This is some text prior to the author information. You can change this text from the admin section of WP-Gravatar Final year student, General Studies Faculty of Arabic Language, Al-Azhar Asy-Syarif University, Cairo, Egypt.


Suasana sepi mula mengisi atmosfera masjid yang jauh lebih rendah suhunya dibanding diluar. Ketinggian syiling yang sesuai membuatkan peredaran angin berterusan. Nyaman dirasakan dibantu dengan kipas yang masih bergerak. Tidak seperti kebanyakkan masjid di Saudi, masjid-masjid di Mesir hanya menggunakan kipas untuk mengusir suhu panas. Saf pertama sudah pun hampir kosong hanya tinggal beberapa orang yang baru memulakan aktiviti mereka petang itu. Aku adalah salah satu yang masih berada di situ. Segera aku capai buku berjudul ‘Audhohul Masalik’ karangan Ibnu Hisyam yang dicetak oleh Universiti Azhar. Tanpa memperdulikan orang lain aku hanyut dalam helaian-helaian buku tersebut yang minta diperhatikan.

“Buku apa itu?” terdengar suara seseorang tidak jauh dariku.

Masih tidak perasan, aku teruskan saja bacaanku sambil terus memasang telinga menanti jawapan kepada lontaran soalan tadi. Setelah seketika belum juga aku mendengarkan jawapan. Aku segera berpaling. Ternyata soalan itu ditujukan kepada diriku.

“Oh, maaf!” Aku senyum melihat seorang yang berjubah coklat dengan jambang yang agak panjang. Bahasa Arabnya sudah lumayan hanya saja dia memerlukan waktu untuk memikirkan apa yang ingin diucapkan. Wajahnya memberi tahuku bahawa dia merupakan seorang yang berasal dari negara dekat Rusia.

“Ini buku Nahu.” Ucapku sambil menunjukkan judul buku.

Dia tertarik untuk melihat maka aku segera serahkan buku itu kepadanya. Dia membelek dan berkata, “Di mana kamu pelajari buku ini?”

“Saya belajar di Kuliah Bahasa Arab Universiti Azhar” Aku menjelaskan dengan sangat ringkas.

“Oh, di Azhar! Kuliah Bahasa! Tentu ini sangat susah!” Antara riaksi yang meluncur keluar dari mulutnya.

“Saya sedang belajar buku ini. Apa pendapat kamu tentang buku ini?” Dia segera menyerahkan buku yang dipegangnya.

Buku tersebut merupakan buku syarahan matan Ujrumiah yang sangat basik sekali. Aku tidak mahu menjawap soalan yang dia lontarkan kerana memang aku tidak tahu apa yang ada dalam buku tersebut. Aku segera menerangkan bahawa buku yang dia baca itu merupakan syarahan kepada matan Ujrumiah. Bukuku ini juga merupakan buku syarahan kepada matan. Ibnu Hisyam menulis ‘Audhohul Masalik’ sebagai syarahan matan Alfiah Ibnu Malik.

Aku segera membuka perbincangan mengenai matan untuk melarikan diri dari menjawab soalannya tadi. Aku tidak tahu banyak mengenai matan Ujrumiah maka aku bicarakan tentang matan Alfiah Ibnu Malik.

Ibnu Malik atau nama penuh beliau, Muhammad Bin Abdullah Bin Abdullah Bin Malik, Jamaluddin, Abu Abdullah Al-Jayyani (601-672 H) telah menulis kurang lebih 30 karya dan salah satu yang terkenal dalam bidang bahasa adalah ‘Khallashotul Alfiah’. Alfiah ini merupakan matan yang sangat-sangat ringkas dan mencangkup secara keseluruhan bidang ilmu Nahu dan Sorof. Alfiah kemudian terbukti menjadi sebuah karya agung di dalam bidang ini ketika mana para ulama bertungkus lumus untuk mensyarah matan ini. Syarahan yang terkenal terhadap Alfiah ini ada tiga :

