Latihan Mempertuhankan Allah

Posted on September 6th, 2008 in Agama, Fikir, Uncategorized

Bagaimana melatih diri agar mempertuhankan Allah SWT?

Pernahkah kita menanyakan hal sebegini kepada diri kita.

Jika kita seorang ayah atau ibu, pernahkah kita usaha, memantau dan kemudian menyakini bahawa anak-anak kita benar-benar mempertuhankan Allah SWT dalam erti yang sesungguhnya? Atau mungkin sebagai guru, pernahkah kita melakukan hal tersebut kepada anak murid kita?

Mengatakan bahawa seseorang mengimani Allah sebagai tuhan tidaklah susah namun penerapannya dalam kehidupan seharian merupakan hal yang ’super’ susah.

Persoalan-persoalan sesimpel ini bermunculan di mindaku tatkala sebak menahan tangis haru ketika menonton sebuah filem berbahasa Indonesia. Filem yang menceritakan kisah seorang penjual kaca miskin yang berperang dengan keadaan hanya untuk menyediakan sepiring nasi bagi anak isteri sangat menyayat hati. Filem tersebut menggambarkan betapa susahnya mencari rezeki dan betapa susahnya untuk menaruh kepercayaan kepada tuhan. Klimaks cerita itu adalah ketika kaca yang terbaik yang dimiliki pecah. Padahal kaca tersebutlah yang diharapkan menjadi sumber rezeki paling utama bagi mereka saat itu. Usaha gigih yang diiringi dengan ketaatan penuh kepada syarak malah berhujung dengan kemalangan pecahnya kaca itu. Dalam keadaan yang sungguh sengit itu, manusia wajar menghujat keadilan Allah. Manusia memang lemah. Namun, hanya sebagaian kecil dari manusia yang memilih untuk terus mempercayai janji-janji Allah. Insan-insan terpilih ini, tidak pernah putus harapan kepada Allah, malah dalam segala keadaan sesulit dan sepayah apa sekali pun mereka tetap mempertuhankan Allah. Filem ini berusaha memperlihatkan usaha manusia-manusia terpilih ini yang rela kelaparan hingga tidak mampu berdiri namun terus percaya dan mempertuhankan Allah. Ketergantungan mutlak kepada Allah SWT itu tidak hanya disifati oleh sang ayah selaku tulang belakang keluarga, tetapi sang isteri dan anak-anak turut dididik agar menyifati hal yang sama.

Pecahnya kaca harapan sempat membuat sang ayah curiga kepada Allah dan hampir menghujat keadilanNya. Padahal pecahnya kaca itu sebenarnya merupakan ujian kesabaran dan kesungguhan yang sengaja direka oleh Sang Maha Pereka agar ketika rezeki datang rasa syukur dan terima kasih kepada Allah benar-benar besar nilainya. Di saat sang ayah sedang bertarung dengan keadaan zahir yang kelaparan dan keadaan batin yang mula diserang bisikan syaitan agar tidak lagi mempercayai Allah,  sang anak turut bantu berdoa dan beriktikaf di sebuah masjid yang agak jauh dari rumah mereka. Hujan tiba-tiba turun dengan sangat lebat yang memerangkapkan sang anak dengan seorang pengunjung lain. Dijadikan cerita, pengujung tadi kehilangan selipar dan payung. Sang anak menawarkan selipar dan payung yang dia miliki agar dapat membantu orang tersebut pulang ke rumahnya. Orang tersebut kemudian memberikan sejumlah wang sebagai ganjaran.

Sang ayah yang masih sedih atas kehilangan kacanya segera kembali ke rumah dengan tangan kosong. Perasaannya bercampur antara sedu dan terkilan, antara gembira dan takut. Segera dihujani isteri dan anaknya akan sumber datangnya makan-makan yang sedia ada. Dia begitu takut anak isterinya makan dari wang hasil pinjaman apalagi sedekah. Sang isteri yang baik dan sholehah itu menenangkan suaminya dan menceritakan apa yang terjadi kepada Sang suami. Dia bahkan menceritakan bagaimana payung dan selipar usang milik anaknya menjadi penyebab datangnya rezeki ini.

Sang ayah kemudian berubah air mukanya, ada sedih dihatinya. Dia yang tahu apa dan bagaimana reaksi hatinya ketika kacanya pecah. Dia yang tahu apa yang dikatakan hatinya dan apa yang bermain dimindanya saat ujian berat itu ditimpakan kepadanya. Dia lalu sedar bahawasanya Allah SWT memberikan rezeki dengan cara yang tidak disangka-sangka. Min haisu la yahtasib!

