Peace Tak Punya Agama!!??

Posted on January 18th, 2009 in Uncategorized

“Mankanya jd orang itu jangan terlalu fanatik bodoh, menyatakan agamanya yang paling benar di muka bumi, tapi agam orang lain itu kafir….guoblookkkk,,,, duni ini diciptakan bukan hanya untuk satu agama, tapi bebas memilih agama mana yang menurut dia oke dan cocok dengan kehidupan dan budayanya…sudah tahu itu bencana masih aja menyerukan untuk melihat…. lihat apa??? mau perang….ngaku ulama kog ngajak orang perang,,,emang agama mengajarkan perang…..peace tak punya agama,,, yakin aja ada pencipta langit dan bumi. selesai…” – Anomist (16 Januari 2009, 10.38)

Saya agak terkejut membaca komen yang saya aku terima dari seorang yang tidak saya kenali. Pada mulanya ada sedikit perasaan marah dan benci. Namun, setelah beberapa ketika saya malah tersenyum membaca komen orang yang mengaku sebagai anomist ini. Dari komen yang diberikan jelas menunjukkan dia seorang warganegara Indonesia.

Dari komen tersebut ada beberapa perkara yang telah disampaikan :

1. Agama paling benar dan agama lain kafir.

2. Dunia bukan dicipta untuk satu agama sahaja dan diberi kebebasan memilih agama.

3. Ulama mengajak orang perang.

4. Peace tak punya agama. Yakin aja ada pencipta langit dan bumi.

Berikut adalah jawapan saya :

1. Agama paling benar dan agama lain kafir.

Bagi saya agama yang saya anuti memang yang paling benar dan agama yang lain adalah salah. Ini kerana saya percaya dan yakin dengan apa yang saya terima. Ketika saya mempelajari tentang agama ini, saya mula mengenal apa-apa yang diperlihatkan oleh Allah SWT akan kesucian dan kemurnian agama ini. Agama Islam yang saya anuti telah dikaji kitab sucinya. Hasil kajian jelas menunjukkan bahawa kitab tersebut masih autentik dan selamat dari kekejian tangan manusia. Begitu juga tentang sejarah manusia pilihan yang menjadi utusan Allah SWT. Para pengkaji sejarah dari yang beragama Islam dan bukan Islam telah mengakui kehebatan yang telah Baginda persembahkan kepada generasi manusia. Segala ucapan, kelakuan dan pengakuan yang telah Baginda lakukan telah didokumentasikan secara begitu rapi sehingga sebahagian daripadanya dapat diyakini ketulenannya.

Kitab Suci yang melampau kemampuan manusia, ucapan, kelakuan dan pengakuan nabi yang direkodkan dengan begitu detail dan rapi membuatkan saya yakin akan kesahihan agama ini dan kebatilan agama lain.

Ketika saya menyatakan keyakinan saya terhadap agama saya. Ia merupakan hasil dari usaha saya mempelajari kitab suci saya. Memahami rukun dan asas-asas yang ada didalamnya. Mengkaji kitab suci dan segala yang berkaitan dengannya. Melihat dan merenungkan segala konsep ketuhanan, penciptaan dan kematian dan kebangkitan semula. Semua itu disampaikan dengan begitu detail. Akal sihat saya dapat menerimanya. Maka ia menghantarkan saya kepada sebuah keyakinan. 

Ketika saya mengatakan agama lain kafir dan tidak tepat. Itu kerana saya menilai dan membandingkan dengan segala maklumat dan fahaman yang saya miliki dan yakini. Saya berhak untuk menilai dan memberi keputusan serta komen sesuai dengan kehendak saya. Itu hak saya sebagai manusia. Namun, saya dengan pendirian dan keyakinan saya, saya sama sekali tidak melecehkan agama-agama lain. Saya menghormati kepercayaan mereka walaupun saya meyakini kebatilan keyakinan mereka. Kerana saya mengakui hak dia untuk memilih agama apa yang dia inginkan.

2. Dunia bukan dicipta untuk satu agama sahaja dan diberi kebebasan memilih agama.

Saya tidak setuju dengan kenyataan ini. Menurut apa yang saya pelajari, manusia pada mulanya semuanya tunduk dan menyembah kepada Allah SWT. Ketika itu tidak ada keperluan kepada agama kerana semua manusia menjalankan kehidupan sesuai dengan ketentuan Allah. Semua melaksanakan tugas-tugas dengan baik tanpa membuat sebarang kehancuran besar.

Ketika manusia mula membiak. Jumlah bertambah. Manusia mula menyembah selain Allah. Ia terjadi di zaman Nabi Nuh. Nabi Nuh adalah nabi pertama yang menyeru manusia kembali untuk menyembah Allah.

