PERUTUSAN AIDILFITRI
Posted on October 2nd, 2008 in Uncategorized
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمدلله الذى بنعمته تتم الصالحات و بفضله تتنزل البركات و بتوفيقه تتحقق الغايات و بتيسيره تزول العقبات و برحمته بلغنا رمضان. الحمد لله الذى جعل للمسلمين عيدا نفرح فيه و نحمده فيه حمدا كثيرا و نسبح جل شأنه بكرة و أصيلا و نشكر الغني المعطي على رحمة لن تعد و نعم لن تحصى و نكبر العزيز القهار مالك ملك, رب العالمين الذي لا اله إلا هو, صدق وعده و نصر عبده و هزم الأحزاب وحده لا شريك له.
الصلاة و السلام على رحمة المهداة و نعمة المسدات, البشير النذير, والسراج المنير رسول الأمين سيد المرسلين إمام النبيين أسعد خلق الله أجمعين. نشهد أنه قد أدى الأمانة و بلغ الرسالة و نصح الأمة و كشف الله به الغمة. اللهم صل و سلم عليه و على أله و أزواجه و أصحابه و من سار على دربه بالأحسان إلى يوم الدين, أما بعد,
Syukur ke hadrat Allah SWT marilah sama-sama kita panjatkan dari hati yang paling dalam atas nikmat kesihatan, kekuatan, kemampuan yang masih lagi dicurahkan kepada kita sehingga sama-sama kita dapat lalui bulan ramadhan yang penuh keberkahan dan kemulian. Ramadhan yang datang bersama rahmat dan maghfirah sebagai bukti kasih sayang Allah SWT kepada ummat Muhammad SAW. Ramadhan yang dimuliakan dengan penurunan Al-Quran di dalamnya dan diagungkan lagi kemuliaannya dengan wujudnya malam yang lebih baik dari seribu bulan pada sepuluh penghujungnya. Ramadhan yang hadir bagi mengampunkan manusia dari segala dosa dan melepaskan ikatan neraka.
Syukur yang tak terhingga ini amatlah baik jika diiringi dengan perhitungan diri (muhasabah), renungan hati (tadabbur), penyusunan langkah (tanzim), pembaharuan semangat (tajdidul himmah), pengukuhan diri (tasbit) dan menjadi titik permulaan (nuktatul intilaq) bagi kita semua. Maka, dikesempatan marilah sama-sama kita renungkan beberapa perkara berikut:
1. Taqwa : objektif utama Madrasah Ramadhan.
2. Kesan dan pengaruh Madrasah Ramadhan terhadap moral atau akhlak.
3. Ke Mesir apa yang kau cari?
4. Perancangan di awal semester pengajian.
5. Kecemerlangan harus dicapai.
Taqwa : objektif utama Madrasah Ramadhan
Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa Madrasah Ramadhan memang diobjektifkan agar kita menjadi mereka yang bertaqwa seperti yang telah tertulis di dalam Surah Al-Baqarah Ayat 183. Taqwa merupakan sebuah sifat qalbiah yang tidak dapat dilihat oleh mata atau dirasa oleh kulit bahkan ia juga tidak terpancar dari pergerakkan anggota tubuh. Taqwa adalah sebuah rahsia hati sama seperti iman.
Allah SWT menjadikan taqwa sebagai syarat penerimaan sesuatu yang dipersembahkan oleh manusia. Kita dapat merenungkan betapa pentingnya taqwa dan betapa besar nilainya dari sebuah kisah penting yang telah diabadikan di dalam Al-Quran. Allah SWT berfirman, ”berkatalah (Habil), sesungguhnya Allah SWT menerima dari mereka yang bertaqwa.” Surah Keluarga Imran, ayat 27.
