Mengurus Perasaan dan Fikiran Menghadapi Anti Islam
Posted on May 6th, 2010 in Fikir, Kritik
Sungguh tidak mudah untuk berhadapan dengan mereka yang memiliki ain sukhti (pandangan buruk) kepada Islam. Kesabaran mungkin tercabar. Antara mahu membela kebenaran dan menahan emosi yang membakar. Sikap skeptik sebahagian pihak yang anti Islam ini memang menyebalkan. Penafsiran mereka terhadap sesuatu jauh dari kebenaran. Sangkaan mereka terhadap suatu isu sama sekali tidak ada kaitan dengan hakikat yang dirasakan atau dipercayai umat Islam lain. Maka, demi meluruskan penafsiran dan sangkaan itu kadang kala bahkan sangat sering kita menjadi melatah.
Ada dua perkara yang perlu kita pertimbangkan ketika berhadapan dengan mereka yang anti Islam. Pertama, usaha menyampaikan kebenaran. Kedua, usaha membuatkan mereka menerima kebenaran.
Apabila kita mengatakan suatu yang benar dengan cara yang salah atau suatu yang benar dengan intonasi yang tidak sesuai maka, ketahuilah bahawa kita sedang melakukan suatu yang sia-sia. Kalau pun kata-kata kita itu dituruti tapi ketahuilah bahawa kata-kata kita itu bakal meninggalkan kesan yang membekas pada diri seseorang.
Sebagai contoh mudah, seorang pemuda ingin menyuruh adiknya menutup lampu. Sambil meningking dia berterik galak, “Woi, tutup lampu!!”. Adiknya itu tersentak. Hatinya seakan-akan tersentap dan tercabut dari tempatnya. Dengan longlai adiknya itu menutup lampu. Pemuda itu berjaya. Lampu sudah pun tertutup. Malangnya, pemuda itu mendapat sumpah serapah yang diucapkan adiknya tanpa dia mendengarnya. Dendam dan kebencian terhadap abangnya membuak-buak di dada dan minda.
Alangkah beruntungnya pemuda itu jika dia memilih kata-kata yang lebih indah di dengar seperti, “Eh, adik.. Lampu bilik adik tu masih menyala. Kita dilarang untuk membazir. Boleh adik tolong tutupkan lampu tu.”
Perkara di atas masih sangat baik kerana adik pemuda itu dalam situasi yang tidak menafikan bahawa lampu memang perlu ditutup ketika tidak digunakan. Maka dia menerima walau pun terpaksa menelan kepahitan bahasa abangnya. Cuba kita bayangkan jika adik pemuda itu tidak dapat menerima atau memahami mengapa lampu perlu ditutup. Menurutnya pada malam hari, lampu perlu dinyalakan walau tiada orang di situ. Itu sudah menjadi keyakinan yang dipegangnya. Maka, ketika abangnya menggunakan kuasa ‘keabangan’nya dengan kata-kata yang kasar itu, dendam dan kebencian menjadi berlipat kali ganda. Bagaimana tidak? Dia sudah membenci dan mendendami terhadap bahasa kasar yang digunakan lalu ditambah pula dengan kebencian dan dendam terhadap ke-tidakmasukakal-an mengenai hal yang diperintahkan.
Situasi yang sama berlaku dengan mereka yang anti Islam dan orang-orang Islam.
Kita tidak cukup menjadikan matlamat untuk sekedar menyampaikan apa yang benar. Betul, ‘menyampaikan’ merupakan suatu yang penting. Tapi, tidakkah keberkesanan penyampaian perlu di ambil perhatian?
Kita sudah tahu dia tidak menerima Islam malah benci terhadap Islam, secara manusiawinya akankah mereka yang sedang sarat dengan kebencian itu akan mahu menerima apa yang disampaikan kepadanya dengan cara yang teramat sangat tidak menggiurkan.
Hal ini boleh dianalogikan seperti seorang yang memiliki makanan yang sangat sedap. Orang ini ingin sahabatnya menikmati kesedapan makanan yang dimilikinya. Sahabatnya enggan malah berkata, “Yelah tu sedap, tengok warna pun aku dah boleh agak benda tu tak sedap!”. Kesal dengan sikap sahabatnya itu, dia segera mengambil makanan yang sedap itu lalu melemparkannya tepat di muka sahabatnya sambil berkata, “Aku kata makan, makan jelah, sedap tu!!”. Kita boleh bayangkan apa yang bakal terjadi.
Seorang yang bijak akan bertindak dengan cara yang lebih menarik. Dia perlu menyentuh satu aspek yang ada pada makanan itu untuk menarik keinginan sahabatnya. Jika sahabatnya itu mementingkan tentang gizi sebagai contoh, dia perlu mengutarakan apa yang berkaitan dengan kandungan nutrisi yang terkandung pada makanan yang lezat itu sehingga sahabat itu terdorong untuk menikmati. Jika sahabatnya itu memiliki obsesi yang tinggi terhadap rasa, maka dia perlu menguraikan rasa yang terkandung seperti berkata, “Paduan pedas dari cili padi, masam mangga dan manis gula menjadikan makanan ini sungguh luar biasa kesedapannya!”