Semakin lama manusia semakin bertambah. Permasalahan semakin banyak. Keperluan kepada agama jadi mendesak. 

Melihat kepada keperluan inilah Allah SWT kemudian menurunkan Syariah (perintah) kepada manusia. Kitab yang diturunkan kepada manusia hanya ada empat : Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.

Umat Islam mengakui bahawa Injil, Zabur dan Taurat adalah kitab yang Allah SWT turunkan. Bahkan kami wajib menyakininya. Tetapi hari ini, kitab-kitab itu sudah tidak lagi wujud. Jika pun ada ia sudah tercemar dengan tulisan dan tolak tambah manusia.

Kita perlu sedar bahawa kita sekarang hidup di usia bumi yang begitu tua. Bermakna generasi manusia juga telah menempati bumi ini begitu lama. Jumlah manusia juga semakin bertambah. Maka pemahaman manusia semakin campur aduk dan membingungkan.

Ketika Al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab yang ternyata menjadi penyebab ketulenannya, ia menjadi risalah kepada seluruh umat manusia. Ia merupakan panduan yang nyata, praktikal, jelas dan realistik. Tidak kira agama apa sekali pun jika melaksanakan petua yang terkandung di dalam Al-Quran akan mendapatkan hasil yang dijanjikan.

Maka, ketika Al-Quran yang diturunkan kepada kita yang hidup dipenghujung usia bumi, kita perlu sadar bahawa tidak ada kitab lain yang diturunkan kepada kita selain Al-Quran. Jika ada kitab yang mampu menandingi Al-Quran maka pasti kita akan meyakini kitab tersebut. Nyatanya memang tidak ada kitab lain yang lebih hebat dai Al-Quran. Keadaan ini memaksa umat manusia mengakui kesatuan kitab yang layak dipakai saat ini. Itulah yang akhirnya menyebabkan agama yang benar di atas muka bumi ini hanya Islam.

Kebebasan memilih agama. Benar kita diberi kebebasan memilih agama. Tapi perlu ingat bukan semua agama diterima di sisi Allah. Jadi apakah untungnya memilih agama yang nantinya tidak membawa kebaikan kepada kita. Larangan memaksa seseorang untuk perpegang kepada satu agama adalah demi menunjukkan betapa manusia dihormati keputusannya. Betapa manusia agung dengan akal yang diberikan sebagai penentu tindakkan dan penyelidik sebelum membuat keputusan.

Kebabasan adalah hak manusia. Tetapi jalan yang benar hanya ada satu.

3.Ulama mengajak orang perang.

Ulama mengajak orang untuk perang adalah suatu perkara yang perlu pembahasan panjang. Perang yang Islam bawa bukan perang yang brutal. Anda boleh katakan apa yang anda inginkan tetapi saya mengajak anda untuk melihat hakikat sebenar yang ada di dalam agama kami.

Banyak orang salah menilai dan memahai. Bahkan tidak sedikit yang sengaja meletakkan diri mereka dalam pahaman yang salah terhadap konsep pembelaan di dalam Islam.

Kalau umat Islam membuat pembelaan maka itu dianggap suatu keganasan. Jika pihak lain membuat penindasan itu tidak pula dikecam.

Kita sudah biasa dituduh yang bukan-bukan.

4. Peace tak punya agama. Yakin saja ada pencipta langit dan bumi.

Peace atau kedamaian tak punya agama. Hemm.. anda perlu banyak baca untuk tahu apa yang pernah dan telah terjadi di belahan dunia lain. Kedamaian bukan manusia jadi memang tidak punya agama.

Yakin dengan pencipta langit dan bumi adalah suatu kewajipan. Namun, pertanyaanya adalah, “adakah cukup sekedar percaya? Apa setelah kepercayaan itu?”

Jika anda percaya kepada pencipta langit, bumi dan diri anda sendiri, percayakah anda akan tugas yang dikaruniakan kepada anda sebagai manusia?

Langit, bumi, matahari, air, udara dan semua yang ciptaan lainnya ada peranan dan tugas yang telah diperintahkan Allah. Begitu juga manusia. Untuk mengetahui perintah tersebut kita perlu bertanya kepada Allah SWT. Allah SWT pula menyampaikan perintah tersebut melalui utusannya yang kemudian dibukukan di dalam Al-Quran.

Maka, mempercayai pencipta menuntut kita untuk mempercayai utusannya, kitabnya, ketentuan-ketentuannya. Mempercayai pencipta menuntut kita untuk melaksanakan tugas kita selaku manusia. Kepercayaan perlu diperlihatkan dengan pelaksanaan, tindakkan dan usaha. Tidak cukup sekedar bicara kosong! 

 

 

 

Published by taqeyyabella

Leave a Comment

Share