“Dan perangilah di jalan Allah SWT mereka yang memerangi kamu dan jangalah kamu bermusuhan sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang bermusuhan!” Al-Baqarah : 190

Ada yang bertentangan di dalam ayat ini. Perintah supaya berperang dan larang dari bermusuhan. Biasanya manusia akan berperang jika mereka bermusuhan. Atau dalam susunan kata lain, permusuhan adalah penyebab berlakunya peperangan.

Para ulama ada pendapat mereka tersendiri mengenai ayat ini. Namun, aku berusaha meneliti dan memahami dengan daya fikir yang Allah SWT karuniakan kepada kita semua. Secara tidak langsung ayat ini jelas memberi kita gambaran akan adanya perbezaan antara berperang dan bermusuhan.

Berperang adalah tindakkan sedang bermusuhan adalah sikap. Perang adalah pergerakkan seluruh anggota tubuh untuk mengalahkan atau membunuh seseorang atau sekelompok manusia. Musuh pula adalah keadaan hati yang disulut dengan kemarahan, kebencian dan dendam. Inilah definisi yang mungkin aku berikan jika aku diberi peluang untuk berbuat demikian.

Ketika kita diperintahkan untuk berperang dijalan Allah SWT, kita tidak melakukan peperangan itu atas dasar benci, marah atau dendam. Peperangan yang diperintahkan adalah untuk menumbangkan kuasa lawan yang menentang dan menghalang tersebarnya keamanan dan keselamatan yang dibawa Islam. Maka, peperangan yang berlaku adalah peperangan terhadap segala yang menghambat dan menghalang penyebaran Islam itu sendiri. Sebuah negara yang ditadbir oleh pemimpin yang jahat sebagai contoh terpaksa diperangi jika dia tidak memberi ruang kepada Islam untuk sampai kepada rakyat. Seandainya dia memberi ruang alasan untuk berperang akan hilang. Adapun jika dia berkeras untuk menghalang masuknya Islam, peperangan yang akan tercetus adalah terhadap halangan tersebut bukan terhadap penduduk dan kekayaan yang terdapat di tanah itu.

Larangan bermusuhan pula memberikan kita suatu gambaran jelas dimana Islam bukan sebuah agama yang menindas dan menyebabkan kehancuran. Tidak ada istilah musuh dalam kamus Islam. Anda seorang kafir, munafik, pembohong, pengkhianat, pendendam atau apalah gelaran-gelaran lain tidak menjadi alasan kepadaku selaku seorang muslim untuk memusuhi anda kerana Islam tidak pernah mengajarkan demikian. Namun perlu anda ingat, jika anda menghalang Islam untuk tersebar maka, halangan anda itu terpaksa diperangi.

Tahun ini nakbah telah pun mencapai ulang tahunnya yang ke 60. Israel, setengah abad lebih sudah ia berdiri. Penduduk Israel mungkin sudah pun berkembang hingga ke generasi ketiga atau mungkin keempat. Jumlah mereka juga pun tentunya semakin ramai. Pertanyaan yang timbul adakah mereka layak diperangi?

Sebahagian berpendapat mereka memang layak diperangi kerana mereka menduduki tanah rampasan itu. Ya, tidak jauh beza dengan pendapat mereka yang membunuh warga asing yang sedang asyik berdansa di Bali beberapa tahun yang lalu. Mungkin tepat tapi mungkin juga tidak.

Manusia memang diberi pilihan dalam pelbagai urusan kehidupan. Akan tetapi manusia juga diberi suatu yang tidak ada ruang untuk memilih. Kita tidak mampu memilih untuk keluar dari rahim siapa. Kita tidak diberi peluang untuk memilih jantina. Kita tidak boleh memilih warna kulit kita. Dan ribuan lagi perkara yang tidak memberi ruang bagi manusia untuk memilih. Aku berfikir seandainya aku lahir dari rahim seorang ibu yang kebetulan berada di sebuah tanah yang pemerintahnya zalim dan kejam, adakah aku harus dimusuhi oleh seluruh umat Islam? Padahal, manusia tidak dipertanggungjawabkan kecuali yang telah dilakukan oleh tangan dan kaki mereka. Wala taziru waziratun wizra ukhra.

Temanku bercerita bagaimana pengalamannya ketika berada di dalam tanah Palestin yang dirampas Israel. Sebahagian penduduk Israel begitu ramah, mereka tidak sejahat yang digambarkan. Mereka bahkan begitu tertarik dengan Islam. Tidak sedikit dikalangan mereka yang tertanya-tanya tentang Islam. Bahkan tidak sedikit juga antara mereka yang yakin bahawa mereka akan tenteram jika tanah yang direbutkan itu ditadbir sepenuhnya oleh HAMAS! Mereka bahkan tidak segan-segan untuk berteriak keras menuntut pembelaan sebaris dengan penyokong HAMAS dan penduduk Palestin lainnya ketika menunjuk perasaan terhadap pemerintah Israel.

