Renungan Muharram..

Posted on January 12th, 2008 in Uncategorized

Dalam menjalankan agenda ‘Melakar sejarah diri yang gemilang’ saya berusaha mengajak diri saya untuk merenung beberapa hal sempena bermulanya tahun baru ini. Kesempatan merenung itu memang agak kurang dengan peperiksaan yang membuatkan hari-hari makan tak kenyang, tidur tak lena. Alhamdulillah, kesempatan itu tiba saat khatib sholat jumaat membincangkan hal berkaitan Hijrah Baginda SAW.

Rentetan sejarah yang mencatatkan kegemilangan revolusi yang dipimpin Rasulullah SAW menjadi panduan untuk melakar sebuah sejarah diri yang gemilang.

Mari kita melirik lembaran yang menceritakan bagaimana Baginda SAW memulakan gerakan yang diamanatkan oleh Allah SWT ini. Kisah permintaan bapak saudaraNya agar Baginda SAW menghentikan gerakan yang dipimpinNya setelah mendapat desakan hebat dari masyarakat Quraisy pasti tidak lagi asing bagi kita. Bahkan kita juga telah hafal akan jawapan yang diberikan Baginda SAW, “Walau mereka meletakkan Matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku, maka sesungguhnya ia adalah lebih mudah bagiku dari mengemban amanah ini.” (mafhumnya) Jawapan Baginda SAW ini sungguh besar maknanya. Agung nilainya.

Bapak saudara Baginda SAW yang mendengarkan jawapan itu segera paham. Gerakan ini bukan suka-suka. Gerakan ini bukan cuba-cuba. Gerakan ini bukan mainan. Ini perintah dari Tuhan.

Deg!! Hati ini bagaikan dipukul dengan pukulan yang sangat kuat. Jika kita renungkan, ia memberi tahu kita bahwa kehidupan kita ini seharusnya sama nilai perjuangannya, sebagaimana yang Baginda SAW contohkan ini. Kehidupan ini bukan mainan, bukan gurauan, bukan suka-suka. Kehidupan ini adalah suatu yang perlu kita jalani sesuai dengan perintah Allah SWT. Kehidupan kita dan kita adalah milik Allah, lantas beranikah kita melanggar perintahNya?

Dengan memahami keagungan perintah ini kita dapat memahami mengapa jalan derita itu yang Baginda SAW tempuh. Dari sini jugalah lahir sebuah keazaman dan keteguhan dalam menjalankan perintah agung ini. Keagungan perintah inilah yang menjadi kekuatan bagi Rasulullah SAW dan para sahabat sehingga sanggup menghadapi segala bentuk tindak balas yang luar biasa dahsyat dari masyarkat Quraisy ketika itu.

Saya bertanya kepada diri, “Apakah landasan melakar sejarah diri yang gemilang ini?”, “Kegemilangan apa, bagaimana dan pada kaca mata siapa?” dan “Kekuatan apakah yang menjadi perisai sehingga kegemilangan itu dapat diraih?”.

Berulang kali hati mengucap, “Inna sholati wa nusuki wa mahyaya wa mamati lillahi rabbil alamin”. Sayu dan penuh getaran. Segenap harapan agar ia bukan hanya sekedar ucapan. Ia adalah Ikrar dengan pelaksanaan.

Kegemilangan ini perlu dilakarkan berlandaskan ikrar yang jelas ini.

Renungan diteruskan dengan meneliti langkah-langkah yang dilalui Baginda SAW. Peristiwa hijrah agung ini mencatatkan sebuah proses yang begitu terperinci. Bahkan, ia juga diuji dengan keterikatannya dengan perintah Allah SWT. Allah SWT ada perancanganNya sendiri kerana dialah yang Maha tahu akan apa yang bakal terjadi. Dia jugalah yang Maha tahu bila dan bagaimanakah persiapan iman dalam diri hamba-hambaNya. Ini terlihat jelas ketika perintah yang turun secara beransur-ansur dari seruan secara rahsia kemudian seruan secara nyata, diikuti pula dengan perintah Allah SWT agar generasi muslimin pertama di Mekah tidak memberi sebarang perlawanan atas siksa yang mereka terima. Bahkan Allah SWT memerintahkan generasi pertama untuk mendirikan sholat. Siapa antara kita yang masih sanggup menerima tekanan emosi dan fisik sedemikian rupa? Lebih-lebih lagi ketika mereka meminta untuk memberi tindak balas, jawapan yang mereka terima malah perintah untuk mendirikan sholat. Bayangkan!

