Mengapa masa yang selalu mendahului!
Posted on April 4th, 2008 in Uncategorized

Cacatan ini merupakan cacatan awal bulan. Sedar tak sedar kita sudah pun berada di bulan april! Pelik betul hidup ini. Eh, bukan hidup yang pelik tapi diri ini yang pelik! Setiap kali hujung minggu atau awal bulan mesti kita tersentak, Haa! Sudah awal bulan balik! Begitulah yang biasanya kita rasa. Mungkin lebih tepatnya saya. Sebab saya yakin ramai kengkawan yang kunjung di sini tidak seteruk saya.

Sepanjang bulan March 2008, banyak sekali peristiwa yang memperingati diri ini tentang masa. Peristiwa-peristiwa tersebut antaranya adalah perkahwinan rekan sebilik saya iaitu Syed Fuad Bin Syed Othman dengan Siti Zakiah Binti Shaleh. Apa kaitannya dengan masa? Sedar tak sedar kita ni dah masuk usia layak kawin rupanya. Hampir tak perasan! Mabrook la Bro! Perjuangan itu berakhir dengan sebuah perkahwinan. Sabarlah ye mereka yang belum mendapat rezeki dan peluang untuk menjadi raja sehari tu. Haha..

Peristiwa kedua adalah kematian seorang pakcik yang kita kenal dengan panggilan Wak Jasman. Beliau mungkin tidak terkenal akan tetapi salah seorang anak beliau sangat terkenal di negara kita. Muna Jasman, DJ Radio IKIM. Peristiwa penting yang sekali lagi mengingatkan diri akan masa.
Penghujung bulan March ini turut meninggalkan kesan-kesan mendalam umpama pahatan di atas batu. Malangnya bicara-bicara bisu adalah bukti kebebasan terpenjara hari ini. Tapi bagus juga, sekali sekala kita perlu juga bicara dengan suara-suara bising yang bisu!

Gambar bersama Abdul Ghadir Al-Hawajir yang kini masih dirawat di Palestin Hospital.

Mangsa sahabat kita yang terkena serangan roket. Beliau kini dirawat di Nasr Institute.

Sekarang ini bagi kami di Mesir sudah memasuki waktu-waktu ‘study mode’. Sudah dua minggu diri ini berkongsi maklumat mengenai subjek ‘Nahwu’ bersama pelajar-pelajar perempuan tahun kedua Universiti Al-Azhar Kaherah. Bahkan mereka sudah pun menyerahkan buku subjek ‘Qo’ah Bahas’ dengan harapan dapat memberikan mereka ulasan mengenainya. Sebenarnya aku sangat tidak berminat dengan apa yang mereka anjurkan ini. Sebab secara kasar ianya seperti minta disuap. Padahal subjek-subjek tersebut sudah pun diajarkan di kuliah oleh pensyarah-pensyarah yang tentunya sangat jauh lebih hebat dari diri yang hina ini. Namun, aku sangat mengerti kesusahan yang dialami pelajar-pelajar tersebut, apalagi dengan tahap bahasa Arab mereka yang begitu rendah. Semoga kehadiran diriku dapat sedikit meringankan masalah yang mereka hadapi. Apa yang dirisaukan adalah, untuk orang sudah diperuntukkan masa, untuk diri sendiri bagaimana pula!?
Terima kasih kepada MUS dari Aceh yang telah memberi komen kepada entri mengenai keberkesanan pendidikan Bahasa Arab di Malaysia. Bagaimana untuk menguasai Bahasa Arab dengan cepat? Wah! untuk sementara saya mohon maaf kepada saudara Mus. Waktu sangat tidak mengizinkan saya untuk menyampaikan itu semua. Namun, saya sudah pun bercita-cita untuk menulis sebuah buku berkenaan tema tersebut. Buku yang akan menerangkan pentingnya Bahasa Arab dari sudut sejarah, agama, keilmuan dan menerangkan pecahan-pecahan ilmu Bahasa Arab beserta fungsi tiap satunya. Tentunya buku itu juga perlu disertakan dengan cara-cara yang bersifat ‘tindakkan’ bagi dapat menguasai Bahasa Arab dengan cepat dan baik.
Manuskrip novel sulung telah pun berpindah tangan. Setelah bersusah payah akhirnya aku berjaya juga untuk menamatkannya di dalam 200 halaman kertas berukuran A4. Walaupun kesannya agak sedikit tergesa-gesa kerana kalau dilayan novel ini mungkin akan tamat pada lembar ke 300nya. Hal ini menyebabkan aku berfikir untuk membuat proposal untuk menulis novel kedua sambungan novel sulung ini. Namun, itu semua akan bergantung kepada komen penerbit dan editor bagi novel sulung ini terlebih dahulu. Tidak terkecuali novel sulung ini juga menjadi kelinci percubaan bagi novel genre agama yang berat seperti yang telah aku tuliskan itu. Lakukah tulisan yang demikian di pasaran buku negara kita?
Hey! Lupakan dahulu soal tulis-menulis! Peperiksaan hanya tinggal sebulan sahaja lagi dari sekarang. Masa yang ada sekarang milik silabus-silabus yang telah ditetapkan. Tahun ini kita perlu lakar sejarah diri yang lebih gemilang. Masa, izinkanlah kali ini agar kami dapat mendahului kamu! Biarlah anda yang terkejut dengan pergerakkan kami dan bukan kami yang terkejut dengan pergerakkan anda. Masa, kami akan berusaha membuat sebuah gebrakan dahsyat! Nantikan kejutan dari kami, kamu pasti akan terkejut dengan kesediaan kami sebelum kehadiran kamu.. Setidaknya begitulah azam kami dalam bersaing dengan masa…

Leave a Comment