Mari sejenak kita imbas kembali sejarah agung yang telah direkamkan Allah SWT di dalam Al-Quran yang kekal ke penghujung usia bumi. Kisah teladan abadi pertama yang berlaku dimuka bumi. Kisah ini menceritakan betapa bahayanya beberapa sifat terkeji yang perlu sentiasa kita waspada sehingga Allah SWT memerintahkan NabiNya agar menceritakan kisah ini kepada umatnya. Allah SWT berfirman, ”Bacakanlah (wahai Nabi) ke atas mereka kisah dua orang anak Nabi Adam AS (Qabil dan Habil)..” Surah Keluarga Imran, ayat 27.
Sebelum meneliti kisah mereka ada baiknya kita melirik kembali sejarah ketika Allah SWT menciptakan Adam sebagai khalifah bumi. Ketika telah sempurna penciptaannya maka diperintahkanlah agar para malaikat bersujud hormat kepada Adam AS. Keangkuhan, kesombongan dan takabbur merupakan sifat keji yang mendorong Iblis untuk ingkar akan perintah tersebut. Ketidak patuhan Iblis menyebabkan dia dihalau dari syurga dan permusuhan pun bermula antara Iblis dan Adam AS. Muncullah ketika itu sifat terkeji kedua iaitu hasad di dalam diri Iblis bagi menjerumuskan Adam dan Hawa AS ke dalam kemunkaran. Iblis membisikkan hasutan dan menjual sumpah palsu kepada Adam dan Hawa. Keinginan manusia selalu membuak. Apa yang dilarang itulah yang diinginkan. Semakin dicegah semakin dilaksanakan. Nabi Adam selaku manusia turut memiliki sifat itu. Sifat tamak. Padahal di dalam syurga terdapat jutaan pohon. Mengapa pohon yang dilarang juga menjadi pilihan. Tamak yang diiringi janji palsu Iblis yang mengatakan bahawa larangan tersebut adalah kerana ia akan menjadikan pemakannya seorang malaikat yang kekal berjaya menjerumuskan Adam AS. Buah Khuldi dimakan maka terjadilah pendedahan aurat dan berlarilah Adam dan Hawa. Allah SWT berfirman, “Adakah kalian melarikan diri daripadaku?” Adam AS menjawab, “Tidak akan tetapi kami malu.” Akibat dari salahlaku itu, mereka dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi. Bertaubatlah Adam AS dan bermulalah kehidupan baru di atas muka bumi. Tugas imarah dan ishlah dilaksanakan Adam AS. Nabi Adam dan Hawa AS kemudian mendapatkan zuriat bagi membantu mereka melaksanakan misi dimuka bumi ini. Mereka mendapat dua pasang kembar seorang lelaki dan seorang perempuan. Lelaki yang pertama adalah Qabil dan lelaki yang kedua adalah Habil.
Mereka berdua membesar dan memilih cara hidup mereka masing-masing. Qabil memilih untuk menjadi petani sedang Habil berusaha sebagai penternak. Demi menciptakan suasana semangat berlumba-lumba kepada kebaikan maka diperintahkanlah kepada kedua mereka untuk melaksanakan qurban. Idea tersebut muncul bagi menyemangatkan mereka berdua dalam melaksanakan tugas sebagai manusia. Qabil diperintahkan agar mempersembahkan sebaik-baik hasil taniannya sedang Habil diperintahkan agar mempersembahkan sebaik-baik haiwan ternak yang dimilikinya.
Ketika tiba hari yang ditetapkan, Qabil tidak menyerahkan hasil tanian yang terbaik yang dimiliki kerana adanya sifat bakhil. Bakhil dan tamak yang menguasai dirinya telah menyebabkannya mempersembahkan hasil tanian yang bukan terbaik yang dimiliki. Habil pula memiliki ikhlas yang mendorongnya untuk mempersembahkan haiwan ternakkan yang terbaik yang dimilikinya. Atas sebab itu diterimalah qurban Habil yang ikhlas dan ditolak pula qurban Qabil yang bakhil dan tamak.
