Mahalnya Sebuah Hidayah..

Posted on March 6th, 2010 in Fikir

Van yang kami naiki memasuki sebuah lorong dan berhenti. Sebelah kanan kami terdapat sebatang sungai yang lebarnya kira-kira hampir lima meter. Sebuah Masjid yang didalamnya terdapat satu saf yang tidak penuh jemaah kelihatan sedang mengerjakan solat berada di sebelah kiri kami. Oh waktunya solat subuh! Aku yang baru sedar dari tidur mengumpul maklumat terkini menggunakan mata yang masih samar.

“Jom solat!” Aku cuba bersuara walau agak garau layaknya orang yang baru bangun tidur. Kesemua masih lekat dalam tidur kerana kelelahan. Perjalanan dari Solo menuju ke Banyuwangi menghabiskan malam pertama cuti adik-adikku.

Solat subuh sudah dilaksanakan. Berjemaah. Kami mula mengambil giliran mengurus diri sebelum meneruskan perjalanan. Pak Supir tidak mensia-siakan waktu itu untuk menidurkan sejenak matanya. Resiko bekerja sebagai supir memang harus mampu menahan tidur, apa lagi jika jarak yang ditempuh mengambil masa lebih dari 24 jam.

Sedari tadi lagi aku sudah menyedari bahawa penduduk sekitar itu sudah memulakan aktiviti mereka. Sebelum mentari menyinari bumi lagi mereka yang mendapat hidayah menuju ke Mushalla. Aku sendiri sempat memperhatikan kegiatan yang berlaku di sungai di dekatku itu. Ada yang buang air. Menyuci dan mandi.

Pemandangan itu bukanlah suatu yang pelik di negara yang bar tertatih-tatih untuk membangun. Walaupun kebanyakan rumah di desa mempunyai bilik air tetapi mereka belum tentu memiliki air. Siapa yang punyai simpanan yang lebih pasti akan menggali telaga. Bagi yang tidak mampu, mereka terpaksa menjadikan sungai terbuka itu sebagai tempat melakukan keperluan yang paling individual.

Pemandangan di depan masjid tidak ada yang menarik. Aku masih tertarik melihat sungai yang warnanya persis seperti teh susu itu. Seorang gadis kelihatan mencuci pakaiannya. Aku mengalihkan pandangan. Setelah seketika aku melontarkan lagi pandangan ke arah sungai. Perasaan ingin tahuku sungguh sukar ditaklukan. Gadis itu sudah berada di dalam sungai. “Astaghfirullah!” Segera aku menundukkan pandangan. Keadaannya sama seperti seorang tua yang berada beberapa meter di belakang gadis itu. Sama-sama tidak berpakaian. Dalam kegelapan pagi mereka menyegarkan badan dan mensucikan diri.

Aku terpaksa  kembali menuju ke masjid kerana tahu bahawa diri ini amat sukar di kawal.

Perkara ini bukan hanya berlaku di Desa kecil ini. Ia juga sudah menjadi kebiasaaan di banyak tempat. Terlalu banyak untuk disenaraikan. Masyarakat menganggapnya sebagai suatu yang biasa. Kerana mereka sudah menjalani kehidupan seperti itu sejak mereka lahir atau bahkan sejak moyang-moyang mereka lahir. Tiada yang pelik bagi mereka. Apalagi keadaan ekonomi mereka yang memaksa mereka hidup dalam keadaan seperti itu.

Aku tidak mahu mensia-siakan momen ini. Aku perlu melihat hal yang tidak nampak oleh mata kasar.

Renunganku mempertemukanku dengan suatu yang berharga. Amat berharga. Jika kita bertanya apakah yang membezakan antara kita dan mereka? Atau apakah yang membezakan antara kita dan orang barat yang selesa telanjang di tepi pantai? Pasti jawapan kita adalah perasaan malu.

Kemana hilangnya ‘malu’ mereka dan bagaimana hadirnya ‘malu’ kita?

Seketika aku menyedari bahawa ternyata malu itu adalah anugerah. Kita malu bukan sekedar kerana semula jadi. Malu yang semula jadi memang ada tetapi ia mungkin akan hilang jika kita berada di dalam suasana dan keadaan yang dialami gadis itu. Maka, malu yang semula jadi sahaja tidak cukup, diperlukanlah malu yang lebih khusus iaitu malu yang tegak di atas pilar keimanan. Itulah malu berupa anugerah.

Ternyata anugerah itu mahal harganya. Kerana penerimanya bukan semua orang melainkan yang terpilih. Demikianlah juga halnya dengan hidayah. Sudahkah kita merenungkannya, mensyukurinya dan berterima kasih ke atasnya? Andai saja kita mahu menyedari bahawa yang mahal itu adalah anugerah sedang kita sedikit pun tidak mengindahkannya..

Published by taqeyyabella

2 Responses to “Mahalnya Sebuah Hidayah..”

  1. nasyrah Says:

    malu ialah cabang keimanan.

  2. Izzah Al-Maliziyyah Says:

    Kerana mahal.. tidak semua orang memilikinya. Elok juga dikongsi agar beroleh manfaat bersama~

Leave a Comment

Share