Jiwa yang merdeka

Posted on August 20th, 2007 in Uncategorized

Sempena sambutan Hari Merdeka yang ke 50 untuk Negara kita yang tercinta Malaysia, banyak pihak yang tidak mahu ketinggalan dalam meraikannya. Dimana-mana terlihat akan semaraknya sambutan yang diberikan. Hingga hari ini aku belum berjaya menghasilkan walau satu tulisan pun untuk memeriahkan sambutan Hari Merdeka ini. Kehausan idea untuk menulis tentang topik ini.

Suka kiranya kali ini kita sama-sama melirik ke jiwa merdeka yang dimiliki seorang rekan karib Manusia Agung iaitu Sayyidina Abu Bakar As Siddiq. Jiwa yang terbebas dari penjajahan akal, penjajahan sikap, penjajahan fikiran dan penjajahan keadaan.

Sejarah menceritakan bahwa kerosakan yang terjadi di tanah suci Mekah ketika itu adalah akibat dari penghijrahan orang luar ke tanah suci itu. Merekalah yang membawa penyembahan berhala yang mereka warisi dari pengikut nabi Nuh AS. Kerosakan demi kerosakan berlaku di tanah suci itu apalagi setelah golongan pendatang ini menguasai tanah suci Mekah. Berhala bersepah-sepah dimana-mana, sehingga dikatakan terdapat ratusan berhala di sekeliling Kaabah.

Ketika masyarakat arab quraisy ketika itu telah terjajah dengan pahaman kolot. Sayyidina Abu Bakar masih lagi mempunyai akal yang jernih dan jiwa yang merdeka. Fikirannya tidak terjajah dengan hal-hal yang telah menjadi adat kaum quraisy ketika itu.

Dikisahkan bahwa suatu hari Sayyidina Abu Bakar dibawa oleh bapanya untuk menyembah berhala. Lalu ayah baginda meninggalkan baginda setelah berpesan untuk tunduk dan memohon kepada berhala-berhala tersebut. Sayyidina Abu Bakar terus menatap berhala tersebut untuk beberapa ketika kemudian dia berkata “Berikan aku makanan.. berikan aku minuman… berikan aku pakaian.” tentunya berhala-berhala tersebut tidak akan menjawab. Sayyidina Abu Bakar kemudian mengambil seketul batu dan melemparkannya ke berhala tersebut lalu ianya jatuh dan pecah.

Betapa merdekanya jiwa Sayyidina Abu Bakar dari dijajah oleh hal yang tidak dapat diterima akal walaupun hampir kesuluruhan manusia yang ada disitu saat itu melakukannya. Kemerdekaan jiwa baginda membuatkan baginda mudah menerima Islam. Seperti mana yang disabdakan baginda Rasulullah SAW yang bermaksud, aku tidak melihat seorang pun yang sama sekali tidak ada keraguan diwajahnya ketika mendengar tentang Islam yang aku bawa melainkan Abu Bakar.

Jiwa Sayyidina Abu Bakar Assiddiq juga tidak terjajah oleh nafsu bejat manusia. Seumur hidupnya, baginda belum pernah mencicipi arak sedangkan arak ketika itu adalah umpama air putih. Ketika baginda ditanya mengapa tidak pernah mencicipinya baginda pun menjawab bahwa dia ingin menjaga harga diriku. Kemudian baginda berkata lagi, satu hari aku melihat seorang yang mabuk mengambil kotoran dari tanah lalu meletakkannya kedalam mulutnya, dan ketika itu juga aku bersumpah bahwa aku tidak akan menjatuhkan harga diriku walau sekecil apa pun. Seandainya saja manusia mahu berfikir dan berubah…. Seandainya saja manusia mahu mengakui dan memerdekakan jiwa mereka….

Di abad yang ke 21 ini, kita masih lagi menyaksikan manusia yang masih lagi dijajah oleh diri mereka sendiri. Mari kita ambil sebuah contoh yang sangat mudah iaitu mengenai rokok. Saya sangat yakin 99% perokok tahu akan bahaya rokok, mengalami penyakit dari rokok dan sengsara akibat rokok. Namun, mereka masih lagi membiarkan diri mereka dijajah oleh rokok. Sangat menyedihkan. Bangkitlah.. Merdekakanlah jiwa anda !!!!

Published by taqeyyabella

Leave a Comment

Share