Kritik Sastera (Naqdul Adab)
Posted on June 3rd, 2008 in Bahasa dan Sastera
Pelajar tahun tiga Fakulti Bahasa Arab di Universiti Al-Azhar diwajibkan untuk mengambil sebuah mata pelajaran yang dikenal dengan Naqdul Adab atau dalam bahasa Melayunya, Kritik Sastera. Mata pelajaran ini termasuk yang mata pelajaran yang penting walaupun ia hanya dipelajari selama satu semester sahaja dalam empat tahun pengajian, sesuai dengan objektif pengajian iaitu sekedar memberi pengenalan kepada bidang ilmu ini.
Alumni Al-Azhar sering menyebut bahawa Azhar sangat lemah dari segi sistem. Hal ini perlu diakui dan ianya terbukti ketika sejumlah besar pelajar-pelajar tidak mengetahui objektif setiap mata pelajaran yang mereka ambil. Pernah suatu ketika di dalam sebuah majlis anjuran senat fakulti saya lontarkan pertanyaan ini, tidak seorang pun dapat menjawabnya. Bahkan, saya melihat reaksi mereka sangat terkejut mendengar soalan yang saya berikan. Melihat kehairanan mereka itu, saya memberikan soalan yang lebih luas skopnya, “Apakah objektif yang akan dicapai setelah empat tahun pengajian di fakulti ini?”. Soalan kedua saya ini malah membuatkan mata mereka semakin membulat lebih besar. Mereka tidak dapat dipersalahkan secara melulu kerana memang Azhar sendiri tidak pernah menyediakan brosur atau keterangan-keterangan mengenai objektif bagi masing-masing fakulti.
Sama halnya dengan mata pelajaran ini. Mata pelajaran ini merupakan sebuah mata pelajaran yang sangat berat namun ianya hanya kita pelajari dalam satu semester sahaja selama empat tahun pengajian. Setelah melihat silabus yang diberikan saya kemudian mengerti bahawa objektif dari mata pelajaran ini masih dalam tahap pengenalan. Lebih tepatnya, kita bahkan belum masuk ke dalam inti mata pelajaran tersebut melainkan hanya mempelajari asas-asas utama dalam mata pelajaran ini.
Ingin saya coretkan sedikit mengenai mata pelajaran yang menurut saya sangat menarik ini.
Kita selalu mendengar istilah kritik dan sastera. Apa sebenarnya erti kritik dan apa pula yang dimaksudkan dengan sastera?
Kritik merupakan ulasan ttg sesuatu karya (buku, hasil seni, makalah dsb) yg menyentuh kebaikan dan kelemahannya di samping memberikan penilaian mengenainya:Pd masa ini, banyak tersiar ~ mengenai cerpen dan sajak [Kamus Pelajar]
Sastera pula adalah sebagai berikut :1. bahasa yg digunakan dlm kitab-kitab (bukan bahasa basahan); 2. = kesusasteraan hasil seni (karya tulisan) dlm bentuk prosa atau puisi yg mempunyai ciri-ciri keistimewaan yg tertentu; ahli ~ (orang yg) pakar dlm hal kesusasteraan; seni ~ seni karang-mengarang (prosa, puisi, dll); 3. †kitab suci Hindu; 4. sl kitab ilmu pengetahuan pustaka, kitab yg mengandungi ramalan (perhitungan dll); 5. sl tulisan, huruf.
[Kamus Dewan Edisi Tiga]
Mata pelajaran ini sebenarnya merupakan gabungan ilmu-ilmu alat bahasa lainnya yang kemudian digunapakai untuk melihat suatu karya dengan kaca mata yang lebih tajam agar dapat menghuraikan nilai-nilai tambah dan nilai-nilai kurang. Namun, dikeranakan kita telah diperuntukkan masa yang cukup banyak bagi menguasai ilmu-ilmu alat bahasa maka mata pelajaran ini dikecilkan skopnya untuk melihat perkara-perkara lain yang begitu penting dalam ilmu ini.
Karya yang menjadi objek di sini lebih difokuskan kepada Syair. Ini kerana syair merupakan karya terunggul dalam khazanah bahasa Arab. Ia merupakan suatu yang tidak dapat dipisahkan dari Bangsa Arab. Bahkan, suatu masa dahulu ia syair dan penyair lebih tinggi pengaruhnya dari para raja dan para penguasa. Malah, para raja dan penguasa tidak teragak-agak untuk menjinakkan para penyair demi keselamat mereka.
