Mari bertafakkur…
Posted on September 18th, 2007 in Uncategorized
Â
“Seorang alim yang sedang tidur adalah lebih ditakuti oleh syaitan dibanding seorang abid yang sedang beribadah..”
Kekuatan manusia adalah pada akal. Akal jualah yang telah mengangkat derajat manusia ke setinggi-tinggi derajat. Akal bertemankan keinginan manusia (nafsu) menjadikan manusia adalah makhluk yang paling layak mentadbir bumi. Mengubah dari kosong menjadi semarak penuh ceria dengan bangunan-bangunan, alat-alat pengangkutan, pakaian, budaya, makanan sehingga lahirlah dunia yang begitu meriah.
Hari ini penghuni bumi telah mencapai ke sebuah tahap kehidupan yang begitu tinggi. Segala keperluan hidup tercapai dengan begitu mudah. Berbeza dengan puluhan tahun dahulu, manusia banyak berusaha untuk terus berfikir supaya dapat survive dalam kehidupan. Hari ini, tanpa berfikir pun manusia boleh survive. Tanpa berfikir pun manusia boleh menjadi kaya raya hidup selesa. Tanpa berfikir pun manusia boleh merasa bahagia. Akhirnya makin banyak yang memilih untuk hidup simpel tanpa pernah berfikir.
Hari ni lahirlah generasi yang pelik bin ajaib. Generasi gila. Jangan ditanya mengapa begini atau begitu. Jangan persoalkan kemana hilangnya akal mereka bila kita melihat tingkah dan laku mereka. Jangan ditanya kemana perginya hati dan perasaan mereka saat melihat kehidupan mereka. Tidak heran mengapa mereka sanggup lari jauh dari agama atau bahkan lari dari masyarakat. Mereka cipta dunia mereka sendiri yang sesuai dengan jiwa dan kemahuan mereka.
Hasilnya, mereka tidak lagi berharga. Kehidupan mereka tanpa arah. Hilang…
Waktu terus berlalu, usia mereka pun meningkat, rambut pun mula beruban. Saat pandangan mulai kabur, mereka mula keletihan. Apa yang mereka dapat? Apa yang mereka rasa? Tiada rasa puas. Tiada untung. Semuanya hanya fatamorgana. Ketika itulah baru penyesalan timbul. Dengan tenaga dan kemampuan yang tersisa barulah sibuk mencari ke mana.. bagaimana.. mengapa.. alangkah baiknya..
MARI BERFIKIR
Melihat senario ini. Sangatlah perlu bagi manusia untuk setidaknya menggunakan sedikit masa mereka untuk sekadar berfikir. Hanya dengan berfikirlah kita dapat mengubah segala-galanya. Seorang yang mahir berfikir tidak mudah tergelincir dilantai yang licin. Berfikir adalah sebuah kemahiran. Bahkan sebuah IBADAH. Ya, ibadah yang mendapat pahala bila melakukannya.
Syiekh Amru Khalid telah menulis sebuah buku nipis yang bertajuk “Ibadatuttafakkur” yang bermaksud “Ibadah bertafakkur”. Beliau menerangkan bahwa ibadah tafakkur ini sangat perlu dilaksanakan oleh setiap manusia. Ibadah tafakkur inilah satu-satunya jalan untuk menghidupkan hati.
Manusia selalu terikat antara hati (perasaan), akal fikiran dan Tindakkan. Ketiga-tiga aspek ini tidak dapat dipisahkan. Sabda Rasulullah SAW menerangkan bahwa dalam diri manusia ada segumpal darah yang apabila ianya baik maka baiklah seluruh tubuh dan apabila ianya tidak baik maka rosaklah seluruh tubuh, tidak lain dan tidak bukan ianya adalah hati. Hati yang jernih akan melahirkan tingkah laku dan tindakkan yang baik pula. Namun hati yang kotor lagi keras dapatkah ia dibersihkan dan dilembutkan?
Disinilah akal manusia berperan. Akal manusia yang mampu berfikir dapat melindungi dan memelihara hati dari menjadi kotor dan keras. Akallah yang akan membuatkan hati manusia tenang dengan suatu keyakinan. Akal jualah yang meneguhkan manusia akan keyakinan itu.
