Pandangan Terhadap Wali

Posted on December 24th, 2009 in Agama

Seorang sahabat bertanya, “Apa pandangan maqasid syari’ah terhadap wali?”.

Sukar untuk saya berikan jawapan yang tepat mengenai soalan yang ditanyakan. Pertama sekali perlu saya akui, saya bukanlah seorang yang pernah mengkaji usul fiqih secara mendalam dan tidak juga menjadikan syariah sebagai kajian utama saya.

Dalam keadaan ini, saya lebih suka untuk mengajak diri saya, sahabat yang bertanya, dan pembaca sekalian untuk kembali menyemak apakah sebenarnya ‘wali’ itu, apa peranan dan fungsinya.

Wali secara garis besarnya adalah orang yang bertanggung jawab atas sesuatu. Wali bagi sebuah bandar atau kota, adalah orang yang bertanggung jawab mentadbir dan mengurus bandar atau kota tersebut. Wali murid adalah orang yang bertanggung jawab atas seorang murid, bertanggung jawab untuk membayar yuran sekolah dan menyediakan buku serta kelengkapan. Guru biasanya akan berurusan dengan wali kepada murid yang bertanggung jawab ke atas murid walaupun wali itu bukan ibu bapanya.

Pada zaman sekarang perkataan wali sudah jarang didengar kerana memang keadaan sudah berubah. Ekonomi masyarakat sudah semakin baik. Hampir semua keluarga sudah mampu untuk menghidupi keluarga masing-masing. Berbeza dengan keadaan dahulu ketika masih ada kasta dalam masyarakat, atau ketika zaman perang berlaku. Waktu-waktu seperti itu, masyarakat hidup dalam kemiskinan. Ramai yang tidak mampu menjaga anak mereka. Orang yang kaya dari sanak saudara atau mungkin juga orang luar yang baik hati menawarkan jasa untuk bertanggungjawab atas anak itu. Orang-orang seperti ini kita kenali dengan istilah wali.

Di dalam Al-Quran pula Allah SWT berfirman,

“Allah adalah wali bagi mereka yang beriman, Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan kepada cahaya sedangkan mereka yang kafir menjadikan taghut sebagai wali mereka. Dia (wali orang kafir) mengeluarkan mereka (orang kafir) dari cahaya kepada kegelapan. Mereka itulah penduduk neraka dan mereka akan berada di dalamnya selama-lamanya.” Al-Baqarah : 257

Allah SWT dengan jelas menyatakan tanggung jawabNya terhadap mereka yang beriman. Ya, Allah-lah yang akan mengeluarkan umat Islam yang bertaqwa kepadanya dari kegelapan dosa dan maksiat. Dan Allah jugalah yang akan menghadirkan cahaya bagi hamba-hambanya. Cahaya yang menerangi jalan mereka menuju Allah. Betapa beruntung mereka yang beriman kepada Allah, yang yakin dengan Allah, yang taat menjalani perintah Allah, yang taat menjauhi larangan Allah, mereka inilah yang telah terjamin pembelaan mereka oleh Allah SWT.

Demikian secara ringkas penggunaan istilah wali. Namun jika kita membincangkan perihal syariat atau fiqih kita akan temukan istilah wali digunakan paling tidak untuk dua kegunaan. Pertama, digunakan bagi orang yang bertanggung jawab ke atas harta warisan anak yatim yang belum mampu mengurus harta itu kerana belum dewasa, tidak waras atau sebagainya. Biasanya orang yang dipilih ini adalah orang yang ada hubungan darah dengan anak yatim itu dan merupakan seorang yang dipercaya atau tsiqah. Kedua, wali digunakan bagi orang yang bertanggung jawab menyerahkan tanggung jawab seorang wanita kepada calon suaminya dalam sebuah upacara penyerahan yang kita kenal dengan akad nikah.

Malaysia sebagai negara Islam menubuhkan badan khusus yang menjadi penguatkuasa bagi segala yang berkait dengan syariah. Badan-badan ini bernaung dibawah sultan setiap negeri. Kerajaan Selangor sebagai contoh, menyerahkan segala hal ehwal yang berkaitan dengan Islam kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). JAIS sebagai penguatkuasa membuat enakmen bahawa setiap perkahwinan harus didaftarkan. Mereka juga menjadikan syarat sah akad adalah dengan adanya wali hakim dari JAIS. (Kalau tak salah saya lebih kurang begitulah). Pertanyaan yang timbul, apakah fungsi wali sebenar dalam akad nikah? Lucutkah peran wali dalam akad nikah itu dengan adanya wali hakim?

