Menjadi Sahabat Yang Baik..
Posted on May 24th, 2010 in Motivasi, Politik Islam
MENJADI SAHABAT YANG BAIK
Manusia adalah makhluk yang secara semula jadinya hidup secara berkelompok. Ia makhluk social. Setiap individu dalam masyarakat memainkan peranan masing-masing sehingga menciptakan sebuah kehidupan sosial yang sangat baik. Masing-masing saling mencurah budi dan bakti sehingga manfaat dapat dikongsikan bersama. Nelayan menyumbang hasil tangkapan mereka, petani menyumbang hasil tanian, guru menyumbang dari sudut pendidikan dan begitulah terciptanya sebuah kehidupan yang sangat dinamis dalam masyarakat.
Selain dari keuntungan dunia yang bersifat material, manusia juga berkongsi manfaat dari sudut yang lain. Allah SWT berfirman, “Wahai manusia sesungguhnya kami menciptakan kalian dari lelaki dan perempuan dan kami jadikan kalian berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenal (beramah mesra dan saling bertukar perkara ma’ruf antara kalian). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Al-Hujurat : 13)
Hari ini, kemajuan dan taraf kehidupan manusia telah mencapai ke tahap yang sangat baik sekali. Suasana itu berubah dan turut mengubah keadaan. Cabaran untuk teguh di jalan yang Allah redhai menjadi satu usaha yang tidak lagi mudah. Bahkan, kerana cabaran yang dahsyat di sekeliling itu, orang-orang yang ada di sekeliling pun cenderung menyeru kepada kelezatan dunia yang dimurkai Allah. Seakan-akan sudah tiada lagi persahabatan yang berasaskan saling tukar manfaat dan kebaikan. Tiada lagi persahabatan yang mekar berputik dari pohon cinta yang berakar pada keimanan seperti yang disabda Rasulullah SAW, “Tidak beriman seseorang dari kamu sehingga dia mencintai sesuatu bagi saudaranya sepertimana dia mencintai sesuatu untuk dirinya”. Muttafaq alaih.
Melihat suasana sebegini, umat Islam perlu mengambil langkah yang proaktif bagi mengubahnya. Setiap individu muslim perlu meletakkan tekad di dalam diri mereka untuk menyumbang kepada perubahan yang signifikan mengenai perkara ini. Bagaimana caranya? Kita perlu menjadi sahabat yang baik terlebih dahulu kepada orang-orang sekeliling kita. Semoga dengan demikian mereka turut tergerak untuk menjadi orang yang baik bagi orang-orang sekeliling mereka. Mari kita lihat dua situasi yang boleh memberi kita inspirasi.
SITUASI PERTAMA
Pada zaman Rasulullah SAW, ada seorang bernama ‘Uqbah Bin Abi Mu’ith. ‘Uqbah merupakan teman yang sangat akrab kepada ‘Amru Ibn Hisyam yang lebih terkenal dengan gelaran Abu Jahal. Selain Abu Jahal, ‘Uqbah juga merupakan sahabat karib kepada Ubai Bin Kalaf. Suatu ketika ‘Uqbah telah mendengar Rasulullah SAW membacakan ayat-ayat dari Al-Quran. Hatinya terpaut dengan apa yang telah terkandung di dalam ayat-ayat Allah. ‘Uqbah memutuskan untuk memeluk Islam.
Berita mengenai kehadiran ‘Uqbah di majlis dakwah Rasulullah telah sampai kepada Ubai Ibn Kalaf. Segera Ubai bertemu sahabat karibnya dan berkata, “Benarkah apa yang aku dengar bahawa engkau telah menghadiri majlis Muhammad dan engkau mendengar apa yang telah dia katakana!? Jika benar maka sesungguhnya wajahku adalah haram bagi wajahmu (aku tidak akan lagi berbicara denganmu tidak juga menemuimu lagi). Seandainya engkau masih mahu bersahabat denganku pergilah kepada Muhammad dan buktikan kebencianmu kepadanya!”.
