Kursus
Posted on May 9th, 2010 in Kritik, Peribadi, Uncategorized
Alhamdulillah, pujian kepada Allah SWT yang telah mengizinkanku menyertai sebuah kursus. Kursus pertama yang saya ikuti setelah meninggalkan Mesir sejak September 2009. Wah, satu tempoh yang lama! Dulu, di alam perkuliahan kursus adalah satu kegiatan yang sangat kerap dilakukan. Macam-macam jenis kursus dianjurkan oleh banyak pihak. Persatuan, kedutaan, jabatan dan sebagainya. Meninggalkan alam mahasiswa akan seiring dengan meninggalkan segala jenis kegiatan ilmu yang sebegini. Selain sibuk, kehilangan status pelajar memberikan beban yang lebih bila teringin menyertai mana-mana kursus. Tiada lagi keistimewaan membayar dengan harga pelajar. Bagi mereka yang memilih untuk masuk ke sektor kerajaan atau syarikat swasta yang kukuh, peluang berkursus pasti banyak disediakan oleh jabatan HR masing-masing.
Kursus kali ini saya ikuti bukan sepenuhnya kerana keinginan saya. Mungkin jika mahu bersikap jujur, saya menyertainya kerana prosedur yang memaksa. Jika tidak mungkin dengan sukacita akan meninggalkan kursus ini. Kerana sudah terpaksa untuk menyertai, maka saya bertekad untuk benar-benar memanfaatkan waktu kursus ini untuk menceduk sebanyak mungkin ilmu.
Kursus ini dianjurkan oleh PKPU (Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama) JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dan Masjid Putra. Ia dikenal dengan “Kursus Perkahwinan dan Kekeluargaan Islam”. Ia dilansungkan selama dua hari (7&8 Mei 2010) dengan Jumlah materi sebanyak 11 materi. Jika boleh dibahagikan maka meteri-meteri itu dapat dikelompokkan kepada beberapa kelompok. Pertama, tentang persediaan individu yang meliputi materi seperti : Akhlak, Akidah, Ibadah dan Pengurusan Kesihatan. Kedua, pendedahan tentang perkahwinan yang meliputi : Perkahwinan, Prosedur Perkahwinan, Perkhidmatan Rundingancara, Pembubaran Perkahwinan. Ketiga dan terakhir mengenai Pendedahan Alam Perkahwinan yang meliputi materi -materi berikut : Hubungan Dalam Keluarga, Komunikasi Suami Isteri, Pengurusan Stress & Konflik dan Pengurusan Wang dan Masa.
Secara keseluruhan saya sangat bersyukur dengan menghadiri kursus ini. Banyak ilmu dan peringatan yang saya dapatkan. Apa yang lebih menyenangkan adalah, tempat pelaksanaan yang sangat selesa. Auditorium D di Komplek D, Putrajaya merupakan tempat yang cukup memuaskan. Walaupun demikian, saya melihat kursus sebegini sebenarnya masih boleh ditingkatkan mengenai kualiti. Apatah lagi jika hadirin yang datang merupakan golongan terpelajar dan kakitangan kerajaan yang tentunya agak berpendidikan tinggi. Saya kira tidak ada salahnya jika pembahasan lebih dimendalamkan atau lebih ditinggikan sedikit dari modul yang sedia ada.
Saya mengatakan seperti ini bukan memandangkan saya seorang pelajar timur tengah yang lebih terdedah kepada pengajian Islam. Tidak sama sekali tidak. Tetapi jika JAKIM bercadang untuk meningkatkan mutu kefahaman dan penghayatan masyarakat dengan Islam dan Keislaman, maka saya kira, ruang kewajiban kursus ini perlu dipergunakan dengan lebih maksimal. Ruang ini perlu diubah dari sekedar ‘prosedur’ yang memaksa, kepada sebuah ‘madrasah’ express yang berkesan.
