Kasih Anak Pada Ibu Bapa
Posted on December 26th, 2008 in Fikir, Kritik, Sikap
Al-Quran seringkali mengingatkan manusia agar mengasihi Ibubapa. Ibubapa memiliki fitrah untuk sentiasa sayang dan kasih kepada anak-anak mereka. Sejahat apa sekali pun ibubapa itu, mereka tetap memiliki rasa kasih yang begitu tinggi nilainya. Setiap ibubapa adalah begitu. Mungkin ada segelintir yang hilang kemanusiaannya ketika membuangkan anak mereka di tong sampah. Golongan ini belum layak dinamakan ibubapa. Mereka adalah orang yang “sesat” dan “keliru” dalam tipu daya nafsu dan syaitan. Tapi ibu dan bapa yang menjalani hidup penuh penderitaan dan beban sentiasa akan memiliki kasih dan sayang terhadap anak-anaknya tanpa terkecuali. Allah SWT Maha tahu akan hakikat itu, oleh karena itu kita sedikit menemukan perintah agar ibubapa berbakti kepada anak-anak. Mereka pasti berbakti kerana fitrah yang telah diberikan. Kita lebih banyak menemukan perintah agar ibubapa berlaku adil terhadap anak-anak.
Lain halnya dengan sang anak. Tidak semua anak mempunyai kasih yang tinggi kepada ibubapa mereka. Kecenderungan manusia yang suka lupa ini, menjadikan anak-anak mudah lupa akan jasa ibubapa mereka ke atas mereka. Oleh kerana itu, Allah SWT seringkali menegaskan agar kita memberi perhatian yang cukup besar dalam berbakti kepada ibubapa. Sifat egois manusia juga sangat bahaya. Egois dan mementingkan diri biasanya akan menutup segala kebaikan yang pernah dilakukan ibubapa terhadap diri sang anak bila mana satu kehendak sang anak tidak dipenuhi. Hal ini terbukti bilamana begitu banyak anak yang mengabaikan bahkan mendurhakai ibubapa mereka hanya kerana cinta sebagai contoh. Ibubapa tidak menyetujui cinta mereka lalu mereka dengan begitu egoisnya mendurhakai keduanya. Kemana hilangnya kasih sang anak terhadap ibubapa mereka?
Hal ini bermain difikiranku setelah melihat sebuah peristiwa indah di sebuah rumah di Alfu Maskan. Rumah teman ayahku yang berwarganegara Mesir. Adik iparnya baru sahaja pulang ke rahmatullah (meninggal). Ibunya sudah tua dan pasti terkejut dengan kehilangan menantunya. Teman ayahku ini yang bukanlah orang berada memberitahuku bahawa dia tiba-tiba sahaja rindu dan ingin menemui ibunya yang sudah tua. Walau tiada wang dia sanggup berhutang kerana mempertimbangkan seandainya nanti ibunya tiada lagi mempunyai wang pun sudah tidak bermakna. Dengan berhutang dia membeli tiket yang tentunya sangat mahal kerana hujung tahun adalah musim melancong. Apa yang menarik adalah dia benar-benar pasrah dengan keadaan dan sanggup berhutang demi untuk menemui ibunya. Setelah redha dengan segala tanggungan yang bakal diterima nanti dia serahkan segala urusan kepada Allah SWT.
Allah SWT ternyata mempunyai perancangan lain. Sehari sebelum berangkat ke Mesir dia secara tidak sengaja bertemu seorang kenalan lama yang tidaklah begitu rapat. Namun, kenalan itu dulu pernah berkata (sebelum terjun ke dalam perniagaan) “seandainya aku kaya nanti aku akan belikan tiket untukmu menziarahi keluargamu di Mesir.” Maka, pertemuan itu mengingatkan peniaga tersebut akan ucapannya. Maka dia segera ingin menunaikan ucapannya dulu. Teman ayahku tentunya sangat bersyukur dengan ketentuan Allah SWT itu. Dia berkata kepadaku, “Aku hanya ikhlaskan niat untuk menjenguk ibuku walau terpaksa berhutang kepada bank, ternyata Allah SWT Maha Pemurah dan menghadirkan peniaga yang mahu menghadiahkan tiket kepadaku.”
Aku bertanya kepada diriku. Akankah aku, suatu saat nanti, ketika berhadapan dengan keadaan hidup yang susah akan melakukan apa yang teman ayahku ini lakukan. Mungkin kelihatannya remeh, tapi seandainya kita dibebankan dengan tuntutan semasa yang mendesak. Anak, isteri yang perlukan makanan dan sekolah. Pergerakkan yang memerlukan minyak. Semuanya memerlukan wang. Jika aku berada di dalam kesulitan sedemikian akankah aku mengutamakan ibubapaku?
Aku sangat berharap Allah SWT mengaruniakan aku kekuatan untuk sentiasa mengutamakan ibubapaku dan ibubapa isteriku kelak melebihi perhatianku terhadap anak dan isteriku.