AKAL DAN HATI
Kisah Sayyidina Umar Al Khattab dapat dijadikan contoh yang paling tepat jika berbicara soal hati dan akal. Suatu ketika Sayyidina Umar berjalan dengan baginda Rasulullah SAW, dan berkata pada Baginda SAW, engkau adalah yang paling aku cintai setelah diri sendiri. Mendengar ucapan itu Rasulullah SAW menjawab, “Tidak wahai Umar, tidak beriman seseorang sehinggalah aku menjadi yang paling dia cintai. Lebih dari cintanya terhadap dirinya sendiri.” Sayyidina Umar Al-Khattab ketika itu juga berkata, “Wahai Rasulullah SAW, engkaulah yang paling aku cintai saat ini. Lebih dari cintaku terhadap diriku sendiri.” Rasulullah SAW membalas “Saat ini, wahai Umar?” “Ya, mulai saat ini.” Umar menjawab dengan mantap.
Abdullah Bin Umar suatu saat bertanya, “Bagaimana cinta ayah dapat berubah begitu cepat terhadap Rasulullah SAW?” Sayyidina Umar pun menerangkan, bahwa ketika Rasulullah SAW berkata demikian fikirannya terus mengenang betapa hina dan kejinya dirinya sebelum bertemu Rasulullah SAW. Rasulullah SAWlah yang telah membawa cahaya Islam yang mengangkat derajatnya, memanusiakan dirinya, menerangkan yang gelap, mencerahkan yang kabur. Rasulullah SAW berhak dicintai lebih dari dirinya sendiri.
Ketajaman fikiran sayyidina Umar Al-Khattab menghantarkannya ke kejernihan hati. Betapa besarnya peranan akal dalam menciptakan hati yang bersih.
Sejarah juga telah mengajarkan kita betapa pentingnya meluangkan masa untuk berfikir. Rasulullah SAW sebelum turunnya wahyu, telah menyendirikan diri di Gua Hira untuk bertafakkur. Beliau asingkan diri dari masyarakat yang sangat teruk. Berzikir dan berfikir akan ciptaan Allah SWT, sehinggalah datang utusan Allah SWT Jibril AS yang menyampaikan wahyu pertama. Bahkan ada yang mengatakan bahwa Jibril AS telah memeluk dan menuntut baginda SAW untuk menyebut wahyu yang diturunkan. Apakah wahyu tersebut? Sebagaimana yang kita semua ketahui wahyu pertama adalah “Iqra’ bismi rabbikallazi khalaq, khalaqal insana min alaq, iqra’ wa rabbukal akram, allazi allama bil qalam, ‘allamal insana ma lam ya’lam.” yang bermaksud, “Bacalah wahai Muhammad SAW dengan nama Tuhanmu yang Maha menciptakan. Yang menciptakan manusia dari ‘alaq, Bacalah dan sesungguhnya Tuhanmu Maha Pemurah, Yang mengajarkan dengan Qalam, yang mengajarkan manusia apa yang belum diketahui”.
Membaca tidak hanya terfokus kepada tulisan manusiawi. Manusia juga perlu mampu membaca apa yang Allah SWT sampaikan dari apa-apa yang manusia dengar, lihat dan rasa. Allah SWT berfirman di dalam surah Ali Imran ayat 190-191 yang bermaksud, “Sesungguhnya didalam penciptaan langit dan bumi dan pergantian malam dan siang terdapat petanda-petanda bagi ulil Albab. (Mereka adalah) yang mengingati Allah ketika berdiri, duduk, dan berbaring dan bertafakkur pada penciptaan langit dan bumi lalu berkata, Wahai tuhan kami, tidaklah segala yang diciptakan ini sia-sia (batila), Maha suci engkau, maka jauhilah kami dari azab api neraka” lalu Baginda SAW menangis setelah membaca ayat ini dan berkata, “Celakalah bagi mereka yang membaca ayat ini dan tidak berfikir mengenainya.” Hadis dari Ibnu Hibban di dalam shahihnya.
Rasulullah SAW juga pernah bersabda, “Berfikirlah tentang ciptaan-ciptaan Allah..” Dengan berfikir terhadap ciptaan Allah SWT manusia dapat mengenal Allah SWT. Ruangkanlah sedikit masa untuk sekadar bertafakkur akan segala ciptaan Allah.
‘Amir Ibnu Abi Qais berkata, aku mendengar ramai para sahabat Rasulullah SAW berkata, “Sesungguhnya cahaya iman adalah tafakkur.” -tafsir Ibnu Katsir. Maka seandainya kita ingin menghidupkan hati, dan menyiraminya dengan cahaya, menerangkannya dengan taqwa, melembutkannya dengan takut, membersihkannya dengan redha, maka bertafakkurlah.
