Mencipta Percaya
Posted on January 1st, 2010 in Motivasi
“It’s Ok they just dont understand me yet!” kata Tun Dr. Mahadir menjawap persoalan sebab ramai yang menentang gagasan-gagasan beliau. Dr. Mahadir Mohammad adalah seorang yang percaya bahawa Malaysia boleh menjadi negara yang maju. Kepercayaan beliau ini membuatkannya berfikir dan bertindak dengan sangat agresif. Menggagaskan automobil nasional adalah antara gagasan yang dahsyat ditentang suatu ketika dahulu. Beliau mencanangkan sebuah gagasan mega. Wawasan 2020. Itu Tun Dr. Mahadir dan sumbangannya kepada Malaysia. Suatu yang bermula dari titik percaya.
Percaya adalah suatu hal yang tidak mudah diraih. Seorang usahawan tidak akan berani meninggalkan pekerjaan makan gaji jika tidak ada ‘percaya’ dalam diri. Seorang bujang tidak akan melangkah untuk mendirikan keluarga jika tidak ada aspek ‘percaya’ dalam diri. Seorang guru juga tidak akan melahirkan anak bangsa yang cemerlang gemilang tanpa ‘percaya’ dalam diri. Bahkan, seorang yang hebat adalah seorang yang mampu menerbitkan percaya dalam diri sendiri dan lebih hebat lagi kalau mampu menerbitkan percaya di dalam diri orang disekelilingnya.
‘Percaya’ adalah senjata yang paling berharga yang dimiliki manusia. ‘Percaya’ sentiasa berkait kepada hal-hal yang tidak nampak oleh mata kasar. Ia bersifat ghaib. Apa yang akan terjadi adalah suatu yang ghaib yang tidak diketahui manusia. Manusia yang dibekali segala ciri-ciri kemanusiaan sentiasa dihantui rasa takut untuk berhadapan dengan ghaib itu. Ketakutan ini membuatkan manusia terlalu bergantung kepada apa yang dimilikinya saat itu dan menjadikannya tidak berani untuk menanggung resiko yang mungkin tidak terjadi. Hanya saja resiko bersifat ghaib itu mungkin terjadi, manusia sudah mengalah dan tidak mahu mencuba lalu pasrah bergantung kepada apa yang ada ditangannya.
Allah SWT menceritakan isu ‘percaya’ ini dengan pembahasan yang sangat simpel tetapi jelas. Ketika Rasulullah SAW memerintahkan untuk berperang orang-orang yang memiliki penyakit hati mula mencari alasan untuk tidak ikut serta. Mereka bahkan menghasut agar banyak yang mengikut kehendak mereka agar tidak mengambil resiko dalam peperangan. Mereka berkata, “Kalau kalian mengikuti peperangan itu, kalian mungkin akan mati!” Allah SWT menjawap hal ini dengan jawapan yang sangat simpel. “Cubalah naik ke tangga yang paling tinggi di langit agar kamu terselamat dari kematian!” Ya, jika kita takut sangat pergi berperang hanya karena kematian. Maka cubalah cari tempat yang dapat melindung kamu dari kematian. Apakah ada tempat yang selamat dari kunjungan malaikat maut?
Ketika para muslimin pulang dari peperangan, di antara mereka ada yang mati syahid. Orang yang hatinya busuk berkata, “Betul tak aku cakap, dia tak nak dengar, kalaulah dia nak dengar cakap aku dulu pasti dia tak mati!” Orang seperti ini mendapat tamparan hebat dari Allah yang berbunyi, “Kalaulah benar begitu, nanti jika kematian datang kepadamu mintalah kematian agar diundur atau diperlambatkan!” . Sudah tentu hal ini tidak akan terjadi. Rasa ketika mati adalah sama walaupun kita mati dalam keadaan tidur atau pun mati dalam keadaan berperang. Kematian manakah yang lebih mulia?
Perbincangan simpel seperti ini tidak mudah diresap hati, lebih susah lagi untuk mengalir di dalam tindakan sehari-hari. Hanya ‘percaya’ yang membuatkan seseorang berani melangkah. Hanya ‘percaya’ yang membuatkan Islam suatu ketika dahulu gemilang. Hanya ‘percaya’ yang membuatkan Muhammad Al-Fateh menjadi pembuka Kostantinopel. Hanya ‘percaya’ yang membuatkan Salahuddin Al-Ayyubi berjaya membuka kembali Kota Suci Al-Quds.
Allah SWT mendidik hamba-hambaNya untuk sentiasa ‘percaya’. Tidak cukupkah tanda-tanda kebesaran Allah kepadamu untuk percaya padahal telah diperlihatkan bagaimana kamu yang sedikit dan lemah mampu mengalahkan tentera yang gagah dan ramai? Ketahuilah bukan kamu yang melemparkan batu itu tetapi kamilah yang melemparnya!
