Menjawap Persoalan Cinta
Posted on December 15th, 2009 in Fikir
“Ustaz apa pandangan Ustaz mengenai cinta?” Seorang sahabat memulakan bicara menggunakan khidmat YM.
Malangnya ketika itu keadaan agak kelam-kabut dan persoalan itu tidak dapat dijawab. Waktu begitu pantas berlalu sehingga diri ini telah pun berhijrah kembali ke tempat asal sedang soalan itu masih tidak terjawap. Janji harus ditepati jadi tulisan ini kami nukilkan sebagai jawapan.
Begitu ramai ulama telah membahas topik ini. Pada beberapa tahun kebelakangan ini setelah penggunaan internet menjadi meluas, ramai yang mula menulis tentang isu yang sangat popular ini di blog masing-masing. Mungkin tulisan yang akan dinukilkan kali ini tidak jauh bezanya dengan tulisan-tulisan lain mengenai hal ini.Namun, adalah suatu yang biasa jika golongan muda di peringkat awal remaja mempertanyakan hal ini kerana ia merupakan hal yang baru bagi mereka. Semoga tulisan ini tidak membosankan dan dapat memuaskan hati sahabat yang bertanya.
Apabila bicara sesuatu perkara dari prespektif Islam, kita banyak terfokus untuk melihat hukum yang ditetapkan Islam pada suatu perkara itu. Ini sangat penting kerana hukum merupakan antara rukun yang penting yang perlu ditegakkan bagi menonjolkan imej Islam. Walau demikian halnya kita perlu menyedari bahawa hukum yang diterapkan Islam sentiasa tidak akan berlawan dengan fitrah manusia.
“Ustaz, peliknya! Mereka kata bercinta yang disemai tanpa ikatan perkahwinan yang sah itu haram hukumnya, tetapi perasaan cinta itu hadir tanpa dipaksa dan semula jadi. Bukankah itu seperti melawan fitrah?”
Untuk menjawap persoalan yang sebegini kita perlulah terlebih dahulu mengetahui apakah sebenarnya yang fitrah dan apa pula yang bukan fitrah.
Perasaan belas kasihan, sayang, cinta itu adalah fitrah. Tetapi adakah ia sentiasa berada di dalam fitrah dan tidak mungkinkah ia terkena percikan perkara-perkara lain yang menjadikannya tidak fitrah?
Maha suci Allah yang mengajar kita cara-cara untuk mempertahankan kefitrahan segala bentuk emosi melalui hukum-hukum Allah yang ditetapkan.
Mari kita perhatikan bagaimana Allah SWT mengajar kita tentang cinta melalui saluran perdana milikNya iaitu Al-Quran dan As-Sunnah.
Suka kita mulakan perbicaraan ini dengan mengenang sebuah kisah yang berlaku antara Saidina Umar Al-Khattab dan Rasulullah. Pada suatu ketika Saidina Umar berkata kepada Rasulullah, “sesungguhnya engkaulah yang paling aku cintai setelah diriku sendiri wahai Rasulullah.” Rasulullah SAW segera menegur, “Tidak wahai Umar, tidak beriman seseorang itu melainkan jika Allah dan RasulNya menjadi yang paling dicintai lebih dari dirinya sendiri!” Mendengar kata-kata itu Saidina Umar terus menangis terisak-isak.
Abdullah Bin Umar bertanya kepada bapanya, “Bagaimana ayah boleh begitu cepat bertukar fikiran dan malah terus menangis?” Anak Saidina Umar mempertanyakan peristiwa ajaib yang jarang terjadi kepada orang biasa. Saidina Umar segera menjelaskan bahawa ketika beliau mendengar teguran Rasulullah itu, beliau terus terkenang akan dirinya yang begitu tidak berharga sebelum mendapat hidayah dan bertemu Rasulullah. Tidak dapat dibayangkan betapa tidak bergunanya diri ini dan tidak berharganya jika tidak dipertemukan dengan Rasulullah. Seandainya bukan Allah yang menetapkan, dan bukan Rasulullah SAW yang menyampaikan niscaya beliau masih terpuruk dalam kenistaan kekufuran. Itulah rahsia mengapa sejak saat itu cintaku serta merupakan berubah. Cintaku kini hanya milik Allah dan Rasulnya.
Kisah ini mempertemukan rasional dan kemurnian cinta. Cinta yang fitrah itu ternyata masih sangat-sangat tulen, asli atau kata lain polos. Kefitrahan itu sangat mungkin terdedah kepada banyak hal yang merosak kefitrahan dan kesucian. Islam meletakkan nilai yang paling asas bagi menuntun manusia agar mencintai dengan cinta yang benar dan terjaga kefitrahan dan kesuciannya.
“Maaf saya sudah mengkhususkan cinta saya hanya kepada Allah!” ucap seorang lelaki kepada teman istimewanya.
Adakah cinta kepada Allah itu menghilangkan cinta antara sesama manusia?
