Kad yang salah!!
Posted on June 20th, 2010 in Agama, Uncategorized
“Apa pendapat ustaz tentang kad jemputan kahwin yang ada ayat al-Quran dan nama Allah?” kelihatan wajah penanya begitu serius.
“Ha! Bab ni penting. Sebahagian ulama’ mengatakan bahawa menulis bismillah dan ayat Quran dalam kad jemputan adalah makruh kerana kad itu pasti orang akan buang.” Ustaz sempat berjenaka sambil terus memberi ulasan.
Mendengar perbincangan seperti ini saya terdiam dan berfikir. Ada yang tak kena dengan jawapan itu. Saya menghormati pendapat ustaz itu dan alasan yang dibagi juga boleh diterima. Memang benar ada sebahagian umat Islam yang tidak peka mengenai hal-hal ini. Malah agak menyakitkan hati bila mana orang Islam tidak lagi peduli pada kemuliaan ayat al-Quran. Tapi, saya ada pendapat yang berbeza.
Rasulullah SAW ketika mengutuskan surat-surat kepada pemimpin-pemimpin dunia ketika itu memulakan suratnya dengan tulisan, “Bismillahirrahmanirrahim”. Surat itu tidak diutuskan kepada orang islam. Ia diutuskan kepada pemimpin Rom, Parsi, Mesir dan sebagainya. Adakah Rasulullah SAW tidak terfikir resiko yang bakal berlaku kepada surat-suratnya itu.
Sejarah telah menceritakan bagaimana balasan yang diberikan oleh mereka. Ada yang mengoyak surat yang tertulis di atasnya nama Allah itu. Surat itu dihinakan. Bahkan pembawa surat itu dipenggal.
Peristiwa ini sudah cukup memperlihatkan kepada kita betapa besar dan agungnya risalah yang dibawa. Risalah penting itu perlu dicatatkan padanya nama Allah agar ia menjadi lebih agung dan lebih berwibawa. Ia bukan sekedar tulisan. Bayangkan apa yang terbayang di minda seseorang ketika membaca, “Dengan nama Allah Ar-Rahman dan Ar-Rahim”. Tentunya ia menghadirkan kewibawaan yang lain. Ia menghantar minda dan hati kepada satu sasaran yang ingin dituju. Ia meletakan matlamat dan sebab. Matlamat yang mahu diraih dan sebab serta musabab dalam mencapai apa yang akan dicapai.
Bismillah menjadi suatu amalan yang membudaya dalam masyarakat Islam. Bahkan setiap perkara yang dianggap penting sangat dianjurkan untuk dimulakan dengan Bismillah. Memasukkan tangan kanan ke dalam baju pun dianggap penting maka perlulah dimulakan dengan bismillah. Inikan pula jemputan penuh kemuliaan. Walimah adalah suatu yang mulia. Jika zina adalah suatu kekejian maka nikah pula adalah suatu kemuliaan. Maka menjemput kepada suatu yang mulia sangat layak dan perlu dimulakan dengan menyebutkan nama Sang Maha Mulia.
Sungguh amat mengejutkan bagi saya apabila mendengar bahawa kad jemputan walimah tidak dianjurkan meletakkan nama Allah kerana takut dibuang dan dipijak. Apa yang menghairankan saya adalah mengapa kad yang salah? Seakan-akan kad yang tidak layak dituliskan diatasnya nama Allah. Menurut hemat saya, kad itu benda mati yang tidak mampu berfikir. Justeru, manusia selaku makhluk yang mampu berfikir dan bertindak sepatutnya mampu untuk melindungi dan memelihara serta menjaga kad yang mulia kerana terdapat nama Allah yang mulia padanya. Manusia yang menjadi lalai dan tidak bertanggungjawap tetapi kad pula yang dipersalahkan.
Saya sangat menganjur kepada diri saya sendiri agar sentiasa menanamkan budaya membaca basmalah dalam setiap urusan saya. Tidak cukup dengan itu, segala yang penting perlu dimulakan dengan basmallah secara bertulis. Tujuannya hanya satu agar mengajak diri dan semua yang membaca tulisan itu untuk tajdid kembali niat. Malah, saya berpendapat kita sebagai umat Islam perlu meletakkan ayat-ayat al-Quran dalam kad-kad kita agar ayat-ayat itu memainkan fungsinya sebagai peringatan. Ayat-ayat al-Quran tidak diturunkan sebagai perhiasan semata-mata. Ia diturunkan sebagai peringatan, pengajaran, pendidikan, teguran, motivasi, penawar, cahaya dan sebagainya. Ketika kita menuliskan ayat itu, kita mengharapkan mereka yang membacanya mendapat manfaat. Kita mendidik orang yang menerima kad itu agar melihat asas suatu perkara itu dilakukan.
