This is some text prior to the author information. You can change this text from the admin section of WP-Gravatar Final year student, General Studies Faculty of Arabic Language, Al-Azhar Asy-Syarif University, Cairo, Egypt.


Semalam seorang teman yang cukup akrab meluahkan isi hatinya. Luahan yang jarang diluahkan kepada seseorang melainkan desakkan tinggi dari dalam dirinya dan kepercayaan tinggi kepada orang yang mendengarkan luahan tersebut. Perasaan bahagia timbul seketika kerana dia telah mempercayai aku bagi mendengarkan apa yang ingin diluahkan. Namun, di sisi lain aku mendapat sebuah cabaran untuk membantu dia mencapai apa yang dinginkan oleh dirinya sendiri, Rasulullah SAW dan Allah SWT. Perkara itu yang membuatkan aku terkelu. Ini amanah besar. Sangat besar!

Perlahan aku memberi dia peluang meluahkan dilema yang dihadapinya. Ia berhujung dengan sebuah pandangan, “Apa yang harus aku buat Shahiid!?”

Aku tidak terlalu terkejut mendengar penyataannya kerana memang kawan-kawanku bukanlah dari golongan baik-baik semua, walaupun jika dibandingkan dia dengan teman-temanku yang lain dia masih lagi termasuk dalam golongan yang baik. Orang sebaik dia pun boleh melakukan perkara-perkara tersebut, apalagi mereka yang jelas-jelas masuk dalam kategori yang sebaliknya. Tuhan sajalah yang tahu bagaimana sebenarnya keadaan mereka.

“Aku tahu engkau ini baik, aku ni, Quran pun belum pernah khatam! Aku teringin sangat nak dalami agama. Aku nak hafal Quran. Tak tahulah nanti macam mana. Tak lama lagi aku nak terbang ke Amerika. Lagi hancurlah aku kat sana!” Dia meneruskan luahan hatinya yang jelas menggambarkan kerisauan dan kecamuk di batinnya.

Di saat membaca semua yang diluahkan aku malah terbawa oleh minda melihat silamku yang tidak begitu jauh. Ya aku tidaklah sebaik yang disangka untuk memberi petunjuk. Ya mungkin kerana dulu aku sekolah agama dan sekarang pula di Universiti Al-Azhar namun, hakikatnya aku bukanlah ma’sum seperti para nabi yang bersih dari dosa dan noda. Cabaran yang sangat besar bagi mereka yang menuntut dengan mendalam bidang agama adalah ketika dia menjadi rujukan orang lain. Itu sebenarnya merupakan ujian yang dapat dimanfaatkan oleh syaitan. Segera aku beristighfar mengenang dosa-dosa yang hanya diketahui oleh diriku, malaikat, Allah SWT dan mungkin juga Rasulullah SAW. Aku tertunduk malu.

“Menurut engkau aku perlu buat solat taubat ke? Solat hajat?” Dia tidak sabar lagi menunggu cadangan tindakkan dariku.

Bismillah! aku harus cuba sedaya upaya membantunya menuju kebaikan. Aku cuba menyampaikan beberapa hal yang aku susun begini :

1. Kamu perlu bersyukur atas kesedaran yang timbul di hati kecilmu. Itu merupakan benih hidayah yang perlu disemai dan dipelihara bukan dirosakkan atau dibinasakan. Saat ini fitrah kamu sedang bicara maka dengarkanlah kepadanya. Ya, fitrah manusia itu ketika melakukan kesalahan atau sesuatu yang salah sama ada sengaja atau pun tidak dia akan merasa tidak selesa. Itulah fitrah. Ikuti suara hati yang jernih dan hati-hati akan bisikan syaitan yang tidak akan diam.

2. Kamu perlu yakin dosa-dosa besar yang pernah kamu lakukan itu sesungguhnya amat kecil dihadapan Allah SWT jika kamu ikhlas bertaubat dan menyesalinya. Allah SWT Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Dia juga Maha Pengampun atas segala dosa. Kasih sayang dan rahmat Allah SWT begitu besar. Dia tidak akan mengazab mereka yang meminta ampunan dan bersungguh dalam menyesali dosa silam. Kita harus percaya itu!

3. Gejolak hati kamu itu perlu diikuti dengan sebuah keazaman tinggi dan semangat menjulang. Semangat ingin berubah. Azam untuk bertaubat. Keazaman yang tinggi dan semangat yang menjulang sahaja tidak cukup, ia perlu diikuti dengan sebuah tindakkan. Tindakkan yang lahir dari hati yang bersih. Ya, ia berat dan susah akan tetapi itulah harganya. Manfaatkan segala sesuatu yang dapat dimanfaatkan demi membantu agenda perubahan. Cipta suasana dan lingkungan yang mendukung.

