Baru-baru ini kita dikejutkan oleh tindakan biadap salah satu akhbar Denmark yang telah menyiarkan kartun-kartun yang menghina Baginda Muhammad SAW. Berbagai jenis bantahan yang lahir dari umat Islam setelah itu, ada yang bersifat kasar dengan membuat demonstrasi besar-besaran dan membakar bendera, ada pula yang agak lembut dengan tulisan dan wacana yang lebih memfokus kepada ishlah dari dalam diri masing-masing umat Islam. Namun, kita semua sepakat bahwa perbuatan ini telah menjadi tamparan hebat bagi umat Islam.
Hinaan terhadap Baginda SAW bukanlah suatu perkara yang baru di dalam sejarah Islam, bahkan Baginda SAW telah di caci-maki dengan penyair-penyair Quraisy di depan ka’bah, bahkan tidak sedikit yang menghina dengan perbuatan seperti melempar Baginda SAW dengan najis binatang, sampah sarap dan bahkan pernah ketika Baginda sujud di depan ka’bah Abu Jahal memijak kepala Baginda.
Bagaimanakah sikap Baginda SAW terhadap penghinaan keatasnya?
Baginda Muhammad SAW adalah contoh agung yang tiada duanya di alam ini. Beliau mempunyai kesabaran luar biasa layaknya nabi-nabi yang lain. Hal ini dapat dibuktikan ketika Ummu Jamil, isteri Abu Lahab, yang selalu membuang kotoran dan sampah di hadapan rumah Baginda SAW, pergi mencari Baginda SAW yang berada di Ka’bah bersama Abu Bakar sambil membawa sebuah batu di tangannya. Ketika dia melihat Abu Bakar As-Syiddiq dia berkata “Dimanakah temanmu (Muhammad SAW)?” Mendengar ucapan itu terperanjatlah Abu Bakar As-Syiddiq. Kerana sesungguhnya Baginda SAW sedang duduk di sebelahnya ketika itu. Lalu Ummu Jamil melantunkan sebuah syair menghina Baginda SAW. Setelah Masyarakat Quraisy mendengar syair itu, mereka mula memanggil Baginda SAW dengan panggilan “Muzammim” (yang dihina) dan tidak lagi memanggilNya “Muhammad” (yang dipuji). Hal itu menimbulkan kemarahan para sahabat. Namun Baginda SAW bersabda ” Biarkan mereka. Sebab sebenarnya mereka itu sedang menghina seorang “Muzammim”. Sedangkan namauku adalah “Muhammad”. Begitulah sikap Baginda SAW terhadap penghinaan yang baginda alami.
Kesabaran Baginda SAW juga dapat kita lihat ketika penduduk Taif melemparkan batu kepada Baginda SAW dan Zaid. Jibril menawarkan diri untuk meratakan dua gunung keatas mereka namun Baginda SAW melarang dan berkata “Semoga akan ada dari mereka yang mengucap ‘La ilaha Illallah’ “.
Cinta dan pembelaan para sahabat RA
Sungguh harus kita akui bahwa seandainya kita membandingkan cinta para sahabat terhadap Baginda SAW dengan cinta kita terhadap Baginda SAW maka adalah seumpama langit dan bumi. Mereka mencintai Baginda SAW lebih dari mencintai diri mereka sendiri dan ini sesungguhnya adalah kewajiban seorang muslim namun sudahkah kita mencintai baginda lebih dari mencintai diri kita sendiri?
Ketika Abu Bakar As-Syiddiq melihat ayahnya menyalami tangan Baginda SAW untuk memeluk Islam, dia menangis. Mengapa dia menangis sedangkan ayahnya, Abu Quhafah telah memeluk islam?. Ketika ditanya hal ini Abu Bakar RA menjawab “Aku inginkan kalau yang menyalami Baginda SAW itu adalah Abu Tholib kerana Baginda SAW akan gembira dengannya.” Pernahkah kita menangis kerana menyesal atas perbuatan kita yang jauh dari yang Baginda SAW inginkan. Mengangiskah kita ketika Baginda SAW dihina?
Umar Bin Khattab RA setelah ditikam oleh Abu Lu’lu’ah Al Majusi, dia berkata “Pergilah kalian bertemu dengan Aisyah Ummul Mu’minin dan mintalah izin darinya untuk menguburi diriku di sebelah Baginda SAW.” Setelah mendapat izin dari Aisyah RA maka dia berkata”Alhamdulillah, Demi Allah Aku tidak pernah memberi perhatian kepada perkara apapun seperti mana perhatian yang aku berikan untuk di kuburkan berdekatan dengan Baginda SAW”. ia berkata”Alhamdulillah, Demi aAinya untuk menguburi diriku di sebelah Baginda SAW.Dalam keadaan berlumuran darah dan bertarung nyawa, Umar Al-Khattab hanya memikir persemadiannya dengan kekasihnya SAW.