Filem ‘Kunfayakun’ ini menghantarkanku ke daerah renungan yang begitu luas. Masalah yang dibangkitkan adalah permasalahan akidah. Permasalahan kepercayaan yang diterjemahkan dalam bahasa kehidupan sehari-hari manusia dan bukan permasalahan slogan yang mudah diperkatakan. Tentunya ia bukanlah suatu yang asing bagi kita.

Pertanyaannya, adakah cara kehidupan kita pada hari ini benar-benar mencerminkan kehidupan seorang hamba yang mempertuhankan Allah SWT, ataukah kehidupan seorang manusia yang diperhamba kekayaan dunia?

Mari kita lirik beberapa buah hadis yang mengajarkan kepada kita bagaimana seharusnya hidup dalam ketergantungan kepada Allah SWT. Hadis yang saya maksud adalah hadis akan larangan meminta pertolongan (sedekah atau pemberian harta zakat) dan siapa yang dibolehkan meminta pertolongan (sedekah atau pemberian harta zakat). Imam Muslim memasukkan hadis larangan meminta pertolongan dalam bab zakat. Begitu juga hadis yang menerangkan siapa yang diperbolehkan untuk meminta pertolongan (sedekah atau pemberian harta zakat) yang turut diriwayatkan oleh Abu Daud, Nasai, Ibnu Hazimah dan Ibnu Hibban. Saya tidak akan menuliskan hadis tersebut disini akan tetapi para pembaca yang budiman boleh rujuk sendiri ke kitab Shohih Muslim untuk mengetahui matan hadis tersebut.

Apa yang ingin saya sentuh di sini adalah bagaimana kesan kedua hadis ini kepada para sahabah ketika itu. Dalam buku Ma’dabah Annabawiyyah fil hibah wal washiyyah wal hadiyyah karangan DR Sa’ad Sa’ad Jawisy menceritakan bahawa para sahabat setelah mendengar hadis itu tidak seorang pun yang pernah bergantung kepada orang lain apalagi meminta-minta. DR Sa’ad Sa’ad Jawisy dalam mentafsirkan hadis ini menghuraikan betapa kemiskinan itu adalah ketika seseorang itu tidak lagi mampu mendapatkan makanan untuk sekedar mengalas perutnya. Dalam pengertian, bukanlah seorang itu miskin bila rumahnya masih besar, perkakas rumahnya masih mewah dan keretanya masih berkilat. Banyak manusia apalagi di zaman kita ini kesusahan mencari makanan sehari-hari akan tetapi mereka tinggal dalam rumah yang mewah dan menggunakan kereta yang mahal. Tidak hanya itu, mereka juga memiliki telepon bimbit yang canggih, komputer yang up to date dan seterusnya. Keadaan sebegini susah untuk membezakan yang benar-benar miskin dan yang miskin kerana memperhambakan dunia.

Mungkin akan ada yang menjawap kepada saya bahawa hadis diatas adalah permintaan kepada sedekah dan harta zakat. Hari ini manusia seakan-akan tidak lagi bergantung kepada zakat atau pun sedekah maka tidak lagi ada kaitan hadis ini dengan kehidupan sehari-hari kita apatah lagi kaitan dengan mempertuhankan Allah.

Menurut saya, ia adalah kerana zaman yang berbeza. Dulu masyarakat miskin, tidak ada sumber ekonomi melainkan baitulmal. Maka, peran baitulmal ketika itu lebih dahsyat dari peran bank hari ini. Bezanya, pada zaman sekarang ini bank lebih memainkan peranan. Sistem riba dimaharajalelakan dengan mempelbagaikan bentuk dan warnanya.

Ingin saya ceritakan bagaimana para sahabat bersikap berkaitan hal ini. Auf Ibnu Malik RA bercerita, ketika mereka bersama-sama bertemu Rasulullah dan jumlah mereka ketika itu enam atau tujuh orang. Rasulullah SAW kemudian menawarkan agar berbai’at kepada Baginda. Mereka kemudian bersetuju lalu mereka bertanya (setelah berbaiat) apa yang perlu mereka lakukan. Rasulullah SAW berkata, sembahlah Allah SWT dan jangan sekutukanNya dengan apa pun, solatlah solat lima waktu, dengarlah dan taatlah, kemudian Rasulullah SAW berbisik dengan perlahan, dan janganlah kamu meminta manusia apa sekali pun. Dia (Auf Ibnu Malik) berkata lagi,  setelah itu diantara dari mereka (enam atau tujuh orang yang bertemu Rasulullah ketika itu) terjatuh cemetinya (dan dia berada diatas tunggangan) maka tidaklah mereka meminta sesiapa untuk mengambilnya lalu memberikan kepada mereka melainkan mereka melakukannya sendiri.