1) Syarahan Ibnu Aqil (694-769 H). Ia dianggap antara syarahan yang penting kerana ianya jelas dan mudah serta ringkas. Syarahan ini kemudian dikupas dengan nota-nota kaki yang dilakukan oleh ramai ulama antaranya, Hasyiah Jalal Assuyuti (911 H), Hasyiah Ahmad Syujai (1197 H) dan yang paling terkenal dan meluas Hasyiah Muhammad Al-Khudri Ad-Dimyati (1227 H)

2) Syarahan Asymuni. Ia pula dianggap sebagai syarahan yang paling mendalam dan paling terperinci dengan segala perselisihan para ahli bahasa. Bahkan ia juga dianggap sebagai buku yang paling banyak mengumpulkan dan menapis semua maklumat yang berkaitan mengenai mazhab-mazhab (aliran-aliran) dalam Nahu yang diikutsertakan dengan alasan dan Syahid (pembuktian atau dalil) yang ditampilkan secara meluas dan terperinci. Tentunya ia juga mendapatkan kupasan nota-nota kaki yang begitu banyak sekali. Antara yang paling utama adalah Hasyiah Syobban (1206 H).

3) Syarahan Ibnu Hisyam Al-Anshori (708-761 H). Inilah buku yang menjadi silabus Nahu bagi pelajar Kuliah Bahasa Arab Universiti Al-Azhar. Syarahan ini merupakan sebuah syarahan yang ‘berbeza’ dengan syarahan-syarahan yang lain. Ianya memberikan apa yang tidak diberikan oleh syarahan-syarahan yang lain, disusunkan dengan susunan yang tidak didapatkan pada syarahan lainnya dan tidak ditemukan seperti bentuk yang ditampilkan Ibnu Hisyam pada syarahan-syarahan yang lain.

Ibnu Hisyam meletakkan beberapa matlamat yang diinginkan dari buku ini :

  • Membantu pelajar memahami ‘Khallasoh Al-Fiyah’
  • Menyampaikan semua yang telah disampaikan oleh Ibnu Malik dalam ‘Khallasoh Al-Fiyah’ dan menambah apa-apa yang Beliau tidak cantumkan.
  • Menerangkan dan menjelaskan kosa katanya serta menghuraikan syarahannya dengan terperinci.
  • Menyusun maklumat-maklumat lalu membahagikannya sesuai methode yang diinginkan, lalu menirunya pada karya-karyanya yang lain lalu memasukkan rumusan yang berkaitan antara satu dengan yang lainnya.
  • Tidak menyelesaikan suatu masalah melainkan dengan mendatangkan syahid atau dalil dan contoh bagi keterangannya.

Buku ini kemudian mendapat tumpuan para ilmuan bahasa dan ianya ditahqiq dan dibuatkan nota kaki oleh ramai ulama dahulu dan kini. Pada saat ini terdapat beberapa cetakkan buku ini yang berbeza pentahqiq dan penota kaki. Aku memilih untuk menggunakan buku yang judul lengkapnya adalah : “Audhohul Masalik ila Alfiah Ibnu Malik ta’lif Maluddin Abdullah Ibn Hisyam Al-Anshori, wa ma’ahu Mishbahussalik ila Awdhahul Masalik ta’lif Barakat Yusuf Habbut” buku ini telah disemak dan diperbetulkan lalu disediakan Faharis oleh Yusuf Syaikh Al-Biqa’i.

Sedangkan buku yang ketika ini ada ditanganku adalah “Audhohul Masalik ila Alfiah Ibnu Malik ta’lif Maluddin Abdullah Ibn Hisyam Al-Anshori” yang telah ditahqiqkan oleh Prof. Dr. Ahmad Muhammad Abdullah Yusuf (Rektor Kuliah Bahasa Arab Azhar cawangan Manufiah) dan Prof. Dr. Sayyid Muhammad Abdul Maqsud Darwisy (Wakil Rektor Kuliah Bahasa Arab Azhar cawangan Manufiah).

” Jadi, kami memperlajari secara sedikit terperinci perselilisan antara Mazhab Basrah dan Mazhab Kufah.” Aku mengakhiri keterangan ringkas mengenai buku yang ada ditanganku.

