Nidaurrahman (2)

Posted on February 17th, 2010 in Nidaurrahman

Tentang Memohon Pertolongan Dari Sabar dan Solat

“Wahai orang yang beriman mintalah pertolongan dari sabar dan solat sesungguhnya Allah SWT bersama orang-orang yang sabar..” [Al-Baqarah : 153]

Ayat diatas adalah salah sebuah ayat yang Allah SWT serukan kepada mereka yang beriman. Iman bagi manusia merupakan suatu yang sangat tinggi nilai dan derajatnya. Tanpa iman manusia tidak anggap berniali disisi Allah yang Maha Mencipta. Mereka yang beriman akan sentiasa menyedari betapa mereka sangat memerlukan kepada apa yang Allah SWT sampaikan kepada mereka. Allah SWT tidak akan menyampaikan kepada mereka yang beriman melainkan mengenai kebaikan yang akan diperintahkan untuk diamalkan atau mengenai keburukan yang akan dicegah dari terjebak di dalamnya. Tidak hairanlah jika mereka yang mengenali Allah dan mengenali diri mereka akan berhenti dari kegiatan yang sedang mereka lakukan dan memberikan sepenuhnya pendengaran dan tumpuan mereka jika mendengar ayat Allah yang bermula dengan “Wahai orang yang beriman..”

Lihat betapa beruntungnya orang beriman mendapat petunjuk secara langsung dari Allah SWT sebagai panduan dalam kehidupan. Bayangkan betapa malangnya kita jika tidak mendapat tuntunan selama kita hidup.

Ayat 153 dari surah Al-Baqarah yang ditujukan kepada mereka yang beriman memerintahkan agar meminta pertolongan kepada sabar dan solat.

Apa pentingnya sabar dan solat dalam kehidupan kita? Dan apa yang dapat sabar dan solat lakukan?

Sabar dan solat merupakan dua perkara penting yang memiliki ruang bahasan yang sangat luas. Membahas dengan terperinci segala aspek dalam sabar dan solat bukanlah suatu yang mudah. Semoga Allah bantu kita untuk dapat sentiasa mempelajari erti dan kandungan sabar dan solat dari masa ke masa. Apa yang ingin kita bicarakan di sini hanyalah satu sudut dari ratusan atau ribuan sudut pandang bagi sabar dan solat.

Sabar dan solat jika kita perhatikan sememangnya merupakan ciri orang yang beriman. Mereka yang yakin kepada Allah dengan segala sifat-sifatNya dan asma’-asma’Nya, akan menghadapi segala yang ditetapkan dalam kehidupan dengan satu sikap yang kita kenal dengan sabar. Sabar secara ringkas adalah upaya menahan diri. Sabar ketika marah, bermakna, menahan diri dari mengeluarkan atau melepaskan kemarahan. Mereka yang beriman tidak pernah berputus asa dalam hidupnya kerana mereka percaya kepada Allah. Percaya bahawa segala sesuatu adalah ketentuan Allah. Allah berhak melakukan apa sahaja. Allah berhak menentukan. Kepercayaan kita kepada Allah yang sebegini menjadikan kita seorang yang mampu menanggung segala bentuk situasi dalam kehidupan terutama situasi-situasi yang berat lagi dahsyat.

Sering kita dengar dari mulut mereka yang berada di sekeliling kita akan keluahan tentang agama. Ketika ada orang yang bicara tentang tudung sebagai contoh, begitu banyak orang yang memberi respon seperti, “Aku tak tahulah bab agama ni..” atau “Aku tak kisah bab agama ni, mak dan ayah aku pun tak kisah. ” atau, “Pehal mamat tu, dia nak jadi alim janganlah libatkan orang. Kita ni open tak mau jadi ketinggalan zaman. Orang dah maju masih lagi percaya yang karut-karut tu.”

Agama dikatakan karut. Beragama menjadikan seseorang ketinggalan zaman. Beragama adalah bagi mereka yang mendapat pendedahan sahaja, mereka yang tidak mendapat pendedahan seakan-akan tidak terlibat sama sekali dan seakan-akan terpisah dari dunia beragama.

