Sungguh si penggilap kasut itu mengingatkan aku akan hidup dan kehidupan. Mewah, kemewahan, derajat dan pangkat semua itu menjadi label yang digemari manusia zaman ini. Hari ni masjid yang biasa ku kunjungi penuh. Tampak si penggilap kasut sudah duduk di pintu masuk menunggu rezeki yang akan didapatnya dalam masa beberapa minit tempoh solat dikerjakan.
Ya, mereka akan menerima kasut-kasut muslimin yang akan mengerjakan solat berjemaah dan akan berusaha untuk dapat menyelesaikannya sebelum mereka habis mengerjakan ibadah. Puluhan manusia yang meninggalkan kasut mereka hari ni, ini kerana masjid ini berada di sebelah pasar kereta yang dibanjiri oleh ribuan pemilik kereta yang ingin menjual kereta kepada si pembeli yang dengan bebas memilih ribuan kereta yang ada di situ.
Aku sudah menyelesaikan solat sunat ba’diyyah dan terus bergegas keluar setelah mengambil selipar jepunku. Aku masih beratur di pintu keluar yang agak sempit dan tanpa sengaja aku memperhatikan seorang pemuda yang sudah mengenakan kasutnya yang belum berkilat sedang memaksa si penggilap kasut menerima selembar wang kertas namun si penggilap itu enggan menerimanya. Hampir saja mereka bertengkar kerana itu. Aku berusaha mencerna apa yang aku lihat lalu aku sedar apa yang terjadi. Pemuda itu meninggalkan kasutnya kepada si penggilap namun kasut itu tidak sempat digilapnya kerana jumlah kasut-kasut yang beratur menunggu giliran banyak lalu pemuda itu mengambil kasutnya yang belum berkilat namun masih ingin memberikan upah kepada si penggilap tadi. Si penggilap pula enggan menerimanya kerana merasa tidak berhak atas upah tersebut.
Aku sangat kagum dan bersyukur kerana diperlihatkan peristiwa yang demikian. Sungguh mulianya si pemuda yang baik hati. Tidak sedikit dari mereka yang meletakkan kasut mereka kerana sudah berdebu akan tetapi sengaja agar dapat membantu si penggilap kasut. Mulia sungguh mereka yang membeli dengan niat bersedekah. Tidak kalah mulianya si penggilap kasut yang begitu tabah menghadapi kehidupan dan masih berusaha menjaga maruah diri untuk tidak menerima melainkan yang menjadi haknya.
Aku teringat akan keadaan mereka yang dengan sombong mengenakan pakaian ribuan ringgit sambil dengan angkuh melajukan kenderaan mewah yang mana semua itu di dapatkan dari merampas hak orang lain. Mereklah penjilat yang merompak harta benda orang lain lalu berbangga dengannya. Betapa hinanya mereka jika dibandingkan dengan si penggilap kasut yang hanya ingin makan dari hasil tangannya sendiri. Kini aku mengerti apa yang di maksud dengan barakah. Kenapa orang yang miskin masih lebih bahagia dibanding orang yang hidup dalam kemewahan. Mengapa orang kaya lebih bejat akhlaknya dibanding orang miskin. Ternyata makanan itulah sumbernya. Keberkahan tidak dapat dilihat oleh mata tapi dirasakan jiwa. Ya Allah pemiharalah kami, halalkan makan minum kami. Berikanlah berkah dalam rezeki yang engkau berikan.
Terima Kasih temanku yang telah memberiku semangat untuk kembali berkarya.