Praktikalnya begini, ketika kita membicarakan tentang kesediaan individu seperti materi, Akhlak, Ibadah, Akidah dan Pengurusan Kesihatan perlu kiranya kita membandingkan antara maklumat awam dan tahap kefahaman dan penghayatan yang disasarkan. Jika kita sebagai penganjur mensasarkan untuk melahirkan keluarga yang faham maka kita perlu memastikan bahawa modul kita tidak hanya menyenaraikan poin-poin dalam materi-materi tersebut yang dahulu pernah kita pelajari di KAFA sekolah rendah. Revision ringkas itu tidak sepatutnya memerlukan dikursuskan. Ya sepatutnya, walaupun pada realitinya memang sangat tidak patut. Namun, menurut pandangan saya, penekanan dalam kursus sebegini adalah kepada keperluan yang lebih besar.
Apa keperluan itu?
Keluarga adalah kelompok masyarakat yang paling kecil. Keluarga-keluarga yang ada di dalam satu Kariah akan membentuk satu masyarakat kecil. Masyarakat kecil dalam kariah-kariah dalam sebuah daerah, kemudian negeri dan negara membentuk sebuah masyarakat besar. Maka, mempersiapkan individu yang akan mendirikan sebuah partikel terkecil dalam sebuah masyarakat adalah sebuah keperluan yang sangat mendesak. Kegagalan membentuk partikel terkecil ini akan menyebabkan kita gagal membentuk sebuah masyarakat dalam sebuah negara.
Keperluan itu menjadi sangat jelas bila dirungkai sebegini. Maka, modul yang hanya menyenaraikan poin-poin penting belum memadai. Perkara yang perlu ditonjolkan adalah, bagaimana sikap ibu bapa terhadap Akhlak, Ibadah, Akidah dan Kesihatan. Bebankan kepada mereka seribu satu alasan mengapa mereka bukan hanya perlu menguasai semua materi itu tetapi mereka bahkan perlu bersedia memahamkan kesemua itu kepada anak-anak yang bakal dilahirkan.
Fitrah manusia berkahwin untuk mendapatkan keturunan. Lalu keterkaitan Akhlak, Akidah, Ibadah dan Kesihatan dengan keturunan perlu menjadi perbincangan yang serius dalam kursus ini. Saya sangat percaya jika kesedaran hal-hal ini ditekankan kepada ibu bapa dapat mengubah keadaan sosial kita yang menyedihkan hari ini.
Bayangkan betapa berkesannya jika seorang yang pulang dari kursus ini terkenang betapa mereka perlu berakhlak mulia, berakidah yang benar, beribadah dengan cara yang tepat dan menghidupi kehidupan yang sihat demi menciptakan generasi yang berbudi pekerti, kuat beragama, gigih beribadah dan kuat tubuh badan. Anjakan paradigma mungkin akan berlaku kepada calon ayah dan ibu bila mengenangkan suasana sosial hari ini adalah akibat dari kehancuran institusi keluarga. Maka kesedaran menciptakan institusi keluarga yang kukuh dan berprinsip lahir dari naruni si calon ibu dan ayah.
Dalam mendedahkan kehidupan kekeluargaan yang pasti akan dilanda pasang surut, kita dituntun untuk tidak hanya melihat dari zahir sahaja. Zahir hubungan suami isteri. Zahir hubungan dengan mertua masing-masing. Zahir masalah kewangan dan waktu. Zahir kasih sayang dan perhatian. Tidak cukup sekedari itu. Maksud saya zahir adalah menyelesaikan masalah yang kita nampak seperti tata cara bicara. Perbezaan kecenderungan antara lelaki dan perempuan. Konflik-konflik nilai antara yang haq dan yang batil dalam keluarga perlu didedahkan. Konflik-konflik dalam mengharungi cabaran pemikiran, cabaran budaya seperti hedonisme cabaran sosial seperti perzinaan dan arak semua itu perlu didedahkan kepada mereka. Sebagai contoh pernahkah kita fikirkan bagaimana seorang ayah perlu menghadapi anak yang terjebak di dalam perzinaan hingga hamil. Benar, mungkin terlalu awal untuk membicarakan topik sebegini ketika mereka belum pun berkahwin tetapi adakah ruang selain dari kursus ini yang boleh dimanfaatkan?
