MEROSAKKAN BUKAN SEBUAH PEMBAHARUAN

Posted on July 6th, 2010 in Uncategorized

“Merosakkan bukanlah sebuah pembaharuan” itulah yang dapat saya simpulkan setelah menghadiri sebuah seminar ringkas anjuran Ikatan Pondok Modern (IKPM) iaitu sebuah badan yang menaungi alumni dari Pondok Modern Darussalam. Seminar dengan tajuk, “Pembaharuan Pemikiran Islam : Tajdid atau Taghrib”. Jangan keliru, ‘taghrib’ bukan ‘targhib’. ‘Taghrib dari kata gharb atau barat.

Liberalisme yang menjadi barah dalam pemikiran Islam hari ini sebenarnya merupakan wajah atau frontpage bagi mem-promote idea pemikiran barat. Sebelum kita ceritakan serba sedikit bisa yang dibawa leberalisasi agama. Sangat menarik jika kita sorot persaingan peradaban dan keyakinan yang menjadi faktor ‘behind the scene’ lalu mendalangi semua ini.

Percayakah anda peristiwa Sepetember 11 merupakan suatu yang benar-benar terjadi!? Atau adakah ia satu drama yang disutradarai oleh pihak yang berkepentingan!?

Ada beberapa yang mendorong perkara ini berlaku.

Pertama, teori evolusi yang menjadi keyakinan kebanyakan manusia di barat mempengaruhi pemikiran sesetengah manusia. Prinsipnya mudah, “Hanya yang gagah sahaja yang akan survive. Jika tidak menindas maka kita akan ditindas”.

Kedua, skeptik terhadap agama. Barat telah mengharungi era kegelapan dimana agama menjadi satu autoritas yang kejam. Gereja memainkan peranan yang sangat buruk dalam mencengkam masyarakat barat ketika itu. Kezaliman gereka telah meninggalkan parut yang sangat besar di minda masyarakat barat.

Kedua-dua perkara ini adalah antara banyak perkara lain yang menjadi alasan bagi masyarakat barat untuk membuat sebuah perubahan besar dari segi cara berfikir. Agama mula ditinggalkan kerana tidak lagi releven dengan nilai-nilai modernisasi. Ya! Modernisasi adalah istilah yang tepat untuk menggambarkan perubahan ini.

Barat telah berjaya melepaskan diri dari agama. 2 langkah diambil. Pertama, memerangi gereja dan agamawan yang ekstrimis atau lebih tepat memerangi autoriti agama. Dua, mengubah kandungan dari agama itu sendiri.

Tidak menghairankan hari ini kita melihat kristian telah sangat jauh menyimpang dari asalnya. Perintah-perintah yang menjadi beban kepada mereka segera mereka hapuskan. Text di dalam bibel diubah. Konteks dan cara penafsiran juga diubah dengan menggunakan Hermeneutika. [Hermeneutika (dari bahasa Yunani Ερμηνεύω hermēneuō: menafsirkan) adalah aliran filsafat yang bisa didefinisikan sebagai teori interpretasi dan penafsiran sebuah naskah melalui percobaan. Biasa dipakai untuk menafsirkan Alkitab, terutama dalam studi kritik mengenai Alkitab.]

Setelah barat berjaya keluar dari era kegelapan mereka. Modernisasi menjadi produk baru yang mereka handalkan. Satu dunia mereka keliling untuk menerapkan Modernisasi setelah sebelumnya menguras habis segala kekayaan di tempat itu.

Sekian lama mereka melakukan agenda besar ini. Penjajahan dilakukan. Bangsa lain yang dianggap mundur dibohongi dan dipermainkan menggunakan agen-agen mereka yang sedarah dan sewarna kulit dengan penduduk asal. Mereka inilah pengkhianat yang menjual negara dengan habuan modernisasi. Mereka hampir berjaya untuk menundukkan seluruh manusia di seluruh penjuru bumi menggunakan idea modernisasi ini. Hanya saja, mereka gagal menerapkannya secara menyeluruh kepada umat Islam. Mereka gagal mempengaruhi umat Islam untuk menerima modernisasi ala mereka. Lebih membengangkan mereka, modernisasi oleh umat Islam dilayan dengan bijaksana. Segala yang sesuai dengan prinsip asas Islam diterima tetapi pada masa yang sama mereka gagah mempertahankan prinsip-prinsip asas Islam.