Bahkan di dalam Al-Quran diceritakan sifat orang miskin itu adalah mereka yang disangka kaya oleh mereka yang tidak mengetahui perihal sebenar mereka kerana zahir yang terlihat menunjukkan ketenangan, jauh dari keresahan apalagi meminta-minta, perasaan puas apa adanya -qana’ah- . Sungguh jauh berbeza berbanding golongan miskin dari puak kafirin yang kemiskinan mereka itu terpancar dari keadaan mereka yang meminta-minta kepada manusia dan pengakuan akan kemiskinan yang mereka alami sebagai bentuk penunjukkan akan  ketidakrelaan atas ketentuan Allah ke atas mereka. Orang mu’min yang fakir tidak meminta-minta atau merayu-rayu agar dikasihani oleh manusia lain. Mereka mutlak menggantungkan urusan mereka kepada Allah SWT. Rujuk ayat 273 surah Al-Baqarah yang diturunkan kepada ahlushuffah.

Perihal yang berlaku pada zaman kita hari ini sangat berbeza. Kita mendidik diri kita bahkan anak-anak kita untuk hidup dengan cara hidup yang tidak mampu kita hidupi. Meminta dan merayu malah dijadikan budaya. Ketergantungan dan harapan diletakkan pada wang yang dimiliki. Seorang yang berpergian lebih tenang jika wang yang dimiliki berjumlah dua kali lipat dari yang diperlukan seakan-akan jaminan keselamatan dan ketenangan sepanjang perjalanan adalah terletak pada jumlah wang yang dibawa itu. Sekedar memulakan hidup, seorang pelajar lebih rela berhutang dan membayar riba demi untuk memiliki kereta baru agar boleh bergaya di kampus. Lebih parah lagi mendirikan rumah tangga berasaskan hutang puluhan ribu.

Sisi pandang yang aneh ini dan gaya hidup yang tidak sihat ini semakin merebak dikehidupan masyarakat kita. Apalah yang patut kita katakan mengenai keadaan ini jika bukan memperhambakan dunia!?

Para sahabat mencontohkan betapa hidup mereka lebih tenang tanpa hutang walaupun perut riuh menyanyi kerana kelaparan. Mereka lebih rela memikul kayu bakar yang berat dan mendapat bayaran yang kecil daripada terlibat dalam riba.

Bagaimanakah seharusnya kita bersikap dan bertindak?

Allah SWT mengkaruniakan setiap individu anggota tubuh yang lengkap. Tenaga yang kuat. Daya fikir yang hebat. Allah SWT juga memberikan kelebihan yang istimewa bagi masing-masing individu dalam sedar atau pun tidak. Kelebihan yang mungkin seseorang miliki tidak dimiliki oleh orang lain. Kesemua yang Allah berikan ini adalah dengan tujuan ia dapat beribadah kepada Allah SWT. Tangan digunakan untuk bekerja pekerjaan yang mendatangkan ridho Allah SWT. Begitu juga kaki yang digerakkan menuju tempat-tempat yang diredhoi Allah. Kesemua ini menuntut manusia untuk memperhambakannya kepada Allah.

Ketika kita diajarkan untuk tidak meminta melainkan daripada Allah SWT. Bermakna kita perlu berusaha semaksimal mungkin menggunakan segala yang dikaruniakan Allah SWT kepada kita sehingga mencapai apa yang kita inginkan. Dengan demikian, usaha gigih kita itu dicatatkan sebagai ibadah demi menggapai apa yang kita inginkan dan Allah memberi melalui usaha kita itu.

Keadaan sebeginilah sebenarnya yang akan mendidik kita untuk bersyukur dengan sebenar-benar syukur dan redha dengan sebenar-benar redha. Kerana usaha kita telah pun mencapai puncaknya sedang balasan Allah SWT tentunya lebih baik dari sekedar usaha kita. Keadaan yang begini jugalah yang membuatkan kita benar-benar menggantungkan urusan kita kepada Allah. Sebenar-benar tawakkal.

Mari kita lihat mereka yang begitu gemar berhutang sebagai contoh. Kita bakal mendapati mereka ini kadang kala tergolong dari mereka yang hidup dengan cara hidup yang mewah. Makan mereka lebih daripada sekedar kenyang. Pakaian mereka lebih dari sekedar anggun. Kenderaan mereka, subhanallah! Tapi ketika diminta untuk membayar hutang begitu berat tangan mereka mengembalikan apa yang sepatutnya mereka kembalikan. Mengapa? kerana mereka takut kehilangan kesenangan duniawi yang telah mereka kecap walaupun dengan hasil pinjam!

