Pada Jumaat yang lalu aku berkesempatan menemui Syeikh Yasin Hafnawi yang kebetulan berkunjung ke Bandar Nasr, Kaherah lalu menjadi khatib di Masjid Nur Muhammadi, Seksyen 10 Bandar Nasr. Pengurus masjid telah pun sibuk mengumumkan kehadiran Syeikh Yasin agar ahli qaryah tahu dan segera hadir ke masjid. Ketika waktu zuhur menjelang beliau segera naik ke atas mimbar.
Setelah Azan dikumandangkan oleh anaknya (aku meneka) Abdullah Hafnawi, Syeikh Hafnawi memulakan pembukaan khutbah yang agak panjang. Ucapan ‘Alhamdulillahi rabbil alamin’ yang pertama beliau lafazkan telah menyuntik sebuah perasaan unik ke dalam naluriku yang menyebabkan bulu roma disekujur tubuhku merinding. Sejuk terasa hatiku bercampur resah.
“Tidak ada yang besar melainkan Allah dan tidak ada yang sama denganNya. Tidak ada yang kekal melainkan Allah dan tidak ada yang sama dengannya. Tidak ada yang perkasa melainkan Allah dan tidak ada yang sama dengannya…” Beliau terus mengulang-ulang dengan menggantikan sifat-sifat Allah lainnya.
Sengaja beliau ulang “.. tidak ada yang sama denganNya.” pada setiap sifat yang diucapkan. Mengapa? Kerana di atas muka bumi ini ada orang yang kaya atau mungkin benda lain yang kaya contohnya laut yang begitu kaya raya. Tetapi kekayaan manusia dan kekayaan lautan tidak sebanding kemahakayaan Allah SWT. Manusia ada yang sadis. Haiwan juga ada yang sadis seperti singa, tetapi kesadiannya tidak sesadis kemahasadisan Allah SWT. Ibu mempunyai tahap kasih sayang yang luar biasa tinggi sehingga rela mati demi sang anak yang dikasihi. Namun walau bagaimanapun juga kasih dan sayang tidak sama dan sebanding dengan kemahapengasih dan kemahapenyayangnya Allah SWT.
Suasana hening memenuhi ruangan masjid walaupun suhu panas mula dirasa kerana jumlah manusia yang ramai berkumpul di satu tempat. Syeikh Yasin mula mengakhiri pendahuluan khutbahnya yang panjang dan memasuki isi khutbah.
Syahadah adalah kesaksian. Ketika kita mengucapkan kalimah syahadah itu ertinya kita bersaksi. Seseorang tidak dikatakan menjadi saksi jika dia tidak melihat, tidak memahami, tidak mendengar, tidak menyaksikan, atau tidak dalam keadaan sedar ketika menyaksikan contohnya sedang mabuk atau gila.
Allah SWT mengajarkan kepada kita di dalam Al-Quran untuk belajar dahulu atau untuk mencari pengetahuan, mencari penglihatan, mencari pemahaman, mencari pendengaran dan baru setelah itu membuat kesaksian. Bukan saksi palsu yang diucapkan tanpa kesaksian. Allah SWT menyuruh kita melihat bagaimana matahari, bulan, bumi dan planet-planet lain berputar di atas poros masing-masing tanpa bertembung antara satu dan lainnya. Allah SWT menyuruh kita untuk melihat betapa dahsyatnya langit yang didirikan, nyamuk yang diciptakan lalu melihat betapa Maha Dahsyatnya Pencipta semua itu. Tidak cukup dengan semua itu Allah SWT kemudian memerintahkan kita untuk melihat dan memperhatikan segala petanda-petanda yang ada dalam diri manusia itu sendiri sehingga kita mampu capai tahap tahu, paham, melihat, mendengar dan akhirnya cukup syarat untuk membuat kesaksian. Allah SWT tidak membiarkan manusia ‘pening’ dalam usaha mencari Tuhan, maka, Allah SWT kabarkan kisah khalilNya Ibrahim AS yang menemukan Allah SWT setelah menggunakan akal untuk memerhatikan alam semesta.
Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah. Sahabatku juga bersaksi hal yang sama. Kamu yang sedang membaca ini juga mungkin menyaksikan perkara yang sama. Namun, akan ada orang lain yang meragukan kesaksian aku sebagai manusia yang lemah. Dia juga tidak ragu untuk mempertanyakan kesaksian sahabatku tadi, bahkan, dia akan dengan tegas menolak kesaksian kamu yang sedang membaca ini. Kesaksian kita sebagai manusia yang lemah sangat mungkin dipertikaikan. Oleh itu, Allah SWT menjadi saksi bahawa tiada tuhan melainkan diriNya. Siapakah yang lebih dipercaya akan kesaksiannya selain Allah SWT?