Keputusan itu menumbuhkan sifat terkeji lain di dalam diri Qabil iaitu sifat benci dan marah. Marah dan benci yang membara mendorong Qabil untuk menengking Habil sambil berkata, “Sungguh akanku bunuh engkau!”. Ustaz Amru Khalid ketika menceritakan kisah ini di dalam sebuah siri “Kisah Al-Quran” di TV Mehwar sempena bulan Ramadhan tahun ini, menerangkan bahawa keputusan penerimaan dan penolakkan Allah SWT terhadap persembahan hamba hanya diumumkan di dalam peristiwa Qabil dan Habil sahaja. Bayangkan jika manusia dapat mengetahui penerimaan dan penolakkan Allah SWT akan ibadat dan usaha manusia nescaya akan berlaku kehancuran di atas muka bumi. Pengakhiran pengumuman penerimaan dan penolakkan ibadat dan usaha manusia adalah rahmat terbesar Allah SWT bagi sentiasa membuka pintu cita-cita agar manusia terus berusaha. Tidak terbayang apa yang terjadi seandainya kita dapat mengenal pasti siapa yang diterima amalannya dan siapa yang tidak. Tentunya permusuhan dan kebencian sentiasa tersebar.
Habil yang menerima tengkingan dan herdikkan sedemikian tetap tenang. Keikhlasan dan kesabaran yang dimilikinya mengawal emosi dan perasaannya. Dengan yakin dia menjawab, “Sesungguhnya Allah menerima dari mereka yang bertaqwa.”
Habil seakan-akan memberi tahu abangnya agar berfikir apa yang menyebabkan dia marah. Habil ingin abangnya berfikir akan apa sebenarnya yang menyebabkannya bengang dan benci sehingga sanggup mengucapkan kata-kata yang penuh dengan permusuhan itu. Bukankah Allah SWT menerima dari mereka yang bertaqwa? Jika Qabil marah kerana qurbannya tidak diterima maka itu bukan masalah Habil. Mengapa pula Habil yang dimusuhi padalah Allah SWT menerima qurban siapa sahaja asalkan dia bertaqwa. Habil seakan-akan menjelaskan kepada abangnya bahawa yang menyebabkan qurban itu tidak diterima adalah kerana ketidakadaannya perasaan takut dan patuh atas perintah Allah SWT.
Kebencian dan amarah telah pun menguasai diri Qabil. Tanpa mampu menahan dia pun membunuh adiknya Habil. Habil pula yang enggan memusuhi abangnya dia malah berkata, “Demi sesungguhnya! Jika engkau hulurkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku tidak sekali-kali akan menghulurkan tanganku untuk membunuhmu kerana sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan yang Mentadbir sekalian alam” memudahkan lagi pembunuhan ke atas dirinya berlaku.
Demikianlah serba ringkas kisah abadi yang disifatkan oleh Allah SWT sebagai kisah yang relevan hingga ke hujung usia bumi. Masalah persaingan yang tidak sihat yang berlaku antara manusia dan kelompok manusia hari ini perlu kita selesaikan. Penyelesaiannya tidak susah jika kita berpandukan teladan yang terkandung dalam kisah Qabil dan Habil ini. Hanya Allah SWT yang layak menentukan penerimaan dan penolakkan amalan dan usaha yang dilakukan seorang manusia atau sekelompok manusia, maka, tiada gunanya berbalah dan mempertinggi atau memperendah seorang atas orang yang lain atau sekelompok atas kelompok yang lain. Kayu ukur yang menentukan adalah nilai ketaqwaan yang terkandung dalam amalan dan usaha yang dilakukan oleh masing-masing individu atau kelompok. Keyakinan sebegini membantu kita untuk melepaskan diri dari sikap jaga tepi kain orang dan hasad dengki. Ia juga sangat ampuh menghilangkan permusuhan. Kita perlu yakin bahawa ketegangan antara individu dengan individu atau kelompok dengan kelompok akan mereda jika masing-masing menumpukan aspek taqwa dalam amalan dan usaha.