Inilah sebahagian kecil dari hal yang perlu sama-sama kita renungkan. Sikap hangat-hangat tahi ayam dalam perlaksanaan sebuah ketentuan dan penguatkuasaan adalah sebuah pembaziran yang nyata. Mengapa tidak pemaksaan untuk mendapatkan sjil ini benar-benar dijadikan sebab bagi meningkatkan taraf kehidupan masyarakat kita.
Semoga pandangan peribadi ini mendorong kita untuk bersemangat meningkatkan mutu dan merangsang kita untuk semakin gigih bekerja demi sebuah perubahan yang kita percaya.
Tidak saya lupakan, ribuan terima kasih saya ucapkan kepada para penceramah yang sudi berkongsi ilmu, pihak penganjur yang gigih memastikan program berjalan lancar dan para peserta semua yang sangat tertib dan memberi tumpuan yang baik. Semoga Allah beri ganjaran berlipat ganda kepada kita semua. Amin. Selamat mendirikan rumah tangga dan Semoga dipermudahkan segala urusan.



May 9th, 2010 at 11:47 pm
benar.
perlu kepada penambaikan dan pembanguna sesuai dengan cabaran dan peluang global
May 10th, 2010 at 5:26 pm
Assalamu’alaikum WBT. Mabruq kerana telah selamat ‘konvo’. Semoga kekal cemerlang hingga ke ‘alamnya’. Ameen~
p/s: Terima kasih untuk buku tapi kad untuk saya tercicir ya?
May 11th, 2010 at 12:53 am
Haha.. Maafkan saya jika ada kata-kata yang tidak tepat yang telah saya ucapkan.
May 15th, 2010 at 12:11 pm
wah..da hbis kursus kawin ek..?nnt jgn lpa jmput mkn nasi minyak (^_^)
June 14th, 2010 at 7:27 am
Perkongsian dari seorang teman :
KUASA SEORANG WALI
Islam telah meletakkan perkahwinan sebagai asas yang sah sebuah hubungan suami isteri di antara seorang lelaki dan perempuan di sisi syara’ dan undang-undang.Namun kepatuhan sesuatu perkahwinan itu ditentukan melalui kepatuhan terhadap rukun perkahwinan . Ulama’ Islam bersepakat bahawa akad ( serahan dan penerimaan )merupakan asas yang penting dan mereka berdebat tentang rukun-rukun lain seperti kehadiran dua saksi lelaki dan kebenaran wali. Ulama’ mazhab Hanafi hanya menetapkan dua criteria bagi sebuah perkahwinan yang sah , iaitu kedua-dua pihak ( seorang lelaki dan seorang perempuan ) dan akad yang sah. Maka atas alasan inilah , kita dapat melihat bahawa perkahwinan bagi mereka yang bermazhabkan Hanafi boleh dilangsungkan tanpa persetujuan dan kehadiran seorang wali . Manakala Ulama’ Syafiiah pula menetapkan lima rukun atau elemen perlu dipatuhi , iaitu suami , isteri , wali , akad dan saksi . Mazhab Syafi’e dan Maliki berpegang pada hakikat bahawa wali ialah unsur penting dalam sesebuah perkahwinan .Oleh kerana mazhab Syafi’e diterima pakai dan diamalkan secara meluas di Malaysia ,maka ketidakpatuhan kepada mana-mana elemen tersebut akan menyebabkan sesuatu perkahwinan menjadi tidak sah .
Hal ini berdasarkan dalil daripada Al-Quran dan As-Sunnah .Di antaranya firman Allah yang bermaksud :
“ Janganlah kamu menikahkan mereka (perempuan kamu ) dengan lelaki Muslim sehingga mereka beriman “.
Ini dijelaskan lagi oleh hadith Baginda SAW yang menyatakan ;
“ Tidak sah nikah melainkan dengan wali dan saksi yang adil “.
Wali dalam perkahwinan ialah waris bagi perempuan dan susunan perwalian adalah seperti berikut :
( 1 ) bapa
( 2 ) datuk sebelah bapa
( 3 ) saudara lelaki seibu sebapa
( 4 ) saudara lelaki seibu
( 5 ) anak saudara lelaki seibu sebapa
( 6 ) anak saudara lelaki seibu
( 7 ) bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa
( 8 ) bapa saudara sebelah bapa sebapa
( 9 ) sepupu lelaki – anak bapa saudara seibu sebapa
(10) sepupu lelaki – anak bapa saudara seibu
(11) orang yang memerdekakan hamba , dan
(12) wali hakim .
