Sebenarnya keinginan untuk menulis tentang apa yang telah dialami selama 3 hari lalu terdetik sejak masih di lokasi lagi. Keletihan yang menyelubungi dan tugas yang membebani ketika tiba di rumah mematahkan semangat untuk mencoret, walhal sudah dimula beberapa baris.

PMPI adalah singkatan dari Perkemahan Musim Panas Isma yang dianjurkan oleh Ikatan Muslimin Malaysia Cawangan Mesir.
Lokasi yang dipilih kali ini adalah Jamasah, sebuah lokasi peranginan di Daqahlia (Mansurah). Tempat ini dipenuhi dengan bangunan perumahan bertingkat-tingkat yang banyak sekali. Pantainya sangat panjang. Aku sempat bingung melihat pasir-pasir yang mengalasi pesisir pantai itu kerana semamangnya ia sangat panjang sekali. Belum pernah rasanya aku menemui kawasan pantai yang begitu panjang sepanjang pantai Jamasah ini. Ombaknya lumayan kencang dan frekuensi kehadirannya juga banyak. Sayangnya airnya tidak sejernih air di Matruh, Aqiba atau Dahab, bahkan mungkin lebih keruh dibanding Arisy. Jumlah pengunjung yang datang juga sangat banyak sekali. Mana tidak, musim cuti!
Bicara mengenai program ini, perkara yang paling memberi kesan tentunya adalah kumpulan masing-masing peserta. Semakin unik kumpulan mereka semakin banyak kenangan yang bakal disimpan masing-masing peserta. Maha Suci Allah SWT yang telah mempertemukan mereka-mereka yang sungguh luar biasa untuk sama-sama berada di dalam kumpulan yang kami beri nama Hanzolah. Nama seorang sahabat yang tidak asing lagi. Pejuang yang menjawap seruan perang setelah baru beberapa jam melangsungkan pernikahan. Allah SWT menentukan peristiwa istimewa buat Hanzolah dimana dia gugur sebagai ‘Syahid’ di medan itu. Meninggalkan isteri yang baru saja dikahwini. Kisahnya menjadi lebih menarik ketika dikhabarkan bahwa dia belum pun sempat menyempurnakan bersuci namun setelah kegugurannya para malaikat menjalankan tugas mensucikan jasadnya.
Hanzolah memiliki 9 orang ahli setelah dua orang yang lain tidak menghadirkan diri. Syamil yang merupakan bekas pelajar Hira’ yang kini meneruskan pengajian Syari’ah di Azhar Tanta dipilih oleh pihak penganjur untuk menjadi ketua kumpulan kami. Seorang yang akhirnya dipilih menjadi Ketua Kumpulan terbaik. Orangnya sangat perhatian terhadap orang lain dan sangat tidak gemar memerintah. Kalau pun dia ingin memberi perintah, dia akan mengucapkannya dengan nada meminta pendapat dan mengajak. Suatu potensi yang sangat baik.

Ihsan yang tinggal serumah dan sejurusan kuliah dengan Syamil turut tersenarai di dalam kelompok kami. Berkenaan dengan Ihsan, aku sangat suka mengenang kegigihannya. Aku sempat perhatikan dia berusaha mengulang-ulang lirik yang dilantunkan ketika dia memiliki ruang untuk berbuat demikian. Memang waktu yang kita miliki untuk berlatih sangat sedikit. Hingga detik-detik terakhir dia masih lagi menyempatkan diri untuk berlatih. Aku sangat terkejut ketika dia benar-benar terlupa melodi lagu ketika berada di hadapan khalayak ramai. Namun dia tidak berpuas hati dan mengulang sekali lagi lagu tersebut. Pada kali kedua dia masih lagi belum mendapat melodi yang seharusnya dia nyanyikan. Aku tak mampu berkata apa. Aku sendiri tahu bagaimana usahanya sebelum itu. AKu sangat yakin dia tentu meresa sangat kecewa dengan kejadian itu namun dia tabah hadapi ketentuan. Syamil, ihsan dan aku adalah tiga pelajar Azhar di kumpulan ini.
Selain Ihsan Tanta ini, kita memiliki seorang lagi ahli yang juga bernama Ihsan. Seorang pelajar perubatan tahun satu di Kaherah. Dia kelihatannya begitu rapat dengan seorang lagi ahli yang bernama Azizi. Mereka berdua ini sangat akrab dan aku suka melihat mereka berdua berbicang-bincang dan bergurau. Aku tidak tahu apakah mereka perasan atau pun tidak yang aku suka memperhatikan mereka. Ihsan sepertinya tidak begitu banyak bicara. Dia suka senyum juga seperti diriku. Azizi tidak kalah uniknya. Di awal pertemuan dia katakan kepadaku. “Anta tak nampak macam ustaz! Ingatkan pelajar perubatan!” Matannya tidaklah berbunyi demikian. Namun, maknanya begitu. Aku sedikit bangga mendengar ucapan itu. Entahlah bila hatiku ini akan lembut bagi menerima kenyataan bahawa mahu tak mahu aku harus akur dengan panggilan ‘ust’ itu. Selain mereka berdua, ada dua orang lagi pelajar perubatan Kaherah di kelompok kami. Seorang glamour dengan panggilan ‘Pingkai’. Namanya Hafiz. Seorang yang lebih muda dariku akan tetapi telah terlebih dahulu menyempurnakan sebahagian dari agama sebelumku kerana dia sudah pun berkahwin. Statusnya yang berbeza menyebabkan dia terpaksa pulang awal bagi mengurus keberangkatan peserta perempuan yang akan dilaksanakan pada hari terakhir kami di Jamasah. Seorang lagi bernama Ashraf. Orangnya amat suka bergurau. Asyraf memiliki teman gurau yang hebat iaitu Abdul Rahman yang bukan dari kumpulan kami. Asyraf dan Abdul Rahman sudah mampu bergurau ke tahap melampau. Huhu!
Tiga pelajar Azhar, empat pelajar perubatan Kaherah, maka, yang tersisa adalah dua orang lagi. Mereka berdua adalah pelajar perubatan Mansurah. Zulhakimi dan Affan. Zulhakimi memiliki semangat keislaman yang tinggi. Perhatian dan kemahuannya terhadap bahasa Arab perlu diacungkan jempol. Sangat sulit mencari golongan pelajar-pelajar Malaysia yang benar-benar semangat untuk mempelajari bahasa Arab. Ingin sekali aku ingatkan Hakimi khususnya dan umumnya kepada semua bahawa perkembangan bahasa akan sangat baik bahkan cemerlang jika kita menggunakan methode mubasyirah (secara langsung) dan methode bersepadu yang mana sarana dan pra-sarana bagi mewujudkan kedua methode ini sangat-sangat memungkinkan di Mesir ini. Maka manfaatkanlah! Berbeza dengan Hakimi, Affan lebih pendiam. Seingat aku, Affanlah yang paling sedikit bertanya soalan kepadaku dikalangan ahli kumpulan. Affan sempat menyuarakan keadaan sebenar yang menjelaskan bahawa kehadirannya sedikit dipengaruh dengan nada-nada paksaan. Aku yakin ia bukanlah paksaan kerana peserta dibenarkan untuk tidak menyertai jika memang tidak mahu. Ingin sekali aku mengetahui bagaimana dan apa yang telah dirasakan setelah selesai dari program ini. Sangat ingin aku ketahui apa sebenarnya yang berlaku di dalam diri Affan setelah menyertai program ini. Affan memiliki sebuah hobi yang sama denganku iaitu bermain bola keranjang. Mungkin suatu hari aku akan turun ke Mansurah demi melepaskan rindu kepada keranjang dan bola!