Tanyakan diri anda, sudahkan anda benar-benar menyaksikan ketuhanan Allah SWT? Sudahkah keagungan dan segala ke-Maha-an Allah benar-benar diterima hati lapang anda tanpa ada unsur ikut-ikutan, keterpaksaan dan juga dapat diterima oleh akal fikiran anda? Jika belum kajilah! Pelajarilah! Lihatlah!
Beliau meneruskan khutbahnya dengan membicarakan konsep uluhiyyatullah dan rububiyyatullah. Usai solat beliau menambahkan lagi sedikit syarahan beliau. Beliau mengingatkan bahawa iman adalah aspek dalaman yang tidak kita nampak dengan mata kasar sedang islam merupakan aspek luaran yang dapat kita lihat dan dengar secara jelas sedang penggabungan antara dua aspek inilah yang beliau namakan dengan istiqamah. Jika anda sudah ucapkan kalimah syahadah yang merupakan rukun pertama dalam rukun islam tanyakan hati dan batin anda sudahkan anda terima kesaksian itu dengan hati terbuka dan ikhlas?
Aku sangat tertarik dengan beliau dan syarahan beliau. Bahkan, aura beliau yang menggetarkan emosi dan jiwa sebagaimana syarahan beliau yang refresh minda membuatkanku segera jatuh cinta kepada beliau. Layaknya seorang pecinta aku segera mencari helah untuk mendapatkan perhatian beliau. Aku menghampiri beliau sambil menghulurkan tanganku. Inginku cium tangannya atas dasar cinta dan hormat akan tetapi beliau segera menarik. Sambil menatap mata beliau aku katakan, “Apakah kaitan keadaan (haiaat) dan pergerakkan (tasharrufat) solat dengan akidah?”
“Solat itu semuanya adalah tentang akidah!” beliau sangat tertarik dengan soalan yang aku lontarkan.
Soalan ini bukanlah suatu yang aku tidak tahu atau pahami. Kerana aku sangat-sangat yakin akan keterkaitan itu. Jika tidak apalah artinya solat itu kepadaku. Malangnya, mahu tidak mahu aku harus akui bahawa solatku masih lagi belum mencegah diriku dari melakukan maksiat. Padahal, tujuan utama solat adalah sebagai pelindung manusia dari perbuatan keji dan mungkar. Maka, aku melihat bahawa solat aku masih bermasalah yang ia tentu berpunca dari aspek batiniah atau akidah kerana aspek zahiriah telah aku yakini kesahihannya sesuai dengan tata cara perlaksanaan solat yang aku dapatkan dari pelajaran fiqih selama ini.
“Solat bermula dengan laungan takbir yang memutuskan hubungan anda dengan dunia dan menyambungkan interaksi anda dengan Allah SWT. Takbir anda itu telah membuktikan keyakinan anda akan kemahabesaran Allah SWT. Itu sudah menjadi sebuah bukti kekerdilan dan kelemihan anda. Seluruh Fatihah yang anda bacakan itu semuanya mengenai akidah. Persembahan dan ketergantungan anda hanya pada Allah. Ketika rukuk anda merasakan kemahabesaran Allah (Adhim). Ketika anda sujud anda merasakan kemahaagungan Allah SWT (A’la)…” ucap beliau lantang sambil sesekali memegang tubuhku. Teriakan beliau dengan suara kencang itu membolehkan aku meresap semangat ke dalam hati dan naluriku. Tatapan mata ikhlas beliau yang berjarak hanya dua jengkal denganku menusuk tepat di kalbu hatiku.
“Suatu hari nanti kita akan bicarakan seluruh yang berkaitan tentang akidah dalam solat!” Beliau mengakhiri ucapannya.
Aku ingin sekali menulis mengenai hal ini. Bukan menulis kerana aku tahu malah kerana aku belum tahu dan sangat ingin tahu. Solat kita sampai dimana tahapnya? Tanyakan saja pada diri kita! Apa bezanya kita menyembah berhala dan solat jika solat kita sama sekali tidak menghadirkan keagungan Allah SWT yang menjadi suber dan alasan hadirnya takut yang nantinya dengan takut ini mencegah kita dari perbuatan keji dan mungkar? Solat perlu berubah dari sekedar ritual menjadi ritual yang menghadiahkan taqwa. Ramai orang yang solat tetapi buah hasil solat itu sedikit pun tidak muncul di kehidupan sehari-hari.
Ya Allah ilaika natlub wa nasta’in.. Ihdina ya rabb!






