Kami Generasi Harapan dan Masa Depan!!
Posted on July 8th, 2009 in Palestin, Peribadi
Antara nikmat yang paling besar selama aku menetap di Mesir ini adalah kesempatan yang Allah berikan kepadaku untuk bertemu dengan rekan-rekan yang berada di dalam barisan HAMAS. Setiap pertemuan dengan mereka membekas kedalam jiwa dan minda aku walaupun pertemuan yang berlaku hanya seketika. Mereka adalah golongan yang benar-benar suci dan matang dalam memahami dan melaksanakan jihad yang sebenar.
Seperti yang pernah aku tuliskan dahulu, pancaran wajah bersih mereka adalah gambaran akan keyakinan, keteguhan harap, dan sikap positif yang mereka miliki. Mereka yang melihat kematian pada setiap hari begitu yakin akan harapan yang ada dalam setiap detik dan hembusan nafas mereka. Mereka bukan golongan yang berputus asa.
Rezeki aku – Alhamdulillah- Allah susunkan sebuah pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri Palestin iaitu Fathi Hammad. Beliau yang baru pulang dari beberapa negara menetap beberapa hari di Mesir untuk melakukan pembedahan mata. Semoga Allah segerakan kesembuhan kepada beliau.
Kami bertemu beliau di sebuah hotel di daerah Kota Nasr. Pertemuan kami itu tidaklah ilegal kerana beliau mendapat permit berada di Mesir. Setelah menyelesaikan segala urusan yang sulit. Aku memanfaatkan peluang untuk menyerap semangat dan taujih dari beliau. Satu persatu isu kami bincangkan. Isu yang dibincangkan bukan merupakan isu-isu berkaitan politik Palestin akan tetapi isu lebih menjurus kepada isu pembentukan dan pendidikkan umat. Isu harapan, cita-cita dan realiti.
Ketika aku menceritakan nasib satu kelompok yang ditahan di lapangan terbang dan dirampas wang yang diperuntukkan untuk Gaza sejumlah satu juta ringgit itu, beliau dan tim beliau tidak sedikit pun terkejut, mengeluh atau merasa kerugian. Respon mereka sangat tenang seakan-akan ia bukan merupakan suatu yang sangat besar. Itu bukan berarti hati mereka kering atau keras tetapi mereka adalah golongan yang benar-benar memahami dan melaksanakan apa yang kita sebut dengan redha dan tawakkal. Penyerahan diri mereka kepada Allah bukanlah sebuah retorik atau slogan semata tetapi ia benar-benar mendarah daging dan sebagi dengan jiwa mereka. Maka, ketika berita yang begitu mereka terima mereka tidak terkejut atau kecewa. Mereka bahkan telah melihat yang lebih dari iaitu pembunuhan massal masyarakat mereka yang berulang kali berlaku. Lebih mengagumkan lagi, wajah dan kata-kata mereka tidak sedikit pun berunsurkan keluhan, kebencian, kemarahan, kebengangan apalagi permusuhan.
Beliau kemudian mula menceritakan apa yang mereka (Kementerian Dalam Negeri) lakukan. Sambil kami berbicara satu persatu proposal projek-projek yang disediakan oleh asisten beliau diserahkan kepadaku. Aku tidak ingat pasti berapa jumlah proposal projek yang diberikan yang pastinya ianya lebih sepuluh. Beriku adalah antara proposal projek yang diserahkan :
1. Projek perkahwinan massal.
2. Projek perikanan.
3. Projek telur.
4. Projek ternak lembu susu.
5. Projek ternak lembu.
6. Projek pembangunan.
7. Projek pertanian.
8. Projek besi.
9. Projek kedai runcit.
10. Projek Hospital.
11. Projek kilang jahit.
12. Projek perfileman.
13. Projek ternak ayam.
14. Projek kajian pembinaan bangunan dengan tanah liat.
15. Projek ibu tunggal.
Seorang bawahan beliau menjelaskan betapa Projek perkahwinan massal ini antara projek prioriti saat ini. Hal ini adalah penting dan memerlukan tindakkan segera. Ia menjadi projek prioriti satu pasca perang. Ini kerana ramai ibu tunggal yang kehilangan suami akibat serangan Januari lalu. Dan ibu-ibu tunggal ini relatif muda iaitu antara 15-35 tahun. Perkahwinan massal adalah solusi untuk memberikan perlindungan kepada ibu-ibu tunggal ini. Untuk itu, mereka harus menyediakan paling tidak rumah untuk ibu-ibu ini yang mahu berkeluarga. Bagaimana golongan lelaki mahu menyediakan rumah sedang majoriti mereka tidak memiliki pekerjaan. Untuk itu kerajaan perlu mencari dana agar mereka ini dapat memulakan hidup baru. Gaza merupakan kota kecil yang perkembangan atau pertumbuhan penduduknya sangat cepat. Beliau sendiri (Fathi Hammad – Menteri Dalam Negeri) memiliki 15 orang anak dan 3 orang dalam kandungan. Beliau memiliki empat orang isteri. Pertumbuhan penduduk adalah satu-satunya jihad golongan ibu yang paling utama demi masa depan Palestin. Apa ertinya sebuah negara tanpa rakyat. Sedang Israel dari masa ke masa menyusun strategi untuk pembunuhan massal dalam setiap serangan mereka. Itulah rahsianya mengapa kita sering tertanya-tanya, “tidak pernah habiskah rakyat Palestin ini?”