‘Uqbah resah dengan keadaan itu. Dia perlu memilih antara Islam yang baru sahaja dikenalnya dan persahabatan yang telah lama terjalin antara mereka. Malangnya, ‘Uqbah memilih persahabatan yang sangat merugikan. Dia pergi dan melakukan perkara yang tidak patut dilakukan kepada Rasulullah SAW. Sehingga turunlah firman Allah yang berbunyi, “Dan (ingatkanlah) perihal hari orang-orang yang zalim menggigit kedua-dua tangannya (marahkan dirinya sendiri) sambil berkata : “Alangkah baiknya kalau aku (di dunia dahulu) mengambil jalan yang benar bersama-sama Rasul!? Wahai celakanya aku, alangkah baik kalau aku tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib! Sesungguhnya dia telah menyesatkan daku dari jalan peringatan (al-Quran) setelah ia disampaikan kepadaku. Dan adalah Syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan dia sahabat karibnya).” Al-Furqan : 27,28 dan 29
SITUASI KEDUA
‘Ayyash Bin Abi Rabi’ah merupakan seorang sahabat kepada ‘Umar Bin Khattab. Ketika hijrah ke Madinah, ‘Ayyash keluar bersama ‘Umar Al-Khattab. Sebelum sampai ke Madinah Al-Munawwarah, Abu Jahal dan Harith dari keturunan Hisyam mendatangi ‘Ayyash dan mengugut agar dia pulang ke Mekah. Mereka berkata, “Pulanglah kamu ke Mekah, sesungguhnya ibu berkata bahawa dia tidak akan menyikat rambutnya dan tidak akan berteduh dari panas matahari sehinggalah kamu pulang ke pangkuannya.”
‘Ayyash berhadapan dengan situasi yang genting. Ibunya adalah segala-galanya. Amat sukar baginya meninggalkan ibunya dalam keadaan demikian. ‘Umar Al-Khattab berusaha mencegah namun gagal, ‘Ayyash telah memutuskan untuk pulang bersama kedua bapa saudaranya itu. Namun ‘Umar tidak berputus asa. ‘Umar menyerahkan untanya dan berkata, “Ambillah unta ini, semoga suatu hari engkau dapat menggunakannya untuk menuju ke Madinah.
Pulanglah ‘Ayyash ke Mekah. Seperti yang dijangkakan ‘Umar Al-Khattab, semua itu hanya lakonan semata-mata. ‘Ayyash disiksa dan dipaksa untuk meninggalkan Islam. ‘Ayyash akhirnya kembali kepada keadaan asalnya.
‘Umar Bin Khattab tidak berputus asa. Beliau masih mengirimkan setiap wahyu yang turun kepada sahabat baiknya ‘Ayyash, dengan harapan wahyu-wahyu itu dapat mengembalikannya ke pangkuan iman. Hinggalah pada ketika turunnya ayat yang menyebabkan ‘Ayyash kembali kepada Islam dan menuju ke Madinah. Ayat tersebut berbunyi, “Katakanlah (wahai Muhammad) : “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa, sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” Az-Zumar : 53
‘Ayyash menerima surat yang mengandung tulisan wahyu tersebut. ‘Ayyash membacanya lalu menangis. Segera dia mengambil unta yang dahulu diberikan ‘Umar kepadanya dan bergegas menuju ke Madinah.
SAHABAT ADALAH SYURGA ATAU NERAKA SESEORANG
Betapa malangnya ‘Uqbah Ibn Abi Mu’ith yang memiliki sahabat yang menjadi sebab masuknya dia ke dalam neraka. Betaba beruntungnya ‘Ayyash yang memilih ‘Umar sebagai sahabat. Seorang binasa kerana sahabat sedang seorang lagi selamat kerana sahabat.
Jadilah sahabat yang mampu menyeru kepada kebaikan, agar sahabat-sahabat kita turut menyeru kepada kebaikan. Kita berlindung agar Allah tidak menjadikan kita penyebab terjerumusnya seseorang ke dalam lembah kenistaan. Lalu si dia pula menjerumuskan orang lain ke lembah sama. Biarlah yang mengalir itu kebaikan bukan sebaliknya.
HULURKAN TANGAN
Kita perlu mendidik diri agar tidak bosan menghulurkan tangan. Bukalah ruang rahmat dihati kita, sambutlah tangan mereka dengan penuh kasih sayang. Tiada kesempurnaan dalam diri manusia, bersabarlah menghadapi sahabat yang pelbagai. Sungguh rasul pun diperintahkan demikian seperti yang Allah SWT firmankan, “Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.” Al-Kahf : 28



Leave a Comment