Sungguh banyak aspek Indah yang dimiliki Islam. Sangat banyak hal yang boleh ditawarkan kepada mereka ini untuk mahu melihat Islam dari sudut yang berbeza.
Betapa Indah Islam mengajarkan umatnya melihat beberapa hal demi mengurus perasannya dalam menghadapi mereka yang anti terhadap Islam. Sebahagian yang ingin saya utarakan disini antaranya :
1. Menjadikan kemampuan menahan marah sebagai senjata utama.
2. Tidak bersangka buruk terhadap sesuatu.
3. Mehamami hakikat hidayah.
Rasulullah SAW tidak pernah marah. Tidak cukup dengan memberikan contoh secara praktikal mengenai hal ini Baginda SAW bersabda, “ليس الشديد بالصرعة إنما الشديد من يملك نفسه عند الغضب” “Bukanlah syadid (keras, tegas, dll) dengan pergaduhan, tetapi sesungguhnya syadid itu siapa yang mampu memiliki dirinya (mengawal diri) ketika marah.” Dari Abu Hurairah dan diriwayatkan oleh Muslim.
Orang yang melulu dengan kekerasan sebenarnya telah diperguna oleh kemarahan. Kemarahan itu adalah api dan syaitan. Maka, tidak hairan jika kemarahan itu perlu dipadamkan dengan wudhu’. Dengan duduk jika sedang berdiri dan baring jika sedang duduk. Berapa ramai yang menyesal dengan kemarahan kerana tindakan mereka ketika itu tidak terkawal.
Pekara penting yang mampu mengawal perasaan dan fikiran kita dalam situasi seperti ini adalah dengan mengelakkan diri dari bersangka-sangka. Elakkan diri dari membuat sangkaan kerana sangkaan kita itu tidak akan pernah mengubah kebenaran. Jika kita menyangka seseorang melakukan apa yang dilakukan kerana sengaja, atau kerana itu dan ini. Maka kita telah meletakan satu keadaan yang menghambat diri kita untuk bersikap jernih dan bersikap terbuka.
Kita tidak pernah memahami apa yang sebenarnya orang itu alami. Kita tidak pernah tahu keadaan yang mendorong mereka melakukan hal yang telah mereka lakukan. Kita tidak tahu orang-orang Islam seperti apakah yang berada sekeliling dia sehingga menjadikannya begitu skeptik terhadap Islam. Kita tidak tahu suasana kehidupan seperti apakah yang menjadikannya membenci Tuhan dan tidak meyakini kewujudananya. Seribu satu hal yang kita tidak tahu mengenai dia. Maka, memadailah kita menasihatkan dan mengatakan sesuai maklumat yang kita miliki tanpa perlu tergesa-gesa menghukum.
Sangkaan akan mempengaruhi tindak balas kita. Jika sangkaan kita tidak tepat maka tindak balas yang bakal kita berikan juga tidak mengenai sasaran. Akhirnya, dia semakin ke utara kita malah semakin ke barat. Bukan malah mendekatkan dia dengan Islam malah menjadikannya berlari menjauhi Islam. Tidakkah situasi begini menjadi tanggungjawab kita jika kelak dipastikan bahawa semakin jauhnya dia dengan Islam adalah akibat dari tindak balas tidak tepat kita itu kerana sikap kita yang suka bersangka-sangka.
Hal yang terpenting dalam membahas perkara ini adalah. Pemahaman kita terhadap konsep Hidayah. Dalam buku saya, Al-Fatihah Menyusun Struktur Perasaan dan Fikiran Insan, ada dibahaskan mengenai pembahagian hidayah. Pertama pembahagian hidayah menurut wujudnya seperti, ilham, fitrah dan agama. Kedua pembahagian hidayah menurut pemberian atau penerimaan. Kita tidak akan membincangkan bentuk-bentuk hidayah.
Apa yang ingin saya tegaskan adalah, hidayah dari sudut pemberian dan penerimaan terbahagi menjadi dua. Satu, umum dan dua, khusus. Hidayah umum diberikan kepada seluruh manusia. Semua orang mendapatkan akal yang mampu digunakan untuk berfikir. Setiap umat diutus nabi dan rasul bersama kitab Allah bagi membimbing kita menuju kebenaran. Setiap manusia diberikan kecenderungan kepada kebenaran melalui fitrah. Kesemua ini bersifat umum kerana setiap manusia mengalaminya.
Hidayah yang mampu menggerakan hati untuk mahu dan mampu mengubah dari maklumat kepada penghayatan dan pelaksanaan adalah hidayah khusus. Ia dikenal juga dengan hidayah maunah atau hidayah taufiq. Hidayah inilah yang dimaksudkan dalam Firman Allah, “Sesungguhnya kamu tidak dapat memberi hidayah kepada siapa yang engkau cintai akan tetapi Allah memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendakiNya”
Hidayah ini merupakan anugerah yang Allah karuniakan kepada hamba-hamba yang terpilih. Seribu satu hujjah, seribu satu bukti, seribu satu seruan jika tidak diikuti dengan kesepakatan Allah memberikan kepada seseorang hidayah khusus ini maka orang itu sekali-kali tidak akan mendapat petunjuk.