Madrasah Ramadhan hakikatnya mendidik kita untuk mencapai taqwa yang menjadi intisari terpenting dalam setiap amalan dan usaha. Seorang yang berpuasa ketika diprovokasi untuk bergaduh atau berbalah hendaklah berkata, “Aku sedang berpuasa!”. Ini jelas menunjukkan bahawa kita yang sedang dalam lapar dan dahaga lagi lelah tak bertenaga masih perlu mengawal jiwa dari melemparkan diri ke dalam api permusuhan dan pertelingkahan. Maka tiada alasan bagi kita terprovokasi untuk marah atau bergaduh sedang kita dalam keadaan kenyang dan selesa. Pembiasaan yang dilandaskan dengan taat terhadap perintah Allah ketika berpuasa akan menghasilkan kekuatan taqwa yang tinggi sebagai pelindung dari pelbagai jenis musibah dan jebakkan.
Kesan dan pengaruh Madrasah Ramadhan terhadap moral atau akhlak
Proses meraih taqwa dengan pengawalan nafsu yang bermula dengan menahan diri dari makan-minum dan hubungan biologis manusiawi, memaksa seseorang memiliki sifat sabar. Sabar mengandung potensi hebat dalam mengatur diri manusia.
Ketika seorang berpuasa, dia memilih untuk menahan diri dari makan dan minum yang mengakibatkan kepada lapar dan dahaga. Pilihan tersebut tetap dilakukan dengan penuh kesedaran akan akibat yang bakal diterima demi untuk memenuhi perintah Allah SWT. Demi memelihara kesanggupan ini agar tidak ternoda dengan hal-hal yang merosaknya maka diperlukan suatu yang kita kenal dengan nama sabar. Sabar adalah usaha mengawal diri dari tergelincir kedalam gaung amarah, benci, permusuhan, atau bahkan keluhan.
Menyedari kelemahan diri manusia, kita dianjurkan untuk i’tikaf dan banyak membaca Al-Quran selama Ramadhan agar mampu membantu kita dalam meraih sabar. I’tikaf adalah usaha melarikan diri dari kawasan merbahaya ke kawasan aman. Pelarian adalah sebaik-baik usaha agar mereka yang lemah dan tidak mampu mengawal diri terselamat dari jebakkan amarah, permusuhan dan pertelingkahan. Bagi mereka yang tidak mampu mengawal diri dari menahan tuntutan naluri manusiawi (syahwat) juga akan terselamat jika pelarian menjadi pilihan. Sebaik-baik tempat pelarian tidak lain adalah masjid. Lingkungan yang sihat di masjid akan membentuk peribadi yang sihat pula. Hal ini terbukti ketika Nabi Muhammad SAW menyendiri di gua Hira’ bagi menyelamatkan diri dari permasalahan sosial yang multi dimensi ketika itu. Penyendirian baginda kemudian memberi Baginda ruang untuk beribadah dan bertadabbur.
Pembacaan Al-Quran adalah salah satu perkara utama yang dianjurkan sepanjang Ramadhan. Dari sisi sejarah, Al-Quran memang diturunkan di bulan ini yang menjadi sebuah penghormatan kepada bulan ramadhan itu sendiri. Maka, setiap ramadhan yang hadir adalah ulang tahun peturunannya yang tentunya amat layak disambut dengan membaca dan mentadabburi isi kandungannya. Al-Quran yang disifatkan oleh Allah SWT sebagai cahaya, penawar dan hidayah merupakan mukjizat yang agung. Lebih-lebih lagi ia diturunkan khas oleh Allah SWT kepada manusia. Maka alangkah ruginya mereka yang tidak menjadikan Al-Quran sebagai pedoman hidup. Persoalan yang berbaki adalah sejauh mana kesan dan pengaruh penahanan diri dari nafsu, pelarian dari kerosakan sosial dan rujukan kepada kitab agung terhadap diri kita?
