapan wanita itu ternyata lebih memeranjatkan. Dia berkata, “Rasulullah SAW bersabda, ‘Agama itu terdiri dari dua bahagian, syukur dan sabar. Aku bersyukur kerana Allah telah menganugerahkan kepadaku usia muda, kecantikan dan perlindungan. Ia membimbingku berakhlak baik. Aku telah melaksanakan setengah agamaku. Kerana itu, aku ingin melengkapkan agamaku dengan setengah lagi, yakni dengan bersabar.”
Semoga kisah yang ringkas ini bermanfaat bagi kita yang mahu bersabar sepertimana kemahuan kita untuk bersyukur. Ya Allah berikanlah kami kesyukuran yang tinggi dan berikanlah juga kesabaran yang hebat.. Amin..

Leave a Comment