4. Mengapa susah benar untuk berubah dan menjadi baik? Memang itu harganya! Jika hal duniawi juga susah diraih melainkan kerja keras, maka demikian juga halnya dengan syurga yang digambarkan di dalam Al-Quran sebagai tempat yang paling indah dan paling hebat keselesaan dan kemewahannya yang tidak pernah terbayang oleh akal manusia. Memang mahal harganya. Allah SWT sengaja menjadikan yang baik-baik itu susah kerana dengan demikian akan terlihat siapakah dari manusia yang benar-benar mempercayai Allah SWT dan ganjaran yang Allah SWT tawarkan dari mereka yang tidak mempercayai dan enggan mendapatkan ganjaran tersebut. Kita perlu berubah kerana kita percaya!

5. Benar aku tidak ada di sisimu untuk sekedar mengajar bagaimana cara mengaji (membaca Al-Quran) dengan betul. Tapi, itu bukan bermakna kamu tidak dapat belajar mengaji. Masih ramai selain diriku yang ada disekitar dirimu. Bahkan di setiap belahan bumi aku yakin pasti ada hamba Allah SWT yang dapat membantumu. Persoalannya bersediahkah kamu mencarinya? Sanggupkah kamu bayar harga demi mendapatkannya?

6. Sempatkah? Saat ini bukan masanya untuk bicara samaada sempat atau pun tidak. Jika sempat akankah kamu berkerja keras? atau jika tidak sempat akankah kamu berputus asa? Ya mungkin secara logik seorang yang sudah sibuk dengan pekerjaan dan ditambah pula dengan faktor usia yang tidak lama akan berkepala 3, untuk menghafal Al-Quran dan menguasai semua ilmu agama mungkin layak dikatakan terlambat dan tidak sempat. Namun itu bukan persoalan utama. Kerana Allah SWT tidak melihat hasil, bahkan Allah SWTlah yang menentukan hasil. Apa yang Allah inginkan adalah usaha kita. Dengan usaha kita itulah Allah SWT menentukan hasil dan Allah SWT tidak pernah zalim terhadap hamba-hambaNya.

Pada masa yang sama kita sudah tidak ada masa lagi untuk berlengah kerana kita tidak tahu bila kita akan mati. Jika bayi dalam kandungan saja boleh mati inikan kita yang telah cukup lama hidup. Walaupun seandainya (ia tidak akan berlaku) kita tahu bila kita akan mati, beranikah kita berlengah sedang kita tidak tahu apakah Allah SWT akan terima atau tidak amalan kita. Tidak ada penangguhan untuk menjadi baik. Perubahan harus dilakukan serta merata walaupun ia dilaksanakan secara bertahap. Jangan tunggu-tunggu lagi!

7. Jika kamu merasakan agenda menuju perubahan ini begitu sulit dah payah, carilah kekuatan. Kekuatan yang sama maksudkan ada pada Allah SWT. Allah SWT tidak seperti raja-raja yang melarang orang menghadap mereka melainkan didahului dengan temu janji. Orang yang ingin bertemu juga perlulah mencukupi syarat, dari tata cara mengadap hinggalah kepakaian ketika mengadap. Bertemu Allah SWT lebih mudah. Tanpa syarat. Hanya perlu mensucikan diri dengan berwudhu’ dan berpaikan bersih kamu boleh terus berhubung denganNya. Bicara terus kepadaNya. Mohon apa sahaja yang kamu inginkan daripadaNya. Jika kamu terasa lemah dan payah mintalah kekuatan daripadaNya dan Dialah sumber segala kekuatan. Bila sahaja dimana sahaja kamu boleh berhubung dengannya. Tidak ada waktu, tempat, keadaan atau apa saja yang menghalang daripada berhubung denganNya. Dia juga Maha Mendengar dan Maha Melihat keatas semua yang kamu ucapkan dan kamu lakukan.

Aku tidak tahu lagi apa yang harus aku sampaikan. Dengan keterbatasan bicara menggunakan tangan (YM) maka aku sangat berharap agar dia dapat melihat peluang keemasan dan pintu taubat yang begitu besar terbuka yang cuba aku gambarkan. Doaku sentiasa mengiringimu. Walau jalan ini berliku lagi berduri harungilah ia kerana di hujungnya terdapat cahaya…

2 Responses to “Masih Ada Waktu..”

  1. Muhammad Luthfi Says:

    Terharu sangat laa baca tulisan ni… Ya Allah, semoga berikanlah hamba hidayahMu untuk selalu bersyukur kepadaMu….

  2. Hanif MesirNo Gravatar Says:

    Sebuah tulisan yang amat dinanti2kan oleh setiap hamba2 Allah yang tersedar dan tersentak melalui tiupan hidayah Allah..yang tertanya2 apa yang dilakukan untuk seterusnya..Syukran akhi..atas perkongsian ini..

Leave a Reply