Logiknya, seandainya proses pengawalan diri selama sebulan diringi dengan pelarian dari pendedahan penyakit sosial yang diperteguhkan lagi dengan pegangan pedoman agung seharusnya menghasilkan sebuah syakhsiah yang kukuh. Bahkan secara hitungan matematiknya, proses yang sedemikian hebat sangat layak menghasilkan taqwa. Dengan kata lain, taqwa sebagai objektif itu bukanlah angan-angan yang tidak akan menjadi kenyataan, malah menjadi tahap yang pasti dicapai jika proses pelaksanaan berjalan dengan benar dan tepat. Pembuktiannya mudah, seorang yang benar-benar mampu mengawal diri dan sabar lalu mampu selesa untuk sentiasa berada dilingkungan sihat seperti masjid kemudian sentiasa menjadikan Al-Quran sebagai rujukan akan merasa tidak tenang dan gelisah jika berada di dalam keadaan yang sebaliknya. Maka, diluar ramadhan dia lebih mampu mengawal diri kerana ketika dalam keadaan lapar sahaja dia mampu mengawal diri inikan pula keadaan kenyang dan selesa. Ketika dia selesa berada di lingkungan yang sihat maka dia akan gelisah berada di lingkungan yang dipenuhi maksiat. Nalurinya pasti mendesak untuk lari dan mencari lingkuan yang aman. Sebulan ramadhan tentunya telah berjaya membuatkan dia jatuh cinta kepada Al-Quran yang penuh dengan jutaan ilmu, nasihat, hikmah dan lain sebagainya. Dia bahkan tidak mampu untuk berpisah dengan Al-Quran sebagaimana ramadhan telah berjaya menautkan mereka.
Itulah sebabnya perayaan setelah ramadhan dikatakan eidul fitri iaitu kembali kepada fitrah. Selain ramadhan yang menjanjikan pengampunan dosa bagi mereka yang bersungguh kepada titik sifar dosa, ia juga mengembalikan manusia ke bentuk asal sikap, emosi, perasaan dan fikiran. Manusia dikembalikan fitrahnya kepada sukakan kebaikan dan lingkungan sihat. Manusia dikembalikan fitrahnya kepada cintakan kebenaran yang di dapatkan dari Al-Quran. Manusia dikembalikan fitrahnya kepada sikap, emosi dan perasaan asal yang indah dengan sabar dan kuat dengan daya tahan.
Ke Mesir apa yang kau cari?
Ketika kita dikembalikan kepada fitrah asal kita, adalah baik jika kita turut merenung tujuan asal mengapa kita hadir ke Mesir ini. Soalan ini merupakan soalan yang pertama yang ditanyakan ketika kita tiba di Mesir. Soalan ini juga adalah soalan yang pertama yang akan selalu kita tanyakan kepada adik-adik kita yang baru tiba di Mesir. Soalan ini juga adalah soalan yang sentiasa relevan untuk kita tanyakan kepada diri kita selagi kita berada di tanah penuh bersejarah ini. Ke mesir apa yang kau cari ?
Ustaz Dr. Musthafa Umar pernah berkata bahawa kehadiran kita di Mesir menuntut ilmu adalah umpama datang dengan sebuah gelas ke pesisir sungai Nil. Usaha kita menuntut ilmu adalah usaha mengambil segelas air yang jika ia jernih, bersih, maka ia akan menjadi penawar dan penghilang dahaga masyarakat kampung dan masyarakat dunia yang menunggu pengembalian kita. Namun seandainya segelas air itu terisi dengan air yang keruh dan berkeladak ia akan menjadi racun yang bakal meresahkan dan menyengsarakan masyarakat kita.
Kita juga sering mendengar pepatah yang masyhur seperti, ”Ke Mesir sebagai pengikut Nabi Musa atau Firaun!?”
Apa yang perlu kita perhatikan mengenai perkara ini adalah, kehadiran kita ke tanah yang penuh dengan sejarah ini bukan menjadi jaminan selamatnya kita dari dugaan dan cabaran. Kita seharusnya waspada bila mana kita melihat Piramid yang berada berhampiran kita. Sebuah peninggalan nyata yang sentiasa akan mengingatkan kita kepada Firaun yang baru diberikan sedikit kekuasaan dunia lalu bersikap melampau sehingga mengiktiraf diri sebagai tuhan. Berlaku zalim kepada rakyat. Munkar terhadap nikmat.
