Misi Kemanusiaan GPM’09

Posted on February 14th, 2009 in Palestin

Global Peace Mission Malaysia (GPM) merupakan sebuah agensi di bawah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang menekuni gerakan usaha-usaha kemanusiaan. Serangan 22 hari Israel terhadap Gaza yang bermula pada 27 Disember 2008 itu telah menyeru ramai NGO kemanusiaan untuk mencurahkan bakti. GPM tidak ketinggalan. Sebagai sebuah Agensi dibawah ABIM, maka cawangan ABIM di Mesir akan secara automatic membantu dan menjadi sukarela bagi mensukseskan misi GPM. Malangnya, kehadiran team GPM 1 tepat ditengah-tengah musim peperiksaan. Penulis selaku YDP ABIM Mesir terpaksa merelakan diri untuk tidak terlibat kerana memang sangat-sangat tidak bersedia untuk peperiksaan. Penulis tidak menyertai rombongan menuju ke Rafah.

Cadangnya penulis akan turun membantu apa yang patut setelah usai peperiksaan. Malangnya, setelah peperiksaan Kedutaan Malaysia mengeluarkan pekeliling yang menyatakan bahawa semua yang berstatus pelajar tidak dibenarkan terlibat dalam apa-apa misi bantuan kemanusiaan ke Gaza. Pekeliling itu adalah sebuah keputusan yang tepat memandangkan keadaan politik dan keselamatan yang tidak stabil di Mesir. Apalagi setelah terjadi masalah beberapa bulan lalu yang mengakibatkan kepulangan 2 orang pelajar ke tanah air.

Walaupun penulis tidak terlibat dalam misi kali ini, namun penulis tetap membantu apa yang patut terutama yang melibatkan dengan pusat gerakkan GPM di Kaherah.

Misi GPM kali ini memperlihatkan kepada penulis gerak kerja GPM yang agak berbeza dengan NGO-NGO lain. Ramai yang menyangka GPM bergerak lambat. Bahkan menurut Timbalan Presiden GPM Dr Mohd Daud Sulaiman, tidak sedikit yang menghubungi beliau demi mempertanyakan apa yang telah dilaksanakan GPM di Gaza.

GPM bukanlah lambat bertindak seperti yang disangka segelintir masyarakat. GPM juga tidaklah terburu-buru memberikan sumbangan dan mencari publisiti atau populariti. Apa yang GPM lakukan adalah lebih profesional. Team GPM 1 yang terdiri dari 3 orang profesional diutus bagi melaksanakan beberapa tugas antara lain :

1. Menyerahkan dana dan bantuan.

2. Mencari dan menyiapkan stor tempat simpanan bekalan bantuan.

3. Memeriksa dan mengkaji setiap sudut Gaza, setiap aktiviti Israel di perbatasan dan setiap aktiviti penduduk Gaza.

4. Mencari NGO lokal yang dapat berkerjasama.

Hanya 2 orang dari team GPM 1 yang berjaya memasuki Gaza. Mereka berada di sana selama 8 hari. Bahkan ketika pengeboman berlaku di perbatasan, mereka ada di Gaza. 8 hari itu digunakan sebaik-baiknya siang dan malam untuk melihat peluang-peluang melaksanakan projek jangka panjang. Kajian dilakukan oleh kedua profesional ini dengan sangat terperinci. Ini bagi memastikan perjalanan projek yang ingin dilaksanakan dapat berlangsung dengan lancar dan mempunyai resiko yang sangat rendah. Pemerhatian yang mereka lakukan juga adalah untuk menyalurkan bahan, barang dan alat yang benar-benar menjadi prioriti.

Antara hasil pemerhatian, team GPM 1 telah mengistiharkan bahawa kerusi roda merupakan antara barang yang sangat diperlukan di Gaza. Ini hanya mampu diketahui setelah pemerhatian yang teliti. 

GPM jelas menunjukkan komitmen untuk menyalurkan bantuan jangka masa panjang. Bahkan, penulis menjangkakan Misi GPM di Gaza kali ini akan mengambil masa yang mungkin mencecah setahun bahkan lebih.