Adakah sama syair Arab dengan syair-syair bahasa lain seperti Yunani atau Melayu?
Tentunya ianya sangat berbeza. Ia berbeza dari pelbagai sisi. Syair ada disusun dalam kerangka yang dikenal sebagai awzan . Kerangka ini hanya memiliki beberapa bentuk yang baku (tidak boleh berubah). Syair yang tidak menggunakan kerangka yang sesuai dan benar dianggap sebagai karya yang rendah dan tidak berkualiti. Pernah suatu ketika di era pertengahan, para penyair mula ingin membebaskan diri dari kerangka ini. Namun, setelah beberapa ketika mereka kembali menggunakan kerangka ini kerana merasakan hilangnya ‘nilai’ kesusasteraan yang dibanggakan selama ini. Awzan ini dikenal dengan istilah buhur.
Syair Arab merupakan segala-galanya bagi bangsa Arab. Ini kerana mereka adalah kaum (kabilah) yang berpindah-pindah. Mereka (sebelum era Islam) menyimpankan segala-gala yang mereka miliki di dalam bentuk syair yang dihafal. Maka, Syair mengandung hikmah-hikmah, kejadian-kejadian, ilmu-ilmu, wasiat-wasiat, nasab keturunan, dan pelbagai lagi perkara yang berkembang dari waktu ke waktu. Keadaan mereka ini membuatkan mereka mengutuk pena dan kertas. Abdullah Ibnu Ahtam berkata, “Bukanlah suatu yang menghairankan seorang pemuda yang bicara di depan kaumnya lalu dia terputus-putus (tidak lancar), lemah hujahnya, atau terlupa ucap bicaranya, akan tetapi yang menghairankan adalah pemuda yang mengambil dakwat dan kertas lalu menyendiri memikirkan apa yang akan diucapkan.”
Dikisahkan bahawa Yunus Ibnu Habib mendengar seorang pemuda melantunkan :
Istauda’al ‘ilma qirtosan fadhoyya’ahu # wa bi’sa mustadi’ul ‘ilmi Qaratisa
Ertinya, Dititipkan ilmu di atas kerta lalu ianya hilang, maka seburuk-buruk tempat penitipan adalah kertas!
Usaha mengkritik sebuah karya tentunya dimulakan dengan menyimak kesesuaian kerangka (awzan) dan tata bahasa.
Perkara utama yang menjadi penilaian bagi para pengkritik adalah dua perkara penting iaitu Ibda’ (Cetusan) dan Ittiba’ (Ikutan).
Permasalahan ini panjang diperbahaskan kerana ketika para ulama berusaha mendisiplinkan ilmu ini, mereka tidak mendapatkan sumber-sumber yang dapat memberikan mereka gambaran sebenar mengenai perkara ini. Dr. Kamal Abdul Baki Lasyin berpendapat bahawa hal ini disebabkan dua hal. 1) Para pengkritik era jahili (sebelum Islam) dan era awal Islam tidak banyak mendokumenkan perbincangan mereka. Kerana suasana dan kebiasaan mereka ketika itu tidak mesra dengan kegiatan tulis menulis. Bahkan, mereka sampai ke tahap mencela tulisan saking teguhnya mereka bergantung kepada ingatan. Kegiatan kritik mengkritik pada era Jahili dan awal Islam tidak keluar dari bentuk lisan. 2) Para pengkritik ketika itu juga tidak sepakat menggunakan satu istilah bagi setiap permasalahan. Bahkan, mereka menggunakan pelbagai istilah dengan kesesuaian bahasa sebagai titik ukur. Seperti masalah ibda’ (cetusan) para pengkritik menggunakan istilah yang pelbagai seperti, (sabaqa), (ikhtira’) dan istilah-istilah lain yang mengandung maksud yang sama.
Bagi masalah Ibda’ istilah yang paling banyak digunapakai adalah (sabaq) namun pada tahun keempat ratus atau kelimaratus mereka mula menggunakan istilah Ibda’.
Perbincangan terus mengalir sehingga ke pemberian ‘pangkat’ sabaq adakah ia merupakan milik penyair ataukah diberikan kepada syair hasil karyanya.
