Kandungan Lebih Penting
Posted on April 1st, 2010 in Fikir, Kritik
Antara perantara dan kandungan manakah yang lebih penting?
Jika saya menjawab sebagai seorang guru, saya akan katakan bahawa perantara lebih penting dari kandungan.
Dalam hal ini, perantara yang saya maksud adalah metedologi atau tariqah. Metedologi atau tariqah adalah lebih utama dari kandungan kerana, apabila seorang guru telah menerapkan sistematika bertariqah yang betul atau menyebatikan metedologi menjadi mendarah daging kepada seseorang, pelajar itu akan berjaya walau apa juga kandungan yang diberikan kepadanya. Seorang yang telah mempunyai metedologi dan ilmu-ilmu alat akan menjadi pakar dalam apa juga bidang yang disodorkan sebagai objek kajian. Maka dalam sistem pendidikan apa yang penting bukan sekedar menyampaikan kandungan, tetapi lebih dari itu, metedologi dalam penyampaian perlulah tepat agar proses pendidikan bukan bergantung kepada guru tetapi kepada teknik. Hasil dari kaedah ini, pelajar akan menjadi active leaners dan bukan pasif leaners yang hanya membuka mulut minta disuap.
Prespektif ini akan berubah apabila kita melihat dari sudut yang berbeza. Misalkan dalam bidang selain pendidikan. Kita tidak perlu sibuk dengan perantara tetapi yang penting apa kandungan yang diterima. Sebagai contoh masalah politik atau isu semasa. Seorang tokoh politik tidak peduli bagaimana suatu maklumat itu disampaikan. Apa yang penting baginya adalah masyarakat menerima maklumat yang betul atau menerima makluman yang dia inginkan. Kepentingan pada kandungan.
Masih banyak lagi perkara lain yang menuntut kita melihat lebih teliti kepada kandungan dan membolehkan kita mengabai perantara. Aqidah adalah salah satu dari perkara itu. Ketika isu pertembungan aliran dalam pemahaman Aqidah dan mazhab Fiqih (Fikah) menjadi hangat secara tiba-tiba sebagai kesan sampingan perbalahan politik (baca : kekuasaan dan pengaruh), timbul persoalan, apakah yang lebih penting? Aliran dan mazhab yang diperjuangkan atau kandungannya?
Menurut saya secara peribadi apa yang penting adalah kandungan. Siapa yang peduli sama ada seseorang itu bermazhab salaf atau khalaf? Apa yang kita peduli adalah sejauh mana kandungan Aqidah itu menyerap di dalam minda kita dan masyarakat kita! Itu yang saya peduli.
Jika saya memiliki anak dan ingin saya sekolahkan, maka yang masuk dalam ciri-ciri sekolah pilihan adalah, adakah sekolah itu mampu menerapkan Aqidah ke dalam diri anak saya secara teori dan amali? Saya tidak akan menjadikan persoalan mereka, menggunakan aliran apa dalam pendidikan Aqidah? Malah, untuk zaman yang serba canggih ini, saya memerlukan sekolah yang dapat mengajarkan kesemua aliran agar anak saya itu nanti bukan sekedar menjiwai tauhid yang benar tetapi juga dapat menjadi pemersatu umat islam!
“Ustaz mudahlah kerana ustaz paham! Bagaimana pula dengan kami yang tak faham pun apa itu khalaf dan salaf, apatah lagi kesannya dalam pendidikan Aqidah!”
Memang benar juga kenyataan yang dilontarkan itu. Ketika ramai tokoh agamawan negara memperkatakan bahawa main stream yang dikenal dengan istilah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) terdiri dari Asya’irah dan Maturidiyyah, ramai yang mula bingung dengan permasalahan ini.
Permasalahan umat seperti ini memang tidak mudah dirungkai. Apatah lagi jika mereka hanya menginginkan kesimpulan tanpa sedikit pun rela mengeluarkan usaha. Berbicara perihal aliran dalam khazanah Aqidah umat Islam memerlukan usaha dan kegigihan. Kemudian kita sekali lagi perlu bergantung kepada metedologi dan disiplin di dalam keilmuan. Metedologi dan disiplin sangat penting agar kita mengkaji atas dasar keilmuan dan bukan atas dasar emosi. Apa yang sukar untuk dilakukan adalah melepaskan diri dari keterikatan emosi bagi mereka yang telah terjebak dengan cinta atau dalam bahasa keilmuannya ta’assub.
Jika kita berpandukan metedologi dan disiplin ilmu, kita perlu meletakan objektif yang ingin kita capai dalam suatu mata pelajaran itu. Mata pelajaran Aqidah untuk peringkat sekolah tidak akan sama dengan mata pelajaran Aqidah untuk peringkat mahasiswa fakulti Usuluddin. Apa yang membezakan? Yang membezakan adalah objektif dari mata pelajaran itu.
Objektif di peringkat sekolah adalah untuk memahamkan konsep Aqidah ke dalam jiwa dan minda pelajar sedangkan objektif di peringkat perguruan tinggi adalah untuk memperkenalkan aliran-aliran, perbezaan-perbezaan dan seterusnya.
Sekiranya kita sudah mengenal pasti objektif maka, tugas guru adalah menyediakan sukatan pelajaran yang mencapai kepada tujuan itu. Seandainya kandungan menggunakan aliran tertentu menjadikan sukatan terlalu berat maka mengapa harus dipaksa? Pastilah lebih baik jika menggunakan kandungan dari aliran yang lebih mudah dirangka dalam sukatan sehingga objektif dapat dicapai. Bukankah yang utama adalah objektif!?
Semoga kita menjadi masyarakat yang lebih mengutamakan kandungan dari sekedar mempergaduhkan perantara. Apa pun alirannya jika tidak berjaya menerapkan kandungan kepada sasaran maka ia adalah sebuah kegagalan yang memalukan. Apa pun alirannya tetapi jika berjaya memastikan kandungan sebati dalam jiwa sasaran maka itu merupakan kejayaan yang sesungguhnya.

Leave a Comment