Pendidikan Tauhid

Posted on January 29th, 2009 in Agama, Fikir, Uncategorized

Penulis agak terkejut melihat video di atas. Bagi penulis pertanyaan yang ditanyakan cikgu tadika tersebut sangat-sangat tidak mendidik. Adakah demikian cara kita memperkenalkan Allah SWT kepada mereka.

Kita perlu memahami keadaan mereka sebagai insan yang masih terbatas maklumanya. Mengenal Allah SWT bukanlah semudah berkata-kata. Mempercayai tentunya lebih rumit dari sekedar kenal dan tahu. Jangankan si kecil yang masih polos, orang tua yang solat saja masih ramai yang percaya dengan yang namanya jimat dan tangkal. Tidak sedikit yang masih bergantung kepada bomoh dan dukun.

Ketika kita ingin mendidik si kecil akan pendidikan tauhid iaitu pendidikan mempercayai keesaan Allah SWT dan segala sifat yang layak bagiNya, maka kita perlulah sebelumnya memahami dengan sebenar-benarnya keadaan si kecil itu. Sudahkah dia bersedia memahami konsep yang ingin kita pahamkan kepada mereka.

Seringkali penulis tanyakan kepada diri, mengapakah begitu susah untuk memahami dan memahamkan konsep tauhid? Setelah direnungkan ternyata ia bukan masalah susah atau mudah, tetapi ia bergantung kepada dua hal. 1. Bagaimana usaha seseorang mencari pemahaman tersebut. 2. Pemberian atau karunia untuk memahami konsep ketuhanan tersebut.

Melihat kedua faktor ini, penulis melihat bahawa kaedah yang paling selesa untuk mencapai kepada sebuah pemahaman tersebut adalah dengan mencipta suasana. Jika kita yakin bahawa pemberian atau karunia yang biasa kita kenal dengan hidayah adalah luar kekuasaan kita, kemudian kita juga sedar bahawa sebuah keyakinan tidak mampu diraih dengan paksaan maka kita perlu mencari jalan terbaik untuk mencapai tujuan tersebut tanpa menyalahi proses dan sistem semula jadi yang kita miliki.

Allah SWT selaku Tuhan yang haq telah menyediakan segala sarana dan prasarana yang mampu menyampaikan seseorang kepada tauhid. Maka dengan segala sarana dan prasara tersebut Allah tidak berlaku adil jika ada yang terpaksa diazab bilamana mereka didapati tidak beriman pada hari pembalasan kelak. Sisi lain, Allah SWT juga selaku yang Maha Berkuasa turut menyediakan saingan iaitu Iblis dan keturunannya agar sarana dan prasarana ini tidak mudah diraih dan juga sebagai penapis yang dapat memperlihatkan dengan tepat siapakah yang benar-benar layak untuk meraih anugerah dan ganjaran  dari Allah SWT.

Ketika kita meneliti metod dakwah yang dilakukan Rasulullah SAW. Kita dapat melihat bagaimana Rasulullah SAW mengajar para sahabat untuk menjadi petunjuk kepada kebenaran. Petunjuk bermakna berusaha menuntut dan membawa seseorang untuk mencapai kepada apa yang ingin diperlihatkan kepadanya. Maka, kita tidak akan menemukan bentuk-bentuk pemaksaan di dalam dakwah Islam. Segala bentuk pemaksaan akan menimbulkan sebuah kepercayaan dan keyakinan yang tidak telus.

Keadaan ini mendorong penulis agar benar-benar yakin bahawa sebagai individu dalam masyarakat, samaada di dalam keluarga atau yang lebih besar darinya, perlu sentiasa menitik beratkan usaha-usaha menciptakan suasana yang kondusif dalam mendidik konsep kepercayaan. Dengan usaha tersebut kita akan banyak membantu  ramai orang agar mencapai kepercayaan yang murni.

Persoalan yang diutarakan cikgu tadika di atas dilihat sangat-sangat mencederakan suasana yang seharusnya kondusif dalam penerapan konsep ketuhanan. Mengapa ia dilihat suatu yang tidak kena?

Kita perlu jelas bahawa Allah SWT adalah suatu yang ghaib. Ghaib dalam erti tidak dapat dipandang dengan pancaindera manusia yang teramat lemah. Ghaibnya Allah SWT disini merupakan rahmat kepada kita selaku manusia kerana memang qudrat yang kita milik sangat lemah dan tidak mampu. Ketika kita membandingkan Allah SWT yang ghaib di mata kasar dengan seorang Ultraman yang ghaib maknawi tetapi zahir jelas kesan dan pengaruhnya di minda si kecil, maka janganlah kita mengharap akal mereka mampu menilai dengan tepat.

Hal yang sama berlaku ketika kita memomokkan hantu yang ghaib sehingga ia menjadi suatu yang amat menakutkan. Padahal hantu tidak pun pernah terlihat wujudnya. Inilah yang kita katakan dengan sarana dan prasarana yang membentuk mind set seseorang.

Seharusnya kita perlu menciptakan suasana yang dapat menyerap konsep ketuhanan dengan baik seperti mana kita terbiasa dengan tidak sengaja menerapkan ketakutan batil kepada hantu yang juga ghaib.

Merupakan sebuah kesalahan besar jika kita gagal menilai dan membuat sebuah suasana yang mampu menghantar kepada sebuah pencerahan yang haq. Lalu ketika mendengar jawapan yang sesuai dengan apa yang ada di minda si kecil, segera kita beristigfar seakan-akan tidak dapat menerima kenyataan apa yang dikatakan. Padahal kitalah yang paling bersalah ketika membandingkan sesuatu yang sangat tidak layak dengan Allah SWT.

Published by taqeyyabella

2 Responses to “Pendidikan Tauhid”

  1. anasxz Says:

    Guru tadika itu mungkin masih baru hal pendidikan kepada murid. Ia perlu mempelajari teknik khususnya untuk mengajarkan budak-budak tentang konsep tauhid.

    Macam anta kata la, dia memberikan jawapan dari soalan siapa kuat itu tidak masuk akal bagi budak-budak.

    Kenapa Ultraman menjadi pilihan makhluk terkuat baginya?

  2. arsyak Says:

    mempelajari untuk mencari dan menemukan tuhan itu harus ada gurunya yang ahli tauhid tentunya tidak asal guru, dan guru tauhid itu hanya ada satu di jawa tengah khususnya….

Leave a Comment

Share