Kelaparan atau lapar-laparan?
Posted on September 12th, 2007 in Uncategorized
Masyarakat umum pada hari ini telah mengetahui bahwa jika tibanya bulan ramdhan, umat Islam akan melaksanakan ibadah puasa. Ibadah menahan diri dari makan dan minum dari terbitnya fajar hingga terbenamnya matahari. Pengetahuan mereka tentang puasa hanya pada menahan makan dan minum tersebut, kerana hanya itu yang mereka lihat dengan jelas. Bahkan umat Islam hari ni pun tidak berminat untuk menyelidiki hakikat dari puasa tersebut.
Pandangan yang pelbagai terhadap puasa pun timbul mengikuti sisi pandang masing-masing individu. Bahkan tidak sedikit dari mereka yang menganggap ibadah ini merupakan suatu yang tidak masuk akal bahkan menyeksa. “Mengapa terpaksa menahan lapar sedangkan makanan ada di depan mata?” kata salah seorang daripada mereka.
Dalam melihat sisi istimewa ibadah puasa, ungkapan yang cukup menarik yang pernah disampaikan oleh KH Hasan Abdullah Sahal dapat disesuaikan. Beliau berkata, “Lebih baik kita hujan-hujanan daripada kehujanan !!!”. Hujan-hujanan dan kehujanan mempunyai maksud yang berbeza. Kehujanan memberi maksud bahwa seseorang terpaksa berada didalam hujan tanpa kerelaan sedangkan hujan-hujanan bermaksud seseorang memilih untuk memaksa diri meredah hujan.
Ketika seseorang berpuasa dia berada antara dua keadaan. Antara terpaksa menahan lapar atau memaksa diri menahan lapar. Seorang yang terpaksa menahan lapar bererti kelaparan, sedangkan seorang yang memaksa diri untuk menahan lapar adalah lapar-laparan.
Kitab-kitab fiqih banyak menjelaskan antara hikmah puasa adalah untuk memberi kekuatan. Hal ini dikuatkan lagi dengan kisah ramai sahabat Rasulullah SAW yang lebih selesa berperang dalam keadaan berpuasa. Bagaimana kekuatan tersebut dapat timbul sedangkan perut lapar tanpa tenaga?
Seorang yang sedang berpuasa memaksa diri untuk menahan lapar. Dia dengan kerelaan hatinya tanpa merasa terbebani memilih untuk tidak menyentuh makanan atau pun minuman. Ketika itu dia mencapai suatu tahap mampu mengawal dirinya dari keinginan-keinginan tersebut. Jika dia mampu mengawal dan menahan diri dari hal yang sangat ia perlukan iaitu makanan, maka ia menunjukkan bahwa dia memiliki sebuah kekuatan bertindak. Kekuatan bertindak yang lahir dari kerelaan dan pilihan tanpa terpengaruh dengan keadaan.
Kualiti latihan puasa ini akan makin meningkat dengan bertingkatnya usaha menahan diri tersebut. Seperti mana yang sedia maklum bahwa kualiti puasa tertinggi adalah apabila seseorang dapat menahan seluruh anggota tubuhnya dari dosa. Menahan mata dari melihat yang mungkar, menahan lidah dari berkata hal yang tidak baik, menahan telinga dari mendengar umpatan, menahan tangan dan kaki dari melakukan kesalahan, menahan fikiran dari berpikir hal-hal yang tidak baik dan seterusnya.
Kekuatan mengawal anggota tubuh inilah yang sebenarnya dilatih dalam madrasah ramadhan dengan menjadikan menahan diri dari makan dan minum sebagai plan tindakkan asas dalam latihan ini.
Hasil dari modul latihan madrasah ramadhan ini, seseorang sepatutnya mencapai tahap memiliki kekuatan mengawal diri yang tinggi. Seseorang tidak lagi gila ketika marah, kerana dia telah berjaya menawan marah dan tidak mudah terpacu dengan hal-hal yang remeh. Seseorang tidak lagi kenal putus asa kerana dia dapat menahan diri dan emosi dan hanya bergantung pada yang Maha Esa. Seseorang tidak akan lagi mengeluh ketika menderita kerana dia yakin semua yang dialami adalah ujian-ujian untuk mengangkat martabat diri.

Leave a Comment