Persoalan seumpama ini perlu dirungkai dengan cermat dan teliti. Cinta kita kepada Allah tidak sama dengan cinta kita sesama manusia. Cinta kita kepada Allah bersifat fundemental. Ini juga bermakna cinta sesama manusia boleh meluputkan cinta kepada Allah dengan pembahagian mutlak antara cinta Allah dan cinta manusia. Mari kita teliti hadis-hadis ini,
“Tidak beriman seseorang sehingga dia memberi kepada saudaranya apa yang dia sukai, seperti mana dia menyukai hal itu kepada dirinya sendiri.”
Tidak beriman seseorang yang tidur lena sedang jiran tetangganya dalam kelaparan.”
Tidak beriman seseorang yang tidak menghormati tamunya.”
Kesemua hadis di atas jelas menunjukkan bagaimana besarnya tumpuan Islam kepada cinta sesama manusia yang terpancar dari keimanan. Keimanan membuatkan seseorang itu memberikan apa yang disukainya kepada saudaranya. Bayangkan kita sangat menyukai sesuatu lalu sesuatu itu kita korbankan untuk saudara kita, itulah penzahiran keimanan yang hakiki. Seorang mukmin tidak akan muncul kasih sayng dan belas kasihan kepada sesama muslim yang tidak kita kenali jika belum terbit di hatinya cahaya keimanan. Kepedulian terhadap orang yang datang berkunjung atau keadaan jiran tetangga hanya akan muncul bila hati disinari cahaya iman yang memancarkan kasih sayang. Secara rumusannya kita boleh menyimpulkan bahawa iman adalah input sedang outputnya berupa kasih sayang.
Hal ini ditegaskan lagi dalam hadis berbunyi, 3 keadaan yang jika kita berada di dalamnya akan merasakan kemanisan Iman, 1. Hendaklah Allah dan Rasulnya menjadi yang paling dicintai berbanding segala selain dari keduanya. 2. Hendaklah seseorang mencintai saudaranya dalam keadaan dia tidak mencintai saudaranya itu hanya kerana Allah. 3. Membenci agar kembali kepada kekufuran sebagaimana membenci dicampakkan ke dalam neraka.
Dengan demikian jelas iman yang berupa input akan menghasilkan output kasih sayang yang tepat dan benar. Keimanan kita kepada Allah dan RasulNya akan mendorong kita agar taat dan patuh kepada segala perintah dan larangan. Bila kecintaan kepada Allah menjadi prioriti maka taat dan patuh itulah sebagai keutamaan. Kepatuhan dan ketaatan inilah nanti yang akan mengawal dan memandu output kasih sayang manusia sesama manusia agar mengarah ke arah yang benar dan sepatutnya. Renungi firman Allah berikut,
“Jika kalian mencintai Allah maka ikutilah aku niscaya Allah akan mencintai kalian.”
Ada tiga anasir yang penting di dalam ayat di atas; 1. Jika kalian mencintai Allah, 2. Ikutilah Aku (Rasulullah), dan 3. Allah akan mencintai kalian.
Ayat ini menunjukkan betapa cinta Allah yang kita semai itu hanya akan terbukti jika ia diterjemahkan dalam peniruan kita terhadap segala yang Rasulullah SAW lakukan. Ini bererti cinta kepada Allah ada cara, bentuk dan kriterianya. Cara, bentuk dan kriterianya semuanya diperlihatkan Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian Baginda SAW. Mentauladani Rasulullah sebagai model dalam menghidupi kehidupan ini bukan hanya menjadi pembuktian berupa cinta kepada Allah tetapi juga menjadi syarat agar meraih cinta Allah. Hubungan percintaan hanya akan bermanka bila ada tindak balas dari kedua-dua pihak. Apalah erti cinta yang hanya bertepuk sebelah tangan. Maka cinta Allah akan bersemi kepada kita jika kita terlebih dahulu mempersembahkan cara hidup Rasulullah. Input masih lagi iman, outputnya pula ditegaskan agar perlu sesuai dengan contoh yang ditunjukkan Rasulullah.
Maha suci Allah yang sangat-sangat mengetahui perihal seorang hamba. Maka, Allah SWT telah meletakkan garis panduan untuk berinteraksi dengan sesama jantina, panduan berinteraksi sesama keluarga dekat (mahram), panduan berinteraksi dengan keluarga jauh (bukan mahram), panduan berinteraksi dengan ajnabi (orang yang tidak dikenal), panduan berinteraksi dengan berbeza jantina dan sebagainya.
Kesemua panduan-panduan ini memelihara diri manusia sejak awal-awal lagi sebelum seseorang terjebak ke dalam jerat percintaan.
Jika kita terlanjur terjebak segeralah mencari jalan yang ditunjukkan Islam bagi mengarahkan cinta yang tulus dan jernih. Jangan hilangkan senyum anda, ramah anda, belas kasihan anda, kasih sayang anda tetapi sampaikanlah semua itu dengan cara yang tepat dan benar sesuai perintah Allah, sesuai petunjuk Rasulullah.
Semoga jawapan ini bermanfaat dan mampu memuaskan hati penanya walau sangat dipahami bahawa jawapan ini teramat sangat ringkas dan belum memenuhi harapan penanya..



Leave a Comment