Jika kita lihat dengan lebih teliti, barat telah berjaya memporak-porandakan umat manusia khususnya umat Islam menjadi generasi manusia yang hidup dalam kesibukkan memikirkan negara masing-masing. Manusia terpecah tumpuan kepada kepentingan negara sendiri, negeri sendiri, rumah sendiri dan diri sendiri. Kita dapat menemukan juga bagaimana mereka menguasai ekonomi dengan menjadikan transaksi kita bergantung kepada wang yang tidak sah menurut Islam. Bagaimana mungkin benda yang dijadikan wang adalah suatu yang tidak tetap nilainya. Maksudnya begini, kita membeli ayam dengan lima ringgit. Bererti nilai lima ringgit boleh mendapatkan ayam. Malangnya jika kita menyimpan wang yang sama dalam masa 10 tahun, nilai lima ringgit itu tidak akan sama lagi. Walaupun ia tertulis di atasnya 5 ringgit tetapi ia tidak lagi mampu mendapatkan ayam kerana nilai itu sudah pun turun. Menurut Islam wang tidak boleh bersifat demikian. Wang perlulah bersandar kepada sesuatu yang nilainya tetap atau meningkat. Itulah sebabnya Dinar dan Dirham merupakan emas dan perak yang tidak akan berubah nilainya. Bukan kertas yang dicopkan tulisan 5 ringgit yang bila-bila dapat menjadi suatu yang tanpa harga. Dua perkara ini adalah contoh dari sekian banyak hal yang telah berjaya diterapkan oleh barat ke atas kita. Berlakulah sebuah penjajahan baru. Ketergantungan manusia terhadap sistem mereka menjadikan mereka kaya tanpa usaha.

Kebencian mereka memuncak kepada Islam. Sangat pelik mengapa hanya Islam yang dimusuhi. Sungguh pelik mengapa Islam mendapat layanan yang sangat luar biasa curang. Bahkan, sangat menghairankan bagaimana mereka sanggup merekayasa sebuah drama yang menghancurkan bangunan megah dunia dan mengorbankan bukan puluhan jiwa tetapi ribuan hanya demi memburukkan imej Islam. Dengan harapan opini masyarakat berkembang kepada membenci agama dan gerakan membebaskan diri dari cengkaman agama berjaya dilakukan. Khususnya bagi penganut agama Islam.

Dengan bertopengkan modernisasi ala barat mereka menaja semua pihak yang mahu menjadi agen penyebar idea ‘anti-agama’. Mereka mula menyerang dengan memisahkan umat Islam dari kehidupan yang Islami. Agama dijadikan sebagai sampingan kepada keseluruhan matlamat kehidupan. Seiringin pula dengan kemunduran umat Islam secara fizikal (teknologi, ekonomi dan lain-lain) menjadikan umat Islam lebih berminat untuk terjun ke bidang-bidang fizikal yang bakal memberikan kepuasan fizikal lalu menyisihkan keutamaan dalam memelihara agama.

Hari ini, umat Islam di Malaysia antara umat Islam di Malaysia, Indonesia dan beberapa negara berkembang lainnya mengalami satu keadaan di mana, umat Islam mula menyedari bahawa Islam merupakan suatu asas yang perlu dipertahankan dan bukan lagi satu hal sampingan. Mungkin, kesedaran ini timbul setelah mereka mencapai kejayaan material namun gagal menikmati kejayaan itu kerana melihat keadaan sekeliling yang semakin binasa. Keruntuhan moral sehingga membinatangkan manusia membuatkan sebahagian golongan cerdik pandai berfikir.

Namun, barat turut menyedari perubahan yang terjadi ini. Maka mereka juga perlu menyediakan pola baru dalam memperjuangkan usaha mereka. Pendekatan yang paling realistik yang mampu mereka bawa adalah dengan mengajak manusia melihat agama Islam sebagai suatu yang boleh dimajukan dengan menggunakan kaedah-kaedah modernisasi.

Teringat pertanyaan seorang penganut kristian yang diceritakan seorang panel di seminar ini (Seminar 03 Julai 2010), “Kita sudah masuk ke era modern, bagi tahu saya apa yang telah diperbaharui dalam Islam agar sesuai dengan kemordenan?”

Mereka menuntut perubahan ketara lalu menganggapnya suatu keperluan. Ia adalah kemajukan!! Kemodernan!!

Malangnya, umat Islam yang menyambut idea ini dengan melihat bahawa ia adalah suatu jihad dalam usaha ‘memperbaharui’ Islam dan keislaman. Keliru pada konsep pembaharuan atau tajdid lalu mengira bahawa usaha mereka yang sebenarnya hanya menyokong idea barat itu adalah tajdid.

Idea ini disambut sebahagian masyarakat muslim yang tidak mempunyai keimanan yang kokoh. Keilmuan mereka tentang Islam juga sangat minim. Kekaguman mereka kepada barat dalam segala aspeknya pula sangat besar. Semua ini menjadikan mereka ‘agen’ barat tanpa mereka sedari.

Hal yang paling kontras perbezaannya antara khazanah barat dan Islam adalah, Islam masih berpegang kepada satu perkara yang dinamakan iman. Iman itu adalah percaya dengan sangat. Umat Islam beriman bahawa Allah itu Esa. Lalu Allah yang Esa itulah yang menurunkan Al-Quran. Maka Al-Quran tidak sama dengan teks-teks lain kerana ia adalah kalam Allah. Maka, teks Al-Quran tidak boleh sewenang-wenangnya diperlakukan sepertimana yang dilakukan oleh orang kebanyakan kepada teks-teks lain. Nilai ‘kesakralan’ yang dimiliki Al-Quran sangat tinggi sehingga ia bukan sekedar dikagumi kehebatannya, malah juga dihormati wujud fizikalnya berupa mushaf.

