“Mengapa kita perlu bertindak?” seorang Naqib melontarkan sebuah pertanyaan ketika semua mula diam.
“Maksudnya?” Seorang yang hadir tidak memahami soalan yang dilontarkan.
“Maksud saya, mengapa kita pada hari ini berkumpul membincangkan isu ini lalu kemudian melaksanakan tugas demi menegakkan kalimat Allah SWT di atas muka bumi ini?”
“Tentunya itu adalah tugas dan tanggung jawab kita sebagai seorang muslim!” Jawap seorang yang masih muda.
“Ya, tapi seandainya kita tidak melaksanakan tugas ini akankah Islam lenyap dimuka bumi ini?… Katakanlah semua umat Islam di atas muka bumi ini merajuk atau putus asa kerana tidak sanggup lagi menghadapi segala kepayahan dan kesusahan lalu sepakat untuk melupakan semuanya dan meninggalkan perjuangan ini, akankah Islam hanya akan tinggal kenangan dan sejarah?” Naqib tadi kembali mengajak anggota usrahnya berfikir. Semua berfikir keras.
“Tidak. Sama sekali tidak!” Jawab seorang antara mereka dengan penuh keyakinan.
“Allah SWT akan memelihara agama ini dan menentukan siapa dan bagaimana Islam dibela sepertimana Allah SWT sendiri menjaga kitab suciNya Al-Quran!” Dia memberi alasan.
“Tepat sekali! Islam sentiasa mulia kerana Allah SWT yang menjaganya. Persoalannya adalah, adakah kita merupakan mereka yang terpilih oleh Allah SWT demi memuliakan Islam? Adakah kita merupakan sebahagian dari mereka yang dipilih menjadi pejuang-pejuang yang melaksanakan Islam?”
Aku memang sedia maklum perkara ini tetapi kali ini ia semakin menyentak hatiku. Allah SWT tidak memerlukan kita demi melindungi agamaNya. Bahkan, kita sangatlah jauh dari sekedar mampu untuk melindungi Islam. Namun, Allah SWT membuka peluang kepada kita untuk melaksanakan apa yang diperintah dan meninggalkan apa yang dilarang agar kita boleh menumpang kenikmatan yang dijanjikan kepada para nabi, shiddiqin, syuhada’ dan sholihin. Allah SWT sengaja membuka jalan kepada kita yang percayakan hari pembalasan dan yakin bahawa dunia hanyalah sementara. Ini semua merupakan sebagai bonus dari Allah SWT.
Dalam Al-Quran ditegaskan bahawa seandainya semua makhluk di atas permukaan bumi ini kufur nescaya hal itu tidak sedikit pun mempengaruhi keagungan Allah dan tidak pula mengurangkan kekuasaanNya.
Jalan yang payah yang kita tempuh ini adalah demi kebaikan dan keperluan kita.
p/s : Baca surat yang dikirim oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) kepada Ikhwan Muslimin setelah disabitkan hukuman-hukuman yang tidak adil keatas penggerak-penggerak Ikhwan Muslimin di sini