Melihat kepada letak geografis Gaza, laluan Rafah Mesir merupakan satu-satunya laluan yang paling mudah dan tidak melalui kawasan taklukan Israel. Namun, Mesir bukanlah sebuah negara yang mudah memberi kerjasama walaupun ia merupakan sebuah negara yang berpenduduk majoriti muslim. Kesulitan dan kesusahan birokrasi yang sengaja dicipta kerajaan tempatan membuatkan Misi Gaza ini semakin mencabar.

GPM menyusun strateginya dengan mencari tiga buah stor yang terletak di Arisy iaitu bandar terakhir sebelum Rafah. Dua stor akan digunakan bagi menyimpan makanan dan satu lagi untuk ubat-ubatan. GPM juga menyiapkan sebuah lagi stor di Gaza. Dengan adanya stor-stor ini diharapkan dapat memudahkan gerak kerja GPM. Memandangkan perbatasan Rafah dibuka secara berkala sesuai kehendak (suka hati) presidennya (setelah mendapat restu Israel tentunya) menjadikan stor sebagai tempat yang sangat diperlukan bagi menyimpan segala bekalan yang telah dibeli. Ketika pemerintah membuka perbatasan Rafah, barang akan segera dikirim ke Gaza. Ini sangat menguntungkan memandang jarak Arisy dan Rafah yang sangat dekat. Tiba di Gaza bekalan segera disimpan di stor yang sedia ada bagi memudahkan dan menyusun cara pembahagian yang adil dan merata.

Maklumat lain yang telah diterima GPM adalah kemusnahan yang dilakukan Israel terhadap pam-pam gergasi di Gaza. Lebih dahsyat lagi, kerajaan Israel sengaja menggali telaga sedalam dua hingga tiga kali kedalaman telaga yang ada di Gaza. Ini menyebabkan telaga di Gaza akan mengering kerana disedut oleh telaga-telaga milik Israel disekitar perbatasan. Melihat keadaan ini team GPM 1 mencadangkan kepada Majlis Syura GPM untuk melaksanakan projek besar bekalan air. Apa yang akan dilaksanakan adalah menyediakan alat untuk mengubah air laut menjadi air tawar.

Ketika penulis bertemu dengan team GPM 1, penulis dapat melihat kekaguman yang tersirat diwajah mereka. Mereka sangat mengagumi ketabahan dan semangat penduduk Gaza. Masyarakat yang berada di dalam kemiskinan namun tidak ada seorang pon yang meminta-minta. Menurut salah seorang dari mereka, hospital-hospital di Gaza kelihatan sangat renggang. Renggang tersebut bukanlah kerana tidak ada pesakit akan tetapi para pesakit yang sakit tidak suka menetap lama di hospital. Semangat mereka untuk sembuh begitu tinggi. Bahkan mereka ingin segera keluar agar tidak menjadi beban kepada hospital dan memberikan ruang kepada yang lebih memerlukan dari mereka.

Sukarelawan GPM juga tidak bosan-bosan menceritakan bagaimana sikap para pemuda Gaza yang mulut mereka tidak pernah berhenti mengucapkan Zikir dan membaca Quran. Pemuda-pemuda atau belia-belia mereka sangat energik dan berkemampuan. Wajah mereka penuh ketenangan dan sangat-sangat merindukan syahid. Masjid mereka hidup siang dan malam. Bahkan pejuang yang berjaga diperbatasan pun turut mengambil giliran untuk membuat aduan kepada yang Maha segala Maha. Tidak heranlah masjid merupakan sasaran utama serangan Israel. 48 buah masjid dilaporkan hancur.

Selain masjid, pam air, pejabat kementrian, pejabat polis, rumah-rumah aktivis masyarakat terutama orang yang kaya dan besar sumbangan kepada masyarakat turut menjadi sasaran Israel. 

Published by taqeyyabella

Leave a Comment

Share