Semua pendapat diatas dan yang seumpamanya adalah pendapat yang tidak benar mengenai agama. Kejahilan kita terhadap agama bukan menjadi alasan untuk kita jauhkan diri dari agama. Bukan juga bererti kita akan selamat dari azab. Maka kejahilan mengenai agama adalah musuh yang perlu diperangi. Kejahilan akan menjadikan punca paling utama manusia untuk ‘berani’ bermaksiat.

Memerangi kejahilan mengenai agama ini pula bukanlah suatu yang mudah. Bahkan tidak berlebihan jika ada yang berkata bahawa ia merupakan suatu yang membosankan. Membaca Al-Quran sebagai contoh, merupakan suatu perkara yang berat bagi manusia. Tajwid, makharaj huruf, waqaf adalah perkara yang sukar.

Sekolah agama pada hari ini banyak yang tidak mahu mengajarkan bahasa arab dengan sungguh-sungguh. Mengapa? Kerana belajar bahasa arab adalah suatu yang sangat berat. Jika belajar sahaja sudah berat apatah lagi mengajarkannya. Sangat berat sekali. Bertambah berat lagi bila bahasa arab tidak menghasilkan wang seperti mana ilmu-ilmu agama yang lain. Pengajian perubatan, kejuruteraan lebih berbaloi diluangkan masa dan tenaga keran ia mendatangkan wang. Timbullah hari ini sekolah-sekolah agama yang mengaku mengajarkan agama tetapi tidak pun mendidik pelajarnya memahami Al-Quran dengan asas bahasa arab yang mantap. Bahkan lebih malang lagi, Islam pada sebuah sekolah hanya dinilai dari adanya waktu solat sahaja. Wah begitu rumit bila bicara masalah agama! Memang rumit dan merumitkan.

Ketika Allah memerintahkan orang yang beriman untuk bersabar, maka perkara yang paling berat yang akan orang yang beriman hadapi adalah memerangi kejahilan. Sabar adalah senjata utama yang perlu dimiliki manusia agar mampu duduk menghadap ilmu agama. Sabar diperlukan untuk memerangi kejahilan. Sabarlah satu-satunya penolong yang mampu membuatkan manusia rela berlapar-lapar dan berpenat-penat demi menuntut ilmu agama.

Memerangi kejahilan adalah satu perkara yang hanya dapat diselesaikan dengan kesabaran. Sekolah perlu sabar mendidik bahasa arab dan ilmu agama. Ibu bapa perlu sabar mengajarkan anak mengaji. Diri sendiri perlu sabar untuk sentiasa meng-update pengetahuan diri mengenai agama. Tidak berhenti sekedar itu sahaja, sabar akan diperlukan juga setelah kejahilan diperangi iaitu untuk mengamalkan ilmu itu. Berapa ramai manusia yang tahu tapi tidak melaksanakan. Berapa ramai manusia yang berkata-kata tapi dia sendiri tidak melakukan. Maka, sekali lagi kesabaran diperlukan agar diri mahu melawan kemalasan, melawan syaitan dan melawan bisikan nafsu. Hanya kesabaran yang mampu membantu manusia menghadapi segala permasalahan ini. Ramai manusia mampu bersabar untuk mendapatkan ilmu agama tetapi malangnya tidak bersabar untuk melaksanakannya dalam kehidupan sehari-hari.

Manusia mampu menempuh sesuatu kesusahan dan kesukaran jika  mereka melihat hasilnya di depan mata. Mereka sanggup susah payah kerja siang dan malam kerana mereka tahu pada akhir bulan mereka akan mendapatkan gaji. Alangkah baiknya jika pahala dan dosa diperlihatkan wujudnya. Sudah pasti mereka lebih rela sabar demi mendapatkan nikmat akhirat kerana penderitaan dunia sedikit pun tidak setanding azab akhir. Maka orang yang beriman pasti akan sabar dan sabar menjadi senjata utama mereka.