Bila mana kita berada di semenanjung Sinai kita seakan-akan melihat bagaimana pengikut Nabi Musa AS yang baru diuji dengan keterlambatan kepulangan Nabi Musa AS, mengkufuri Allah dan mengkhianati Nabi Musa AS dengan menjadikan ‘ijl (Patung Lembu) sebagai sembahan.
Pergunungan Tih pula menghantarkan kita kepada sebuah sejarah gelap di mana kaum Nabi Musa AS iaitu bani Israel yang telah diselamatkan oleh Allah dari kezaliman Firaun, dikeluarkan dari nista dan hina perhambaan menjadi golongan merdeka. Dikeluarkan dari kesengsaraan dan penindasaan lalu diberikan kenikmatan hidup bahkan kemewahan berupa manna dan salwa. Namun ketika Allah SWT yang telah memuliakan mereka dengan pelbagai nikmat memerintahkan untuk membebaskan tanah suci Masjid Aqsa, mereka enggan mematuhi perintah tersebut. Malah dengan sombong lagi angkuh mereka berkata kepada Nabi Musa AS, ‘Pergilah engkau bersama tuhanmu dan perangilah sungguh kami hanya akan duduk di sini !‘ Mereka lupa siapa yang memberi mereka kemewahan dan kesenangan hidup setelah menjadi mangsa kezaliman Firaun sehingga berani melawan perintah Allah. Akibatnya mereka disesatkan di pergunungan Tih selama 40 tahun sehingga lahirlah sebuah generasi baru yang nantinya akan membesakan tanah suci Masjid Al-Aqsa.
Sejarah-sejarah ini perlu sering kali kita baca agar kita tidak terpesong dari tujuan awal kehadiran kita ke tanah ini.
Kejujuran Nabi Yusuf dan kesabarannya perlu kita jadikan contoh. Kesungguhan dan ketabahan Nabi Musa AS sentiasa kita jadikan suri tauladan. Keikhlasan Nabi Musa AS berhadapan dengan Firaun menggunakan kata-kata yang lembut (Qaulan Sadidan) walaupun ketika menyeru seorang yang zalim dan kejam perlu sentiasa kita latih di dalam diri kita.
Tanyakanlah kepada diri kita masing-masing, ”Apa yang kita cari dan apa yang kita usahakan selama berada di tanah Mesir ini?” Sungguh tanah ini tidak akan mendatangkan apa-apa kebaikan kepada kita selagi kita tidak jelas tujuan dan sasaran lalu berusaha mendapatkannya.
Perancangan di awal semester pengajian
Jika kita telah berjaya menjawab soalan ”ke Mesir apa yang kau cari?” maka langkah seterusnya adalah menyusun strategi untuk mencapai apa yang kita inginkan. Seorang yang gagal adalah apabila seseorang itu gagal merancang.
Merancang membantu kita untuk mampu mengurus dan berlaku adil kepada segala tanggung jawab yang kita pikul. Ketika merancang sesuatu kita akan membuat kajian bagi mendapatkan data yang akurat tentang cabaran yang akan ditempuh. Data-data ini akan membuatkan kita waspada dan mengenali musuh kita. Data-data ini juga dapat memberikan gambaran kekuatan kita. Bahkan, data-data ini akan memperlihatkan kepada kita kekurangan-kekurangan yang kita miliki.
Berpandukan data-data yang kita miliki ini dapatlah kita mulakan perancangan. Kita mengenal pasti berapa tempoh masa yang kita miliki sebelum peperiksaan selaku wadah perjuangan tiba. Kita kemudian mengenal pasti seberapa banyak bekal yang kita perlukan dalam perjuangan tersebut. Berapa puluh buku yang perlu kita kuasai. Berapa kemahiran asas sebagai alat bantu yang perlu dimiliki. Berapa juz Al-Quran yang perlu dihafal. Berapa baris syair dan matan yang perlu berada di luar kepala. Perhatian kita terhadap kelebihan yang dimiliki juga perlu diambil kita sehingga perancangan kita tersusun rapi.
