This is some text prior to the author information. You can change this text from the admin section of WP-Gravatar Final year student, General Studies Faculty of Arabic Language, Al-Azhar Asy-Syarif University, Cairo, Egypt.


Dalam entri yang lepas kita telah sepakat bahawa Allah SWT menciptakan sebahagian dengan kelebihan dan keutamaannya yang tersendiri ke atas sebahagian yang lain. Keutamaan tersebut dijadikan pelbagai sesuai dengan keadaan dan fungsi masing-masing. Begitulah halnya antara lelaki dan perempuan yang Allah ciptakan dengan postur tubuh (fizikal) dan tataan emosi yang sangat berbeza. Bahkan kita sudah pun sering mendengar kajian yang menyatakan bahawa lelaki menggunakan 90% rasional dan 10% emosi dan wanita sebaliknya dalam berurusan sehari-hari. Keutamaan seorang lelaki atas wanita bukan semata-mata dia merupakan seorang lelaki, akan tetapi kerana beban dan tanggung jawab yang disandangnya. Maka jika seorang lelaki hilang keistimewaan tersebut (sikap bertanggung jawap) maka dia memperendahkan dirinya dan menghilangkan keutamaan yang ditetapkan ke atasnya.

Ketika kita berusaha merasionalkan sebuah fikiran yang dalam melihat sisi keutamaan dan keadilan, maka adalah mudah jika kita umpamakan kepada sebuah permisalan yang lebih ringkas dan mudah. Mari kita kenang kembali zaman persekolahan. Di sekolah sebahagian pelajar yang memiliki potensi kepimpinan yang tinggi, dedikasi, disiplin dan wibawa lazimnya akan dipilih menjadi pengawas sekolah. Perlantikan seorang pelajar menjadi pengawas menjadikannya sederajat lebih tinggi dari teman-temannya yang lain. Dia dibebani dengan tugas-tugas khas yang tidak dibebankan kepada orang lain. Alasan melaksanakan tugas menyebabkannya mendapatkan keistimewaan dan keutamaan. Pada masa-masa tertentu dia diizinkan untuk berada di tempat yang tidak sepatutnya dia berada demi menjalankan tugas. Ini keutamaan. Ketika dia mendapatkan tugas kemungkinan dia akan diberi peluang untuk keluar untuk rehat lebih awal dari pelajar-pelajar lain, ini juga keistimewaan. Semua keutamaan dan keistimewaan diberikan hanya kerana status yang berbeza. Namun, sejauh mana status tersebut dapat membantu sang pelajar tadi. Adakah status tersebut dapat menjadikannya pelajar yang cemerlang dari segi akademis? Tentunya ia tiada kaitan. Kemampuannya menjawap peperiksaan sama sekali tidak terpengaruh dengan statusnya sebagai pengawas. Seandainya dia belajar dia dapat menjawap dan jika tidak maka dia tetap tiada perubahan apa-apa kepadanya, walaupun selama berbulan-bulan sebelum peperiksaan dia hidup di dalam keutamaan dan keistimewaan.

Inilah refleksi mudah yang dapat saya gambarkan untuk memuaskan hati saya setelah seketika merenungkannya. Betul lelaki memiliki keutamaan ke atas wanita dalam beberapa aspek akan tetapi hakikatnya di dalam peperiksaan dan ujian yang Allah SWT sediakan kita adalah sama. Itulah yang diterangkan oleh Allah SWT dalam ayat [4 : 32] ketika kaum wanita cemburu dengan keutamaan lelaki berada di dalam barisan perang. Allah kemudian menegaskan bahawa kaum lelaki akan mendapat ganjaran dari apa yang mereka usahakan seperti mana kaum wanita mendapat ganjaran sesuai yang mereka usahakan. Dalam arti kata yang lain, walaupun kaum lelaki dimuliakan dengan keutamaan berjuang di medah perang tetapi secara individunya ia tidak memberi apa-apa faedah seandainya dia tidak berperang dengan ikhlas sebagai contoh. Bahkan keutamaan tersebut tidak ada nilainya jika dibandingkan dengan seorang wanita yang berjuang melindungi anak-anak dirumah dengan ikhlas kerana Allah SWT. Si wanita tanpa keutamaan berperang berada di tahap yang lebih tinggi di sisi Allah atas apa yang telah diusahakan. Banyak lagi ayat-ayat lain yang menegaskan permasalahan yang sama. Semuanya mencerminkan keadilan di dalam keutamaan.