Mencintai Baginda SAW adalah suatu kewajipan seperti mana sabda Baginda SAW: “Tidaklah beriman salah seorang dari kalian sehingga aku menjadi lebih dicintai baginya dibandingkan ibu bapanya, anak-anaknya dan manusia seluruhnya” HR Bukhari.
Dikisahkan ketika perang badar Abdul Rahman Bin ‘Auf berada di dalam barisan dan di kanan dan kirinya terdapat dua orang remaja yang Abdul Rahman sendiri meragui kedudukan mereka di dalam peperangan, mereka adalah Mu’adz dan Ma’uz yang berumur 15 dan 14 tahun, lalu salah seorang dari mereka bertanya kepada Abdul Rahman “Manakah Abu Jahal itu?” Maka Abdul Rahman menjawab “Apa yang terjadi antara kamu dan Abu Jahal?”. Dia menerangkan bahwa ibunya melarang dia pulang ke rumah sebelum membunuh Abu Jahal. Kemudian seorang lagi bertanya sepertimana soalan temannya dan Abdul Rahman menjawab dengan soalan yang sama juga, lalu dia berkata”Aku telah mendengar bahwa Abu Jahal telah menghina Rasulullah SAW dan diriku tidak akan hidup dengan tenang sedang disana ada yang menghina Rasulullah SAW”. Maka Abdul Rahman menunjukkan Abu Jahal kepada mereka.
Masih banyak lagi kisah-kisah para shahabat dalam membela Baginda SAW apalagi di dalam peperang Uhud dimana Abi Dujanah melindungi Baginda SAW dari serangan panah sehingga iya menjadi seperti landak kerana banyaknya jumlah panah yang menancap di badannya. Ummu ‘Imarah seorang wanita yang melindungi Nabi SAW dengan pedang untuk berhadapan dengan Ibnu Qum’ah yang akhirnya jatuh bersimbah darah, kemudian anaknya berlari untuk melindungi ibunya namun sang ibu berkata ” Tinggalkan aku, dibelakangmu ada Rasulullah SAW” seakan-akan dia berkata Rasulullah SAW lebih berhak mendapat perlindungan dibandingkan dirinya.
Sekarang marilah kita bertanya pada diri kita, sejauh mana rasa cinta yang tumbuh di dalam diri kita terhadap Baginda SAW. Sudahkan cara hidup kita hampir menyerupai cara hidup yang Baginda SAW contohkan. Pernahkan kita mengenang akan cinta Baginda SAW terhadap kita dan membalas cintanya dengan melakukan apa yang Baginda SAW suruh dan meninggalkan apa yang Baginda SAW larang. Pernahkah kita meluangkan masa sejenak untuk mengucapkan selawat dan salam kepada Baginda.
Kemarahan umat Islam yang membara sekarang ini diharap tidak hanya seperti pepatah “hangat-hangat tahi ayam” atau “tong kosong nyaring bunyinya”. Umat Islam haruslah bertidak dengan bijaksana atau bil hikmah, teratur dan berterusan. Marilah kita buktikan kecintaan terhadap Baginda SAW dengan memarahi dan mengishlah diri kita yang selalu alpa dan leka.
Gerakan umat Islam
Sudah tiba masa umat Islam bangun dari tidur yang panjang. Gerakan Islam yang global dan multi dimensi haruslah cepat kita persiapkan. Gerakan ini tidak akan muncul sebelum individual muslim sejati terbentuk. Mengetahui penyakit dan mencari ubat adalah jalan keluar yang terbaik bagi saat ini.
Dr. Muhammad Karim, pensyarah fakulti Syariah universiti Al-Azhar di dalam salah satu syarahannya pernah mengatakan bahwa umat Islam perlu menjadikan Islam sebagai sebuah agama bukan sebuah buah fikiran (fikroh). Perpecahan yang terjadi sekarang ini adalah berpunca dari perbezaan buah fikiran golongan-golongan yang ingin diiktiraf sebagai yang paling benar.
Fanatisme perkauman dan nasionalisme juga harus dibendung sehingga kepentingan agama Islam menjadi keutamaan. Dr Tal’at Muhammad Afifi di dalam bukunya “Al-Muslimun Wa Daul Firqoh” (Umat Islam dan bahaya perpecahan) menegaskan bahwa pemimpin-pemimpin Islam haruslah mengutamakan kepentingan Islam bukan kepentingan peribadi, kaum, politik dan sebagainya.
Setiap gerakan yang besar adalah bermula dari sebuah gerakan yang sangat kecil. Mulakanlah gerakan ini dari diri anda dengan memulainya dengan hal yang sangat kecil dan mulakanlah dari sekarang. Tidakkah kita mengharap senyum Baginda SAW melihat umatnya?
Wallahua’lam
Taqeyyabella
Kaherah, 19 March 2006
Untuk Wadah Abim Mesir