Proses seterusnya diikuti dengan seruan kepada orang-orang yang datang melakukan haji ke Mekah yang kemudian menjadi penyebar Islam di Madinah. Seruan kepada beberapa orang ini diikuti dengan bai’at bersama Rasulullah SAW yang kita kenal dengan bai’ah Aqabah. Bai’ah ini kemudian menghasilkan sebuah kekuatan dahsyat dengan Islamnya sebahagian besar penduduk Yasrib (Madinah). Setelah Madinah telah pun bersedia menerima hadirnya Rasulullah SAW barulah perintah hijrah itu diturunkan. Para ulama tidak menghentikan penelitian disitu, bahkan mereka turut mengkaji bagaimana helah yang telah dipersiapkan bermula dari tidurnya Sayyidina Ali RA di katil Baginda SAW, memilih seorang yang pakar sebagai penunjuk jalan, dan persembunyian di Gua Tsur, semuanya mengandung nilai dari aspek proses.

Dua hal yang paling menarik untuk sama-sama kita renungkan di sini.

Pertama, larangan memberi tindak balas dan perintah mendirikan sholat.

Hal ini sangat penting kerana inilah salah satu latihan yang Allah SWT gariskan bagi generasi pertama untuk bersikap PROAKTIF. Kita selalu merasa berhak atas sesuatu akan tetapi selesaikah sesuatu itu setelah kita lakukan apa yang kita mahu. Allah SWT inginkan generasi pertama ini benar-benar memahami konsep seruan yang berlandaskan iman dan taqwa, bukan kerana benci dan dendam. Memang mereka berhak untuk melawan tindakkan masyarakat Quraisy yang sangat melampau itu. Akan tetapi tindakkan tersebut mungkin akan merosakkan kejernihan dan kemurnian hati. Kerana dengan keadaan yang demikian syaitan sangat mudah untuk berbisik. Bahkan kekuatan terhebat manusia adalah ketika mampu untuk mengawal marah dan dendamnya. Di sinilah letaknya latihan iman yang sama-sama patut kita selami. Maka, tidak pelik ketika Baginda SAW membuka kembali kota Mekah dengan pengampunan. Dendam tidak mendatangkan apa-apa kebaikan sedang Islam hadir bersama rahmat. Iman mampu meletakkan keinginan individu di belakang kepentingan yang lebih besar.

Kedua, proses yang digambarkan di dalam lembaran sejarah mengenai hijrah jelas menunjukkan bahwa kejayaan itu tidak datang bergolek. Sunnatullah segala sesuatu berjalan sesuai dengan hukum sebab dan musabab. Tidak akan turunnya hujan tanpa awan. Tidak akan terkumpulnya awan tanpa bantuan angin. Tidak menguapnya air tanpa sang mentari. Ini adalah hukum Allah SWT. Bahkan Allah SWT sendiri meletakkan hukum tersebut ke atas diriNya pada ayat “Kataba ala nafsihirrahmah..”.

Maka jika kegemilangan adalah sebuah sasaran maka proses adalah rukun. Tiada gemilang tanpa proses. Proses yang baik adalah proses yang terarah dan teratur, dengan kata lain kita memerlukan strategi yang dapat membantu kelancaran sebuah proses. Ketika peristiwa hijrah, Baginda SAW tidak asal pergi dengan keyakinan Allah SWT akan melindungi dirinya. Akan tetapi Baginda SAW menempatkan Sayyidina Ali RA agar mereka tertipu. Baginda juga memilih penunjuk jalan yang mahir agar tidak dapat dikesan. Bahkan jauh sebelum itu Rasulullah telah pun menghantar Mus’ab bin Umair untuk mempersiapkan muslimin di Madinah. Bukahkah ini sebuah proses yang terancang dan tersusun rapi?

Renungan kali ini berakhir dengan beberapa noktah yang perlu diri ini perhatikan antaranya :

1. Selami makna tauhid dan konsep penghambaan diri sebagai landasan.

2. Kokohkan dengan keazaman dan semangat yang kuat.

3. Kawal konsistensi proses dengan Ibadah.

4. Lakar kegemilangan dengan strategi.

5. Langkah dengan penuh keyakinan.

“Dan janganlah engkau mengira kita berdua, sesungguhnya ketiga adalah Allah SWT. Janganlah engkau gentar sesungguhnya Allah SWT bersama kita”

Published by taqeyyabella

Leave a Comment

Share