Bertepatan dengan malam aku menziarahi teman ayahku ini di rumahnya di Alfu Maskan, rumah itu dikunjungi oleh empat orang jiran berhampiran. Mereka sangat memperhatikan ibu kepada teman ayahku ini. Keluarga teman ayahku ini adalah keluarga yang terhormat dan terpandang. Bukan kerana harta tentunya. Kerana ayah kepada teman ayahku ini dulu aktif dalam mengimarahkan masjid. Zaman itu orang-orang seperti ayah teman ayahku ini amat ditakuti pemerintah. Bahkan aku dimaklumakan bahawa ayah teman ayahku ini beberapa kali ditahan oleh pihak berkuasa tanpa alasan yang kukuh.
Aku dapat merasakan kehangatan mereka yang tinggal berdekatan mengasihi satu dengan yang lain. Berkongsi cerita, perkembangan semasa dan memori-memori silam. Indah sekali. Salah satu dari mereka merupakan teman sebaya teman ayahku sejak kecil lagi. Dia yang tidak tahu kepulangan teman ayahku sangat terkejut dan gembira. Perkataan pertama yang diucap adalah, “Kita telah pun menjadi tua!”. Tentunya kalimat itu mengenang persahabatan mereka yang akrab sejak kecil dan terpisah dalam waktu masa yang lama. “Aku kini sudah tidak tahan lagi dengan cuaca sejuk yang menikam ini. Kini aku sedar aku telah menjadi tua!!” dia meneruskan aduannya kepada ibu teman ayahku ini. Rancak sekali mereka berbincang dan aku hanya menjadi pendengar setia sambil menghantar mindaku berfikir itu dan ini.
Ketika mereka minta izin untuk pulang salah seorang yang kelihatan agak lebih tua berkata, “Ha! Aku dah kata, anak kau tak lupakan engkau!” katanya kepada ibu teman ayahku. Kata-kata itu diucapkan dengan nada menghibur ibu yang diziarahi anaknya itu. Semua orang pun tahu kalau anaknya itu baik. Namun, ucapan itu adalah untuk menambahkan lagi kehangatan antara anak dan ibu itu.
Kata-kata itu memberi kesan yang luar biasa kepadaku. Aku kira aku bukanlah seorang yang betul-betul taat kepada ibubapaku dan itu harus aku ubah mulai saat aku mendengar kata-kata itu.
Namun aku tak habis fikir dengan mereka yang dengan sengaja menciptakan keadaan agar kedurhakaan terhadap ibubapa terjadi. Aku pernah mendengar kisah calon suami-isteri yang merancang perkahwinan yang tidak diredhai oleh pihak keluarga dengan tipu muslihat agar nantinya secara memaksa perkahwinan itu terpaksa diterima oleh ibubapa. Apa yang menghairankan diriku adalah, usaha gigih calon suami mencuri perempuan itu dari keluarganya adalah melampau batas padahal sang calon suami adalah seorang yang berpendidikan agama. Ketika aku memohon penjelasan dari pihak perempuan atas tindakkan-tindakkan yang bagiku amat tidak sepatutnya dilakukan terhadap ibubapa. Dia menjawap, “Aku mentaati suamiku.” (Dia telah pun melaksanakan pernikahan tanpa persetujuan ibubapa ketika menjawap soalan itu.) Setahu aku, ketaatan kepada suami memang wajib bagi seorang perempuan. Tapi aku tidak dapat menerima ketaatan yang tidak bertempat. Siapa kata mentaati suami yang baru dikahwini membolehkan kita berlaku durkaha terhadap ibubapa? Atau dengan bahasa lain, apakah perintah suami yang menyuruh kamu mendurhakai ibubapa perlu ditaati?
Kita telah menjadi pening! Mana yang perlu diutamakan dan mana yang tidak perlu diutamakan telah bercampur aduk sehingga kita gagal menilai dengan bijak.
Perkara yang baik tidak mungkin bertembung dengan perkara yang tidak baik. Apakah kita mentaati suami yang fasik sehingga menyebabkan kita terpaksa durhaka kepada ibubapa? Ataukah kita mentaati suami yang sholeh lalu mendurhaka kepada ibubapa yang fasik?
Perlu aku tegaskan bahawa jika ibubapa kita seorang yang fasik sekali pun kita masih wajib taat kepada mereka. Ini jelas digambarkan dari kisah Nabi Ibrahim AS dengan ayahnya yang menyembah berhala. Nabi Ibrahim tidak mendurhakai ayahnya. Apa yang dia lakukan adalah berkata dengan penuh sopan santun. Bahkan ketika ayahnya marah akan pendirian Nabi Ibrahim, Baginda menjawab, “Salam! (yang jika ditafsirkan akan memberi makna berikut : Kesejahteraan keatas kamu. Aku tidak akan bergaduh dan merosakkan hubunganku denganmu kerana ini akan tetapi aku juga tidak boleh menggadaikan pendirianku maka sejahterahlah kamu dan bebaslah kamu wahai ayahku dengan apa yang engkau yakini. Aku tidak memusuhi engakau.)” Seharusnya seorang suami yang sholeh perlu mengajak isterinya untuk berlaku taat dan bakti kepada ibubapanya dan bukan sebaliknya.