Hasan pernah berkata, “Bertafakkur sesaat adalah lebih baik dari qiyam satu malam” dikeluarkan oleh Ibnu Abi Syaibah di dalam kitab Musnif dan Ibnu Abi ‘Asim di dalam kitab Zuhud.Â
Umar Ibn Abdul Aziz berkata “Atta’ammul (berfikir) tentang ni’mat Allah SWT adalah diantara sebaik-baik ibadah.” dikeluarkan oleh Abu Naim di dalam kitab Hulyah.
 Al-Quran juga diturunkan dengan uslub yang mengajak kita untuk selalu berfikir dan bertafakkur. Menggerakkan akal. Seperti mana firman Allah SWT di dalam surah Al-Ghasyiyah, “Tidakkah kalian melihat ke ibil bagaimana ia diciptakan, dan ke langit bagaimana ia diangkat, dan ke gunung bagaimana ia dipasakkan, dan ke bumi bagaimana ia dihamparkan..”
MARI BERFIKIR
Persoalan berfikir bukan pada usia. Seorang yang muda sekali pun kalau mahu menggunakan akal untuk berfikir maka akan terpancar cahaya iman dihatinya. Seorang yang muda tidak perlu dimanja dan dianggap belum matang dan tidak mampu berfikir.
Seorang yang tua sekali pun jika tidak pernah berusaha memikirkan akan kebesaran Allah SWT maka hidupnya akan sia-sia. Jangan mengeluh bila melihat anak yang telah dewasa hanyut dalam kehidupan dunia. Menggadai nyawa diatas jalan raya. Menempah maut dengan jarum durjana. Sedang sang ayah tidak pernah mendidik untuk sekedar merenung dan berfikir.
Sekali lagi saya terkagum dengan didikan Rasulullah SAW yang telah mengajar kita untuk membaca zikir-zikir pagi dan petang yang kemudian dikumpulkan dan diberi nama Al-Ma’thurat oleh Syeikh As-Syahid Imam Hasan Al-Banna. Seandainya setiap kita mengamalkannya setiap pagi dengan memahami erti setiap kalimat yang kita sebut dan kemudian diikuti dengan renungan dan tafakkur. Kita akan sedar betapa Maha Agungnya Allah SWT. Kita juga akan sedar dan akui betapa kerdilnya kita.
Maha suci Allah SWT yang telah menciptakan kita pada akhir zaman dimana rahsia Al-Quran semakin banyak telah terungkap. Penemuan demi penemuan oleh para saintis dan pemikir tentang makhluk-makhluk ciptaan Allah SWT yang nyata telah terbuku di dalam Al-Quran semakin banyak terungkap. Ini membuktikan kesahihan Al-Quran dengan lebih jelas lagi. Namun seandainya kita masih gagal untuk sekedar bertafakkur dan merenung maka alangkah ruginya.
Bertaffakkur sangat penting untuk menimbulkan rasa takut di hati kita. Seandainya manusia mahu bertafakkur memikirkan penciptaan Allah SWT. Rasulullah SAW pernah bersabda tentang langit. Beliau menerangkan bahwa langit yang pertama adalah seumpama sebutir biji di tengah-tengah luasnya hamparan langit kedua, begitu juga langit kedua hanya umpama sebutir biji di tengah-tengah langit ke tiga begitulah hingga langit ke tujuh. dan langit ketujuh juga hanyalah umpama sebutir biji di atas hamparan kursi Allah SWT. (Wasi’a kursiyyuhussamawati wal ard)  . Demikianlah juga kursi Allah SWT hanya sebesar sebutir biji di atas hamparan ‘arasy Allah. Sedang ‘arasy Allah di atas tapak tangan Allah hanyalah umpama sebutir biji di atas hamparan padang pasir. Hadis dikeluarkan oleh Ibnu Hibban,  Abu Muhammad Al Ashbahani dan Abu Na’im.
Seandainya kita meneliti dan membayangkan lalu merenungkan dan bertafakkur akan perihal hadis diatas tadi. Maka siapalah kita untuk tidak bersyukur? siapalah kita untuk meninggalkan solat? siapalah kita untuk ingkar dan tidak taat? Siapalah kita untuk rela membuka aurat? siapalah kita untuk melengahkan masa?
Seandainya kita mahu bertafakkur…

Leave a Comment