Keimanan inilah yang menjadi penghalang bagi barat dalam menerapkan segala cara mereka untuk merosakkan makna di dalam Al-Quran.

Islam ketika menyikapi suatu masalah mereka akan merujuk terlebih dahulu apa teks Al-Quran yang berbicara mengenai hal berkaitan. Kemudian mereka melihat konteks sejarah teks tersebut diturunkan. Kemudian mereka mencari segala hadis Rasulullah SAW berkaitan teks tersebut. Kemudian mereka melihat pendapat para mufassirun yang muktabar dalam membahas teks-teks itu. Jika hal itu berkait dengan isu undang-undang atau fiqah dah usulnya maka pendapat ulama dalam bidang tersebut perlu terlebih dahulu disemak dan dijadikan rujukan.

Dengan demikian, disiplin ilmu dalam Islam begitu ketat. Setiap satu kata di dalam teks Al-Quran dibahas dengan mendalam. Epistimologi bagi setiap satu perkataan di dahulukan perbincangannya.

Sangat susah bagi barat untuk merosakkan disiplin ini. Namun, akhir-akhir ini khususnya di Indonesia kita menemukan bercambahnya usaha di Universiti Islam yang mula merosakkan kemurnian ini dengan menerapkan kajian-kajian berteraskan ‘ketiadaan disiplin’ dalam keilmuan. Ya! Pedoman mereka adalah tanpa pedoman. Disiplin mereka adalah tiada disiplin. Ertinya, mereka tidak lagi mengiktiraf disiplin keilmuan yang indah tersusun dalam khazanah Islam. Malah, mereka menganggap bahawa disiplin itu adalah suatu yang kuno dan tidak lagi relevan. Dengan demikian mereka menjadikan konsep ‘tanpa pedoman atau tanpa disiplin’ sebagai methode kajian. Tentu sahaja usaha yang sebegini tidak dapat diterima akal dan tidak pula berfaedah.

Alang-alang mahu menerapkan Islam yang menurut andaian-andaian mereka, mengapa tidak sekaligus buat sahaja agama baru tanpa mengaitkan dengan Islam.

Mari kita lihat bagaimana mereka rosakkan pemikiran masyarakat yang semamangnya lemah ilmu agama. Mereka akan bertanya, “apa kata Ibnu Katsir mengenai ayat ini?” Ketika kita sudah jelaskan maka dia akan menjawab, “itukah pendapat Ibnu Katsir! Belum tentu tepat!” lalu dia mula membuat pendapatnya sendiri mengenai ayat tersebut. Dia terlupa bahawa ada beza yang begitu jauh antara dirinya dan diri Ibnu Katsir. Dirinya tidak pun mampu berbahasa Arab. Dirinya tidak pun menguasai ilmu yang menceritakan tentang sejarah penurunan Al-Quran. Dirinya tidak pun menguasai ilmu hadis. Dirinya tidak pun bertemu dengan golongan yang dekat dengan Rasulullah. Setelah semua ini bagaimana mungkin dia berani membandingkan dirinya dengan Ibnu Katsir.

Bukan bermakna kita mengatakan Ibnu Katsir dan penafsir-penafsir lain tidak pernah salah dalam penafsiran mereka. Cuma kita hendak meletakkan kehormatan kita dan tata tertib kita berinteraksi dengan ilmu. Barulah dengan demikian kajian yang kita lakukan berada di dalam jalur yang benar. Bukannya kajian yang syok sendiri, yang teramat jauh menyimpang disebabkan kebodohan dan kesombongan.

Apa yang menyedihkan adalah, jika diamati dengan seksama kita dapat melihat bahawa sikap masyarakat Malaysia dalam beragama telah menunjukkan indikasi-indikasi bahawa masyarakat Muslim Malaysia telah terpengaruh dengan idea Modernisasi ala barat.

Semangat mempelajari Islam adalah sangat baik. Tapi biarlah menggunakan saluran yang betul. Kenalilah Islam dari tokohnya. Mulalah dengan menguasai bahasa Arab sehingga masing-masing dari kita mampu membuat penilaian sendiri terhadap apa yang telah dibukukan oleh ulama’ Islam terdahulu dan bukan bergantung semata-mata dengan terjemahan apatah lagi jika ia diterjemahkan oleh golongan ‘orientalis’. Selami terlebih dahulu asas-asas dan teras-teras khazanah keilmuan Islam. Islam adalah agama yang terpaut dengan sejarah kerana ia terpaut dengan Nabi terakhir. Islam tidak dapat dipisahkan dari ikatan waktu. Maka, untuk menghidupi kehidupan yang Islami di zaman ini kita masih tetap harus melihat apa yang ada di masa lalu. Jika tidak bukan Islam tulen yang kita guna pakai tetapi Islam yang tidak berasas dan tidak bersumber. Semoga Allah memelihara kita dan memperteguhkan kita untuk menempuh jalan penuh liku mencari Islam dan cahayanya. Sungguh shortcut hanya akan mengundang nestapa. Wallahu a’lam..

Published by taqeyyabella

Leave a Comment

Share