Cuba kita perhatikan pula gologan yang jarang berhutang. Selalunya golongan ini adalah golongan miskin. Mengapa? Kerana jarang orang mahu memberi pinjaman kepada golongan ini. Mereka makan sekedar mengalas perut. Pakaian mereka sekedar menutup aurat. Kenderaan mereka, ya, sekedar mampu bergerak. Namun mereka tidak dikejar-kejar hutang. Mereka nikmati apa yang hakikatnya milik mereka. Mereka gunakan apa yang sememangnya ditentukan oleh Allah SWT untuk mereka. Pastinya mereka jauh dari tamak.

Menyedari kepentingan hal ini kita perlu berubah. Mempertuhankan Allah bukan sekedar ucapan tetapi perlu diikuti tindakkan yang ril lagi nyata. Implikasi tidak mengharap dan minta melainkan dari Allah bukan hanya sekedar slogan kosong namun perlu penerapan.

Ibadah puasa adalah salah satu latihan untuk memantapkan usaha mempertuhankan Allah dalam diri kita. Ketergantungan kita kepada Allah dan keyakinan kita bahawa Allah SWT sentiasa mengawasi dan memperhatikan kita perlu timbul secara naluri di dalam hati kecil kita. Taqwa yang memberi perasaan takut perlu dihadirkan melalui latihan puasa ini.

Kehidupan sehari-hari kita juga perlu dihiasi dengan usaha mempertuhankan Allah dalam diri. Usaha paling mudah adalah dengan berinteraksi langsung dengan Allah SWT. Imam Hassan Al-Banna ketika menyusun zikir ma’tsurat yang diamalkan Rasulullah SAW meletakkan salah satu zikirnya yang berbunyi, “Allahumma inna na’uzubika min an nusyrika bika syaian na’lamuhu wa nastaghfiruka lima la na’lamuhu.” yang bermakna, “Allahumma sesungguhnya kami berlindung daripadaMu dari mensyirikkan sesuatu denganmu apa yang tidak kami ketahui dan kami mohon ampunan keatas apa yang kami syirikkan denganMu dari apa yang kami ketahui.”

Jika kita bacaan bismillah pada permulaan suatu pekerjaan dan alhamdulillah pada akhir tiap pekerjaan dapat menghilangkan penghambaan kepada selain Allah SWT, maka ia perlu dijadikan amalan. Rasulullah SAW mendidik kita agar membaca pelbagai doa pada pelbagai situasi dan keadaan. Cilik mata ketia pagi hari diiringi doa. Masuk bilik air, keluar bilik air, berwudhu, usai wudhu’, sebelum mendirikan solat, setelah mendirikan solat, berpakaian, makan, minum, keluar rumah, masuk pasar, dan seterusnya. Semuanya diiringi doa yang sentiasa mengingatkan kita agar menggantungkan segala urusan kepada Allah SWT.

Siapa diantara kita yang ketika keluar rumah menitipkan dirinya kepada penjagaan Allah? Atau siapa diantara kita yang ketika suami dan anak-anaknya keluar rumah menitipkan mereka dibawah penjagaan Allah? Siapa diantara kita yang rela menggunakan kereta usang yang dibeli suami kita secara tunai tanpa terlibat dalam riba? Siapa diantara kita yang rela berlapar-laparan demi menjaga maruah diri dan meyakini kemurahan Allah?

Tanyalah kepada diri kita sebesar apa nilai Allah dihati kita? Sebesar apa ketergantungan kita kepada Allah? Maka akan dapatlah jawapan akan tercapainya usaha mempertuhankan Allah dalam diri kita atau pun tidak.

Published by taqeyyabella

2 Responses to “Latihan Mempertuhankan Allah”

  1. Yusuf Says:

    Dear Bin Hj. Shaffrudin,

    Senang sahaja nak mempetuhankan ALLAH. Fikiran, emosi, pendapat kita hendaklah ikut ALLAH. Nak marah orang kerana ALLAH, nak sayang orang kerana ALLAH, hendak bersukan kerana ALLAH bukan sebab nak dapat medaliyah dzahab atau jaaizah. ALLAH hendaklah dihahulukan pada semua perkara termasuk pendapat, perasaan (aatif).

    Taat kepada ALLAH adalah tanpa syarat. Kalau ALLAH begi senang, taat kepada ALLAH dan derma lebih. Kalau ALLAH bagi susah, taat juga kepada ALLAH dan derma kurang. Jangan jadi Shaitan bila dia jadi hamba no. 1 da ketua malaikat, shaitan taat kepada Allah. Apabila Allah turunkan pangkat ke no.2 selepas ADAM, shaitan ingkar. Orang Melayu juga buat baik dan taat bila mereka gembira dan ada harta yang banyak dan atau jika ada orang dah berbudi dengan mereka. Jika tidak, mereka tidak berbuat baik. Ini adalah membuat baik dengan bersyarat seperti shaitan.