“Uh, Khilaf!!” Katanya sambil menggelengkan kepala.

“Basrah ni.. apa.. tak bagus.. Kufah bagus..” Dia berbicara secara tidak jelas.

Aku hanya tersenyum mendengar kata-kata tersebut. Mungkin dia salah sangka mengenai khilaf yang dimaksudkan dalam ilmu Nahu dan mungkin dia tidak mengetahui apa-apa mengenai kesan dan pengaruh dari perselilihan tersebut.

“Wah, Hebat.. hebat!! Bila agaknya saya akan belajar seperti awak!” katanya sambil mengambil plastik yang berdekatan dengannya.

Dia kemudian mengeluarkan sebuah buku yang berukuran agak besar dibanding buku yang dipegangnya tadi. Buku tersebut juga merupakan syarahan kepada Ujrumiah.

Aku menima buku tersebut daripadanya, tidak jauh beza dengan buku-buku klasik lainnya. Penuh dan tidak selesa dibaca!

“Mungkin aku hanya mampu mempelajarinya setelah satu tahun!” Dia memberitahu aku yang sedang membelek-belek bukunya itu.

“Aku juga mempunyai ini!” Dia kemudian mengeluarkan sebuah lagi buku yang lebih tebal berwarna putih sampulnya dari beg plastiknya. “Ini mungkin aku akan menyentuhnya tiga tahun akan datang atau mungkin lebih!” Dia mengucapkan dengan nada penuh semangat dan wajah terukir senyum.

Aku sangat tersentuh diperlakukan demikian. Dia yang masih di tahap sangat lemah dalam bahasa, mengusung sebuah buku yang akan dipelajarinya setelah setahun yang akan datang dan sebuah lagi buku yang akan dipelajarinya minimal tiga tahun akan datang ke setiap tempat dia pergi. Kelakuan dia itu cukup memberikan bukti kepadaku akan kegigihannya. Kemana saja dia pergi dia harus membawa kedua buku itu sebagai motivasi bagi dirinya. Kerana dia tahu yang dirinya tidak akan mampu mempelajari keduanya tanpa sebelumnya menguasai buku yang sedang dihafalnya itu. Ketika malas tiba, kedua buku itu akan berkata, “Hei engkau mahu pelajari aku atau tidak!”

Dia belajar dengan gigih melebihi orang yang akan hadapi ujian keesokkan harinya.

Ketika dia mendengar aku sudah pun berada di tahap kuliah, dia segera bertanya, “Sudah berkeluarga?” Aku segera menggeleng. “Eh! Kenapa belum, seharusnya orang sudah kuliah harus berkeluarga!” ucapnya sambil tersenyum.

Ha! Adakah kebiasaan demikian? Mungkin itulah kebiasaan kawan-kawan senegaranya di sini. Tidak seperti masyarakat kita, asalkan belum habis belajar pantang bicara pasal perkahwinan. Aku segera membalas pertanyaan yang sama kepadanya. Dia kemudian menceritakan bahawa dia baru memeluk Islam selama tiga tahun. Lalu dia menceritakan bagaimana lemahnya Islam di negaranya yang dianggap sebagai negara Islam setelah terlepas dari cengkaman Uni Soviet. Tidak mudah membawa satu perubahan setelah ideologi komunis telah sebati dalam diri masyarakat. Jangankan hidup dalam keadaan bebas tuhan seperti kebanyakkan negara-negara komunis, hidup dengan menjadikan keimanan kepada tuhan sebagai rukun negara saja masih sangat susah menerapkan nilai-nilai murni agama.

Dia kemudian segera meminta diri sebelum sempat aku menerangkan perihal khilaf di dalam bidang bahasa yang kami pelajari.

Khilaf atau perselisihan adalah rahmat. Mengapa? Kerana, dengan khilaf tersebut kita akan terbuka minda dan melihat siapa sebenarnya yang benar dan siapa pula yang salah. Namun, khilaf ada bukan kerana sukanya ulama-ulama dahulu dengan perselisihan atau kemasyhuran. Ianya lahir secara historis.