Kita beriman hari ini kerana kita terpilih mendapatkan hidayah Allah. Allah memberikan hidayah itu kepada kita mungkin kerana ibu bapa kita yang ikhlas mendidik dan berdoa, atau mungkin sahabat-sahabat kita yang ikhlas memohon kepada Allah agar kita diberi hidayah. Atau mungkin guru-guru kita yang menjadi sebab. Maka tidak ada alasan untuk kita angkuh dan merasakan diri lebih baik dari mereka yang sedang anti terhadap Islam.
Kita berlindung dengan keagungan Allah dari hal yang akan kita bicarakan ini. Kita yang hari ini dikaruniakan hidayah khusus ini, lalu kita menggunakan kata-kata kasar, cara yang tidak baik, penuh keangkuhan dengan ‘keislaman’ kita. Bayangkan jika Allah menarik balik hidayahnya ini dari kita. Kita berubah menjadi seorang yang menolak keislaman yang dulu dipelihara. Sungguh kita mampu sesuka hati menggunakan tangan, kaki, mata, lidah, dan seluruh anggota tubuh lain kecuali beberapa hal yang mungkin selama ini tidak kita sedari. Kita tak dapat meminta jantung untuk berhenti berdetak. Kita tidak tahu bagaimana untuk menyuruh darah untuk berhenti mengalir. Kita juga tidak tahu bagaimana caranya untuk mengawal makanan yang sedang diproses dalam usus kita. Sama seperti hal-hal tadi, hati kita juga berada diluar kekuasaan kita. Iman dan Islam yang berada di hati kita itu bukan di dalam kekuasaan kita. Hati kita sangat mudah dibolak-balikkan dan diubah-ubahkan oleh Allah SWT. Tiada ruang untuk kita angkuh dan sombong dengan islam yang kita miliki kerana sungguh ia merupakan pemberian atau anugerah.
Kita juga dilarang keras mengutuk dan menghukum mereka yang menolak Islam. Mengapa? Kerana kita tidak tahu bila, dimana dan bagaimana Allah akan memberikan hidayah kepada seseorang. Mungkin hari ini kita melihat dia menolak Islam dengan bersungguh-sungguh. Tapi itu bukan bermakna dia akan selamanya dalam keadaan itu. Mungkin saja Allah akan memberi hidayah hanya kerana satu peristiwa lalu dia meraih iman dan islam yang jauh lebih berkualiti dari kita. Sungguh kita tidak pernah akan tahu apa yang bakal berlaku.
Uruslah perasaan dan fikiran kita dalam menghadapi situasi seperti ini dengan meletakkan diri dalam keadaan yang selamat. Manfaatkan segala yang telah Islam ajarkan. Bersikaplah dengan sikap-sikap yang direstui Allah. Berdoalah agar kita dapat menjadi penyebab kepada sampainya hidayah khusus Allah pada seseorang. Doalah agar Allah mempergunakan kita untuk memasukkan iman dan islam dalam diri seseorang. Usahalah gigih agar Allah menjadikan kita terpilih melaksanakan misi agung ini seperti yang telah dilakukan dengan sangat baik oleh para Nabi, para Shiddiqin, para syuhada dan para sholihin. Cukuplah kita melakukan terbaik yang kita mampu dengan mencontohi empat golongan istimewa yang telah mendapat nikmat Allah ini.
Sekarang kita fahamkan mengapa Nabi masih bertahajjud sambil menangis hingga membasahkan janggut bahkan air matanya bercucuran ke tanah padahal dia telah mendapat pengkhabaran akan terampunnya dosa-dosanya yang telah lalu dan akan berlaku kelak. Ya kerana dia teramat cinta kepada umatnya dan tidak sanggup melihat umatnya hancur dan hanyut lalu dengan tegas bersabda, “Celakalah mereka yang membaca ayat ini (surah Ali Imaran 190) lalu tidak memikirkannya.”
Fahamlah kita mengapa para sahabat sentiasa merasakan bahawa diri mereka munafiq padahal telah datang pengkhabaran melalui Jibril bahawa 10 dikalangan mereka telah disahkan diterima di jannah. Kerana mereka tahu iman mereka meningkat dan menurun. Kerana mereka sangat sedar iman mereka sangat-sangat mungkin ditarik balik pada hari-hari mendatang sebelum kematian mereka. Mereka memahami segalanya dengan pahaman yang mantap. Maka mereka sangat-sangat khawatir bahawa mereka tergolong dari kelompok munafik. Mereka tahu hati yang mengaku dipenuhi iman itulah yang paling tidak beriman. Tepatlah kata Ibnu ‘Atoillah, “من أثبت لنفسه تواضعا فهو المتكبر حقا” yang bermaksud, “Siapa yang menetapkan (mengaku) bagi dirinya perasaan rendah diri maka sesungguhnya dialah sebenar-benar orang yang sombong”



Leave a Comment