Solat tidak kalah pentingnya dalam kehidupan manusia. Malah solat adalah antara bentuk menterjemahkan sabar secara praktikal. Orang yang menghadapi suatu kesukaran lalu dalam sabarnya dia mendirikan solat. Dia melakukan sebuah pengakuan akan keterbatasan qudrah lalu mengadu nasib kepada Sang Maha segala Maha yang akan mencucuri rahmat dan ‘inayah jauh lebih besar dari kesukaran yang sedang dihadapi. Solat itu sendiri umpama cermin kepada keimanan dalam diri seseorang. Semakin dia percaya kepada Allah maka dia akan semakin bergantung kepada Allah. Perantara yang terbaik menzahirkan ketergantungan diri kepada Allah adalah dengan solat.

Solat yang salah satu rukun sahnya adalah membaca Al-Fatihah dalam setiap rakaatnya, paling tidak membawa manusia kepada renungan dan penghayatan kepada aspek-aspek terpenting yang dikandung Al-Fatihah. Bahkan ketika kita solat dan mengulang bacaan Al-Fatihah sesuai bilangan rakaat menghantarkan diri kita kepada sebuah muhasabah atau evaluasi menggunakan format Al-Fatihah.

Rasulullah pernah bersabda dengan menyebut, “rehatkan kita dengan solat wahai Bilal..” Ya! Solat adalah rehat dari segala permasalahan. Ia adalah sumber kekuatan. Refreshment yang penting untuk sebuah permulaan.

Solat menjadikan manusia benar-benar manusia yang sempurna aspek kemanusiaannya. Manusia hanya menjadi manusia apabila dia benar-benar mengenali Allah sebagai tuhannya dan mengenali tugas-tugas yang bakal dia hadapi selaku hamba. Dia juga akan mengerti segala ketentuan yang berlaku adalah kerana kemahaberkuasaannya Allah sedang dia hanya seorang hamba yang perlu ikhlas menghadapi segalanya.

Solat mengembalikan manusia kepada keadaan normal atau netral. Seorang yang sedang marah mengembalikan dirinya kepada keadaan sedia kala dengan solat. Begitu juga seorang yang baru gagal mengembalikan keyakinan dan semangatnya dengan solat. Seorang yang mendapatkan durian runtuh turut mengembalikan keadaannya dengan solat. Nikmat tidak menyebabkan kita kufur, mushibah tidak pula menyebabkan kita putus asa kerana solat sentiasa berdampingan dengan kita.

Bersabarlah dan solatlah sungguh kedua ini merupakan senjata yang paling berharga yang dimiliki manusia..

Published by taqeyyabella

Leave a Comment

Feel free to share you opinion with me
  • Calendar

    July 2010
    M T W T F S S
    « Jun    
     1234
    567891011
    12131415161718
    19202122232425
    262728293031  
  • Tentang Penulis

    Graduan dari Fakulti Bahasa Arab Universiti Al-Azhar Asy-Syarif Mesir (2005-2009). Pernah mengabdi sebagai guru di Darussalam Gontor selama setahaun (2004). Mendapatkan pendidikan menengah di Kulliyyatul Mu'allimin Al-Islamiyyah, Darussalam Gontor Ponorogo Indonesia (1998-2003). Pendidikan rendah di Sekolah Islam Al-Amin Serdang dan Bangi (1991-1997). Pelajar Tadika An-Nur Serdang (1990). Kini bergiat dalam usaha pertanian fertigasi dan berusaha menulis buku. Bercadang untuk meneruskan pengajian di Bidang Bahasa Al-Quran. Semoga segalanya dipermudahkan. Amin.
  • Taqeyyabella’s heartbeat

    Berjalan menuju ABADI berbekalkan TAQWA, menciptakan TAKUT pada yang MAHA KUASA, menimbulkan MALU sesama MANUSIA, menghadirkan KASIH pada ALAM SEMESTA.
  • Sapaan Mesra

  • Archives