Bapa dan datuk merupakan wali mujbir , iaitu wali yang diberikan keutamaan dalam susunan perwalian selagi mereka masih hidup dan mempunyai kuasa mutlak ke atas anak dara yang akil dan baligh . Imam Syafie telah menggariskan tiga syarat yang membolehkan wali mujbir untuk mengahwinkan tanpa keizinan anak gadis di bawah jagaannya iaitu :
( 1 ) bakal suami adalah sekufu dengan perempuantersebut .
( 2 ) maharnya tidak boleh kurang daripada mahar mithil ( al-mahr al-mithli ) ; dan
( 3 ) tidak ada permusuhan antara wali dengan perempuan di bawah jagaannya .
Namun kuasa perwalian boleh berpindah kepada wali hakim/raja atas sebab-sebab tertentu.
Wali hakim/ raja ialah individu yang dilantik oleh sultan ( ketua negara ) untuk mewalikan perempuan yang tidak mempunyai nasab ( kekeluargaan). Ini berdasarkan kepada sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Aisyah RA :
Maksudnya : Sultan menjadi wali bagi mereka yang tidak mempunyai wali .
Antara sebab yang mengharuskan perpindahan kuasa perwalian daripada wali khusus kepada wali hakim/raja adalah seperti berikt :
( 1 ) ketiadaan wali nasab sama sekali ; atau
( 2 ) wali aqrab dalam ihram haji atau umrah ; atau
( 3 ) kehilangan wali aqrab yang tidak diketahui keberadaannya , sama ada ia masih hidup
atau telah meninggal
( 4 ) jarak tempat berlangsungnya perkahwinan lebih daripada dua marhalah/60 batu /96
kilometer dari tempatwali nasab berada .
( 5 ) wali aqrab sendiri yang akan berkahwin dengan pihak perempuan tersebut ; atau
( 6 ) wali ‘adal (wali yang ingkar ).
Wali ‘adal ialah wali yang enggan menikahkan seseorang perempuan di bawah jagaannya yang telah akil baligh, dengan seorang lelaki yang sekufu dengan perempuan tersebut tanpa alasan yang munasabah . Keengganan wali dapat diketahui apabila :
( 1 ) wali berterus-terang kepada pihak berkuasa yang telah memerintahkannya untuk
menjadi wali bahawa beliau enggan mengahwinkan perempuan di bawah jagaannya ;
atau
( 2 ) beliau melantik wakil mewakili/menggantikannya ; atau
( 3 ) diamnya wali yang dapat difahami bahawa beliau tidak mahu melaksanakan
perkahwinan itu ; atau
( 4 ) wali menyembunyikan diri agar dia tidak dapat ditemui untuk melaksanakan
perkahwinan itu .
Untuk mensabitkan keengganan wali tersebut , pengesahan perlulah dibuat oleh hakim terlebih dahulu . Setelah sabit keengganannya ( iaitu sebanyak tiga kali menyatakan selepas disoal siasat ) , barulah berpindah kuasa perwalian kepada wali hakim/raja kerana keengganan itu dianggap zalim dan kuasa orang zalim akan berpindah kepada kuasa hakim . keizinan wali pihak perempuan dan persetujuan kedua-dua pihak yang akan berkahwin juga telah diperuntukkan dengan jelas di bawah akta dan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia dan kegagalan memenuhi peruntukan tersebut akan mengakibatkan sesuatu perkahwinan itu tidak akan diperakui dan didaftarkan di bawah Akta tersebut .[1] Perlu ditegaskan juga bahawa kegagalan memenuhi kesemua syarat perkahwinan menurut hukum syara’ dan menyebabkan perkahwinan tersebut tidak sah[2] dan tidak boleh didaftarkan [3]
[1] S 13 auki wp1984
[2] S 11 auki wp
[3] S 12 (1 ) auki wp