Melahirkan Akal ‘Ubudiyyah

Posted on March 28th, 2009 in Agama, Fikir

 

Manusia merupakan makhluk yang dimuliakan Allah SWT dengan karuniaan istimewa bernama akal. Akal membuatkan manusia mampu berfikir dan kemudian dengan pemikiran itu melahirkan tindakkan. Malangnya nikmat akal ini tidak selamanya member kesan positif kepada manusia jika tidak dilandaskan dan didasarkan pada rangka yang sepatutnya.

Bila kita melihat seseorang bergelar jurutera sebagai contoh, menggunakan akal yang diberikan dengan teliti sehingga dia dapat membuat penilaian dan kemudian dari hasil penilaian tersebut membuat langkah awal mendirikan sebuah bangunan. Jurutera tersebut tidak membuat atap terlebih dahulu tetapi memulakan dengan asas kemudian tiang lalu dinding dan pada akhirnya atap. Akal yang digunakan jurutera ini adalah akal rasional.

Ketika kita melatih akal rasional kita sesuai dengan kedewasaan kita maka kita akan melangkah dari tahap ke tahap. Antaranya : Akal pembeza (tamyiz) – Akal pengalaman (tajribi)  Akal teori  (nazari) – Akal yang mahir dalam kerja praktikal (amali) dan Akal tambahan, added intellect (mazid).

Allah SWT di dalam kitabNya Al-Quran ada menyebutkan bahawa hamba-hambaNya berfikir menggunakan hati. Qulubun ya’qiluna biha. Ayat ini jelas menunjukkan ada sebuah lagi jenis berfikir yang perlu ada pada manusia iaitu fikir yang menggunakan hati. Kita mengenal bentuk berfikir yang demikian dengan Akal ‘Ubudiyyah.

Asas bagi menciptakan Akal ‘Ubudiyyah ini adalah Hadis yang disampaikan Ibnu umar ketika dia bertanya kepada Saidatina Aisyah RA akan perkara yang paling menakjubkan pada Rasulullah SAW. Lalu diceritakanlah perihal Rasulullah SAW yang solat malam dengan linangan air mata yang merupakan kesan dari pahaman dan tadabbur setelah turunnya ayat, “inna fi khalqissamawati wal ardi..”

Amru Khaled pula melihat keadaan ini sebagai sebuah ibadat wajib yang diberi nama Ibadat Attafakkur. Menurutnya lagi, Nabi Ibrahim telah melakukan ibadat ini sebelum akhirnya mendapat hidayah ketika berhadapan dengan kaumnya yang menyembah berhala. Rasulullah SAW juga melakukan ibadat yang sama ketika menyendiri di gua Hira’. Bahkan, Nabi Ibrahim berdoa seperti yang terkandung di dalam Al-Quran, “Rabbana wab’ats fihim rasulan minhum yatlu ‘alaihim ayatika wa yu’allimuhumul kitaba wal hikmata wa yuzakkihim innaka antal azizul hakim.”

Akal ‘ubudiyyah atau ibadat attafakkur ini dilihat sebagai faktor utama yang hilang dari umat Islam hari ini. Kekeringan ibadah dari nilai dan kesan diyakini akibat kurangnya kesan kebesaran Allah di dalam hati manusia. Menghadirkan kesan kebesaran Allah SWT itu tidak lain adalah dengan menjadikan ibadat attafakkur atau menggunakan akal ‘ubudiyyah.

Demi mencapai tahap akal ‘ubudiyyah yang sepatutnya Imam Ghazali menghuraikan secara detail berkenaas solat, puasa dan haji dengan memahami secara mendalam kandungan bacaan dan erti disebalik pergerakkan. 

 

**Telah dibentangkan kepada ahli usrah pada (13 Mac 2009)

 

Published by taqeyyabella

Leave a Comment

Share