Seorang teman membacakan sebuah ungkapan seorang yang berjaya, bunyinya:
“Everyone aiming to change the world but they forget to change theirselves”
Saya tersenyum mendengarkannya. Sebuah ungkapan yang sangat ringkas, jelas dan tepat. Abdullah Gymnastiar seorang tokoh masyarakat di Indonesia memperkenalkan formula 3M : Mula dari diri sendiri, Mula dari hal yang kecil dan Mula dari sekarang. Formula penting sebagai asas sebuah perubahan.
Beberapa kali saya terlibat dengan siri perbincangan ‘kedai kopi’ dengan beberapa orang teman, antaranya Al Fadil Ustaz Rohimuddin Nawawi, Lc., Ma pengarang buku Gejolak cinta di Ambang Perkahwinan yang telah diterbitkan oleh Syarikat Noen Pesona Ilmu-Amal Islam, sebuah syarikat yang berdomisili di Bekasi Indonesia. Beliau merupakan seorang yang banyak mengkaji tentang gerakan Islam terutama yang berada di Mesir. Setelah perbincangan, kami menyimpulkan bahwa seringkali sebuah perubahan gagal mencapai hasil yang memuaskan bahkan terhenti sekerat jalan. Apakah gerangan yang menyebabkan hal ini berlaku. Sebuah tanda tanya besar.
Ternyata kita menyimpulkan bahwa sebuah perubahan memerlukan sebuah tempoh yang sangat panjang. Ketika generasi ayah masih muda mereka giat berusrah, melahap ratusan buku yang menjadi asas ideologi, melakukan pelbagai kegiatan untuk masyarakat, kerja bakti. Generasi ayah berjaya menraih pengaruh, memulakan binaan asas sebuah perubahan.
Generasi anak lahir ketika generasi ayah sibuk membina asas perubahan, generasi ayah sibuk, sedang generasi anak terus terjun membantu sang ayah dalam pembinaan. Malangnya sang ayah yang telah terlalu sibuk dan kekurangan tangan lupa bahwa sang anak belum lagi menjalani proses yang sepatutnya, bahkan terus dilibatkan di dalam gerakan membina sebuah perubahan. Iya, sang anak mampu menjalankan tugas dengan baik selama sang ayah masih ada di sisi. Ketika sang ayah mati, sang anak harus terus berusaha memperkokoh asas binaan. Ketika itu sang anak mula goyang. Ayahnya tidak sempat mewariskan ideologi, sikap, jati diri, akhirnya sang anak keletihan. Perkembangan binaan semakin lambat.
Sang anak kini menjadi ayah, warisan datuk yang sampai ke generasi cucu mungkin tinggal hanya beberapa persen sahaja. Ayah meninggal. Sang cucu tidak lagi mengerti bagaimana hendak meneruskan binaan asas perubahan itu.Asas tinggal asas. Perubahan tidak tercapai. Itulah yang terjadi.
Saya sendiri susah mengerti apa yang saya tuliskan ini. Mungkin ianya hanya akan dimengerti oleh mereka yang mengharapkan perubahan. Ketika kita sibuk mencipta perubahan janganlah kita abaikan asas yang terpenting yang harus diwariskan kepada mereka yang akan meneruskan usaha perubahan tersebut.
Mungkin itulah sebabnya ketika kita ingin mengubah dunia kita perlu mengubah diri sendiri dahulu. Sebelum mengubah masyarakat kita perlu mengubah keluarga kita dahulu. Sebelum mengubah negeri kita perlu mengubah kampung kita dahulu, sebelum mengubah negara kita perlu mengubah negeri kita dahulu, sebelum merubah dunia kita perlu mengubah negara kita terlebih dahulu. Renungkanlah hai pendampa perubahan…






