Kematian

Posted on April 11th, 2010 in Tazkirah

Hari ini seorang dari jiran kami meninggal dunia. Nama beliau Pak Cik Ramly. Semoga amal baik beliau diterima Allah dan segala dosa diampunkan Allah. Isteri beliau dulu pernah meminta saya membantu beliau untuk mengembalikan memori terutama berkaitan bacaan dalam solat. Lama sudah diminta tetapi saya tidak sempat memenuhi permintaannya. Hinggalah suatu hari kami sepakat untuk melaksanakan aktiviti itu pada malam hari. Sebagai seorang yang telah mengalami stroke beliau memiliki kemampuan dan kekuatan yang terbatas. Alhamdulillah saya berjaya menghadirkan diri ke rumah beliau yang hanya dipisahkan oleh jalan raya. Rumah beliau disebelah kiri rumah di hadapan rumah saya. Pada hari berikutnya (hari setelah hari saya hadirkan diri ke rumah beliau), beliau telah jatuh di bilik air dan cedera. Setelah itu isteri beliau memberitahukan bahawa beliau sakit. Maknanya tidak ada lagi kelas sehingga beliau sembuh.

Ternyata Allah berkehendak untuk memanggil beliau sebelum kelas kedua berlangsung. Kelas itu merupakan yang pertama dan yang terakhir. Saya hanya membacakan bacaan solat dari mula hinggalah akhir. Ketika saya mengucapkan “assalamualaikum” tanda berakhirnya solat. Beliau mengulangi ucapan itu sambil terisak dan menangis. Semoga Allah mengampuninya dan menerima amalannya. Amin.

Ketika saya ziarah ke rumah beliau dan membacakan Surah Yasin, saya merenung bahawa setiap kita akan tiba giliran masing-masing. Malaikat maut menjenguk kita setiap hari.

Berfikir mengenai kematian. Kematian sebenarnya adalah sebahagian dari keimanan. Mempercayai dekatnya seseorang dengan mati akan menghantarkannya kepada ketaqwaan. Ibu bapa perlu sering mengingatkan sang anak mengenai kematian. Sang anak pula jangan bosan mengajak ibu bapa mengenaikan kematian. Biar bila kematian datang kita tidak terkejut. Sangat beruntung mereka yang menerima kunjungan malaikat maut dengan ketenangan. Berbekalkan ketaqwaan yang akan menjadi saksi di hadapan Tuhan.

Kematian akan datang kepada kita walau kita berusaha lari daripadanya. Malang bagi mereka yang pura-pura lupa tentang mati. Kerana ketika kematian tiba merekalah orang yang paling rugi. Harta dan kekuasaan yang dikumpul di dunia tak mampu diusung bersama keranda. Kekayaan mereka yang melengahkan mereka dari mengumpul kekayaan hakiki setelah kematian menjadikan mereka seorang yang fakir. Malang sekali. Sangat tepatlah ungkapan bahawa setiap yang mati akan menyesal. Menyesal akan sedikitnya kebaikan yang dilakukan dan menyesal akan keburukan yang telah dilakukan.

Ya Allah, jadikanlah kami tergolong dari mereka yang bersedia menerima kematian. Gigih mengumpul bekal pahala untuk dipersembahkan kepadaMu di hari hisab. Tergolong dalam golongan mereka yang Engkau beri nikmat dan dimasukkan ke dalam syurgaMu ya Allah. Amin.

Published by taqeyyabella

One Response to “Kematian”

  1. Izzah Al-Maliziyyah Says:

    Apabila ada lintasan fikiran tentang kematian, membuatkan diri kita akan sentiasa berusaha melaksanakan sesuatu dengan baik. Walaupun amalan itu hanya dipandang kecil dan remeh.

    Siapa tahu, di luar ‘pengetahuan kita, amalan kecil itulah perkara terakhir untuk diri kita. Perkara yang terakhir diberi peluang untuk kita kerjakan sebelum datang yang menjemput ‘pulang’.

    Rebut kesempatan sebelum datang kesempitan… wallahu’alam~

Leave a Comment

Share