Perjalanan kumpulan Hanzolah sangat lancar. Aku sangat menyukai kerjasama dan sikap tanggap yang ditonjolkan setiap peserta. Aku peribadi memang berusaha untuk merasakan bagaimana sebenarnya manis berukhuwwah. Ramai yang sering memperkatakan tentang ukhuwwah. Tidak jarang kita mendengar bagaimana para anshar (penduduk Madinah) menceraikan isteri dan membahagikan harta untuk dihadiahkan kepada saudara baru yang dipersaudarakan oleh Rasulullah SAW. Akan tetapi aku kadang peluang untuk melatih hal tersebut sangat langka. Pernahkan anda benar-benar rela memberikan sesuatu yang anda sukai kepada dia yang anda baru kenal sesaat dua. Aku selalu mendengar bahkan pernah juga aku mencoretkan akan ukhwwah yang nilainya begitu tinggi di sisi Islam. Kemanusian adalah perkara utama melebihi segala-galanya. Kebencian seharusnya tidak ada dalam diri umat Islam. Bahkan, cinta yang Islam pupuk dalam hati penganutnya begitu murni. Lihat bagaimana ia memerintahkan agar tidak tidur dalam keadaan kenyang melainkan orang atau jiran disekitarnya juga dalam keadaan sama.
Secara peribadi begitu banyak yang aku rasakan selama program yang bertemakan “Ceria dan seronok hidup berukhuwwah” ini dilaksanakan. Aku rasa damai melihat ahli-ahli kumpulanku bersungguh-sungguh dalam segala pertandingan. Keinginan berbuat yang masing-masing tonjolkan juga mencairkan hatiku.
Semua aktiviti yang dianjurkan mempunyai nilai yang boleh dikutip bagi mencapai objektif dan tema yang ditetapkan. Hanya saja mengamatan dan keikutsertaan masing-masing peserta yang bakal banyak mempengaruhi kesan terhadap diri mereka. Sedar atau pun tidak itu adalah usaha peribadi yang perlu masing-masing tekuni. Ukhuwwah tidak semudah lidah mengucap. Kerana sesungguhnya ia lahir dari hati. Bahkan Allah SWT sendiri mengingatkan bahawa walau seandainya diinfaqkan keseluruhan harta belum tentu dapat menyatukan hati-hati manusia sedangkan Allah SWT dapat menyatukan hati-hati manusia.
Aku sangat terkesan dengan program-program yang dilakukan selama PMPI kali ini. Aku bahkan ingin sekali menangis ketika mendengar ucapan Ketua Komando. Sambil menahan tangis aku kemudian melihat Pengarah yang juga Setiausaha ISMA Mesir menangis ketika menceritakan kisah ukhuwwah yang diusahakan Rasulullah ketika hijrah. Aku semakin terharu. Memang begitulah keadaannya jika kita sudah dapat merasakan dan membayangkan apa yang terjadi saat itu.
Ingin sekali aku mengetahui apa yang dirasakan teman-teman sekumpulanku yang lain. Jika korang membaca tulisan ini sudikanlah untuk mencoret sebaris dua. Ukhwah yang terjalin antara kita tidak cukup dengan menjaganya sahaja. Ukhuwwah yang terjalin perlu mampu melebar sehingga menimbulkan kasih sayang yang timbul kepada mereka yang jauh dari kita, yang tidak mengenali kita bahkan kepada mereka yang benci terhadap kita. Semua itu tidak mampu dianjurkan mana-mana pihak akan tetapi realitinya begitu banyak di depan mata kita. Mampukah kita berhadapan dengan realiti ini seperti mana yang telah dipermisalkan oleh Rasulullah SAW!?







July 16th, 2008 at 2:29 am
assalamualaikum…
*tears drop to the floor*
i feel nothing but the same here…
hope to keep in touch always