Melihat sisi ini membuatkan saya tidak sedikit pun berasa bangga apa lagi terfikir untuk mendabik dada hanya kerana diciptakan sebagai seorang lelaki yang secara semula jadinya memiliki tubuh badan, emosi dan daya fikir yang semuanya sesuai untuk dimahkotakan sebagai pemimpin. Bahkan, atas keutamaan ini diistimewakan lagi dengan diperbolehkan untuk beristerikan lebih dari satu. Namun kesemua keutamaan ini tidak sedikit pun mengangkat derajat seseorang jika hakikatnya dia memang tidak melakukan apa-apa yang mengangkat derajatnya. Bahkan, mereka diancam dengan ancaman yang begitu dahsyat. Perhatikan sahaja ayat-ayat ancaman kepada pemimpin yang tidak bertindak sesuai hukum Allah. Allah SWT turut memberi perintah agar berhati-hati kerana seseorang itu tidak mampu berlaku adil walau pun dia berusaha ketika berhadapan dengan isteri-isterinya. Walau demikian tidak ada alasan agar diperbolehkan berlaku curang (tidak adil). Lihat betapa beratnya implikasi dari sebuah keutamaan yang diberikan.

Saya kembali merenung dan mempertanyakan, bagaimana pula dengan keutamaan kepada para Nabi dan Rasul? Relevenkah sisi pandang ini digunapakai?

Video pengakuan Nabi palsu Kahar memberikan saya sebuah gambaran yang sangat jelas. Walaupun Nabi adalah Nabi dan Rasul adalah Rasul yang derajat dan keutamaan mereka sangat tinggi dari kita, namun, bagaimana pun juga mereka tetap makhluk yang bernama manusia. Ketika Kahar berusaha membuktikan bahawa dialah seorang Nabi yang diutus khas kepada masyarakat Melayu, seketika saya terbayang apa yang diceritakan Allah SWT di dalam Al-Quran. Banyak kisah yang menerangkan betapa hancurnya hati para Nabi kerana di dustakan oleh umatnya. Tentunya mereka serba salah kerana mungkin mereka sendiri tidak meminta untuk dilantik menjadi Nabi atau Rasul. Baru sahaja menerima amanah yang berat dari yang Maha Kuasa mereka diuji dengan tentangan yang begitu dahsyat oleh masyarakat. Bayangkan Al-Amin (gelaran bagi Muhammad SAW) yang merupakan ‘Mr. Clean’. Seorang yang terpandang dan dihormati lagi disegani. Kata-katanya didengari, keputusannya dituruti. Namun, semua itu sekelip mata berubah ketika Baginda mengisytiharkan kenabiaanNya. Kehormatan berubah menjadi benci. Baginda dihina dan disiksa jasmani dan rohani. Sehingga Baginda yang sememangnya manusia yang lemah hampir putus asa. Segera Allah memperkuatkan dan memperteguhkan semangatnya dengan memberi keyakinan dengan kata, “Cukuplah Allah sebagai saksi (akan kenabianMu)”. Kita diperlihatkan pelbagai peristiwa yang mana menunjukkan kemanusiaan seorang Nabi yang menyebabkan para sahabat bercucuran air mata melihat derita yang ditanggung baginda. Peristiwa menggali parit sebagai contoh. Ketika para sahabat mengeluh kerana lapar, adakah Baginda yang merupakan kekasih Allah itu tidak merasakan lapar? Bahkan Baginda merasakan tahap kelaparan yang lebih kerana para sahabat hanya mengikat dengan satu batu di perut mereka sedang Baginda mengikat dengan dua batu. Kegigihan Baginda dalam melalui segala derita tersebut membuktikan bahawa keutamaan kenabian keatas baginda tidak menyebabkan baginda tidak menderita. Justeru, kerana ketabahan, kesungguhan, kecekalan dan kegigihan itulah yang menjadikan Baginda seorang Rasul dan kerana baginda seorang Rasul-lah baginda memiliki kekuatan-kekuatan tersebut. Keutamaan keatas Baginda sebagai Nabi bukan semata-mata kerana Baginda adalah Nabi, tetapi lihatlah perjuangan Baginda dalam mengemban jawatan sebagai Nabi tersebut. Kenang kembali peristiwa Baginda mendirikan solat sehingga basah pakaiannya dengan air mata dan bengkang kakinya kerana berdiri lama. lalu saidatina Aisyah R.A berkata, “Bukankah Allah telah mengampunkan segala dosaMu?” Lantas Baginda menjawab, “Maka tidakkah selayaknya aku menjadi seorang yang bersyukur!” Lihat sisi kemanusiaan Baginda yang Baginda lalui dengan penuh penderitaan yang mana dengannya juga keutamaan Baginda ke atas seluruh para Nabi dan Rasul terjulang.

Saya menyeru diri saya dan semua untuk melihat keutamaan-keutamaan yang Allah SWT karuniakan kepada diri kita sehingga dengannya kita dapat menjadi mulia di hadapan yang Maha Esa..

Leave a Reply