Nahu tidak lahir ketika manusia mula wujud. Nahu hadir setelah sekian lama orang-orang Arab berkomunikasi dengan bahasa Arab. Bahkan, ilmu-ilmu bahasa mula didisiplinkan setelah turunnya Al-Quran sebagai pedoman bagi mereka memahami Al-Quran. Tentunya banyak pengaruh yang menyebabkan ulama mula mengkaji dan merumuskan Nahu dan ilmu-ilmu bahasa lainnya. Faktor utama adalah keperluan dan kedua adalah keadaan hidup yang sudah agak mudah yang memungkinkan orang ramai menjadikan kajian sebagai agenda mereka.

Maka, mereka diberikan kecerdasan dan kebijakkan oleh Allah SWT mula menulis dan merumuskan ilmu yang kita kenal sebagai Nahu. Sehinggalah lahir dua aliran (mazhab) besar dalam bidang ilmu ini iaitu Basrah dan Kufah. Masing-masing menggunakan maklumat yang masing-masing miliki dari khazanah Syair dan Al-Quran yang merupakan sumber standar tahap bahasa mereka.

Seiring dengan berjalannya waktu dan berubahnya zaman, lahirlah pada generasi seterusnya yang mengumpulkan maklumat-maklumat yang sama dan dibuatlah perbandingan. Maka, timbullah istilah khilaf. Jadi, ianya bukanlah khilaf kerana satu tidak setuju dengan lainnya atau sebaliknya akan tetapi ia dipengaruhi oleh sejarah ini. Nah, generasi seterusnya tidak hanya diam, mereka terus mengkaji sambil menjawab dan bertukar pandangan bagi setiap permasalahan. Sehinggalah hari ini kita dapat menilai dari hasil perbincangan mereka apa yang sesuai untuk kita gunakan dan tidak.

Basrah memiliki kecondongan menjadikan Syair sebagai asas utama dalam perumusan Nahu menurut mereka. Berbeza dengan Kufah yang memang merupakan tempat (ketika itu) berkumpulnya para ulama Qiraat, yang mana secara tidak langsung memberi pengaruh kepada prinsip aliran Nahu mereka. Kepelbagaian cara bacaan dalam Al-Quran memperluaskan lagi pandangan aliran Kufah dalam penetapan rumusan ilmu Nahu.

Maka jika ditanya aliran manakah yang lebih baik, kita tidak dapat menjawab. Kerana ketika mengkaji bidang ilmu ini kita akan dapat melihat ke-relevan-an masing-masing aliran dalam subtopik tertentu. Bahkan khilaf ini menjadi bukti maha kayanya bahasa Arab kerana satu ayat dapat dii’irabkan dengan pelbagai bentuk tanpa merubah maksud yang diinginkan dari ayat tersebut.

Bagaimana demikian? Sukar untuk menjawabnya akan tetapi demikianlah hakikatnya.

One Response to “Kisah Nahu : Motivasikan Diri Anda!!!”

  1. AbqoriNo Gravatar Says:

    Sebuah artikel yang memberangsangkan. Kombinasi antara sebuah catatan perjalanan dengan fakta yang jelas dan jarang kedapatan dalam tulisan berbahasa Melayu.

    Saya lebih suka untuk menggunakan istilah ikhtilaf. Mungkin kerana banyak terkesan dengan maulana-maulana feqah. Khilaf ertinya langsung berlawanan. Tapi ikhtilaf ertinya mengatakan sesuatu yang lain lebih utama dari sesuatu yang lain, namun masih tidak menolak habis-habisan yang lain itu.

    Baru saya tahu tentang method penyusunan ilmu Nahu itu. Memang jelas. Kalau anta boleh selitkan sumbernya, lagilah saya teruja. Insya Allah, artikel sebegini boleh diperpanjangkan lagi. Seronok sebenarnya membaca tentang sejarah ilmu Nahu ini. Lagilah pula, kalau mempelajarinya, kan?

Leave a Reply