    Satu perkara lagi yang saya pelik, orang melayu sering bersalawat kepada Nabi Muhammad SAW. Tapi perangai tak mahu ikut Nabi Muhammad. Saya lihat ramai orang Melayu yang berugama dan solat 5 kali sehari, puasa, zakat, pergi Haji, tapi ramai yang memperdaya dan menganiayakan orang melayu lain. Cuba bayangkan nabi Muhammad nampak mereka ini, Nabi Muhammad akan rasa terkejut dan kecewa kerana nampak orang2 islam berperangai tidak baik. Mungkin Nabi Muhammad marah dan tidak mengaku sebagai ummat. Kalau kita sayang Nabi Muhammad hendaklah kita ikut jaga perasaan nabi Muhammad dan Allah. kalau kita tipu orang Islam, apa Nabi Muhammad dan allah akan rasa? Nabi Muhammad akan terkejut besar.

    Yusuf

  2. taqeyyabella Says:

    Terima kasih atas komen yang diberikan.

    Senang kalau kita bersungguh-sungguh dan tabah. Susah bila kita kalah dengan diri kita sendiri dan terperdaya dengan syaitan dah hawa nafsu.

    Latihan mempertuhankan Allah ini sebenarnya saya nukilkan untuk motivasi diri saya untuk melatih dan membina diri agar teori iman dan islam (kepercayaan dan amalan) tidak hanya sekedar bersifat slogan dan ritual yang umpama “tong kosong yang nyaring bunyinya”.

    Bila kita mengaku meng-imani-i Allah maka ia perlu jelas dalam setiap tindakkan kita, bicara kita, cara hidup kita dan sebagainya. Bagi mencapai tahap tersebut diperlukan latihan.

    Masyarakat kita sekarang menjadikan islam hanya sebagai ideologi, adat, kebiasaan dan mungkin perayaan sahaja. Solat pun hanya sekedar ritual yang tak berpengaruh umpama robot yang telah diset masa kerjanya. Selawat dan zikir hanya sebagai slogan yang dilaungkan disaat-saat tertentu dan perayaan-perayaan tertentu sahja. Kesannya islam tidak lagi mengalir dalam diri kita. Maka, tak pelik bila ada orang islam yang berbohong dan seumpamanya seperti yang saudara yusuf katakan.

    Bila seorang itu benar-benar memahami dan melaksanakan islam, dia tidak akan menipu (sebagai contoh) walaupun terhadap mereka yang bukan Islam. Kerana Islam melarang menipu secara mutlak dan bukan melarang menipu orang Islam atau melayu sahaja.

    Adalah sebuah kesalahan apabila orang islam membeza-bezakan cara berinteraksi sesama manusia. Islam mengajarkan penyamaan haq, tak kira sesama muslim mahupun kafir. Sebab tu islam merupakan rahmat kepada suluruh alam dan islam bukan rahmat untuk orang islam sahaja.

    Terima kasih atas perkongsiannya.

Leave a Comment

adv3
Feel free to share you opinion with me
  • Calendar

    March 2010
    M T W T F S S
    « Feb    
    1234567
    891011121314
    15161718192021
    22232425262728
    293031  
  • Tentang Penulis

    Graduan dari Fakulti Bahasa Arab Universiti Al-Azhar Asy-Syarif Mesir (2005-2009). Pernah mengabdi sebagai guru di Darussalam Gontor selama setahaun (2004). Mendapatkan pendidikan menengah di Kulliyyatul Mu'allimin Al-Islamiyyah, Darussalam Gontor Ponorogo Indonesia (1998-2003). Pendidikan rendah di Sekolah Islam Al-Amin Serdang dan Bangi (1991-1997). Pelajar Tadika An-Nur Serdang (1990). Kini bergiat dalam usaha pertanian fertigasi dan berusaha menulis buku. Bercadang untuk meneruskan pengajian di Bidang Bahasa Al-Quran. Semoga segalanya dipermudahkan. Amin.
  • Taqeyyabella’s heartbeat

    Berjalan menuju ABADI berbekalkan TAQWA, menciptakan TAKUT pada yang MAHA KUASA, menimbulkan MALU sesama MANUSIA, menghadirkan KASIH pada ALAM SEMESTA.
  • ME IN FACEBOOK

  • Sapaan Mesra

  • Archives