Kita Memang Berbeza..

Posted on October 18th, 2009 in Fikir, Peribadi

Penulis baru sahaja pulang dari sebuah makan malam anjuran Jemaah Islam Malaysia (JIM) di PERMATA Petronas, Bangi. Majlis yang diberi nama MAN ‘09(Malam Amal Nusantara) itu, telah dihadiri oleh ramai orang tetamu, kumpulan Nasyid Mirwana, pelajar-pelajar dari Acheh, Vietnam dan Sri Lanka yang merupakan mereka yang mendapat tajaan JIM dalam program-program pembangunan pasca bencana alam, turut menghadiri majlis beberapa orang wakil dari NGO dan Madrasah-madrasah Islam dari pelbagai negara Nusantara.

Kesyukuran yang teramat tinggi penulis panjatkan kepada Allah yang telah memberi peluang kepada penulis untuk sekali lagi hadir ke majlis yang sedemikian. Kerusi penulis telah ditaja oleh seorang sahabat karib yang akrab dengan panggilan Bro Nash. Beliau adalah rekan penulis yang pernah sama mendeklamasikan sajak pada sebuah majlis amal “Bersamamu Palestin” anjuran JIM pada tahun 2006.

Pada majlis tadi, ada sebuah persembahan atau ucapan terima kasih dari beberapa pelajar dari pelbagai negara yang mendapat saluran dana dari JIM. Mereka berbicara dengan bahasa rasmi negara mereka. Bahasa mereka itu tidak dapat penulis dan sebahagian besar atau mungkin keseluruhan orang yang datang fahami kerana bahasa mereka itu asing. Sejenak penulis tersentak dan hati penulis segera berbisik, “ternyata kita memang berbeza!”.

Penulis terbawa kepada sebuah renungan dengan hati yang tidak dapat tidak melainkan mengakui kehebatan Allah yang begitu nyata ini. Kehebatan Allah dan kekuasaanNya menciptakan kita semua sama tetapi berbeza. Bahkan samanya kita adalah berbeza. Kita sama-sama memiliki mata namun setiap mata kita pasti berbeza. Kita sama-sama memiliki rupa tetapi rupa kita tetap akan berbeza. Kita sama-sama berinteraksi dengan kata-kata, tetapi kata-kata kita berbeza.

Entah dari sudut mana kita ingin melihat kita pasti akan menemukan perbezaan disebalik persamaan. Sama ada dari kaca mata individu atau dari kaca mata kelompok. Kelompok ini dan kelompok itu berbeza disebalik segala persamaan seperti mana berbezanya setiap individu dengan individu lain disebalik ciri-ciri yang sama. Sungguh menakjubkan.

Namun, penulis agak terkejut bila mana ada sebahagian kelompok atau beberapa individu yang tidak dapat menerima perbezaan disebalik persamaan. Ya, kelompok dan individu seperti ini masih wujud! Mereka menafikan perbezaan. Bahkan perbezaan bagi mereka adalah sebuah malapetaka. Apalagi seandainya perbezaan itu menjadi penyebab suatu perselisihan, mulalah mereka melatah dan menuding jadi demi mempersalahkan dan menyalahkan. Mangsa yang terpaksa menanggung dan menerima nasib malang itu adalah ‘perbezaan’. Seperti kata orang putih, “Just because you or they are different!“.

Kepada mereka-mereka ini penulis ingin mengajak untuk kembali merujuk kepada sebuah ayat Al-Quran yang begitu sering kita dengar dan baca. Terjemahannya berbunyi, “Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah yang paling berbakti dan bertakwa di antara kamu.” (Al-Hujurat: 13)

Tidakkah ayat ini memberikan penerangan yang jelas bahawa manusia sesungguhnya telah diciptakan dalam keadaan berbeza-beza!? Berbeza dalam individu, berbeza dalam kelompok-kelompok kecil, bahkan turut berbeza dalam kelompok-kelompok besar.