Apa yang bermain difikiranku saat ini adalah bagaimana usaha gigih HAMAS mentarbiah rakyat-rakyatnya agar nanti mampu membebaskan Palestin yang tertawan dan hadir sebagai rahmat kepada rakyat Israel sendiri. Itu yang kita mahukan dan harapkan! Dan itu jugalah yang telah dilaksanakan oleh Saidina Umar Al-Khattab dan Panglima ternama Salahuddin Al-Ayyubi. Cabaran hebat buat HAMAS khususnya dan seluruh umat Islam umumnya.

Hal sama layak diguna pakai dinegara-negara lain selain Palestin yang tertawan. Kerisauan yang sering aku ungkapkan masih lagi belum memudar. Parti-parti yang melaungkan syiar Islam sudahkah mereka jelas dan mengamalkan konsep ini. Konsep memerangi kejahatan bukan memusuhi manusia. Persatuan-persatuan pelajar dikampus atau jemaah-jemaah dan lain sebagainya. Ayuh sama-sama kita perjelas sasaran. Jangan sampai kita tersalah langkah. Seburuk dan sejahat apa pun seseorang dia masih lagi saudara kita selama dia mengucapkan dua kalimah syahadah. Bahkan jika dia seorang kafir sekali pun dia masih layak menerima layanan baik kita kerana dia masih lagi manusia yang perlu dihormati. Iman dan taqwa perlu subur dan tumbuh mekar untuk mempu berperang tanpa bermusuhan.

 

 

4 Responses to “Perangilah Tapi Jangan Bermusuhan!!”

  1. abg nash Says:

    wei shahiid.. ape ko mengarut ni ? haaa ?

  2. taqeyyabella Says:

    Hehe.. abang nash.. jangan salah faham..

    Perjuangan kita tetap jelas dan masih kepada sasaran yang sama.

    Darah yang menggelegak tatkala berada di podium melaungkan seruan ke medan perang masih lagi menggelegak sama seperti dulu. Harap-harap suhunya saat ini lebih panas dari saat itu.

    Tulisan ini perlu dibaca dengan teliti kerana saya tulis pon menggunakan kata-kata sebahagian warganegara israel. Maknanya saya tidak nafikan wujudnya sebahagian lagi golongan Israel pelampau yang memang darah mereka layak dibunuh seperti golongan yang menyuruh kanak-kanak mereka meletakkan tandatangan di atas bom-bom yang akan diletupkan di Palestin.

    Saya banyak mendengar bagaimana HAMAS mendidik pengikutnya yang membuatkan saya sangat kagum.

    Kita juga perlu belajar dari HAMAS bagaimana mereka berusaha mendidik dan memperjuangkan tanah suci dengan ikhlas dan bukan atas dasar kebencian.

    Kita masih lagi sepakat tidak ada kata perdamaian dengan Israel kerana itu memang bukan bahasa mereka. Mereka hanya paham bahasa perang. Tapi perang kita bukan sekedar perang. Perang kita disulami cahaya ihsan. Perang kita menghormati makhluk yang bernama manusia. Perang kita bukan dikomando nafsu atau dendam.

    Point utama saya menulis tulisan ini adalah untuk mengingatkan diri saya agar dapat menyemarakkan semangat berperang dan menguburkan semangat bermusuhan. Hari ini kita lebih suka bermusuhan dibanding berperang. Kita masih lagi lebih sibuk untuk mencipta musuh daripada membuat jaringan kerja. Usaha baik kawan-kawan kita sering kali kita musuhi. Padahal seharusnya kita sudah pun sedar bahawa sekarang saatnya berperang bukan lagi bermusuh-musuhan.

    HAMAS sedang gigih memerangi tentera-tentara Israel dan Pemerintah Israel. Dan pada masa yang sama saya menerima maklumat dari lapangan yang mengisahkan tentang mereka, sebahagian rakyat Israel yang turut juga menyokong HAMAS dan mengutuk perbuatan pemerintah mereka. Ya, mereka mungkin sebahagian kecil dan mereka tidak mampu berbuat apa.

    Kita perlu selalu berdoa agar kita semua sentiasa sedar untuk terus meningkatkan iman dan taqwa kerana hanya dengan kedua perkara itulah kita dapat menang memerangi Israel.

    Tidak ada penyakit lain yang lebih bahaya kepada umat Islam saat ini melainkan penyakit wahn, iaitu cintakan dunia dan takut mati!

    Abd Nash, mohon sentiasa doakan saya.. Rindu kat abang!

  3. dalili Says:

    hoho… nice view… senang cakap, tapi susah diklarifikasikan… good luck to u, dear friend.. ;)

  4. taqeyyabella Says:

    Yup, its true..

    Susah nak clarify. Tapi sebenarnya bendanya taklah susah mana untuk difaham. Kita tentang Pemerintah Zionis Israel dan seluruh penyokong-penyokongnya. Mereka itulah yang kita perangi. Namun, masyarakat awam dalam negara tersebut kita tidak boleh pukul rata bahawa mereka layak diperangi.

    Konsep yang sama ketika awal penyebaran Islam dimana kita menggunakan istilah “futuh” yang bermakna “pembukaan” dan kita tidak menggunakan istilah jajah atau yang sama erti dengannya. Kerana Islam dari dulu hadir membebaskan masyarakat yang lemah dari pemerintah mereka yang zalim.

    Thanks a lot for your support!

Leave a Reply