Perkara inilah yang menghantui jiwaku akhir-akhir ini. Kejadian yang terjadi didepan mata. Dilakukan oleh seorang yang digelar “tok guru” oleh sebahagian pihak. Semoga Allah mengampuni aku dan mengampuni dia dan mengaruniakan kepada kita semua hidayahnya.
Imam di Masjid Syarbini kadangkala membaca doa ini di dalam qunutnya. “Allahumma inna nasaluka antahfaza zurriyyatina minassyaitanirrajim warzuqna birrahum fi hayatina warhamna bidu’aihim ba’da mautina. (Ya Allah kami memohon kepada Engkau agar melindungi zuriat kami dari syaitan Ar-Rajim, dan berikanlah rezeki berupa bakti mereka kepada kami disaat kami hidup dan rahmatilah kami dengan doa mereka setelah kami mati.)”
Kepada abah dan mama maafkanlah segala salah silap dan salahlaku yang selama ini pernah dilakukan. Semoga Allah merahmati kalian berdua sepertimana kalian berdua menjaga dan membela aku ketika masih kecil. Anakmu sangat merindui kalian berdua!



May 24th, 2009 at 10:35 am
Assalamu’alaikum.
May 24th, 2009 at 12:44 pm
Wa’alaikumussalam..
Terima kasih atas kunjungan semoga bermanfaat.
May 24th, 2009 at 11:34 pm
Eh, kamu adalah kamukan!! (baru perasan)
Semoga tulisan ini dapat memberikan faedah yang besar. Semalam adalah kenangan yang menjadi motivasi kepada ‘harapan’ di masa akan datang dan memberi kekuatan untuk berjuang pada ’sekarang’.
Tidak ada yang lebih nikmat daripada bangun setelah terjatuh, kenyang setelah lapar, bertemu setelah berpisah..
July 17th, 2009 at 10:42 pm
tatkala aku membaca dan mendengar lagu AYAH DAN IBU dendangan Allahyarham SUdirman, airmata ku mengalir tak henti-henti mencurahi bumi. Terlalu bersalah rasanya diri ini bila mengenangkan apa yang saudara tulis disini, terlalu naif dan berdosa rasa diri meninggalkan ibu seorang dikampung, setelah aku mendirikan rumah tangga ini. Sesungguhnya tuhan telah memberikan zuriat ini kepada ibuku untuk menjaganya dihari tua, tapi zuriat ini tidak berbuat demikian kerna dia dihari ini terlalu miskin dan tiada kuasa untuk melaksanakannya. Apakah yg harus aku lakukan, semua ini adakah kerna kurang restu ibuku. PErkahwinan aku telah menjangkau usia 1 tahun, tapi aku seolah semakin jauh dari ibu, ibu pernah menangis dan terasa hati dengan ku. Tapi aku tak endahkan semuanya, dosakah aku ini bila tidak menjalankan tanggungjawab sebagai seorang anak. Aku adalah anak tunggal dalam keluarga ku, hanya ibu dan aku. Sepanjang usia muda ku sebelum kahwin, ibu sentiasa ada dekat padaku, sekurang2 nya tangunggjawab aku menjaganya telah aku laksanakan, tapi setelah kahwin semuanya semakin jauh, isteriku tak serasi dengan ibu. Aku pula meninggalkan kerja yang ada dahulu untuk dekat dengan isteri, pendapatan ku kecil dari isteriku, dan ini memberikan keputusan harus ditanya antara dua pihak. Aku tak mampu menjadi ketua keluarga pada keadaan ini. Semakin hari semakin tidak menjadi. Apakah tuhan telah memberi bencana diatas apa yang aku lakukan kepada ibuku. Apakah tuhan telah menarik semua rahmat dan berkat dari aku. Apakah aku pulang ke kampung untuk menjaga ibu, aku rindukan ibu, biarkan kami susah tapi kami saling membahgiakan. Kerna kesenangan yg ada ini tidak menenteramkan diatas dosa2 yg aku fikirkan. Ibu masih bernafas dan aku melupakannya, apa akan terjadi kelak bila ibu sudah tiada nanti, sesalan yang tidak tertanggung akan aku hadapi kerna meninggalkan ibu. Zaman kecilku berlalu tanpa kasih bapa, ibulah yang berkorban segalanya, memberi aku pelajaran, makan dan semua kelengkapan. Tidak pernah tidak bagi aku, segalanya ada… katakan sahaja, semua akan diberikan. Sehingga kini dia masih membantu aku walaupun aku berjauhan dari ibu dan meninggalkannya sendiri dikampung.
sesungguh ku mohon Tuhan berikan aku pedoman dan jalan untuk menyelesaikan segal pertelingkahan ini…. Ya ALLAH, sesungguhnya hamba mu yang lemah ini memohon petunjukmu..