Membincangkan permasalahan ini, para ulama menghuraikan asal usul sebuah karya itu dilahirkan. Orang-orang Yunani percaya bahawa syair merupakan ilham yang disampaikan oleh Tuhan atau syaitan. Berbeza dengan pahaman Bangsa Yunani, Bangsa Arab yakin dan percaya bahasa syair merupakan usaha murni manusia. Perkara ini dibuktikan dengan beberapa perkara; 1) Syair berasal dari pecahan huruf syin – ain – ra’ yang mengandung erti fatana iaitu paham. Pemberian istilah ini sesuai pahaman dan sisi pandang (view) mereka terhadap syair itu sendiri. 2) Rasulullah SAW ketika menyampaikan Islam, Beliau difitnah sebagai penyair. Fitnah tersebut adalah kerana Rasulullah SAW menyeru kepada suatu yang Beliau paham dan Beliau yakin. Sekiranya mereka mempercayai bahawa syair merupakan wahyu dari Tuhan tentunya mereka tidak akan menuduh Beliau sebagai seorang penyair kerana ketika itu mereka menuduh untuk menolak kenabian Rasulullah SAW. Mereka juga dapat mengingkari kenabian Rasul dengan mengakui para penyair lain juga mendapatkan wahyu seperti mana yang Beliau dapat. Dari permasalahan ini jelas kesepakatan bangsa Arab bahawa syair tercipta hasil usaha keras setiap individu.
Dengan kesimpulan ini, mereka sepakat untuk meletakkan ‘pangkat’ sabaq kepada penyair dan bukan kepada karya tersebut. Ini terkait pula dengan keberadaan penyair pada suatu zaman tertentu. Usaha penyair dalam menghasilkan suatu karya yang unggul pada saat itu perlu dihargai walaupun pada zaman berikutnya hadir penyair-penyair lain yang menghasilkan syair yang lebih baik dari yang telah dia hasilkan. Disinilah relevannya ‘pangkat’ sabaq diberikan kepada individu dan bukan syair tersebut.
‘Pangkat’ sabaq kemudian dibahagikan pula kepada dua bahagian iaitu faiq dan fait. Faiq adalah suatu karya yang unggul akan tetapi penghasilan itu membuka peluang kepada penyair-penyair lain membuat karya yang sama indah atau lebih indah menyerupai topik dan gaya bahasa yang sama. Fait pula adalah hasil karya yang tidak membuka peluang kepada para penyair setelahnya untuk menciptakan karya yang seumpanya. Tentunya penyair yang mampu menciptakan syair yang begitu tinggi sehingga tidak ada yang mampu menciptakan seumpanya merupakan suatu hal yang sangat luar biasa. Ianya juga sangat sedikit jumlahnya.
Perkara kedua yang dibincangkan adalah permasalahan Ittiba’ (ikutan atau tiruan). Permasalahan ini juga mengalami masalah yang sama seperti yang telah dibincangkan di dalam topik ibda’ seperti di atas. Istilah yang digunakan bermacam-macam diikuti dengan pembahagian tahap tiruan yang tidak sama pada setiap ulama menjadikan perkara ini memerlukan penelitian yang mendalam.Ulama mutaakhir membahagikan ittiba’ (ikutan) kepada 3 bahagian : 1) Ikutan penyair lain yang menghasilkan karya yang setahap dengan karya yang pertama. Maksud setahap adalah ia tidak merendahkan nilai-nilai keindahan topik bahasan dan bahasa yang sedia ada. 2) Ikutan yang merupakan hasil yang lebih tinggi dari karya awal. Lebih tinggi setelah penyair yang mengikuti ini membuat perbaikan bahasa atau penambahan topik bahasan. 3) Ikutan yang dicela. Iaitu ikutan yang mengurai nilai awal hasil karya. Ikutan yang sebegini kemudian diistilahkan pula dengan syariqah (curian).
Begitulah mata pelajaran ini terus berkembang dengan mengkaji semua yang lahir 3 perkara ini : 1) Ibda’ 2) Ittiba’ dan 3) Syariqah.

February 10th, 2009 at 7:55 am
salam ukhuwah ustaz…saya ingin mohon kebenaran ustaz untuk copy sdkit bahan2 dalam blog ustaz untuk kertas kerja saya…terima kasih banyak2 kerana bahan2 ini byk membantu saya….
December 16th, 2009 at 12:20 am
assalamualaikum….
saya mau tanya ttg naqd secara lughawi dan istilah
kemudian bagaimana pertumbuhannya atau perkembangannya itu…trimakasih ustat