Rahsia Menguasai Pelajaran Nushus
Posted on December 23rd, 2009 in Motivasi
Tulisan ini ditujukan khusus bagi mereka yang sedang mencari jalan untuk menghadapi sebuah mata pelajaran yang mungkin boleh dikatakan susah. Biasanya mata pelajaran ini akan diambil oleh pelajar Azhar paling tidak satu kali selama mereka berada di Azhar. Namun, bagi pelajar fakulti bahasa, mata pelajaran Nushus akan menjadi mata pelajaran wajib yang akan dipelajari setiap tahun. Paling sedikit pelajar fakulti bahasa Arab akan menghadapi peperiksaan mata pelajaran ini sebanyak empat kali (bagi mereka di universiti Al-Azhar).
Mata pelajaran Nushus hampir sama dengan mata pelajaran adab (sastera) kerana ia sama-sama mengkaji objek yang sama iaitu teks (nash). Bezanya, adab memberi keutamaan pada aspek ke-adab-annya (kesusasteraan) sedangkan Nushus lebih memfokuskan perbincangan sekitar teks itu sahaja.
Objektif utama mempelajari mata pelajaran ini sebenarnya adalah untuk memberikan suntikan ‘zouq’ (feeling) sehingga kita dapat menyedari, peka, merasakan, segala yang terkandung suatu teks. Dalam kata lain, pelajaran ini berusaha membawa pelajar ke “malakah lughawiyyah”. Objektif umumnya pula adalah bagi memperlajari perubahan rentak dan bentuk bagi setiap zaman. Era sebelum kedatangan Islam berbeza dengan Era setelah kedatangan Islam. Berbeza dari sudut teks atau nash yang ada pada kedua zaman itu. Perbezaan ini yang perlu dikaji.
Objektif yang demikian menuntut seorang pelajar mata pelajaran ini untuk menghafal seluruh teks. Teks bagi umat Islam merupakan suatu yang begitu besar nilainya. Ini kerana teks menjadi bukti yang dipercaya dan dipegang. Kekuatan umat Islam adalah pada kemampuan umat Islam menghafal teks Al-Quran sehingga ia tidak dapat dirosakan oleh tangan-tangan jahil. Bagaimana ia akan dirosakan sedang keseluruhan teks itu berada di dalam hati dan minda umat Islam sehingga mengenal pasti antara yang benar dan yang salah menjadi suatu perkara yang mudah. Begitu juga halnya dengan mata pelajaran nushus. Nash atau teks di sini merupakan bahan utama yang dikaji. Maka adalah sewajarnya jika ia dihafal sebaik mungkin sehingga kajian menjadi teliti dan tepat.
Malangnya, kita perlu mengakui kelemahan kita dalam menghafal. Waktu yang diperuntukkan pula tidak banyak. Peperiksaan tak lama menjelang, mata pelajaran tidak sedikit, bait yang perlu dihafal pula sangat banyak! Bagaimana caranya untuk survive?
Bagi mereka yang lemah hafalan mereka perlu membuat strategi. Kerana teks merupakan bahan utama dalam mata pelajaran ini, maka kita perlu terlebih dahulu memberi perhatian sepenuhnya kepada teks itu. Segala maklumat perlu kita cari. Segala kata perlu kita tahu maknanya. Kita perlu tahu isi kandungannya yang tepat. Kita perlu tahu semua rahsia yang terselindung disebalik setiap kata. Kita perlu tahu kekuatan dan kelemahan yang ada pada teks itu dan alasan mengapa ia kuat dan mengapa ia lemah. Ketika kita telah menguasai teks sedemikian rupa, kita tidak akan risau lagi. Tanpa menghafal teks pun kita mampu menjawap segala pertanyaan dengan penafsiran dan penjelasan menggunakan bahasa kita sendiri. Tentunya itu sahaja belum cukup kuat. Kita masih perlu mengukuhkan jawapan kita dengan bukti dari teks asal.
Penyelesaian untuk masalah ini adalah sama dengan hal pertama tadi iaitu penguasaan. Apabila kita menguasai sesuatu teks, kita dapat mengenal pasti di antara 100 bait itu manakah bait yang tidak penting, manakah yang penting dan manakah yang sangat penting. Kita hafal bait yang penting itu sahaja dan tinggalkan bait-bait yang tidak penting itu. Ketika kita sudah senaraikan bait-bait yang penting kita lihat pula, manakah antara bait-bait penting itu, bait yang paling mudah dihafal. Mulakan hafalan dengan bait-bait yang mudah terlebih dahulu.
CABARAN
Soalan yang susah bagi mata pelajaran ini adalah apabila dia menyuruh kita untuk menulis teks bermula dari bait ini hingga ke bait ini. Biasanya soalan ini pasti ada dan mengandung markah yang besar. Tentunya tidak ada jalan lain bagi menjawap soalan ini kecuali dengan menghafal teks. Maka pada akhirnya kita menyimpulkan bahawa tidak mungkin bagi seorang yang mempelajari mata pelajaran ini untuk melarikan diri dari menghafal. Hafal adalah syarat luslus.