Allah SWT bahkan menyatakan sebab disebalik perbezaan yang sengaja dijadikan iaitu lita’arafu. Ramai ulama yang menterjemahkan ta’aruf ini sebagai berkenal-kenalan. Selain dari itu, ta’aruf ini mengandung erti lain yang sering kita dengar iaitu ma’ruf atau kebaikan. Melihat dari kedua makna ini, kita dapat melihat dengan sesungguhnya bahawa perbezaan yang diciptakan itu ternyata perlu mencapai hasil yang positif. Hasil murni yang mana dengan kepelbagaian dan perbezaan itu terjadi pertembungan yang positif sehingga membuahkan lebih banyak gagasan dan idea kemudian menciptakan lebih banyak ruang untuk berbakti dan menciptakan lebih banyak saluran untuk berbuat dan seterusnya. Proses berkenalan adalah sebuah interaksi atau hubungan antara individu atau kelompok yang akan mempertemukan banyak hal dan pengalaman. Seorang yang tinggal disebuah pelosok terpencil mempunyai pengalaman-pengalaman hidup dan kebiasaan-kebiasaan yang jauh berbeza dengan seorang yang tinggal disebuah pusat bandar. Perkenalan antara mereka membuahkan interaksi yang sihat dan pertukaran maklumat sehingga antara kedua itu dalam menghasilkan sebuah kinerja yang sihat. Itulah sebabnya, dalam masyarakat Islam, seorang yang lemah sentiasa mendapat pembelaan dari mereka yang kuat. Kerana perbezaan antara kuat dan lemah terjalin dengan sebuah perkenalan yang akan menghujung kepada sebuah perlindungan dari yang mampu kepada yang memerlukan. Begitu juga antara kaya dan miskin. Hubungan perkenalan inilah yang menjadi perantara kerana sesungguhnya memang ia adalah ’supaya’ dari ketentuan asal penciptaan seperti yang dinyatakan dalam ayat di atas.

Hanya dengan perkenalanlah seseorang itu tahu bahawa individu di depannya lemah atau memerlukan. Hanya dengan perkenalan jugalah seseorang itu tahu kepada siapa dia perlu merujuk bila berada dalam kesusahan.

Memahami konsep ini dengan hati terbuka, seharusnya membuat kita berlapang dada untuk melihat perbezaan-perbezaan kelompok-kelompok kecil dan kelompok-kelompok besar disebalik persamaan-persamaan yang ada. Perkenalan antara kelompok-kelompok kecil atau minoriti dan kelompok-kelompok besar yang dominan juga seharusnya menghasilkan sinergi dan kinerja yang sama seperti yang dinyatkan di atas. Dengan demikian kelompok besar tidak rela menindas malah gigih melindung sambil rela menelan segala pahit dan masin perjuangan dalam menuju ke arah itu.

Dari tulisan ringkas ini, penulis menyeru khususnya kepada rekan-rekan yang belia dan muda mari sama-sama kita nikmati perbezaan ini untuk kita pertingkatkan nilai-nilai yang sama antara kita. Maka dengan usaha gigih ini Allah sudi memberikan kepada hati-hati kita rahmat sehingga selesa dan tenang bilamana berada dikalangan mereka yang shaleh walau dalam pelbagai pakaian yang berbeza. Walau anfaqta ma fil ardhi jami’a ma allafta baina qulubihim wa lakinnallaha allafa bainahum..

Published by taqeyyabella

2 Responses to “Kita Memang Berbeza..”

  1. suhail sufian Says:

    wah!, best.

    satu hakikat yg ramai lupa.
    Dan bagi pandangan ana,hanya mereka yg memahami dan menghayati erti perbezaan sahaja mampu memahami erti kesatuan yg sejati, jika tidak kesatuan yg diimpikan hanya mainan mantiq -ucapan yg indah namun jauh dari realiti kehidupan sebenar, mcm yg berlaku disini,(”,)
    tak gitu?

  2. taqeyyabella Says:

    Terima kasih akhi Suhail. Semoga ia bermanfaat dan mengingatkan kembali kita semua agar tidak menyambut pertelingkahan yang dihulurkan orang lain.

    Allah SWT mengingatkan kita melalui kisah Qabil dan Habil, Habil berkata, “Seandainya engkau menghulurkan tanganmu untuk membunuhku, sungguh aku sekali-kali tidak akan menghulurkan tanganku untuk membunuhmu..”

    Allahumma allif zata bainina..

Leave a Comment

adv3
Feel free to share you opinion with me
  • Calendar

    March 2010
    M T W T F S S
    « Feb    
    1234567
    891011121314
    15161718192021
    22232425262728
    293031  
  • Tentang Penulis

    Graduan dari Fakulti Bahasa Arab Universiti Al-Azhar Asy-Syarif Mesir (2005-2009). Pernah mengabdi sebagai guru di Darussalam Gontor selama setahaun (2004). Mendapatkan pendidikan menengah di Kulliyyatul Mu'allimin Al-Islamiyyah, Darussalam Gontor Ponorogo Indonesia (1998-2003). Pendidikan rendah di Sekolah Islam Al-Amin Serdang dan Bangi (1991-1997). Pelajar Tadika An-Nur Serdang (1990). Kini bergiat dalam usaha pertanian fertigasi dan berusaha menulis buku. Bercadang untuk meneruskan pengajian di Bidang Bahasa Al-Quran. Semoga segalanya dipermudahkan. Amin.
  • Taqeyyabella’s heartbeat

    Berjalan menuju ABADI berbekalkan TAQWA, menciptakan TAKUT pada yang MAHA KUASA, menimbulkan MALU sesama MANUSIA, menghadirkan KASIH pada ALAM SEMESTA.
  • ME IN FACEBOOK

  • Sapaan Mesra

  • Archives