Pertanyaan-pertanyaan ini mula timbul ketika terjadi pelbagai kes di negara kita. Kes tak sah akad kerana wali yang tak jelas dan yang seumpamanya. Secara syariat Islamnya, sebuah akad nikah sah jika wali menyerahkan tanggung jawabnya kepada calon suami jika disaksikan oleh beberapa orang saksi. Wali yang dimaksud dalam hal ini adalah orang yang bertanggung jawab ke atas wanita tersebut. Tidak ada yang lebih bertanggung jawab kepada seorang wanita melebihi ibu dan ayahnya. Allah SWT sentiasa akan mempertanyakan tanggung jawab ibu bapa terhadap anak perempuan. Anak perempuan dan seluruh kehidupannya adalah dibawah tanggung jawab ibu dan bapa. Bermula dari makan minumnya, pakaiannya, pendidikannya, pergaulannya, semua itu dipertanggung jawabkan Allah kepada ibu dan bapa. Maka keterkaitan perihal wanita sebelum ia berkahwin dan sesudah ia berkahwin amat besar. Ikatan perkahwinan memberi implikasi dan kesan yang sangat besar kepada wanita dan lelaki. Jika seorang wanita sebelum kahwin perlu melaporkan segala kegiatannya di rumah dan di luar rumah kepada ibu dan bapa selaku walinya, maka setelah perkahwinan laporan itu tidak lagi disampaikan kepada  bapa dan ibu tetapi malah kepada sang suami. Jika seorang wanita sebelum perkahwinan dipertanggung jawabkan kelakukannya seperti menutup aurat kepada ibu bapa (ibu bapa wajib memperhatikan, menegur, dan sentiasa menyuruh untuk menutup aurat) maka setelah perkahwinan tanggung jawab itu beralih dari bapa dan ibu kepada sang suami. Suami yang paling bertanggung jawab atas kelakuan isterinya. Ya, sebegitu berat tanggung jawab ibu dan bapa dan sebegitu berat tanggung jawab seorang suami!

Ketika kita memahami peran wali yang cukup luas ini. Kita akan paham mengapa wali yang memiliki peran yang paling utama dalam sebuah perkahwinan. Wali perlu benar-benar tahu siapa yang bakal menerima tanggung jawab besar menjaga anaknya itu. Memilih calon suami yang beriman dan bertaqwa menjadi suatu tugas wali yang paling sukar dan berat. Itulah sebabnya ada hadis yang menyatakan, “jika datang kepadamu (melamar) orang yang beriman dan bertaqwa maka hendaklah lamaran itu diterima.”

Pada hari ini kita menemukan kecelaruan dalam hal ini. Seorang anak perempuan telah dibiasakan hidup bebas mengikuti kehendak sendiri sejak ia mengenal ‘abc’ lagi. Ibu bapa tidak pernah kesah perihal anak, ke mana dia pergi, dengan siapa dia bergaul, apa yang dilakukan sehinggalah kepada perkahwinan. Mereka juga tidak kesah siapa yang akan menerima tanggung jawab besar itu. Malah mereka menjadikan itu sebagai suatu kesempatan untuk meraut banyak keuntungan. Anak mereka dijadikan seperti ‘barang’ yang diperjual belikan dengan hantaran yang melangit tinggi. Hal ini secara tidak langsung mencalari ke-wali-an seseorang terhadap anaknya.

Bagaimana pula jika  bapa selaku wali tidak ada?

Dalam sebuah keluarga yang kehilangan bapa sebagai pemimpin keluarga, tugas itu akan jatuh kepada anak lelaki yang paling tua dalam keluarga itu. Dialah yang perlu bertanggung jawab menyara keluarga itu, menjaga adik-adiknya dan juga ibunya dari segala keburukan dan ancaman di dalam atau pun diluar rumah. Maka dia jugalah yang paling berhak menjadi wali kepada adik atau kakaknya ketika akad nikah dilaksanakan.

Adakah sah akad nikah jika seorang itu mengambil wali hakim tanpa mendapat restu dari wali sebenarnya?

Untuk masalah sah atau pun tidak sah, ada banyak keadaan dan ada banyak perbahasan yang boleh menjadikan ia sah dan boleh juga menjadikan ia tidak sah. Perbahasan itu diluar kemampuan saya. Tetapi apa jelas adalah, seandainya bapa dan ibu yang sudah sekian lama memberikan perhatian kepada seorang anak sejak ia lahir hingga dewasa, sekian lama memberi didikan agama, sekian lama melindungi sang anak dari segala ancaman, adakah tergamak dan tega (sanggup) sang anak untuk mengetepikan bapa dan ibunya dalam memutuskan tanggung jawab mereka ke atasnya dan memberikan tanggung jawab itu kepada orang lain tanpa sepengetahuan mereka?

Hanya mereka yang bermasalah saja yang sanggup melakukan hal demikian. Masakan kebaikan dan kasih sayang dibalas dengan perlakuan biadab sebegitu. Wahai para anak, percayalah, ada seribu satu kebaikan dalam mentaati ibu bapa selagi mereka berada di dalam lorang Allah. Mana mungkin kebahagiaan dikecapi dengan cara begini.

Demikian perkongsian yang mampu saya sampaikan. Terima kasih kerana bertanya dan semoga bermanfaat!

Published by taqeyyabella

Leave a Comment

Share