Mengenal pasti semua data-data tersebut, dapatlah kita melangkah kepada kira-kira. Seandainya kita mampu menghafal satu muka Al-Quran dalam sehari, maka paling cepat kita memerlukan 42 hari untuk menghafal 2 juz Al-Quran. Untuk itu kita perlu memperuntukkan 42 hari khusus untuk Al-Quran. Kita kemudian memiliki 100 bait syair untuk dihafal. Seandainya kita memerlukan satu jam untuk menghafal satu bait syair, maka peruntukkanlah 100 jam khusus untuk syair. Demikianlah seterusnya proses perancangan perlu dibuat di awal semester perkuliahan demi menjamin kejayaan.
Perancangan sebegini sangat berguna teruma bagi kita menyeimbangkan kekuatan dan kelemahan kita. Ramai pelajar yang begitu menyukai satu mata pelajaran yang dia gemari menghabiskan puluhan jam untuk mata pelajaran itu sahaja. Akibatnya, peruntukkan masa yang seharusnya menjadi milik mata pelajaran lain yang lebih susah dan agak tidak digemari dirampas. Tentunya ia menghasilkan natijah yang begitu mengenaskan pada mata pelajaran yang malang itu.
Memiliki plan perancangan seperti ini juga membantu seseorang untuk tidak tertipu dengan keadaan. Tanpa plan perancangan ini seorang secara tidak sengaja, tidak menyedari cabaran yang seharusnya dia hadapi. Lalu ketika berada di lingkungan yang bebas berhiaskan fasiliti teknologi yang canggih bisa saja menghanyutkan seseroang ke dalam dunia yang sepatutnya tidak menjadi alamnya.
Kecemerlangan harus dicapai
Ramai dari kita menganggap kecemerlangan bukanlah perkara yang penting atau utama. Bahkan, kebanyakkan kita telah gagal memiliki semangat mencapai kecemerlangan bilamana berada di Mesir. Lebih malang lagi jika kecemerlangan sama sekali tidak ada dalam fikiran atau minda seseorang itu.
Mengapa perlu cemerlang dan apa keistimewaan kecemerlangan?
Pertanyaan seperti di atas layak kita ajukan kepada diri kita sebelum membuat keputusan untuk mencapainya. View yang salah mengenai kecemerlangan mungkin menjerumuskan. Kecemerlangan tidak selamanya dilihat dari kaca mata materialistik yang sentiasa dikaitkan dengan faktor dan pengaruh duniawi.
Kita perlu melihat sebuah kecemerlangan sebagai sarana untuk mendekatkan diri kepada Allah. Wadah menzahirkan kesyukuran. Bentuk kesungguhan dan ketaatan terhadap tugas selaku khalifah di muka bumi ini.
Ayuh kita renungkan sejenak ihsan yang merupakan tahap tertinggi yang perlu kita usaha untuk mencapainya. Ihsan adalah beribadat kepada Allah seakan-akan kita melihat Allah dan jika itu tidak berlaku, maka beribadatlah dengan penuh kewaspadaan bahawa Allah sedang memperhatikan kita. Definisi ini menjelaskan kita bahawa tahap ihsan adalah tahap seagung-agung kualiti dan sehebat-hebat persembahan. Muntaha jawdah wa aqsal jamal!
Ihsan adalah bahasa lain kecemerlangan.
Jika kita yakin bahawa saat ini tugasan yang kita peroleh adalah sebagai pelajar, maka kecemerlangan seorang pelajar adalah usaha sehabis boleh dalam menuntut ilmu. Seandainya peperiksaan merupakan garis ukur pencapaian akademis maka kecemerlangannya adalah mencapai hasil kelulusan yang paling memuaskan.