Mungkin, kerana kita ini sudah terlalu jauh dari al-Quran itulah sebabnya majlis-majlis kita sangat jauh dari kehendak dan tuntutan Islam. Kita sendiri sudah segan untuk meletakkan ayat al-Quran dalam jemputan yang penting ini.
Ayuh kita kembali kepada al-Quran. Betul ayat-ayat al-Quran dan asmaullah al-husna perlu dipelihara tapi memeliharanya bukan dengan melenyapkannya dari kehidupan kita. Bukan memeliharanya dengan membiarkan al-Quran tak tersentuh sehingga rupanya setelah 10, 20 tahun masih sama seperti hari pertama ia dibeli. Memeliharanya dengan menjaga setelah mengambil manfaat darinya. Memeliharanya dengan menyampaikan kepada sekeliling kita.
Ya Allah peliharalah umat ini. Peliharalah kami. Jadikanlah kami golongan yang dekat dengan al-Quran. Dekat dengan rahmat dan maghfirahmu. Dekat dengan redhaMu. Jadikanlah kami pencinta al-Quran. Terlalu cinta sehingga dalam setiap keadaan kita selalu gembira dan bersemangat untuk menyebarkan apa yang al-Quran katakan kepada kita dalam setiap keadaan dan suasana. Sebarkanlah ayat-ayat al-Quran. Biarlah ia menjadi air sejuk yang mendamaikan dan menyegarkan hati yang gersang dan gelisah. Semoga Allah merahmati kita dengan al-Quran. Amin..

June 21st, 2010 at 10:18 pm
Sangat setuju..nak tentukan betul atau salah sesuatu perkara perlulah berdasarkan banyak sumber, termasuk sejarah..jangan hanya ikut bulat2 kata2 orang lain kerana secara tidak sedar, kita sudah pun menjauhi AlQuran. Kalimah Allah itu adalah suci apabila ia mensucikan hati seorang insan, bukan menganggap suci pada kalimah AlQuran yang ditulis pada benda2 mati semata-mata.
June 25th, 2010 at 1:55 pm
shahid
aku baru ja buat kad..
hang nak tolong aku buat dak?
aku buh bismillah, ya qadiyal hajat pastu bawah tu jemput sekian2..
pastu kat depan tulisa barakallahu lakuma…
mmg mula2 aku buat tanpa ada kaitan ilmu apa.. tapi fikir2 balik, boh barakallahu tu nak bagi org kita tau bahawa doa untuk org kawin adalah itu.
ok. betoi.. jgn salah kad.. salah org tu. dah ada bismillah, jangan lah letak merata2..
July 28th, 2010 at 1:17 pm
salam.
saya nk tanya tentang kad ini,
jika kad jemputan yg diterima tu ada kalimah ayat Al-Quran,
maka kita x boleh buang kad2 tersebut?
kalau dh terlalu byk sehingga tiada ruang utk simpan, mcm mane?
August 1st, 2010 at 5:27 pm
Hapuskan dengan cara terhormat. Ada orang bakar kertas tersebut.
December 24th, 2010 at 8:58 pm
SAYA SUDAH LAMA SEDAR AKAN HAL INI.. SEBAB ITULAH SAYA ‘SEARCH’ TENTANG PERKARA INI (NAMA ALLAH PADA KAD ATAU MAJALAH)… HAL INI KERANA SAYA BUKANLAH ORANG YANG SUKA MENYIMPAN MALAJAH2 LAMA.. SAYA AKAN BUANG BARANG2 YG TIDAK PERLU.. SETAHUN SEKALI, SAYA AKAN KOYAK HALAMAN MAJALAH YANG SAYA MINATI/ MANFAAT.. DAN AKAN BUANG/ MAJALAH TERSEBUT @ RECYCLE.. NAMUN, SEBELUM ITU, SAYA AKAN ‘CARI’ PERKATAAN ‘ALLAH’ DAN GUNTING BAHAGIAN TERSEBUT UNTUK DIBAKAR.. MEMANG PENAT, NAMUN SAYA TAHU KAD/ MAJALAH YANG ADA NAMA ALLAH TIDAK BOLEH DIBUANG BEGITU SAHAJA.. KITA PERLU MENJAGA NAMA YANG MULIA INI..