‘Percaya’ yang tumbuh dalam diri para Sahabat RA tidak menjadikan mereka golongan yang bebal yang membiarkan nasib sebagai penentu. Mereka begitu sedar bahawa ada kuasa yang Maha segala Maha disebalik usaha mereka yang kecil. Tetapi mereka tidak meninggalkan usaha kecil itu dan bergantung secara putus asa kepada kuasa yang Maha segala Maha itu. Malah, mereka menjadikan usaha kecil itu menjadi usaha yang paling maksimal dan usaha yang paling sungguh-sungguh. Kerana ‘percaya’ mereka berani meninggalkan Mekah dan menuju Madinah. Kerana ‘percaya’ mereka menggali khandaq (parit) dalam menghadapi gabungan kuasa Kuffar.
“Dan mereka yang berjihad di jalan kami maka pasti kami akan menunjukkan jalannya dan sesungguhnya Allah bersama mereka yang muhsinin.” Al-Ankabut : 5
Usaha menuju Allah SWT, meraih keredhaan Allah, memperjuangkan kalimat Allah adalah tujuan asal manusia dihidupkan. Mereka yang berusaha untuk tujuan murni ini dengan segala yang mereka miliki dari harta benda, tenaga, waktu dan bahkan nyawa akan menemui jalan dari petunjuk Allah. Itu adalah sebuah janji dari Allah. Allah akan mempertemukan jalan penyelesaian untuk segala sesuatu asalkan ia merupakan hal yang baik dan benar. Namun ayat ini ditutup dengan sebuah kesimpulan yang tegas. Kesimpulannya adalah, Allah bersama mereka yang mempunyai ciri-ciri ihsan.
Apakah itu ihsan? Ihsan dalam aqidah adalah menyembah Allah seakan-akan kita melihat Allah atau seakan-akan Allah sedang melihat kita. Ihsan dalam pengertian ini merupakan persembahan yang paling sempurna kerana si penyembah merasa diri diawasi, diperhati dan dilihat. Sesuai dengan makna ini, Allah menegaskan bahawa Dia bersama mereka yang memiliki sifat ini. Mereka yang melakukan segala tindakan dengan sehabis baik tanpa peduli tentang sekeliling adalah suatu yang lahir dari ‘percaya’. Percaya bahawa persembahan itu hanya untuk Allah. Percaya bahawa Allah sedang melihat kegigihan kita untuk nanti diberi bantuan dan pertolongan sesuai kesungguhan yang telah kita persembahkan.
Umat Islam hari ini hilang kepercayaan. Hilang keyakinan diri. Hilang cita-cita dan harapan. Umat Islam sudah mula hilang ‘percaya’.
Kita perlu percaya bahawa dengan Islam kita akan selamat. Kita perlu percaya dengan memperjuangkan Islam kita akan makmur. Kita perlu percaya dengan berpegang teguh pada Islam kita akan maju jaya. Lebih dari itu, kita perlu percaya bahawa akhirat itu benar-benar wujud. Kita perlu percaya bahawa syurga itu nikmat yang tak terbayang oleh akal. Kita perlu percaya bahawa neraka adalah suatu yang tak tersanggup untuk kita hadapi.
Ayuh kembalikan ‘percaya’ pada diri! Di permulaan tahun baru ini kita perlu menyenaraikan segala perkara yang kita percaya.
Senaraikan segala perkara yang kita ‘percaya’ kita mampu meraihnya. Kita senaraikan juga segala perkara yang kita ‘percaya’ kita mampu meninggalkannya. Kita harus mula ‘percaya’ bahawa kita mampu menghafal Quran maka mulakanlah usaha dengan sistematik dan konsisten. Kita harus mula ‘percaya’ bahawa hanya Islam yang dapat menjamin kehidupan kita dunia dan akhirat, maka mulakanlah mendidik diri dengan didikan Islami. Mulakanlah mencari calon isteri dengan cara yang Islami. Mulakanlah mendidikan rumah tangga dengan cara yang Islami. Mulakanlah mendidik anak dan keluarga dengan didikan yang Islami. Kita perlu percaya bahawa mengejar dunia semata-mata untuk berfoya-foya tidak mendatangkan apa-apa melainkan nikmat yang manisnya hanya seketika. Kita perlu percaya bahawa meninggalkan segala maksiat dan perkara keji tidak akan merugikan kita. Kita perlu percaya bahawa kita boleh bahagian tanpa berlumuran di dalam lembah yang nista.
Ayuh sama-sama kita cipta percaya, agar 2010 yang baru menyapa, mendatangkan seribu satu bahagia, memperlihatkan betapa besarnya kuasa yang Maha Esa, menumbuhkan keikhlasan dan mensyukuri segala nikmatNya, kerana aku hanya ingin menjadi seorang yang percaya!



January 5th, 2010 at 10:50 pm
subhanallah….subhanaka la ‘ilma lana illa ma ‘allamtana innaka antal ‘alimul hakim