Tentunya seorang pelajar yang cemerlang dan faham tidak akan mengabaikan tanggung jawabnya yang lain. Ini kerana tahap ihsan tidak boleh disempitkan di dalam aspek pelajaran sahaja walhal selain menjadi pelajar kita juga menjadi ahli atau pengurus persatuan, kita juga menjadi anak kepada ibu bapa, kita juga menjadi warga dalam sebuah komuniti masyarakat, kita juga mungkin menjadi bapa atau ibu kepada anak-anak kita.
Jika ihsan perlu diaplikasikan kepada keseluruhan pergerakkan manusia 24 jam sehari, maka kecemerlangan juga perlu diaplikasikan dalam setiap yang dikerjakan. Pahaman sebegini bertepatan dengan hadis yang menjelaskan bahawa Allah SWT mencintai hambanya yang teliti (itqan) dalam melaksanakan sesuatu. Ketelitian atau itqan adalah sikap melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh tanpa boleh berkompromi dengan kecacatan walaupun ianya sepele.
Untuk itu kita perlu meletakkan kecemerlangan sebagai cita-cita kita. Ihsan adalah proses pelaksanaannya. Namun demikian kecemerlangan juga tidak boleh disalahertikan dengan hanya menilai markah yang diperoleh di atas sijil. Seorang yang mendapat Jayyid jiddan belum cemerlang seandainya Allah mengaruniakannya potensi yang seharusnya mampu mencapai Mumtaz. Sebaliknya, seorang yang hanya mendapat maqbul mungkin merupakan seorang yang cemerlang bila mana dia bertaqwa dalam proses pelaksanaan dan berusaha sehabis daya. Ingatlah kata-kata Habil, ”Innama yataqabbalullahu minal muttaqin!”
Demikianlah beberapa perkara yang kita rasakan perlu untuk sejenak kita renungkan kemudian kita terjemahkan ke dalam bentuk pelaksanaan dengan harapan penuh agar hari mulia ini menjadi pemula lembaran baru yang akan dihiasi dengan lakaran sejarah gemilang menggunakan tinta emas. Ingin sekali saya perdendangkan sebuah nasyid lama yang sentiasa perlu kita jadikan renung. Liriknya begini, ”Umat islam harus cemerlang, hari ini mesti lebih baik dari semalam. Jangan buang masa siapa kata kita tidak boleh, kita ada Allah Maha Kuasa, kita punya kuasa tenaga, doa sebagai senjata. Umat islam sentiasa boleh. Umat Islam zaman lampau taat perintah Rasulullah, bersama berusaha, bersatu tuju wawasan, dunia dan akhirat. Wawasan duni dan akhirat, akhirnya Islam cemerlang seluruh dunia. Wawasan diri penuhi dada dengan ilmu, wawasan agama bekalan masa depan dan akhirat, kuat usaha jujur dan amanah sentiasa mengharap keredaan Allah. Aqidah ibadah harus sempurna, Ibadah tanpa aqidah wawasan syaitan, ulama warisan anbiya, pegangan mereka harus diikut, ajaran sesat wajib hindari.” Demikianlah lirik nasyid ”Menuju Wawasan” yang pernah dinyanyikan oleh Suara Firdau suatu ketika dulu. Sama-samalah kita renungkan.
Akhir sekali, dikesempatan ini saya mewakili seluruh warga ABIM Mesir khususnya dan ABIM secara keseluruhannya mengucapkan, ”Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batih.” Kullu ’amin wa antum bikhair.
Al-Faqir ila ’afwi rabbihi,
Abdul Shahiid Bin Shafruddin
Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
Cawangan Mesir
Hayyu Asyir, 30 Ramadhan 1429

October 2nd, 2008 at 11:35 pm
Perutusan ini telah diterbitkan di dalam Wadah Edisi Khas Aidilfitri dan disiarkan di : http://abimmesir.org/index.php?option=com_content&task=view&id=198&Itemid=82
October 26th, 2008 at 4:47 pm
hooo~ yang dipertua abim mesir rupanya dia~ hehe~