Kaedah menghafal syair tidak sama seperti menghafal Al-Quran. Al-Quran tidak boleh salah dalam menghafal. Tetapi bait syair tidak berdosa jika kita tersalah satu atau dua perkara. Ini sepatutnya memudahkan pelajar untuk menghafal. Cubalah untuk menghafal tanpa perlu menghafal.
Bagaimana itu?
Tidak susah jika kita sudah memahami sepenuhnya makna kandungan syair tersebut, lalu kita juga sudah faham dan ingat kata-kata dalam setiap bait. Maka kita hanya perlu mengingat susunan cerita bagaimana syair itu bermula, kemudian apa yang terjadi sehinggalah akhir syair tersebut. Dengan demikian, kita akan mampu menghafal tanpa perlu menghafal. Bantulah diri anda dengan pen dan kertas. Cuba ingat kemudian tulis. Ulang berkali-kali sehingga dengan tiba-tiba anda menghafal tanpa perlu menghafal. Keburukan kaedah ini adalah, hafalan anda bukan hafalan mati (luar kepala). Anda akan lupa setelah beberapa ketika.
Kaedah yang tidak kalah hebatnya adalah dengan membahagikan seluruh bait-bait yang wajib dihafal itu ke dalam beberapa bahagian. Jika anda memiliki 200 bait untuk dihafal, ianya tidak mudah untuk menghafalnya dalam masa satu hari. Tapi bayangkan jika anda ada 200 hari. Anda hanya perlu menghafal satu bait sahaja satu hari. Jika anda hanya memerlukan 10 menit untuk satu bait maka anda hanya memerlukan 200 menit untuk 200 bait. Kiralah berapa hari yang anda miliki sebelum peperiksaan, dan jangkakanlah berbapa menit yang ada perlukan bagi setiap bait, setelah itu rancanglah untuk menghafal. Jika satu hari anda boleh menghafal 5 bait dalam masa satu jam. Anda hanya perlukan satu jam dari satu hari anda selama 40 hari. InsyaAllah dengan perancangan yang sebegini anda pasti akan berjaya. Tuliskan bait-bait ini di atas kertas-kertas kecil yang mudah dibawa. Bacalah ia ketika anda menunggu bas, menunggu pesanan makanan anda dihantar, menunggu pensyarah datang ke kelas. Bacalah ketika anda berjalan dari satu tempat ke satu tempat. Dengan cara sebegini, 200 bait bukanlah beban bagi anda dan ia tidak akan mengganggu anda mengulang kaji mata pelajaran yang lain.
TIPS
Bagi pelajar fakulti bahasa Arab, kita perlu tahu bahawa ada diantara mata pelajaran yang akan kita ambil setiap tahun. Contohnya mata pelajaran ini. Jika setiap tahun kita perlu menghafal lebih 200 bait untuk satu mata pelajaran bayangkan jika kita terpaksa menduduki dua subjek seperti ini dalam setahun. Bermakna kita perlu menghafal sekitar 400 bait. Oleh itu, mata pelajaran seperti ini perlu kita berikan perhatian khusus sehingga kita tidak perlu mengulangnya ditahun berikut. Usaha semampu mungkin untuk pastikan mata pelajaran seperti ini sentiasa lulus. Apabila mata pelajaran ini kita gagal, ia akan mengganggu mata pelajaran yang lain. Jika kita gagal mata pelajaran yang hanya dipelajar sekali sahaja kita tidak terlalu terasa dibebani ketika harus mengambil peperiksaan ulangan untuk pelajaran tersebut. Tetapi bayangkan jika kita terpaksa mengambil peperiksaan ulangan bagi mata pelajaran nushus, malangnya lagi, pada masa peperiksaan ulangan itu teks yang dipilih untuk dikaji adalah berbeza dengan yang sebelumnya, maka kita akan merasa sangat terbebani dan sangat malang bahkan ia mampu membuat kita hilang keinginan untuk menyentuh buku itu dan buku-buku lain. Maka, pastikan mata pelajaran ini lulus sehingga ia tidak menjadi beban yang merosak semangat kita.
Tulisan ini hanya berbentuk cadangan. Ada orang yang mempunyai cara dan kaedah yang berbeza dalam menghadapi mata pelajaran ini. Adalah sangat baik jika seseorang itu dapat mengenal pasti terlebih dahulu kemampuannya lalu bertindak sesuai kemampuannya, menyusun strategi sesuai kebiasaannya.
Akhir sekali saya menyusun jari, menadah tangan dan berdoa agar Allah SWT mempermudahkan semua sahabat yang akan menduduk peperiksaan tidak lama lagi. Semoga Allah karuniakan pahaman seperti para nabi dan hafalan seperti para rasul. Semoga Allah berikan ilmu yang bermanfaat dan mengaruniakan kejayaan kepada semua penuntut ilmu. Amin.. Masih terlalu banyak masa untuk mempersiapkan diri maka jangan dipersiakan. Selamat berjuang. Terima kasih kerana bertanya dan semoga bermanfaat. Selamat Mencuba!



March 3rd, 2010 at 11:46 pm
du’a li,br bkenalan dgn pljrn nusus…dlm kuliah sesi 2 ini,jazakumullah…tulislaa bnyak2x lg psl bnde2x cam ni.ana uhibbuhu jiddan.