Beliau kemudian menjelaskan kepada kami plan tindakkan mereka yang proaktif dalam menghadapi sekatan ekonomi yang dilakukan terhadap Palestin. Projek perikanan mereka sebagai contoh telah berjaya menghasilkan 30 ton pada tahun ini setelah setahun ia dilaksanakan. Mereka juga sedang melihat peluang bagaimana untuk mampu menghasilkan lembu, kambing dan ayam. Buat masa sekarang ini mereka belum memulakan lagi projek ternak lembu akan tetapi mereka sudah mula merancang. Demikian halnya dengan pertanian. Ada sebahagian buahan dan sayuran yang telah mereka hasilkan dengan cemerlang. Setelah penjelasan yang panjang lebar mereka jangkakan masalah sekatan akan sepenuhnya dapat diselesaikan dalam masa dua tahun jika mereka mampu menghasilkan penghasilan sendiri.
Pembicaraan kami kemudian beralih kepada perang saraf atau propaganda. Efektifiti dan peranan media massa. Beliau menceritakan bagaimana pusat maklumat (tv dan radio) telah dihancurkan sebanyak dua kali dan telah menelan jutaan Dolar Amerika. Tetapi mereka telah memaksimalkan penggunaan internet dan media sehingga mereka menganggap permasalahan propaganda hampir berjaya. Saat ini masyarakat dunia sudah mula tahu bagaimana mencari maklumat dari pihak Palestin sendiri dan tidak menerima bulat-bulat laporan dusta media anti Islam dan anti Palestin. Akan tetapi kita perlu mengakui bahawa dipesada antarabangsa media dari Palestin belum meluas dan belum mendapat jangkauan menyeluruh.
Antara projek yang sedang dalam pembinaan adalah menubuhkan sebuah kota bernama Asdaa’. Kota ini akan menjadi kota pelancongan dan kesenian Palestin. Ia terletak di Khanyunish. Ia menyerupai Hollywood di Amerika. Buat saat ini kota ini telah menghasilkan Filem sulung mereka berjudul Imad Aqil, kisah seorang pejuang terkenal Palestin. Mereka saat ini sedang memikirkan bagaimana agar filem tersebut dapat dipasarkan. Maka mereka sangat memerlukan alat-alat yang dapat membantu mereka menghasilkan produk yang berkualiti. Mengenai Kota Asdaa’ ini anda boleh melawat laman webnya atau membaca Akhbar Edisi Khas yang dapat anda akses di sini.
Penduduk Palestin masih mempunyai harapan yang sangat tinggi. Kematian yang mengancam mereka setiap masa tak mampu membuatkan mereka gerun. Mereka bahkan sangat gigih mengkaji dan mempelajari ilmu-ilmu teknologi berlandaskan asas agama yang kuat. Mereka mahu tampil kepada dunia sebagai representative of the real muslims. Anda salah jika mengira mereka lemah. Anda salah jika berkasihan kepada mereka. Anda salah jika bersimpati terhadap mereka. Anda salah jika memandang remeh kepada mereka. Anda tidak pernah akan memahami mereka sebelum anda bertemu dengan mereka. Harga hidup mereka sangat bernilai kerana telah mereka infakkan sepenuhnya kepada Allah. Etos kerja mereka sangat maksimum dan dahsyat sebab mereka tidak mengukur dengan ganjaran murah duniawi. Di akhir pertemuan setelah memberikan kata-kata nasihat dan penutup kepada kami. Beliau mengingatkan bahawa kami akan sentiasa bersungguh dalam usaha kami ini kerana Allah. Kami akan terus tingkatkan teknologi kami untuk mampu bersaing dengan Israel dan dunia. Kami tidak pernah menggantungkan harap kepada bantuan kalian, akan tetapi kami membuka ruang seluas-luasnya bagi kalian untuk turut berjihad bersama-sama kami dengan harta kalian. Bukankah jihad ini tugas umat Islam secara keseluruhannya dan bukan hanya kewajipan kami di Palestin?? Sungguh kami tidak pernah menggantung harap pada sumbangan kalian kerana kami miliki Allah. Mari sama-sama berjihad bersama kami..
Aku melangkahkan kaki penuh semangat meninggalkan mereka. Begitu banyak tugas yang perlu kita semua sebagai umat Islam lakukan. Tiada masa lagi bagi kita untuk berlengah. Ya Allah tunjukkanku jalan menujumu ya Allah.

Leave a Comment